Khamis, Januari 26, 2012

Filem: Kembara Seniman Jalanan (1986)

21 September 2012: Alhamdulillah, 
dapat jumpa Abang Osman Tikus 
(Pyanhabib Rahman), seniman 
rakyat yang sempoi.
Bersama Saudara Pyanhabib Abd Rahman aka 'Osman Tikus'. 
Sedikit tentang 'Kembara Seniman Jalanan' di sini: http://chedinsphere.blogspot.com/2012/01/filem-kembara-seniman-jalanan-1986.html

Filem: Kembara Seniman Jalanan (1986)

Filem ini adalah hasil arahan Nasir Jani dan M. Nasir selaku penulis skrip.

Filem yang ditayangkan kepada umum pada Februari 1986 ini telah dibintangi oleh M.Nasir, Majid Salleh, Pyan Habib, dR Sam, Shah Reza, Imuda, Siso Kopratasa, Kumpulan Sweet Charity, M. Rajoli, Hasnah Ibrahim, Amy dan kumpulan Search, Ramli Sarip, Ito Lara dan Kumpulan Blues Gang, serta Neeruam atau Maureen.

Filem ini diterbitkan oleh Zarul Al-Bakri melalui ZSA Holdings Sdn Bhd. Filem ini dimulai dengan paparan warna-warna lukisan pelukis tempatan seperti S. Amin Shahab, M. Nasir, Mohd Din dan dibayangi dengan imej watak utama iaitu M. Nasir sendiri sebagai Jebat atau Bujang.


----------------------------------------


Sinopsis:
Bujang (lakonan M. Nasir) yang baru tiba di ibukota telah bertembung dengan tidak sengaja dengan Osman Tikus (lakonan Pyan Habib) di Hentian Puduraya. Osman merupakan seorang penyeluk saku. Pertembungan itu mengakibatkan dompet Bujang juga turut menjadi mangsa Osman. Hal ini hanya disedari setelah Bujang ke gerai burger milik Brader Joe (Imuda) untuk mengalas perut sebelum meneruskan tujuan ke Studio rakaman milik Encik Johan, seorang pengusaha syarikat rakaman bumiputera yang terlibat dengan cetak rompak. Akibatnya, Bujang terpaksa makan burger yang tidak berbayar.

Sesampai di studio rakaman, Bujang terpaksa menunggu lama dan disuruh pulang dan datang semula esok harinya oleh Encik Johan kerana alasan sibuk dan tidak mahu melayan Bujang. Bujang berjumpa semula dengan Osman selepas itu di gerai Brader Joe. Bujang nampak Osman ada di situ dan terus menyerang Osman, tetapi berjaya dihalang oleh Brader Joe dan Siso. Kemudian Osman memohon maaf dan mengajak Bujang tinggal bersama di rumah ‘tinggal’ di ibu kota.


----------------------------------------



Keesokan harinya, Bujang kembali ke studio rakaman dan apabila tiba giliran uji bakat, beliau dipersendakan dan diperlekehkan oleh Encik Johan kerana penampilan yang ‘rugged’. Bujang mendendangkan lagu ‘Rupa Tanpa Wajah’ secara akustik dan dalam diam-diam, Encik Johan telah merakam dan menciplak lagu tersebut dan diberikan kepada penyanyi pop terkenal bernama Fareez (Shah Reza). Di situ juga Bujang bertemu dengan Khaty, seorang wartawan hiburan.


Bujang yang tiada mendapat peluang menjadi artis rakaman telah didorong oleh Brader Joe supaya membuat persembahan secara terbuka (basking) di kaki lima bangunan-bangunan. Biasanya beliau ditemani oleh Osman yang turut mengambil kesempatan menyeluk saku. Mereka adakalanya dihalau oleh Pihak Berkuasa kerana dituduh mengemis.


----------------------------------------


dR Sam dan Neeruam, juga pengusaha syarikat rakaman, turut mencari-cari bakat baru untuk diketengahkan. Suatu hari, Khaty telah dipanggil oleh Encik Johan untuk mendengar lagu dari album terbaru Fareez. Encik Johan cuba merasuah Khaty dengan wang suapan supaya mempromosikan album itu. Khaty terserempak dengan Bujang yang menyanyi di tepi jalan, dan bertanyakan lagu yang dinyanyikan serupa dengan lagu Fareez. Barulah Bujang sedar yang karya beliau telah dirakam rompak dan diciplak. Beliau dan Osman telah mengamuk dalam satu majlis promosi dan pradengar album Fareez di sebuah hotel terkemuka di ibukota. Mereka berdua kemudiannya telah ditahan dan dipenjarakan.



----------------------------------------



Neeruam telah mengikat jamin Bujang dan Osman. Kemudian, mereka menjadi artis syarikat rakaman dR Sam bersama artis lain seperti Search, Blues Gang dan Sweet Charity.



----------------------------------------

* Nota Kaki:
1) Filem yang cukup dekat dengan masyarakat ini adalah filem ‘wajib tonton’ buat mereka yang mahukan kelainan dalam filem Melayu.

