Rabu, Mei 30, 2012

Ijtima' Harakiyy WAP Selangor Kali Pertama: Kobar Jiwa Semangat.

Logo Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Cikgu Amidi sewaktu berucap dalam satu majlis.
Saudara Amidi Manan, Presiden ABIM dan mantan Presiden PKPIM.
Terbanglah kerana maruah dan harga diri; Kerana kesucian dan ketaqwaan hati; Akan menghantarmu ke mana-mana yang kau ingini.” -- “Puisi untuk Kakanda”, karangan mantan Presiden ABIM, Tuan Haji Azam Abd Rahman.

*****************************
Pada 26 dan 27 Mei 2012, bertempat di Kompleks Rakan Muda Klang, Sementa, Ijtima’ Harakiyy WADAH-ABIM-PEPIAS (WAP) Negeri Selangor kali Pertama 1433H-2012 telah dianjurkan dan dihadiri oleh kurang-lebih 300 orang ahli, perwakilan dan pemerhati. Perhimpunan ini adalah bermatlamatkan pengukuhan hubungan silaturrahim sesama ahli gerakan yang terus bergiat aktif dalam pelbagai platform iaitu pelajar melalui PEPIAS, belia melalui ABIM dan dewasa melalui WADAH. Sekadar berkongsi, ABIM Selangor pada tahun ini sedang meraikan sambutan 40 tahun penubuhannya. Justeru itu, penganjuran Ijtima’ Harakiyy WAP Negeri Selangor ini merupakan manifestasi rangkaian perjuangan tiga generasi aktivis dakwah di Negeri Selangor.
________________________________________________
26 Mei 2012.
Pada 26 Mei 2012, antara program yang dijalankan ialah “Wacana Pengkisahan ABIM Selangor” yang menampilkan para mantan aktivis dan pimpinan awal ABIM dan HELWA Selangor jaman 80an dan 90an yang kini kebanyakannya berjuang bersama WADAH. Sementelahan, pada sebelah malamnya, dianjurkan “Malam Apresiasi Petugas Dakwah dan Sambutan Hari Guru ABIM Peringkat Negeri Selangor”. Bait “Celik Mata, Celik Hati” yang dideklamasi menerusi sajak nukilan mantan Yang Dipertua ABIM Selangor, Cikgu Muslimin Yaakop, telah mewarnai kemeriahan  Wacana Pengkisahan ABIM SelangorCikgu Muslimin yang berperanan selaku moderator wacana tersebut turut ditemani oleh barisan ahli panel yang terdiri daripada generasi pengasas awal ABIM Negeri Selangor; Tuan Haji Muhamad Salleh Abu Bakar, Ustaz Arshad Taib, Tuan Haji Kasno, dan Tuan Haji Mukhtar Ramli. Di samping berkongsi pengalaman mengembangkan dakwah serta mengasaskan institusi dakwah seperti TASKI, para panelis turut menekankan kepentingan kepada generasi muda untuk terus Istiqamah dalam ibadah serta ‘amal jam’iyy’ sebagai bekalan penting seorang pendakwah. “Jadikan usrah serta program tarbiyyah sebagai KPI utama dalam menilai prestasi ABIM secara keseluruhannya”, saran Ustaz Arshad Taib. Menyingkapi fenomena-fenomena dakwah semasa yang membayangi perkembangan ABIM, Tuan Haji Mukhtar Ramli menyakinkan generasi baru penggerak ABIM bahawa mereka seharusnya merasa bersyukur kerana memilih untuk bersama dengan gerakan ini (ABIM). Dengan teras gerakan yang mantap serta kukuh, ABIM terbukti berjaya mengatasi pelbagai cabaran persekitaran. Tarbiyyah serta latihan yang dikemukakan ABIM terbukti membantu para penggeraknya melepasi pelbagai cabaran serta rintangan yang dihadapi dalam hidup mereka”, ujar beliau sambil mengaitkannya dengan pengalaman para penggerak awal ABIM.
__________________________________________________________

27 Mei 2012.
Seterusnya, pada 27 Mei 2012, Ijtima’ Harakiyy dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh wakil PEPIAS, sebelum disusuli dengan nyanyian penuh semangat nasyid Asmaul Husna, lagu rasmi PEPIAS dan lagu rasmi ABIM. 
_______________________________________________
 
