Isnin, Jun 27, 2011

Bruce Lee dan Kaedah Tumbukan Pintasan: Satu Legasi.


“Sekiranya saya mati esok hari, ia tidak akan memberi apa-apa kesakitan kepada saya. Saya telah melakukan semua yang ingin saya lakukan: seseorang manusia tidak boleh mengharapkan sesuatu yang lebih daripada itu dalam kehidupannya.” – Bruce Lee.



Latar Belakang
Bruce Jun Fan Lee ( lahir 27 November 1940 di San Francisco dan meninggal dunia pada 20 Julai 1973 di Hong Kong ) adalah pengamal seni bela diri, pelakon, pengarah filem, penerbit filem, penulis lakon layar, dan pengasas konsep Jeet Kune Do Amerika-Cina yang telah dianggap secara meluas sebagai pengamal seni bela diri yang paling masyhur dan terpengaruh pada abad ke-20, serta pengamal seni bela diri yang terutama dalam sejarah, dan satu ikon kebudayaan.

Lee dilahirkan di San Francisco, California kepada ibu bapa berketurunan Hong Kong tetapi dibesarkan di Hong Kong sehingga lewat remajanya.

Apabila sampai umur 18, Lee berhijrah ke Amerika Syarikat untuk menuntut kewarganegaraan Amerika Syarikat( A.S. )nya dan menerima pendidikan tingginya.

Semasa inilah beliau mula mengajar seni mempertahankan diri, yang tidak lama kemudian membawa kepada dunia perfileman dan watak-watak di kaca televisyen.

Filem-filem Lee, khususnya lakonan beliau dalam filem ‘Enter the Dragon’ yang diterbitkan oleh Hollywood, menaikkan taraf filem-filem seni bela diri tradisional Hong Kong ke tahap yang baru, dan membangkitkan minat seluruh dunia terhadap seni ini.


Bruce Lee membuat penampilan sulung di Hollywood menerusi watak ‘kato’ dalam Filem ‘The Green Hornet’ yang diangkat daripada siri komik dan TV yang popular lewat tahun 60-an (1966-1967). Watak utama siri ‘The Green Hornet’ juga pernah muncul dalam siri TV Batman.

Usaha-usaha perintisnya telah membuka jalan kepada para bakal pengamal seni bela diri dan pelakon lagak ngeri seperti Jackie Chan, Jet Li, serta Chuck Norris, dan membawa filem-filem dan pelakon-pelakon bela diri ke arus perdana.

Arah dan nada filem-filemnya berubah dan mempegaruhi pencak dan filem-filem pencak di Hong Kong dan seluruh dunia. Beliau terkenal kerana wataknya dalam lima buah filem: ‘The Big Boss’(1971) dan ‘Fist Fury Lo Wei’ (1972); ‘Way of the Dragon’ (1972), diarah dan ditulis oleh Bruce Lee; ‘Enter the Dragon’, Warner Brothers (1973) arahan Robert Clouse, dan ‘The Game of Death’ (1978).

Lee menjadi satu ikon dikenali di seluruh dunia dan kekal popular antara orang Asia dan khususnya orang Cina, kerana beliau menggambarkan fahaman kebangsaan Cina melalui filem-filemnya.


Kaedah Tumbukan Pintasan
Asalnya, Bruce Lee memilih seni bela diri ‘Wing Chun’ ( juga disebut Ving Tsun ), sebuah tradisi purba yang dibangunkan sewaktu Dinasti Qing, yang memerintah China dari Kurun ke-17 sehingga awal Kurun ke-20.

Sedangkan Lee pada mulanya terlatih dalam ‘Wing Chun’, beliau kemudiannya menolak gaya seni bela diri ‘takrifan-jelas’, sebaliknya memilih untuk menggunakan teknik-teknik berguna daripada berbagai-bagai sumber dalam semangat falsafah pencak peribadinya yang beliau gelarkan sebagai ‘Jeet Kune Do’ (Kaedah Tumbukan Pintasan).

Ramai individu yang memperlihatkan Lee sebagai contoh untuk memperoleh badan yang kuat dan cekap, serta untuk menguasai seni mempertahankan diri dan kemahiran dalam pertarungan tanpa senjata.

Bruce Lee mula membangunkan seni ‘Jeet Kune Do’ selepas merasa tidak berpuas hati dengan batasan serta peraturan ketat yang banyak terdapat dalam teknik pertarungan tradisional. Beliau menggambarkan seni tradisi tersebut sebagai ‘terlalu ketat untuk pertarungan sebenar.’

Lee mencipta sistem pertarungan sendiri yang digelarkan Jeet Kune Do. Penilaiannya terhadap doktrin-doktrin seni mempertahankan diri tradisional kini telah diperlihatkan sebagai salah-satu langkah sulung dalam mempopularkan seni mempertahankan diri campuran gaya moden.