2) Selain barisan pelakon-pelakon hebat, filem ini dikenang kerana mengangkat isu ‘cetak rompak’ (sepatutnya ‘ciplak’) dan penindasan ke atas artis, yang terus menjadi polemik -- sejak dahulu – sehingga hari ini.

3) Satu perkara menarik untuk disentuh di sini ialah, tatkala kita sering menyangka ‘ciplak’ dan ‘cetak rompak’ membawa maksud yang sama, hakikatnya adalah sebaliknya.

4) ‘Cetak rompak’ bermaksud pencabulan hak terhadap pemilik hak cipta, di mana bahan-bahan yang dilindungi hak cipta digunakan sewenang-wenangnya tanpa izin. Sementelah, ‘penciplakan’ pula berkaitan dengan perbuatan memplagiat reputasi pengkarya yang dicapai melalui dakwaan hasil pengkaryaan yang palsu.

********

Sumber:
• http://ms.wikipedia.org/wiki/Kembara_Seniman_Jalanan;
• http://www.sinemamalaysia.com.my/film/info/?id=Kembara_Seniman_Jalanan_347; dan
• http://tehparadox.com/forum/f56/kembara-seniman-jalanan-1986-dvdrip-220216/.

********

:)

Anak Jantan.

Apa tanda si anak jantan?

Anak jantan matinya di tengah gelanggang
Tidurnya di puncak gelombang
Makannya di tebing panjang

Langkahnya menghentam bumi
Lenggangnya mengipas semak
Tangisnya terbang ke langit
Esaknya ditelan bumi

Yang tak kenal air mata
Tak kenal tunduk terkulai.

* Sumber:
http://wanhisyam.blogspot.com/2009/10/anak-jantan.html dan
Ucapan Ustaz Siddiq Fadzil, Kolej Dar al-Hikmah, Sungai Ramal.

Rabu, Januari 25, 2012

Lagu layan.





Lirik
Kau mampu patahkan sayapku
Kau mampu tambatkan kedua kakiku
Tapi kau tak akan dapat
Mematahkan semangatku untuk hidup

Lampu neon di gedung indah
Hanya pemikat mata yang tergoda
Tapi aku kan tetap berjalan
Menuju tujuanku di sana

c/o
Berdendang anak jalanan
Berdendang dengan rentak kehidupan
Ku mohon perlindunganmu
Yang Esa

Aku dan mereka sama
Punya hati dan punya cita-cita
Kota ini tempatku belajar
Erti hidup

Ku tinggalkan kampung halaman
Ku tinggalkan semua yang tersayang
Demi masa depan yang cemerlang
Semoga aku diberi pedoman.

-- M.Nasir/Kembara (Impian Anak Jalanan).

* Selamat berekspresi. Oley!

:)

Isnin, Januari 23, 2012

Kongsi Cuti.


“Yang bijaksana tidak keliru, yang berakhlak tidak gundah gulana, yang berani tidak gentar.” -- Kung Fu Tze.

Gong xi fa cai.

Selamat Tahun Baru Cina.

Selamat makan limau banyak-banyak.

Selamat berkongsi cuti.

Dan, selamat menjadi rakyat yang matang, prihatin dan pragmatik.

Hidup rakyat.

:)

Syampai tersyasyul-syasyul.

Cuba sebut ayat ini laju-laju:

“Sixth sick sheik’s sixth sheep’s sick”.

:)

Khamis, Januari 12, 2012

Menadah Mendung.

Senja. Dan, hujan pun turun dengan semarah-marahnya. Selebat-lebatnya. Siap kilat dan petirnya.

Motor yang saya tunggangi dari tempat kerja -- menuju jalan pulang ke rumah -- saya matikan enjinnya di sebuah pondok menunggu bas.

Di pondok itu, saya lihat dua kelibat manusia. Seorang wanita -- dalam lingkungan umur awal 40an -- saya perhati sedang memeluk seorang budak lelaki (yang saya kira berusia lingkungan 7 tahun-darjah satu).

Anak ke, Kak?” Tanya saya kepada perempuan itu.

Aah. Dia ni penakut sikit,” jawab perempuan itu, dengan senyuman seorang ibu. “…Takut hujan, takut kilat,” sambungnya lagi. Masih setia dengan senyumannya.

Adik siapa nama?” Soal saya, kali ini kepada anak kecil itu.

Aiman,” jawabnya – ramah – dalam gusar. Setiap kali guruh berdentum, setiap kali itu jugalah makin erat ibunya didakap, dan mendakap.

Saya terus berbual-bual dengan perempuan itu, dan anaknya, sambil memerhatikan motor kesayangan yang basah ditimpa hujan.


******************************************************


Takutlah Mak, ada geledek,” keluh saya yang berumur 5 tahun kepada Emak. ‘Geledek’ itu istilah jawa. Maksudnya guruh.

Entah kenapa, hari tu – petang, kira-kira pukul 2 – hujan turun diselang-selikan dengan kilat dan suara menggelegar yang menyentap hati.

Suasana rumah saya, yang dikelilingi pohon tinggi melampai seperti pokok kelapa itu, terasa sangat menggerunkan.