Tuan Haji Yusuf, Timbalan Pengerusi WADAH Selangor.
Tuan Haji Yusuf, Timbalan Pengerusi WADAH Selangor, dalam ucapannya, menegaskan bahawa ABIM akan terus relevan meski siapa pun yang memerintah negara kita. Hal ini demikian kerana, Peperangan Uhud dan Badar mendidik kita bahawa jumlah dan angka bukanlah segala-galanya. Uhud, sebagai pengajaran dan tarbiyyah terbaik untuk kita renungi bersama, menurut Haji Yusuf, agar kita tidak terlalu selesa dengan pencapaian dan kegemilangan silam mahupun hari ini, kerana bila ada masanya kita dijulang, pasti ada masanya ada usaha untuk menjatuhkan. Uhud juga, tegas beliau, mendidik kita agar mematuhi arahan pucuk pimpinan, tatkala kita menginsafi bahawa harta dan wang ringgit itu adalah ujian yang sangat besar. Justeru, Haji Yusuf menekankan bahawa usia pencen dan jangka hayat dalam berdakwah adalah panjang, yang mana penghujungnya hanyalah maut.
_________________________________________________


Presiden PEPIAS sesi 2011-2012, Saudara Mohd Zulhelmi Abdullah.
Selanjutnya, Presiden PEPIAS sesi 2011-2012, Saudara Mohd Zulhelmi Abdullah, dalam Ucapan Dasarnya, menyentuh bagaimana media baru seperti Facebook, Twitter dan Blog bisa mencambah benih aktiviti provokatif dan perjuangan bermusim, jika fungsinya tidak diladeni dengan baik dan betul. Saudara Zulhelmi juga menegaskan bahawa pembentukan ‘rijal’ iaitu generasi Muslim bertaqwa dan tangkas, bukanlah satu pilihan, tetapi satu kemestian. PEPIAS juga menyuarakan pendirian selari dengan ABIM Selangor dan Pusat dalam hal bantahan penangguhan J-QAF. PEPIAS juga menyeru agar bantuan yang lebih dapat diberikan kepada KAFA bagi menambahbaik institusi tersebut. Beliau mengakhiri ucapannya yang bertajuk “Mengutamakan Jihad Ta’limi Generasi” dengan menggesa agar generasi muda tidak bertangguh-tangguh lagi dalam hal perjuangan, demi menegakkan Islam ke martabat yang sepatutnya.
__________________________________________________________
Yang Dipertua ABIM Negeri Selangor, Cikgu Khairudin bin Abas.
Di dalam Ucapan Dasarnya bertajuk “Menyebar Dakwah, Menyantuni Ummah”, Cikgu Khairudin menyatakan bahawa Ijtima’ Harakiyy adalah satu manifestasi keberadaan jemaah WADAH-ABIM-PEPIAS (WAP). Tradisi berkumpul dan bertukar-tukar pendapat ini, menurut beliau, sudah diamalkan sejak sekian lama, bersesuaian dengan dinamika sesebuah gerakan yang bergantung kepada sifat kepelbagaian . Beliau juga menegaskan bahawa langkah perjuangan perlu disusun, dan setiap anggota WAP perlu berani ke hadapan bagi menongkah arus kedurjanaan politik dan ekonomi masa kini. Hal ini adalah bersesuaian dengan seruan Al-Fadhil Syeikh Dr Yusuf Qardhawi, yang senantiasa mempromosikan gerakan Islam yang merakyat. Tindakan ini penting, menurut Cikgu Khairudin, bagi mengembalikan misi untuk menjadikan ABIM sebagai jurubicara ummah. Maka, Briged Bakti ABIM hendaklah diperkasakan bagi menyantuni ummah dengan pendekatan yang lebih baik. Cikgu Khairudin menarik minat para muktamirin dan muktamirat apabila memetik puisi nukilan mantan Presiden ABIM, Tuan Haji Azam Abd Rahman bertajuk “Puisi untuk Kakanda”. Antara rangkap yang mengesankan ialah: “Terbanglah kerana maruah dan harga diri; Kerana kesucian dan ketaqwaan hati; Akan menghantarmu ke mana-mana yang kau ingini.”    