Kematian mengejut Bruce Lee

Berikut adalah antara keadaan kesihatan dan fizikal beliau tidak lama sebelum menemui ajal:

1. Kemungkinan besar, kematian beliau adalah disebabkan oleh tahap sensitiviti yang terlalu tinggi terhadap bahan-bahan yang terkandung dalam ‘Equagesic’, ‘Doloxene’ dan ‘Dilantin’ yang boleh ditemui di dalam ubat penahan sakit ( pain killers ). Beliau menggunakan ubat ‘Doloxene’ selepas mengalami kecederaan belakang dalam satu latihan pada 1970;

2. Beliau senantiasa berada dalam keadaan tertekan kerana mahu melakukan semuanya sendirian: beliau mahu kesempurnaan dalam lakonan, pengarahan, penulisan skrip dan koreografi dalam masa yang sama;

3. Beliau hanya mempunyai 1% jumlah lemak badan;

4. Beliau kehilangan berat badan secara drastik: penurunan 70 kg kepada 60 kg;

5. Individu-individu yang menemui Bruce Lee pada minggu-minggu akhir hayatnya mengakui bahawa beliau kelihatan sakit. Beliau didakwa kelihatan sangat kurus, sangat bingung dan keliru, sangat pelupa, paranoid dan sangat tertekan;

6. Bruce Lee pernah jatuh pengsan secara tiba-tiba dan bangun semula sepantas kilat. Beliau dikatakan terlibat dengan penyalahgunaan hashish, iaitu sejenis dadah. Para doktor mengesyaki bahawa Bruce Lee mempunyai alahan terhadap hashish;

7. Sewaktu bedah siasat dijalankan, doktor menemui marijuana dalam sistem badan Bruce Lee;

8. Sewaktu menziarahi teman wanitanya, Betti Ting-Pei ( pelakon wanita terkenal Taiwan yang dilahirkan di Beijing ), Bruce Lee mengadu bahawa beliau mengalami sakit kepala dan mengambil ubat penahan sakit yang diberikan oleh Betti. Beliau ditemui mati tidak berapa lama kemudian. Bagaimanapun, Betti menafikan bahawa beliau sengaja membunuh Bruce Lee;

9. Siasatan rasmi menunjukkan bahawa Bruce Lee meninggal akibat mengalami ‘cerebral edema’ ( tisu otak yang membengkak ).


Bruce Lee dan Konspirasi teori
Selain laporan rasmi yang menyatakan bahawa beliau mati kerana mengalami ‘celebral edema’, terdapat beberapa teori mengenai sebab kematian Bruce Lee seperti :-

i. Bruce Lee telah dibunuh oleh Kumpulan Samseng Cina kerana terlalu banyak mendedahkan rahsia Kung-Fu ( beliau didakwa diracun, dipukul sehingga mati, malah ada yang mendakwa bahawa beliau disumpah/disihir dan sebagainya );

ii. Bruce Lee dibunuh oleh masyarakat pengamal Kung-Fu Cina;

iii. Penyalahgunaan dadah;

iv. Pertarungan jalanan dengan pengamal seni bela diri yang menyebabkannya mengalami kecederaan teruk;

v. Beliau didakwa tidak mati, sebagaimana dalam filem yang dibintanginya, “Game of Death”;

vi. Dibunuh oleh rakannya; dan

vii. Satu sumpahan keluarga.


Anugerah
Antara anugerah yang diterima oleh Bruce Lee ialah:
1. Dimahkotakan sebagai Juara Kejohanan Cha-Cha Hong Kong pada 1958;

2. Dianugerahkan “Bintang” di atas ‘Hollywood Walk of Fame’ pada 1993;

3. Disenaraikan sebagai antara ‘100 Manusia Paling Penting Abad ini’ oleh Majalah TIME pada 1999;

4. Sebuah patung gangsa yang dinamakan ‘Bintang Abad Ini: Bruce Lee’ didirikan
di Avenue of the Stars, Hong Kong pada 2005;

5. Kerajaan China mengeluarkan setem kenangan dengan gambar Bruce Lee bagi menandakan sambutan 100 tahun industri perfileman China pada 2005.


Satu lagi kehilangan tragis
Pelakon dan ahli seni bela diri yang terkenal, Brandon Lee, yang merupakan anak lelaki kepada Bruce Lee, meninggal dunia di Wilmington, Carolina Utara, Amerika Syarikat pada 31 Mac 1993.

Beliau meninggal dunia selepas ditembak di bahagian perut sewaktu sedang menjalani pengambaran filem ‘The Crow.’ Laporan rasmi menyatakan bahawa terdapat kesilapan sewaktu mengisi serbuk peluru dalam peluru kosong yang digunakan dalam filem tersebut.

