Sabtu, Januari 01, 2011

ABIM: Imbauan empat dasawarsa.




----------------------------------------------------------


Aktivis awal ABIM:

************************************************



 
 
 


1.0. Sejarah Awal PKPIM dan ABIM.
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) adalah badan induk pelajar-pelajar Islam Malaysia di peringkat kebangsaan pada 27 Jun 1961, yang pada ketika itu dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu. Pada tahun 1963, namanya ditukar seperti yang ada sekarang. Pada masa kini, PKPIM berdaftar di bawah pejabat pendaftar pertubuhan belia (ROY). Cita-cita PKPIM untuk melahirkan golongan pelajar yang memahami Islam sebagai cara hidup yang syumul dengan pendekatan berhikmah merangkumi di peringkat pelajar dan selepas zaman pelajar. Justeru itu, bagi memastikan wujudnya kesinambungan perjuangan dan keperluan kepada satu pergerakan yang stabil dan bersifat jangka panjang, maka Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah ditubuhkan pada tahun 1971 dalam Muktamar PKPIM ke-10.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili salah satu pergerakan belia Islam di Malaysia. ABIM telah ditubuhkan pada 6 Ogos 1971 di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pengerusi penaja penubuhannya ialah Ustaz Abdul Wahab Abdullah (Almarhum) dan Setiausahanya ialah Saudara Fauzi Abdul Rahman (Dato’). Pada 17 Ogos 1972, ABIM telah didaftarkan secara rasmi dibawah Akta Pertubuhan 1966. ABIM ditubuhkan dan didaftarkan pada alamat rumah Tan Sri Sanusi Junid (Naib Presiden ABIM pertama) di No.3, Lorong Batai Dalam, Damansara Heights, Kuala Lumpur. Manakala pada tahun 2009, setelah pihak kerajaan membuat semakan terhadap dasar belia negara, ABIM telah didaftarkan penubuhannya dibawah Akta Pertubuhan-pertubuhan Belia 2007.

Tahun 1971, ABIM lahir sebagai wadah pelanjut perjuangan pasca kemahasiswaan. Kemunculan ABIM ternyata suatu yang cukup fenomenal. Justeru, ABIM adalah badan dakwah yang pertama berciri dan berjati diri sebagai gerakan Islam (harakah Islamiyah). ABIM adalah pelanjut perjuangan mahasiswa -- bergerak dengan keanggotaan yang merakyat dan nasional -- anggota melebar dan meratai seluruh Malaysia dan tidak bersifat lokal. ABIM adalah peloporan fenomena ‘rising tide of Islam’ – kebangkitan Islam – istilah yang memaknai kerana waktu itu belum lagi muncul istilah sahwah. Pertama kali, kata-kata ini lahir daripada perbualan Pak Natsir dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) di Jakarta. ABIM berjaya mempelopori ‘the rising tide of Islam’ di Malaysia.

*********************************************

 


2.0. Menoleh Masa Lalu: Senarai Presiden ABIM
ABIM telah melangsungkan Persidangan Agung Tahunan atau Muktamar yang pertama pada tahun 1972. Dalam Muktamar ini, Ustaz Razali Nawawi (Prof. Dr.) telah dipilih sebagai Presiden pertama. Muktamar juga telah memilih DSAI sebagai Setiausaha Agung. Semenjak itu, ABIM telah menjayakan kegiatannya dengan jaya. Era awal pergerakannya dicorakkan oleh usaha bagi mempertegaskan idealisme dan cita-cita perjuangan. Pelbagai kegiatan direncanakan bagi menjelaskan identiti ABIM sebagai sebuah pertubuhan belia dan gerakan Islam yang berteraskan prinsip dakwah dan tarbiyyah sebagai asas pendekatan pergerakannya. Cita-cita utama ABIM ialah bagi menyumbang secara proaktif pembinaan sebuah masyarakat Islam yang mampu menjadi teras terhadap proses pembinaan negara bangsa Malaysia yang utuh di dalam pelbagai aspek kehidupan. Bagi mencapai cita-cita tersebut, ABIM telah menumpu banyak usaha membangun kerangka faham masyarakat terhadap agama Islam sebagai satu bentuk cara hidup yang menyeluruh serta mempertegaskan prinsip-prinsip masyarakat madani di dalam segala aspek kemasyarakatan, perundangan dan kenegararaan.