__________________________________________________
Setiausaha Agung ABIM Pusat, Saudara Mohamad Raimi Ab Rahim.
Setiausaha Agung ABIM Pusat, Saudara Mohamad Raimi Ab Rahim, dalam ucaptamanya sempena merasmikan Ijtima’ tersebut, menyatakan bahawa para aktivis ABIM seharusnya merasa bertuah kerana memilih untuk bersama ABIM. Tambah beliau, “Berlainan dengan pertubuhan-pertubuhan belia yang lain, ABIM telah membuktikan peranannya dalam menegakkan teras keislaman di negara ini di samping menjunjung aspirasi serta harapan semasa umat serta golongan belia di negara ini.” Selanjutnya beliau mengimbau penghargaan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak terutama sekali ahli akademik serta pengkaji dalam dan luar negara terhadap peranan yang dimainkan ABIM sepanjang 40 tahun penubuhannya, terhadap perkembangan Islam di negara ini. Beliau menamatkan ucapannya dengan merakamkan penghargaan kepada para pengasas ABIM Selangor di atas legasi dakwah yang diwariskan untuk generasi kini di samping menyeru para pemimpin pelapis pada masa kini untuk meneladani hikmah serta kekuatan mereka (para pengasas serta generasi awal) dalam mengembangkan dakwah di Negeri Selangor.
___________________________________________________
Ucapan Penggulungan Ijtima’ Harakiyy kali Pertama.
Cikgu Khairudin Abas, di dalam ucapan penggulungannya, menegaskan bahawa ABIM bukanlah persatuan ‘tin kosong’. Maka, beliau menyeru agar kesemua muktamirin dan muktamirat hadir dan pulang daripada Ijtima’ kali ini dengan ilmu dan tanggungjawab. Beliau juga menasihati anggota jemaah agar menjaga silaturrahim dan ukhwah sesama kita. Contoh paling kecil, apalah kiranya pesanan ringkas (‘sms’) yang dihantar berkenaan jemputan atau perjalanan program ABIM, dibalas oleh penerimanya, waimah dengan jawapan seringkas satu huruf ‘K’ (okay/baiklah). Tuntasnya, sesibuk manapun kita, ujar beliau, kita seharusnya mencari jalan dan bukannya alasan. Beliau juga memetik kata-kata hikmah sahabat beliau, Saudara Zamani Mohd Karulani– YDP ABIM Gombak yang mesra dengan panggilan ‘Wak Jam’ – berkenaan hal perjuangan: “Kalau bukan sekarang, bila lagi? Kalau bukan kita, siapa lagi?” 
_____________________________________________
Sekilas: Ijtima’ Harakiyy WAP Selangor kali Pertama (i):
Pada majlis kali ini, saya berpeluang memiliki karya besar Almarhum Pak Natsir, “Fiqhud Da’wah”. Dijual pada harga RM20, saya difahamkan bahawa buku ini pernah menjadi rujukan dan perbincangan setiap kali usrah ABIM dalam tahun 80an.
___________________________________________________
Sekilas: Ijtima’ Harakiyy WAP Selangor kali Pertama (ii):
Selaku pembentang usul ABIM Daerah Kuala Langat, saya berpeluang berucap dalam Muktamar ABIM Negeri Selangor kali ini. ABIM Kuala Langat hadir bersama usul “Bersatu Memberdayakan Modul Tarbiyyah Model Uhud.” Muktamar ABIM juga dihidupkan dengan pantun, bidalan dan gurindam indah yang dinukilkan Pengerusi Tetap Muktamar ABIM Selangor, Tuan Haji Razef.  
_________________________________________________________

