Isnin, Mei 21, 2012

Ijtima’ Harakiyy PEPIAS-ABIM-WADAH Kuala Langat 2012.


Ijtima’ Harakiyy (Perhimpunan Bersama Gerakan) PEPIAS-ABIM-WADAH Daerah Kuala Langat.
Alhamdulillah, pada 19-05-2012, Ijtima’ Harakiyy (Perhimpunan Bersama Gerakan) PEPIAS-ABIM-WADAH Kuala Langat dan sambutan Hari Guru Taski ABIM 2012 telah dianjurkan di Masjid Bukit Changgang, Kuala Langat, Selangor. Ijitima’ Harakiyy Kuala Langat ini dijalankan untuk kali yang kedua. Sementelahan, Muktamar ABIM Kuala Langat telah dianjurkan buat kali ke-30. Majlis dipengerusikan oleh Saudara Anas bin Jaafar, yang kini menjawat jawatan Timbalan Yang Dipertua ABIM Daerah Kuala Langat; dan dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh pemimpin PEPIAS Kuala Langat, Saudara Muslim Hashim.
______________________________________
Cikgu Radin Mohd Imaduddin.
Antara agenda program ialah ucapan YDP ABIM Kuala Langat, Cikgu Radin Mohd Imaduddin. Beliau juga mengucapkan sekalung perhargaan kepada warga pendidik Taski ABIM Kuala Langat. Beliau menyentuh beberapa isi penting di dalam ucapan dasarnya. Antaranya ialah berkenaan pemberdayaan lima komponen utama dalam pendidikan iaitu Sosial; Insaniah; Kognitif; Afektif dan Psikomotor. Ringkasnya; SIKAP. Hal ini, ujar beliau, adalah asasi bagi memastikan kemenjadian seseorang anak didik. Seterusnya, beliau juga menekankan peri-pentingnya generasi belia memperkasakan diri mereka dengan kesiapsiagaan ilmu dan kemahiran. Hal ini penting untuk membentuk jatidiri dan sakhsiah jiwa yang unggul.
_____________________________________
Cikgu Khairuddin bin Abbas.
Majlis diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Yang Dipertua ABIM Negeri Selangor, Cikgu Khairuddin bin Abbas. Cikgu Khairuddin mengupas beberapa isu utama seperti isu; semasa, pendidikan, ekonomi dan sosial. Beliau menekankan betapa pentingnya didikan yang disampaikan oleh guru di sekolah, disambut dan disambung oleh ibu bapa di rumah. Beliau juga menekankan betapa Generasi-Y seharusnya disantuni dan dididik dengan seberapa banyak nilai dan adab. Generasi muda masa kini, tidak lagi sama dengan generasi terdahulu. Maka, pendekatan yang digunakan perlulah lebih baik dan progresif. Hal ini demikian, bagi mengelakkan generasi ‘high-tech’ ini kekurangan ‘high-touch’, iaitu sentuhan sayang kasih dan perhatian daripada ahli keluarga. Maka, pendidikan dan asuhan Islami adalah kaedah terbaik, memandangkan Islam sebagai agama yang syumul; menganjurkan agar anak-anak disantuni dengan nilai pendidikan yang bermanfaat dan berkesan. Selanjutnya, beliau merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua guru-guru Taski ABIM Kuala Langat yang telah banyak menyumbang jasa dan pengorbanan demi mendidik anak murid mereka.
________________________________________
Hanyut dipintasi, lulus diselami dan hilang dicari.
Selain itu, antara yang dibentangkan ialah Laporan Kewangan Tahunan ABIM Kuala Langat, Minit Mesyuarat Muktamar ABIM Kuala Langat 2011/2012, dan usul ABIM Kuala Langat yang akan dibawa ke Muktamar ABIM Negeri Selangor pada 27-05-2012 ini. Sekadar berkongsi, antara aktiviti yang dianjurkan ABIM Kuala Langat ialah penyerahan beras dan barangan dapur kepada warga asnaf di sekitar kawasan Kampung Batu Laut dan Kampung Sungai Kelambu. Kempen yang dinamakan Kempen Seorang Sekampit Beras ini, telah mendapat sambutan yang baik dan menggalakkan daripada para penderma dan penerima sumbangan. Selain itu, Kembara Remaja Nafas Baru iaitu aktiviti konvoi berbasikal telah dijalankan sebanyak 13 kali sejak 2011. Program ini turut mendapat sokongan daripada Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia, dianjurkan untuk mempromosikan budaya hidup sihat di kalangan remaja di samping penerapan serta pembinaan sahsiah peribadi yang positif. Selain berbasikal ke beberapa daerah di negeri Selangor, para peserta juga berpeluang mengikuti modul-modul kerohanian seperti solat berjemaah serta membaca Al-Quran secara beramai-ramai, modul pemantapan sahsiah menerusi aktiviti khidmat masyarakat serta latihan team buildingMalahan, penyertaan Jambori Mountain Bicycle (MTB) Kuala Langat telah mencatat sejarah apabila disertai kurang lebih 1,100 orang peserta yang terdiri daripada kalangan berbilang kaum, agama dan lapisan usia. Jambori tersebut telah diungguli oleh Saudara Anuar Manan, jaguh lumba basikal lebuhraya negara.
_______________________________
Akhir kalam.
Selain perlantikan barisan pucuk kepimpinan yang baru, Ijtima’ kali ini turut diserikan dengan ucapan wakil WADAH, iaitu Saudara Samad, seorang aktivis ABIM yang sangat berjasa dan ucapan wakil PEPIAS serta wakil Guru-Guru Taski ABIM Kuala Langat. Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada  guru-guru Taski ABIM Kuala Langat dan jamuan tengah hari, sebelum para peserta bersiap menunaikan solat Zohor. Alhamdulillah.

****
Nota kaki:
ABIM = Angkatan Belia Islam Malaysia;
PEPIAS = Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan; dan 
WADAH = Wadah Pencerdasan Umat Malaysia. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...