Sebagaimana ayahnya yang meninggal dunia sewaktu berusia 32 tahun pada 1972, Brandon mati sewaktu hanya berusia 28 tahun. Brandon Lee dilahirkan pada 1 Februari 1965 di Oakland, California.

Mendiang Brandon telah disemadikan bersebelahan kubur Bruce Lee di Seattle, Amerika Syarikat pada 3 April, 1993.


Khatimah
Sesungguhnya, Bruce Lee merupakan Ahli Seni Bela Diri yang paling terkenal dalam Abad ke-20. Bentuk fizikalnya yang hebat dan kemampuannya menguasai seni bela diri sememangnya membawa kepada lonjakan populariti beliau.

Bruce Lee hanya membintangi lima buah filem tetapi kesannya ke atas masyarakat dunia digambarkan sebagai memercikkan minat yang mendalam dalam kalangan warga sarwajagat untuk mempelajari seni mempertahankan diri Cina.

Memetik kata-kata balu Bruce Lee, Linda Lee, “Selama ini, ramai pihak yang masih tertanya-tanya bagaimana beliau ( Bruce Lee ) meninggal dunia. Saya memilih untuk mengingati bagaimana beliau hidup.” Khalas.

Salam. :)

Ahad, Jun 19, 2011

Ayah Chik: Presiden PAS.


Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang ( selepas ini dirujuk sebagai Ustaz Hadi ) dilahirkan pada 6 Zulhijjah 1366 Hijrah bersamaan 20 Oktober 1947 di Kampung Rusila, Marang, Terengganu dan merupakan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan mantan Menteri Besar Terengganu.

_______________________________________________________

Kehidupan awal
Ustaz Hadi merupakan anak kelima daripada 9 orang adik beradik tetapi 4 daripadanya telah meninggal dunia. Ayahnya, Hj. Awang Mohamad bin Abd Rahman adalah seorang guru agama dan imam di Masjid Rusila, Marang, Terengganu. Manakala ibu beliau ialah Hajjah Aminah Yusuf. Kedua-duanya telah meninggal dunia. Ayah dan ibu beliau merupakan anak jati di Kampung Rusila tempat Ustaz Hadi tinggal sekarang.

_______________________________________________________

Keluarga
Ustaz Hadi telah mendirikan rumahtangga dengan dua orang isteri iaitu Puan Hajah Zainab Awang Ngah (pada tahun 1976) dan Dr. Norzita Taat (pada tahun 1991, berasal dari Negeri Sembilan). Hasil perkahwinan beliau dengan kedua-dua isterinya telah dikurniakan 14 orang zuriat iaitu 11 dari isteri pertama dan 3 dari isteri kedua.

_______________________________________________________

 
Masjid Rusila, Marang
Selain Maahad Darul Anwar (Kelantan), Kolej Islam Darul Ulum (Kedah) dan Ibu Pejabat PAS Taman Melewar (Gombak), Masjid Rusila (Terengganu) merupakan antara ikon yang sering diikat-rapatkan sebagai mercu tanda parti PAS. Masjid Rusila yang mempunyai empat tingkat ini terletak bersebelahan dengan rumah Ustaz Hadi. Di Masjid Rusila juga terletaknya Maahad Darul Quran. Antara kuliyyah yang diterajui oleh Ustaz Hadi ialah Kuliyyah Tafsir, Riyadus Solihin dan Akidah. Perkarangan masjid juga dijadikan sebagai pusat kegiatan ekonomi terutamanya pada hari Jumaat.

_______________________________________________________


Ustaz Khalil Hadi
Pemilihan kepimpinan dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-52 menyaksikan anak lelaki Ustaz Hadi Awang, Khalil Abd Hadi dipilih menganggotai Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Dewan Pemuda PAS Pusat bagi sesi 2011 - 2013. Selain anak Ustaz Hadi, anak Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS, Ustaz Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Mohd Abduh telah dipilih sebagai timbalan ketua Dewan Pemuda PAS pusat yang baru dengan menewaskan tiga calon lain termasuk penyandangnya Azman Shapawi Abdul Rani.

_______________________________________________________



Pendidikan
Ustaz Hadi mendapat pendidikan awal dari ayahnya pada tahun 1955, seterusnya di Sekolah Rendah Rusila, tahun 1961. Beliau meneruskan pengajian di Sekolah Arab, Marang selama 5 tahun. Di samping itu, beliau belajar agama, bahasa Arab serta politik dari ayah sendiri iaitu Ustaz Haji Awang Muhamad. Dari tahun 1965 hingga 1968 beliau mendapat peluang melanjutkan pengajian di Sekolah Menengah Ugama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Kemudian, beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah dengan biasiswa dari Kerajaan Arab Saudi dari tahun 1969 - 1973, tamat dengan B.A. (Syariah). Seterusnya, beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar ke peringkat M.A. (Siasah Syariyyah) dan berjaya menamatkannya hanya dalam masa 2 tahun (1974 – 1975).