***************************************


2.1. Permulaan Era Radikal Pergerakan Pelajar.
Pada tahun 1974, telah berlaku peralihan kepimpinan ABIM. Ustaz Razali Nawawi melepaskan jawatannya dan Muktamar memilih DSAI sebagai Presiden kedua. DSAI memimpin ABIM selama sembilan tahun, di mana beliau berhasil membentuk jaringan sumber yang besar dalam komuniti Islam. Dalam era kepimpinan beliau, ABIM telah tertonjol sebagai sebuah gerakan Islam yang berpengaruh di peringkat nasional dan antarabangsa. Sikap dan pendirian ABIM yang tegas terhadap pelbagai persoalan ekonomi, kebudayaan dan politik telah menjadikannya sebuah pertubuhan yang dihormati.

*****************************************


Dalam era 70an, semasa ABIM di bawah kepimpinan Ustaz Razali Nawawi dan DSAI, ABIM mengambil pendekatan confrontational dan dengan yang demikian, ABIM menjadi vokal terhadap beberapa dasar dan pendirian pemerintah. 

************************************



Era kepimpinan Ustaz Razali Nawawi dan DSAI digelar Era Radikal Pergerakan Pelajar.” Kecenderungan ABIM ketika itu lebih kepada bergerak secara radikal. Pendekatan ini dirasakan sesuai dengan tuntutan dan keperluan era itu. 
* Untuk biodata ringkas DSAI, sila klik pautan ini: “Biodata Dato’ Seri Anwar Ibrahim.”
______________________________ 


2.2. Ustaz Fadzil Noor: Murabbi dalam Kenangan.
Sewaktu DSAI mendekam di bawah ISA, jawatan Presiden ABIM dipangku oleh Ustaz Fadzil Noor. Ustaz Fadzil Noor pernah menjadi Setiausaha Persatuan Ulama Malaysia (1974-1976), Setiausaha Penerangan ABIM (1973-1974) dan Timbalan Presiden ABIM (1974-1978). 

* Untuk kupasan ringkas berkenaan biodata Ustaz Fadzil Noor, boleh rujuk pautan ini: Ustaz Fadzil Noor: Murabbi Dalam Kenangan.

ABIM yang ditubuhkan pada tahun 1971 telah mengisi kelompangan dunia ‘anti-establishment’ akibat PAS yang menyertai kerajaan campuran. Ustaz Fadzil ialah orang penting ABIM selain daripada Ustaz Wahab Zakaria, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman, dan lain-lain.  Ustaz Fadzil disifatkan oleh Anwar Ibrahim sebagai orang yang banyak dirujuk oleh beliau dalam menggerakkan ABIM sebagai gerakan sosio-dakwah yang penting dalam dekad 70an. Jaringan kader ABIM di seluruh negara ini juga akhirnya telah membawa ramai pemimpin dan ahli ABIM menyertai PAS pada awal tahun 80an, terutamanya selepas DSAI menyertai UMNO.  ABIM yang dilihat lebih moderat daripada PAS, telah dianggap sebagai ‘sayap Pemuda PAS’ di kampus-kampus seluruh tanah air dan luar negara. 

Sepanjang penglibatan dalam ABIM sebagai sosok utama perjuangan, Ustaz Fadzil turut terlibat dalam demontrasi menentang isu kemiskinan di Baling, Kedah tahun 1974.  Beliau juga terkenal sebagai penggiat tarbiah dalaman ABIM. Beliau banyak bergerak mengisi program usrah, tamrin dan seminar perkaderan di pelbagai tempat.  Gerakan belia Islam ini juga banyak menerbitkan buku-buku fikrah dan harakah yang dituang oleh tokoh-tokoh seperti Hasan Al Banna, Sayyid Qutb, Maududi, apatah lagi ABIM menjadi gerakan fenomenal di kampus pada dekad 70an. 

Kemudian, bersama-sama beberapa pemimpin kanan ABIM yang lain, Ustaz Fadzil Noor menyertai PAS menjelang pilihan raya dan bertanding atas tiket PAS. Antaranya ialah Nakhaei Haji Ahmad (Dato’ Haji), Haji Abdul Hadi Awang (Datuk Seri), Ustaz Abdul Halim Arshad dan Ustaz Yahya OthmanUstaz Hadi Awang yang merupakan Ketua (Yang DiPertua/Pengerusi) ABIM Terengganu, kemudiannya menjadi tokoh pemidato terkenal PAS. Beliau berjaya mengumpul pengikut yang ramai di Masjid Rusila, Marang dan seluruh negara, menerusi ceramah-ceramahnya yang keras dan berkesan. 