Sekilas: Ijtima’ Harakiyy WAP Selangor kali Pertama (iii):
Mentor saya, Cikgu Khairuddin Abbas (saya memanggilnya dengan gelaran ‘Sir Din’), telah mengekalkan kerusi Yang Dipertua ABIM Negeri Selangor dalam Muktamar ABIM kali ini. Sewaktu saya bersekolah menengah dulu, selain menjawat kerusi Ketua Guru Disiplin, Sir Din  mengajar saya mata pelajaran bahasa Inggeris dan Perdagangan. Selamat Hari Guru, Sir. Terima kasih atas segala ilmu dan nasihat.
_________________________________________________________
Sekilas: Ijtima’ Harakiyy WAP Selangor kali Pertama (iv):
PEPIAS Daerah Kuala Langat membawa kontinjen terbesar ke perhimpunan kali ini. Dua buah bas telah disewa untuk membawa sahabat-sahabat PEPIAS Kuala Langat. Kemeriahan ukhwah dalam perjuangan ini menjadi tambah manis, bilamana diniatkan semata-mata kerana ALLAH SWT. Alhamdulillah. Khalas.

***
Sumber:
  1. http://abimselangor.blogspot.com/
  2. http://www.facebook.com/PepiasPhotography; dan
  3. http://www.abim.org.my/.
***

Khamis, Mei 24, 2012

Seminar Etika Kewartawanan dan Masa Depan Media Arus Perdana .


Seminar Etika Kewartawanan dan Masa Depan Media Arus Perdana. 

Pada 19-05-2012 bersamaan 27 Jamadilakhir 1433H), hari Sabtu, satu majlis ilmu telah dianjurkan di bertempat di Dewan Besar, Kompleks Dar Al-Hikmah, Kampung Sungai Ramal Dalam, Kajang. Seminar bertajuk ‘Dialog Tiga Generasi: Seminar Etika Kewartawanan dan Masa Depan Media Arus Perdana’ ini dianjurkan secara bersama oleh  Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Kumpulan Prihatin, Yayasan Penataran Ilmu, Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) dan Persatuan Kebangsaaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Seminar telah dipengerusikan oleh Saudara Mohd Khairul Anwar Ismail, Pengerusi Grup Peguam ABIM, manakala moderatornya ialah Profesor Madya Shaharuddin Badaruddin, pemimpin WADAH. Para panelis iaitu Datuk Abdul Jalil Ali, Fathi Aris Omar serta Ahmad Lutfi Othman telah mengetengahkan pelbagai sisi berbeza berhubung etika kewartawanan di negara ini. Antara sisi tersebut ialah hakikat bahawa para pengamal media terikat dengan situasi persaingan di antara mereka yang dibayangi kekangan komersial mahupun politik.

Ucapan Dato’ Dr Siddiq Fadzil.

Seminar dibuka dengan ucapan alu-aluan Dato’ Dr Siddiq Fadzil (selepas ini dirujuk sebagai “Ustaz Siddiq”), mantan Presiden ABIM. Beliau menegaskan peri penting para pengamal media memainkan peranan selaku agen untuk mengembangkan fikrah masyarakat tanpa memenuhi tekanan untuk mewujudkan ‘culture of fears’ dalam kalangan masyarakat. ‘Budaya takut’ ini, ujar Ustaz Siddiq, akan melahirkan budaya yang pincang dan tidak telus. Akhirnya, terjadilah situasi di mana ‘mengangguk bererti tidak dan menggeleng bererti ya (setuju)’. Ustaz Siddiq juga memetik sebuah karya besar bertajuk ‘Sajak surat Dari Masyarakat Burung kepada Datuk Bandar’. Sajak karya Alhmarhum SN Usman Awang yang menyentuh tentang kematian sifat kemanusiaan, maruah, alam sekitar dan protes. Sajak yang penuh dengan humor dan sinis ini mengisahkan cerita burung gagak yang sibuk menguruskan kematian sanak-keluarganya yang sekian banyak mati ditembak manusia. Juga, burung merbuk yang tidak bebas berterbangan di Padang Merbuk. Dan, burung pipit dan punai yang marah bilamana keturunan keduanya dikaitkan dengan perkara lucah dan kotor. Tambah Ustaz Siddiq lagi, kebebasan bersuara memang  suatu hak kemanusiaan yang harus dijamin dan diperjuangkan. Tetapi kebebasan memang tidak pernah mutlak. Kebebasan selamanya dibatasi  tanggungjawab. Kerana itu persoalan kebebasan selalu terkait  dengan isu ‘freedom of what’ dan ‘freedom for what’. Dalam konteks media, jelas Ustaz Siddiq, kebebasan bersuara terikat dengan ‘tanggungjawab  berkata benar’.

Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abdul Jalil Ali.