_______________________________________________________



Kenangan sewaktu Ustaz Hadi menjadi MB Terengganu.
Ustaz Nik Aziz, Ustaz Fadzil Noor dan Ustaz Hadi.
Politik
• Mula aktif sejak tahun 1964 iaitu semasa belajar lagi sebagai Setiausaha Ranting (sekarang cawangan) PAS kampung Rusila, Marang.

• Pada 1976, setelah tamat belajar dan pulang ke tanah air dilantik menjadi Ketua Pemuda PAS Terengganu serta EXCO Dewan Pemuda PAS Pusat.

• Pada tahun 1977, beliau dipilih menjadi Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan kemudiannya disahkan ke jawatan tersebut pada tahun 1980.

• Selepas “Peristiwa Penggulingan dan Marakbar Asri” iaitu sewaktu Muktamar PAS 1982 -- yang mengakhiri era “Parti Asri Sekeluarga” selama 30 tahun.

• Bekas Yang di-Pertua (Presiden) PAS, Datuk Asri Muda (Allahyarham) dikatakan sangat tersinggung dan menyerahkan sepucuk surat yang diumumkan oleh Ustaz Abu Bakar Omar.

• Surat itu menyatakan bahawa Datuk Asri mahu ‘mengembalikan mandat’ kepada muktamar (ahli perwakilan PAS) kerana terdapat satu ‘konspirasi’ untuk merendah-rendahkan kepimpinannya.

• Seramai 4 daripada 5 orang Ahli Parlimen PAS ketika itu menyokong Datuk Asri bersama pengikutnya (yang digelar “Kumpulan 13”). Keahlian Datuk Asri telah digantung pada 30 Januari1983 dan kemudiannya meletakkan jawatan pada 24 Februari, tahun yang sama.

• Kemudian, Datuk Asri menubuhkan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Parti HaMim) Malaysia yang akhirnya dibubarkan sebelum menyertai UMNO.

• Muktamar pada bulan Mei 1983 mengesahkan kepimpinan kumpulan “Turki Muda” atau “golongan ulamak” – iaitu Ustaz Yusof Rawa sebagai Presiden serta Ustaz Fadzil Mohd Noor sebagai Timbalannya.

• Pada tahun 1983, Ustaz Hadi Awang dan Ustaz Nakhaie Ahmad telah dilantik menjadi Naib Presiden PAS.

• Pada tahun 1989, dipilih menjadi Timbalan Presiden PAS setelah Dato; Fadzil Mohd Noor dipilih menjadi Presiden PAS.

• Berikutan Ustaz Fadzil kembali ke rahmatullah, beliau dilantik memangku jawatan Presiden PAS pada tahun 2003. Beliau menjadi Presiden PAS hingga sekarang selepas disahkan di dalam muktamar pada tahun 2005.

Untuk kupasan ringkas berkenaan biodata Ustaz Fadzil Noor, boleh rujuk pautan ini: Ustaz Fadzil Noor: Murabbi Dalam Kenangan.

_______________________________________________________


Pilihan raya
• Mula menyertai pilihan raya sebaik sahaja pulang ke tanah air pada tahun 1978 di DUN Marang dan kalah di tangan Tengku Zahid Musa dengan majoriti 68 undi;

• Bagaimanapun, pada pilihan raya 1982, beliau dapat mengalahkan Tengku Zahid dengan majoriti 320 undi. Beliau menang di DUN Marang tetapi kalah di Parlimen Dungun di tangan Haji Awang Jabar;

• Pada tahun 1986, beliau menang sekali lagi di DUN Rhu Rendang (nama baru DUN Marang selepas persempadanan semula) tetapi kalah di Parlimen Marang (di tangan Abdul Rahman Bakar) dengan majoriti yang tipis;

• Pada tahun 1990, menang di DUN Rhu Rendang dan Parlimen Marang. Begitu juga tahun 1995, menang di DUN Rhu Rendang dan Parlimen Marang;

• Selepas kemenangan PAS di Terengganu pada November, 1999, Ustaz Hadi Awang dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu sehingga Mac, 2004 di samping menjadi Ahli Parlimen Marang, sebelum dipertanggungjawabkan menjadi Ketua Pembangkang dari tahun 2003 hingga 2004.

_______________________________________________________



Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Ustaz Hadi Awang.
Sewaktu menjadi MB, Ustaz Hadi mempengerusikan Majlis Exco Terengganu.
Turut kelihatan, mantan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas.

MB Ganu Kite
Ustaz Hadi telah dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu dengan rasminya pada hari Selasa 22 Syaaban 1420 bersamaan 30 November 1999. Beliau dilantik menjadi Menteri Besar bagi menggantikan Dato’ Seri Wan Mokhtar Ahmad setelah PAS berjaya memenangi 28 dari 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu dalam pilihan raya ke-10.