* Untuk kupasan ringkas berkenaan biodata Ustaz Hadi Awang, boleh rujuk pautan ini: Ayah Chik: Presiden PAS.

*****************************************

2.3. DSAI ditahan di bawah ISA.
Pada 3 Disember 1974, DSAI ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dipenjarakan. Dalam tempoh ini, jawatan presiden sementara dipegang oleh Timbalan Presiden, Fadzil Noor (Almarhum Dato’). DSAI sepatutnya akan memegang jawatan Presiden sehingga akhir tahun 1983. Tetapi, beliau meletakkan jawatan pada 27 Mac 1982 dan meninggalkan ABIM pada 29 Mac 1982 untuk menyertai UMNO (sewaktu berusia 35 tahun). 

Perletakan jawatan beliau sebagai Presiden ABIM dan seterusnya mengaktifkan diri di dalam UMNO sememangnya tidak diduga oleh pelbagai pihak sama ada rakan-rakan beliau dari dalam ABIM ataupun dari pertubuhan-pertubuhan sukarela yang lain. DSAI mengumumkan keputusannya untuk bergerak cergas dalam politik UMNO ‘kerana kagum dan yakin dengan pentadbiran dan corak perjuangan Dr Mahathir’. Disaksikan Dr M, DSAI dengan penuh sedar menyatakan kepada wartawan bahawa, “Saya memilih UMNO kerana ia memberi ruangan kepada saya untuk meneruskan perjuangan saya dan saya memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri dan parti yang beliau pimpin. Kami berharap akan dapat bekerjasama untuk kebaikan rakyat negara ini.” 

Namun, sewaktu dibicarakan di Mahkamah Tinggi pada 8 Februari 1999, DSAI mendedahkan bahawa beliau telah pun ‘mula jadi ahli UMNO tahun 1967, tetapi aktif hanya pada 1982’. Malahan, pada 14 Mei 2011, ketika berucap dalam Forum Pengkisahan Semula Angkatan Belia Islam (ABIM) di Unisel (cawangan Shah Alam), DSAI membuat pengakuan terbuka bahawa beliau tidak pernah menyesal menyertai Umno pada 1982. Menurut beliau, “Saya tidak pernah kesali dengan keputusan menyertai UMNO. Pengalaman itu juga mematangkan saya.” 

***************************************** 



2.4. Era Kematangan: Ke arah pendekatan menangani dan menyelesaikan masalah (problem-solving). 
Pada dekad kedua, iaitu tahun-tahun 1980-an, kepimpinan ABIM beralih kepada Ustaz Siddiq Fadzil (Dato’ Dr) sebagai Presiden ketiga pada tahun 1983. Beliau telah menerajui ABIM sebagai presiden setelah DSAI melepaskan jawatan tersebut untuk berjuang melalui wadah politik, UMNO-BN. Di bawah pimpinannya, ABIM telah berjaya diletakkan sebagai wadah perjuangan belia Islam yang mantap dan mempunyai kewibawaannya yang tersendiri. Dilahirkan pada 4 Januari 1947 di Kampung Sungai Tiang Darat, Bagan Datuk, Perak. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sungai Tiang Darat, pendidikan menengah di Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh dan Maktab Perguruan Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Seterusnya melanjutkan pengajian di Universiti Malaya sehingga lulus B.A. (Hons) dalam bidang Pengajian Islam pada tahun 1974. 

Kemudian, beliau bertugas sebagai tutor di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di samping meneruskan pengajian di peringkat sarjana di universiti yang sama dan seterusnya mendapat M.Litt pada tahun 1978 dan ijazah kedoktoran Ph.D pada tahun 1990. Selepas itu, bertugas di Institut Bahasa dan Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, UKM. Sehingga kini beliau telah banyak menulis buku dan membentangkan kertas dalam pelbagai seminar. Di antaranya ialah ‘Sejarah Orang Cina di Tanah Melayu’, ‘Kebangkitan Umat Islam: Pernyataan dan Harapan’ dan ‘Tafsir Di Bawah Naungan Al Quran’: Jilid 1 dan 2 (Terjemahan ‘Tafsir Fii Zilaalil Quran’, oleh Syed Qutb). 

