Selasa, Mei 27, 2014

26hb Mei 2014: Selangor tunduk 0-2 kepada Juara Piala Liga Europa 2014, Sevilla FC.


26hb Mei 2014: Selangor tunduk 0-2 kepada Juara Piala Liga Europa 2014, Sevilla FC.
I
Selangor FA, pasukan yang kaya dengan sejarah tersendiri, pernah menerima kunjungan kelab-kelab besar. Antaranya; Boca Juniors FC (1982); Dundee United FC (1994); Bayern Munich FC (1994); ManchesterUnited FC (1995) dan Middlesbrough FC (1996).
Memandangkan beberapa tahun mutakhir ini, kebanyakan perlawanan kelab antarabangsa adalah membabitkan skuad kebangsaan Malaysia sahaja, maka peluang untuk menyaksikan pertembungan pasukan tempatan menentang kelab luar; adalah sesuatu yang sukar dilepaskan.


II
Tanggal 26hb Mei 2014, Selangor FA tewas 0-2 kepada Juara Piala Liga Europa 2014, Sevilla FC dari Sepanyol di hadapan 25,000 orang penonton, dalam sebuah perlawanan yang menghiburkan.
Memandangkan Selangor baru 48 jam bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi Liga Super, Sabtu lalu, jurulatih Mehmet Durakovic hanya menyenaraikan empat tonggak utama - Steve Pantelidis, Rizal Fahmi Rosid, Azmi Muslim dan Paulo Rangel dalam kesebelasan utama, selebihnya barisan simpanan. Manakala jurulatih Sevilla, Unai Emery pula menurunkan empat pemain yang beraksi ketika mereka menewaskan Benfica di pentas final Liga Europa, 14 Mei lalu iaitu Diogo Figueiras, Federico Fazio, Nico Pareja dan bekas pemain Arsenal, Jose Antonio Reyes. 

III
Sevilla membenam Pelita Bandung Raya 4-0 pada aksi persahabatan pertama mereka di Bandung, Indonesia, Khamis lalu. Selangor hampir mengejutkan kelab Liga Sepanyol itu seawal minit kelima, namun tandukan Rangel hasil hantaran lintang Abdul Hadi Yahya berjaya ditepis penjaga gol Sevilla, Sergio Rico. 
Sebaliknya, Sevilla membuka tirai jaringan pada minit ke-30 selepas Piotr Trochowski melakukan rembatan cantik yang menyaksikan penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad yang bertindak sebagai kapten sekadar terpaku.
Ketika permainan memasuki masa kecederaan separuh masa pertama, Sevilla tambah selesa apabila berjaya memperoleh gol kedua menerusi tandukan Figueiras yang menerima hantaran lintang Reyes dari sebelah kiri. 

IV
Bagi mengimbangi kekuatan Sevilla, Durakovic melakukan lapan pertukaran sepanjang babak kedua dengan membawa masuk Shahrom Kalam, S Kunanlan, P. Rajesh, Afiq Azmi, Andik Vermansah, S Veenod, A Thamil Arasu dan penjaga gol utama, Farizal Marlias. 
Andik paling menyerlah apabila melakukan beberapa percubaan berbahaya termasuk rembatan selepas memusingkan badan pada minit ke-59 yang sedikit tinggi serta sepakan percuma pada minit ke-75 yang memaksa Rico menerbangkan badan untuk menepis bola keluar.
Pemain Selangor FA: Hamsani Ahmad, Shazlan Alias, Steve Pantelidis, Rizal Fahmi Rosid, Azmi Muslim, Shukur Jusoh, Nazmi Faiz Mansor, Fittri Shazwan, Ahmad Hazwan Bakri, Abdul Hadi Yahya, Paulo Rangel.
Simpanan: Farizal Marlias, Syamim Othman, Shahrom Abdul Kalam, Andik Vermansah, Mohd Bunyamin Umar, S. Veenod, S. Kunanlan, P. Rajesh, Afiq Azmi, A. Thamil Arasu.

V
Untuk rekod, Sevilla merupakan nama yang terpahat dalam sejarah kegemilangan Islam di Sepanyol dan Barat. Di bawah kekuasaan Islam, Sevilla berkembang menjadi sebuah kota kebudayaan. Sebagaimana Istana Alhambra Granada, hingga kini, hiasan nan indah pada dinding Istana Alcazar (Reales Alcázares de Sevilla) masih tercatat frasa Arab “Wa la ghalib illALLAH” atau “Tiada pemenang kecuali ALLAH”. Sungguh, tiada pemenang kecuali ALLAH SWT.  
Bersama memartabatkan jersi serta liga tempatan kita. Viva Selangor. Padu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...