_______________________________________________________

Ustaz Hadi sewaktu zaman gemilangnya sebagai pemidato utama PAS.
Amanat Haji Hadi Awang
Amanat Haji Hadi Awang” merujuk kepada suatu sedutan ceramah umum yang disampaikan oleh Ustaz Hadi di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981. Ucapan beliau telah dicetak dalam bentuk poster dan ditampal di dinding markas PAS sekitar tahun itu. Daripada bukti kertas putih mengenai Memali bertarikh 26 Februari 1986, Amanat Hadi telah dicetak dalam empat versi.

Pertama dalam tulisan jawi, dicetak oleh bahagian Penerangan PAS Kelantan untuk sebaran pilihan raya kecil Selising, Kelantan pada tahun 1983. Versi latar belakang hitam dengan tulisan rumi, dicetak oleh PAS Pusat dan dua versi lagi (rumi dan jawi) dicetak oleh Sekretariat Pemuda PAS Pusat. Versi latar belakang hitam dapat dilihat dalam rakaman video polis mengenai peristiwa Memali pada 19 November 1985.

Menjelang Pilihan Raya Umum Malaysia 1982, Ustaz Hadi Awang dilihat sebagai pemimpin pelapis parti PAS yang akan menerajui pucuk pimpinan PAS satu hari nanti. Ucapan ini selaras dengan buku yang ditulis oleh Said Hawa, antaranya berjudul “Jundullah Tsaqafatan wa Ahlaqan.” Pada Februari 1986, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bermesyuarat di Pekan, Pahang memutuskan amanat tersebut sebagai “bertentangan dengan Islam dan prinsip dakwah Islamiah”. Kebimbangan amanat tersebut memecah belah masyarakat Islam timbul lagi pada tahun 2001 dan satu perjumpaan dibuat di antara Ustaz Hadi dan Majlis Fatwa.

Untuk rekod, selepas Pilihan Raya Umum 2008, PAS (yang diterajui oleh Ustaz Hadi) dan DAP yang majoritinya masyarakat Cina dan belum Islam; serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama-sama mendirikan kerajaan di Perak dan Selangor setelah pakatan mereka berjaya menafikan majoriti mudah Barisan Nasional.

* Untuk sedikit penjelasan (menerusi sudut pandang berbeda) berkenaan Amanat Haji Hadi, para pembaca budiman bolehlah merujuk kepada dua entri ini: Isu kafir-mengkafir: Satu penjelasan dan ini: Amanat Haji Hadi.

_______________________________________________________


25 Disember 1986: MISG dan Debat terbesar dalam sejarah Malaysia
Selepas kemasukan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) ke dalam UMNO-BN, berlaku perpecahan yang besar dalam kalangan gerakan Islam Malaysia, sama ada di Malaysia mahupun di luar negara. DSAI yang pada asalnya diangkat sebagai ikon kepembangkangan Malaysia dan mahasiswa, akhirnya menyertai parti yang diselarnya sejak sekian lama (sewaktu bersama PBMUM-PKPIM-ABIM-MBM).

Perpecahan juga berlaku terhadap Malaysian Islamic Study Group (MISG) yang ditubuhkan pada tahun 1976 di Peoria, Illinois. Kemuncak kesediaan MISG untuk menerima rasionaliti tindakan DSAI menyertai UMNO ialah dengan menjemputnya ke Muktamar Sanawi ke-11 di Peoria, Illinois pada tahun 1986. Jemputan itu memberi peluang yang besar kepada DSAI, selaku Menteri Pendidikan, mempamerkan kebanggaan beliau atas “kejayaan-kejayaan” yang telah beliau capai selama kurang lebih 4 tahun berada dalam kerajaan UMNO-BN.

Forum “Masa Hadapan Islam di Malaysia” pada 25 Disember 1986 telah mempertemukan DSAI dan Ustaz Hadi Awang. Ini merupakan pertemuan pertama kedua-dua tokoh gerakan Islam itu sejak DSAI menyertai UMNO-BN pada 29 Mac 1982. Moderator forum tersebut ialah Abdul Rahim Ghouse. Meskipun dinamakan sebagai ‘forum’, acara tersebut dianggap sebagai perdebatan terhebat antara dua tokoh gerakan Islam terulung tanahair, DSAI (yang baru menyertai UMNO-BN) dan Ustaz Hadi Awang (yang mengkafirkan UMNO-BN).

Dekad 80an merupakan tempoh di mana PAS dan UMNO saling cabar-mencabar dalam menyatakan siapa yang lebih Islamik. Dekad ini digelar sebagai era ‘kafir-mengkafir’; di mana pemimpin PAS menyelar pemimpin UMNO sebagai kafir kerana menjalinkan kerjasama dengan partai bukan Islam. Turut menjadi penalis ketika itu ialah Ustaz Zaid Kamaruddin yang secara terus-terang mengaitkan perjuangan UMNO-BN dengan fahaman sekularisme dan pragmatisme. Di atas pentas forum tersebut juga, DSAI dan Ustaz Hadi berjanji, sekiranya kedudukan Melayu di Malaysia khususnya di negeri-negeri Pantai Barat terancam, maka UMNO dan PAS akan bersatu.