Datuk Abdul Jalil membuka gelanggang seminar dengan mengimbau sejarah awal beliau bertugas selaku wartawan Utusan Melayu yang diletakkan di bahagian Jawi. Hal ini menjadi menarik, kerana menurut beliau, ketika itu beliau tidak tahu menulis mahupun membaca Jawi. Datuk Abdul Jalil juga menegaskan bahawa akhbar Sinar Harian tidak mempunyai ikatan politik (political affiliation) dengan mana-mana partai siasah. Namun, itu tidak menghalang orang ramai daripada mempunyai persepsi yang ‘bias’ terhadap akhbar tersebut. Terdapat pihak yang menuduh bahawa Sinar Harian adalah pro-UMNO, tatkala sesetengah yang lain menghukumnya sebagai pro-PAS atau PKR. Maka, tidak hairanlah, menurut Datuk Abdul Jalil, bilamana Tan Sri Anuar Musa pernah bergurau dengan beliau dengan berkata, “Demo surat khobar PAS” manakala Al-Ustaz Nik Aziz pula menyatakan, “Ha... awok ni surat khobar UMNO.” Asas etika kewartawanan, menurut Datuk Abdul Jalil, ialah ‘menyampaikan berita berdasarkan fakta yang benar daripada sumber yang boleh dipercayai.’ Namun, masalah yang terpaksa dihad api oleh akhbar tanah air masa kini ialah, kebanyakannya dikuasai oleh partai politik. Pemilik akhbarlah – dan bukan wartawan – yang mempunyai kuasa untuk menentukan berita apa yang akan disiarkan oleh akhbar tersebut. Datuk Abdul Jalil yang seangkatan dengan Haji Subky Latiff terus menambah bahawa akhbar juga terikat dengan tuntutan perniagaan dan pengiklanan. Kendatipun, beliau menggesa agar tanggungjawab sosial mestilah dipenuhi oleh semua warga media bagi memastikan ‘perlumbaan memperagakan berita yang tidak patut disiarkan’ dapat dicegah dan dikawal. Datuk Abdul Jalil juga menyatakan bahawa kebebasan akhbar itu tidak akan ada, meski partai mana pun yang memerintah. Maka, ia mesti diperjuangkan sampai bila-bila.

Ketua Pengarang Malaysiakini, Saudara Fathi Aris Omar.

Saudara Fathi Aris Omar mengangkat laman sesawang dan media sosial seperti Facebook, Twitter, Youtube dan Blog sebagai angkatan ‘media baru’. Malahan, beliau menyatakan bahawa ‘Malaysiakini’ sendiri bersifat konvensional, kerana tidak mampu mengatasi kepantasan maklumat yang disampaikan media tersebut. Magnet Facebook dan tarikan Blog, membawa bersamanya pengaruh dan pendedahan baru kepada pembaca. Sewaktu media perdana gagal memainkan peranannya, media baru, menurut Saudara Fathi, mengisi ruang tersebut. Selanjutnya, beliau menyeru agar percubaan mewujudkan ‘evolusi kemusnahan’ dipatahkan dalam dunia kewartawanan bagi mengelakkan masyarakat bobrok terbentuk.

Ketua Pengarang HarakahAhmad Lutfi Othman.

Saudara Ahmad Lutfi mencadangkan agar media/akhbar dijadikan ‘waqaf’ supaya ia dijaga dan dipelihara dengan penuh amanah (trust). Dalam pada itu, Saudara Ahmad Lutfi Othman menyuarakan kebimbangan terhadap kekurangan para penulis berbakat yang mampu menjadi agen perkembangan fikrah masyarakat. “Keadaan ini berlaku akibat emosi politik yang bersifat partisan keterlaluan. Para penulis perlu mengemukakan karya mereka secara ilmiah tanpa dibayangi unsur-unsur emosi serta politik,” jelas beliau yang berpengalaman luas dalam bidang penulisan politik. 

Pendirian ABIM.

Dalam sidang media yang dianjurkan sejurus seminar itu berlangsung, Presiden ABIM, Saudara Haji Amidi Abdul Manan mendesak agar pengamal media menjunjung tinggi etika kewartawanan di samping peka terhadap sensitiviti serta kegelisahan di kalangan masyarakat berkenaan dengan tersebarnya unsur-unsur negatif menerusi media akibat keengganan menghayati etika kewartawanan yang ditetapkan. 

Khatimah.
Antara kenangan manis sewaktu seminar di KDH ini ialah, saya dapat bertemu secara sua-muka dengan sahabat saya di Facebook, Cikgu Mohd Isa Abd Razak. Beliau yang aktif memperjuangkan bahasa dan sastera Melayu, juga sempat membeli novel Wajah Hati Redha karangan saya. Alhamdulillah. Khalas.

****
Sumber:
  1. http://abim.org.my/component/content/article/28-memorandum/461-memorandum-mengenai-nilai-etika-kewartawanan-dalam-laporan-media-kes-jenayah-seksual.html;
  2. http://www.abim.org.my/component/content/article/11-beritautama/664-media-massa-dan-masalah-etika.html;
  3. http://www.abim.org.my/component/content/article/29-siaran-media/651-abim-akan-anjur-seminar-media-arus-perdana-dan-etika-kewartawanan-19-mei-2012.html; dan
  4. http://jomtenet.com/blog/seminar-media-arus-perdana-dan-etika-kewartawanan.
****
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...