Saya tidak takutkan hujan. Tidak juga takutkan guruh. Tapi, entah kenapa, guruh hari itu membuatkan saya ketakutan. Tubuh Emak saya dakap seerat-eratnya.

Kenapa nak takut?” Tiba-tiba Emak menimbulkan soal. “Kan hujan tu rahmat. ALLAH sayang kita. Sebab tu ALLAH turunkan hujan,” sambung Emak.

Saya hanya diam sedari tadi. Kehangatan dakapan Emak mengurangkan rasa takut saya. Redup wajah Emak menenangkan. Bening suara Emak melunakkan rawan hati.

Ketika saya curi melihat pohonan nyiur dan dahan pokok durian yang terhoyong-hayang dipukul angin kencang di luar rumah, ketakutan saya sudah beransur hilang.

Kerana Emak telah menenangkan saya. Dan saya rindukan ketenangan waktu di sisi Emak.


******************************************************


Aiman segera menaiki bas yang berhenti di hadapan pondok itu. Perempuan yang saya tidak ketahui namanya itu, hanya tersenyum kepada saya sambil memimpin tangan anak kecilnya.

Dari pondok itu, saya melihat Aiman tersenyum melambai-lambai ke arah saya dari dalam bas. Mungkin ketakutannya pada guruh dan kilat sudah berkurangan. Mungkin.

Sungguh, Aiman bertuah -- dia punyai ibu. Semoga Aiman jadi anak yang soleh. Amin.

Senja yang makin berengsot waktunya, membuatkan saya ralit dek kesyahduan dingin dan bening titisan hujan. Saya melihat jam di tangan – secara curi-curi – sebelum akhirnya saya tersedar: saya belum bersolat, meski Maghrib telah sampai waktunya.

Maka, hujan yang masih lebat itu, saya redahi juga. Tanggungjawab kepada Sang Penakluk Jiwa harus saya tunaikan.

Namun, kerinduan kepada Emak masih terimbau-imbau.

Maghrib itu, saya cuba menyentuh hikmah dan rahmat Sang Pencipta. Demi ALLAH, saya sayang Emak saya.

Politik dan Propagandis.

Sejak kes DSAI 901 diputuskan, ramai sungguh yang menjadi ‘pakar undang-undang jenayah’.

Memang, tak ada salahnya memberikan pandangan dan kupasan.

Cuma, janganlah terlalu mudah membuat kesimpulan.

Khuatir kelak jadi fitnah.

(Pesanan untuk semua dan diri saya juga).

:)

Sabtu, Januari 07, 2012

Bacaan: Novel Keluarga Gerilya (Pramoedya Ananta Toer).

Keluarga Gerilya
Pramoedya Ananta Toer (kemudian dari ini dirujuk sebagai ‘Pak Pram’) merupakan seorang tokoh besar Angkatan ’45 Indonesia. Sebagai seorang pelopor prosa dan sasterawan jurubicara Revolusi Kemerdekaan Indonesia, jasa Pak Pram memang tak terkira banyaknya.

Pernah meringkuk lama di balik tirai besi – mendekam redha sebagai pejuang yang tak kenal erti takut dan kekalahan – beliau menghasilkan banyak karya penting, antaranya; ‘Bumi Manusia’; ‘Gulat di Jakarta’; ‘Subuh’; ‘Kerupsi’; ‘Percikan Revolusi’; ‘Midah si Manis Begigi Mas’; ‘Cerita Dari Blora’; ‘Panggil Aku Kartini Saja’ dan tentulah, ‘Keluarga Gerilya’.

‘Keluarga Gerilya’ pernah diangkat sebagai teks sastera STP di Malaysia tidak berapa lama dahulu. Karya ini mengisahkan cerita tragis sebuah keluarga pejuang yang mengorbankan segala-galanya demi kemerdekaan tanahair tercinta.

Keluarga Amilah dan keluarga Sa’aman telah diangkat sebagai simbol dan watak-watak manusia yang menderita, bahagia dan hancur dek perang serta penjajahan.

Saya terkesan dengan perenggan akhir halaman 218 novel ini yang dinukilkan seperti berikut:
“…Engkau harus berjanji pada dirimu sendiri, bahawa engkau akan belajar terus sampai tua. Kalau engkau sudah terlentang di balaimu, engkau harus bilang begini: aku akan belajar terus sampai tua. Ulang-ulangi kalimat itu sampai engkau tertidur. Dan engkau akan jadi pandai kelak. Engkau sekarang masih kecil, Hasan! Tapi kalau engkau mau belajar banyak-banyak, tahu-tahu engkau sudah jadi besar dan boleh jadi jenderal…”

Pengarang naskah ini menyatakan bahawa kejadian-kejadian yang berlaku sewaktu era revolusi nasional Republik Indonesia telah mencetuskan ilham untuk terhasilnya ‘Keluarga Gerilya’.

Al-Fatihah yang sekudusnya, buat Pak Pram.

* Naskah yang saya miliki ini merupakan terbitan Pustaka Antara, Kuala Lumpur, dan dicetak pada 1977 (cetakan ketiga).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...