Sewaktu forum tersebut, kutipan Tabung Memali telah dijalankan. Forum kemuncak itu dianggap oleh banyak pihak sebagai ‘turning point’ dalam MISG. Bermula tarikh itu, kepimpinan MISG semakin berani dan secara terbuka menunjukkan kelunakan (baca: sokongan) terhadap DSAI dan UMNO-BN. Beberapa bulan selepas forum tersebut, MISG yang dipimpin oleh Abdul Rahim Ghouse telah meminda perlembagaan MISG untuk memperkenalkan ‘Polisi Non-Partisan’. Polisi ini dilihat bertujuan menghakis pengaruh PAS di dalam MISG. Terdahulu, DSAI juga pernah dijemput untuk berucap sewaktu Konvensyen MISG (1982) di Columbus, Ohio.

Siapa sangka, kini akhirnya Ustaz Hadi bekerjasama dengan DSAI dalam Pakatan Rakyat. Ternyata, tiada musuh atau sahabat yang kekal dalam arena politik.

* Untuk kupasan ringkas berkenaan biodata DSAI, boleh rujuk pautan ini: DSAI: Mantan TPM Malaysia.

_________________________________________________________


Antarabangsa
Mula terlibat di peringkat antarabangsa di Madinah apabila menjadi Ketua Pelajar Malaysia Universiti Islam Madinah di samping menjadi Setiausaha Agung Gabungan Pelajar-pelajar Asia Tenggara di Madinah. Semasa di Asia Barat, beliau aktif bersama Gerakan Ikhwanul Muslimin bersama Dr. Said Hawa, Profesor Muhamad Al Wakeel serta Dr. Abdul Satar Al Khudsi. Di Mesir pula, beliau menjadi Setiausaha Seksyen Syariah dan Undang-undang Persatuan Melayu Republik Arab Mesir.

____________________________________________________


Sebagai pemimpin kanan PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang banyak terlibat di peringkat antarabangsa samada gerakan Islam atau gerakan rakyat. Antaranya :-

• Pada tahun 1994, dilantik sebagai Ahli Penyelaras Sekretariat Parti-parti Islam Sedunia yang berpusat di Istanbul Turki;

• Ahli Sekretariat Perjuangan Rakyat mempertahankan Baitul Maqdis yang berpusat di Amman, Jordan;

• Ahli Majma’ Taqrir di kalangan mazhab-mazhab Islam yang berpusat di Tehran, Iran;

• Ahli deligasi ahli Parlimen parti-parti Islam yang dipimpin oleh Dr. Necmetin (Najmuddin) Erbakan, bekas Perdana Menteri Turki menemui Setiausaha Agung PBB, Butros Butros Ghali serta menemui Ahli Senat Amerika Syarikat bagi menyelesaikan krisis Teluk;

• Menyertai deligasi ahli-ahli Parlimen Parti Islam melawat Eropah yang diketuai oleh Dr. Erbakan;

• Menyertai deligasi pemipin parti Islam seluruh dunia menemui raja-raja serta presiden negara-negara Asia Barat sebelum Perang Teluk;

• Mengiringi Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor bersama deligasi pemimpin Jerman Islam seluruh dunia untuk mendamaikan kumpulan-kumpulan mujahidin Afghanistan.

_______________________________________________________

Ustaz Hadi bersama Dr Chandra Muzaffar, ketika itu Timbalan Presiden
Parti KeADILan Nasional. 
Saf kepimpinan PAS, sewaktu jaman Almarhum Ustaz Fadzil Noor.

Kerjaya :-
Kerajaan
  • Menjadi Pegawai Yayasan Islam Terengganu setelah tamat belajar 1977 – 1978; dan
  • Menjadi Menteri Besar negeri Terengganu semasa tahun 1999-2004.
Badan bukan kerajaan (NGO)
  • Menjadi Ketua (Yang DiPertua/Pengerusi) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Terengganu 1977 - 1978. Selepas era ABIM, Ustaz Hadi Awang kemudiannya menjadi tokoh pemidato terkenal PAS. Beliau berjaya mengumpul pengikut yang ramai di Masjid Rusila, Marang dan seluruh negara, menerusi ceramah-ceramahnya yang keras dan berkesan.

* Untuk kupasan ringkas berkenaan sejarah ABIM, boleh rujuk pautan ini: ABIM: Imbauan Empat Dasawarsa.

_______________________________________________________


Kes Saman Daily Mirror, London
Pada 1 Mei 2007, akhbar Daily Mirror telah (dikatakan) tersalah cetak sekeping gambar Ustaz Hadi Awang sebagai sebahagian daripada siri rencana berkenaan beberapa buah rancangan untuk menjalankan aktiviti pengganas di sekitar United Kingdom. Akhbar tersebut mendakwa, ini termasuklah rancangan untuk meletupkan pusat membeli-belah Bluewater yang terletak di Kent. Gambar Ustaz Hadi tersiar dalam akhbar tersebut dengan tajuk “AL-QAEDA - Abdul Hadi” dan menyatakan bahawa beliau (Ustaz Hadi) merupakan pemimpin No.3 Al-Qaeda, dan beliau telah berjaya ditangkap dan ditahan di Pusat Tahanan Guantanamo Bay. Hal yang demikian, akhbar Daily Mirror tersebut telah menyatakan permohonan maaf dan membayar gantirugi pampasan yang dikatakan berjumlah setengah juta ringgit. Ustaz Hadi diwakili oleh peguamcaranya, Adam Tudor dari Carter-Ruck.

_______________________________________________________



“Kerajaan Perpaduang”
Kerajaan perpaduan atau ‘Kerajaan Tanpa Pembangkang’ dicetuskan oleh Ustaz Hadi sendiri selepas gagalnya usaha undi tidak percaya terhadap Datuk Seri (Tun) Abdullah Badawi di Parlimen. Idea kerajaan perpaduan antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat ini mencetuskan ketidaktentuan di kalangan Pakatan Rakyat. Idea ini belum dibincangkan secara panjang lebar dan pertemuan belumpun diadakan. Dalam beberapa hal, perjuangan dan sumbangan PAS diketepikan dan dipinggirkan di Pulau Pinang, Perak, dan Selangor.

Pas hanya berkuasa di Kedah dan Kelantan. Di Perak pula (sebelum kerajaan Pakatan ditumbangkan oleh BN), sungguhpun Menteri Besar Perak dari Adun PAS tetapi dilihat tidak cukup berpengaruh. Begitu juga pandangan PAS menerusi Dr Hassan Ali di Selangor sering dipertikaikan oleh DAP. PAS mempunyai pengalaman menyertai Barisan Nasional semasa Perdana Menteri Malaysia,Tun Abdul Razak pada 1972 dan ditendang keluar pada 1978 oleh Tun Hussein Onn.

Pemimpin DAP seperti Lim Guan Eng terkejut dengan idea ini dan mahu penjelasan sebenar berhubung 'pembelotan' ini. Menteri Besar Kelantan, Ustaz Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan ‘serik’ bekerjasama dengan UMNO-BN. Beliau mendesak Timbalan Presiden PAS ketika itu, Nasharuddin Md Isa meletak jawatan sebagai Naib Presiden PAS dan ahli Parlimen Bachok. Bagaimanapun, kenyataan keras ini ditarik balik tidak berapa lama kemudian. Ustaz Nik Aziz berkata, PAS bersetuju untuk menolak polemik kerajaan perpaduan sepertimana yang diputuskan oleh Presiden PAS, Ustaz Abdul Hadi Awang. 

Presiden PAS, Ustaz Hadi Awang, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor (ketika itu), Datuk Dr Hassan bin Ali sering dikaitkan dengan isu kerajaan perpaduan. Dr Abdul Aziz Bari, pakar perlembagaan dan pemerhati politik dari UIAM, ‘menyalahkan’ Ustaz Hadi di atas kekalahan PAS di Bagan Pinang. Dr Aziz Bari juga menggelarkan Ustaz Hadi sebagai “Pak Lah versi PAS” kerana didakwa tidak bersuara apabila tercetus kontroversi YB Hassan Ali berhubung larangan jualan arak/alkohol dan cara siasatan Selcat.

Pada 28 Oktober 2009, Mesyuarat khas JK PAS Pusat diadakan di tingkat 5, Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Mesyuarat dipengerusikan oleh Ustaz Hadi. Turut hadir ialah Ustaz Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Datuk Mustafa Ali, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, YB Salahudin Ayub, YB Mahfuz Omar dan Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi.

Antara keputusan mesyuarat ialah :
1. Isu kerajaan perpaduan ditutup sepenuhnya;

2. Seminar khas akan diadakan pada 7 Disember 2009, di Dewan Datuk Fadzil Noor, Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Kuala Lumpur. Penceramah khas ialah Profesor Dr Abdul Aziz Bari kerana pandangannya lebih berwibawa dalam menentukan hala tuju perjuangan PAS; dan

3. Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik untuk menyiasat semua dakwaan terhadap PAS Selangor. Pesuruhjaya PAS Selangor ketika itu, Dr Hassan Ali.

_______________________________________________________


Kegiatan Luar
Walaupun Ustaz Hadi merupakan seorang ADUN dan Ahli Parlimen, tetapi beliau tetap memberikan khidmatnya kepada penduduk Kampung Rusila khususnya memberi kuliah, ceramah seterusnya menjadi pakar rujuk dalam bab-bab agama. Tanggungjawab beliau untuk memberi ilmu dan nasihat kepada rakyatnya, tidak pernah diabaikan walaupun beliau sibuk dengan tugas rasminya di DUN dan Parlimen. Hari Jumaat, Sabtu dan Ahad merupakan masa beliau menyampaikan ilmu kepada rakyat.

Hobinya suka memancing, menjala dan menaiki bot tidak pernah dilupakan. Beliau juga gemar ke laut untuk menikmati keindahan alam. Kebijaksanaan Ustaz membahagikan masa antara tugas sebagai wakil rakyat, pendakwah, ayah dan suami menyebabkan beliau amat disenangi oleh seluruh rakyat khususnya pengundi di Marang. Semuanya ini menjadi hobi beliau sebelum menjadi wakil rakyat lagi. Gelaran Yang Berhormat tidak sedikitpun menjejaskan imejnya untuk turun ke sungai memancing dan menjala ikan, serta memelihara kuda yang disayangi.

_______________________________________________________

Gambar terbaru Ustaz Hadi, 2012.
Khatimah
Tuntasnya, Ustaz Hadi Awang atau lebih mesra dengan panggilan Ayah Chik, merupakan seorang pemimpin yang sentiasa mendekati rakyat terutamanya kaum petani dan para nelayan. Berbekalkan ilmu agama yang telah disemai dalam jiwanya sejak kecil lagi, beliau telah menjadi insan yang dihormati dan disegani terutama di persada politik tanah air mahupun antarabangsa.

*********************************

Sumber:
i. Ahmad Awang. Islam di Malaysia: Cabaran Sepanjang 80-an, 15 Januari 1980. Dewan Masyarakat;
ii. Badlihisham Mohd Nasir, Da’wah And The Malaysian Islamic Movements, 2003. Semenyih: Synergymate Sdn. Bhd.;
iii. Badlihisham Mohd Nasir, Dinamisme Gerakan Islam Dan Cabaran Semasa, 2008. Shah Alam Karisma Publication Sdn. Bhd.;
iv. Chandra Muzaffar. Islamic Resurgence in Malaysia, 1987. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd.;
v. Kamal Amir. Era Melayu Baru: Wawasan dan Impian, 1993. Petaling Jaya: Warkah Tulin Sdn. Bhd.;
vi. Mohamad Fauzi Zakaria. Pengaruh Pemikiran Assyahid Sayyid Qutb Terhadap Gerakan Islam di Malaysia, 2007. Kuala Lumpur: Jundi Resources;
vii. Mohd Aizat Mohd Salleh al-Hafiz. Pemikiran Tuan Guru, 2011. PTS Millennia Sdn Bhd.;
viii. Riduan Mohammad Nor. Terbitan Sejarah & Perkembangan Gerakan Islam Abad Moden, 2007. MHI Publication;
ix. S.Husin Ali. The Malays: Their Problems and Future, 1981. Petaling Jaya: Heinemann Educational Books (Asia) Ltd.;
x. Syaikh Yusuf al-Qaradhawi. Kebangkitan Gerakan Islam: Dari Masa Transisi Menuju Kematangan (al-Shahwah al-Islamiyyah min al-Murahiqah ila al-Rusyd), 2003. Jakarta: Pustaka al-Kautsar;
xi. Zainah Anwar. Kebangkitan Islam di Kalangan Pelajar, 1990. Petaling Jaya: IBS Buku Sdn Bhd;
xii. Mr Abdul Hadi won libel suit;
xiii. http://www.carter-ruck.com/Miscellaneous/?page=35;
xiv. http://www.carter-ruck.com/Miscellaneous/?page=35;
xv. http://macamoranggila.blogspot.com/;
xvi. http://dppkmarang.blogspot.com/;
xvii. hilmihmy.fotopages.com ;
xviii. Pemuda Tambun ke Ijtima Tarbawi;
xix. http://en.liewchintong.com/?p=213;
xx. http://ajijoi.blogspot.com ;
xxi. http:// arab2u.blogspot.com ;
xxii. http:// malaysiaria.com.my ;
xxiii. http://ilhamcitra.blogspot.com ;
xxiv. Amanat Haji Hadi: Buat kenang-kenangan;
xxv. Amanat Haji Hadi;
xxvi. http://kembalakenterprise.blogspot.com ;
xxvii. http://bbcatlover.blogspot.com ;
xxviii. http://eperjuangan.com ;
xxix. http://themalaysianinsider.com ;
xxx. http://abidfana.com/page/3/; dan
xxxi. Isu kafir-mengkafir: Satu Penjelasan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...