Sesetengah kalangan menganggap beliau sebagai satu-satunya cendekiawan Muslim mutakhir di Malaysia yang berjaya mencapai taraf ulamak pemikir yang prolifik dan mempunyai authoriti dalam memperkatakan persoalan dakwah di Alam Melayu. Dalam era kepimpinan beliau, ABIM banyak menumpu usaha dakwah bil hal atau dakwah di dalam bentuk praktis bagi tujuan menyelesaikan permasalahan masyarakat dan umat secara lebih berkesan. 

*************************************



Pendekatan ABIM sewaktu dekad kedua ini ditandai oleh perubahan orientasi ke arah pendekatan menangani dan menyelesaikan masalah (problem-solving). Semenjak itu, beberapa institusi dakwah di bidang pendidikan dan perekonomian telah dikembangkan seperti Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI), Sekolah Rendah Islam (SERI), Sekolah Menengah Islam (SEMI), Institut Pengajian Ilmu-ilmu Islam (IPI), Koperasi Belia Islam Malaysia (KBI) dan Islamic-Outreach ABIM (IOA). 

******************************************



Dikenali sebagai ‘Otai ABIM’, Ustaz Siddiq merupakan antara penggerak awal gerakan pemuda / belia Islam yang ‘sedar’ dan ‘bertindak’ memperjuang kebenaran, menegakkan keadilan bagi rakyat marhaen yang terpinggir (marginalized marhaen). Kuliyah Tafsir Maudhui’y di bawah pimpinan Ustaz Siddiq Fadzil sejak 1998 telah banyak mentafsirkan tema-tema besar Al-Quran seperti ilmu dan pendidikan, keadilan, sosiobudaya, ekonomi, dakwah, politik, pemerintahan negara, dan sebagainya. Ustaz Siddiq Fadzil menegaskan bahawasanya, sejarah perjuangan ABIM adalah sejarah umat, kerana pada masa berdirinya ABIM: “...kita telah mampu mencatat sejarah sangat penting, dan segala gerakan-tindakan dan perancangan kita bukan main-main (sangat serius) dan hari ini dirasakan hasilnya juga tidak main-main.” Era kepimpinan Ustaz Siddiq Fadzil digelar Era Kematangan -- dengan tumpuan perjuangan ABIM berganjak dari politik ke penyebaran dan pengajaran agama Islam. Dr. Siddiq Fadzil memegang jawatan Presiden selama lapan tahun, iaitu dari tahun 1983 hingga 1991. 
________________________________




2.5. Era rakan dalam pembinaan negara (partner in nation-building).
Ketika dekad ketiga -- 1990-an -- pula, Dr Muhammad Nur Manuty telah mengambil alih kepimpinan ABIM sebagai Presiden keempat pada tahun 1991. Dalam era ini, ABIM terlibat dengan aktif di dalam proses pembinaan negara serta mengukuhkan gerakan kependidikan, kemasyarakatan dan ketamadunan. ABIM juga mula mengembangkan peranannya di bidang khidmat antarabangsa dengan membantu umat Islam yang menghadapi musibah seperti di Afghanistan dan Bosnia Herzegovina. ABIM yang berada di bawah kepimpinan Dr Muhammad Nur Manuty berperanan lebih proaktif sebagai rakan dalam pembinaan negara (partner in nation-building). Sewaktu era Dr. Nur Manuty, ABIM lebih cenderung bergerak ke arah bekerjasama dengan kerajaan. Dr. Nur Manuty menjadi Presiden selama tiga sesi dari tahun 1991 sehingga 1997. 
Dilahirkan di Taiping pada tahun 1949, beliau telah menyempurnakan pendidikan asas di Sekolah Menengah Izuddin Shah, Ipoh dan kemudiaannya di Kolej Islam Malaya. Setelah memperolehi sarjana muda dalam penghususan Usuluddin dan Falsafah dari Fakulti Pengajian Islam, UKM pada tahun 1974, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Islam dan Perbandingan Agama di peringkat M.A dan PhD di University of Temple, Philadephia, Amerika Syarikat di bawah bimbingan Prof. Ismail R. al Faruqi, Prof. Seyyed Hoosein Nasr dan Prof. Mahmoud Ayyub. Beliau merupakan ahli akademik yang pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, UKM (1974-1983). Di Universiti Islam Antarabanga Malaysia, beliau berkhidmat di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama (1989-1999), yang terakhir sebagai Professor Madya. Beliau juga pernah diamanahkan sebagai Dekan Hal Ehwal Pelajar di UIAM. Selain kerjaya akademik beliau, Dr Muhammad Nur Manuty merupakan seorang aktivis sosial. Beliau aktif menulis dan menterjemah pelbagai judul buku, artikel dan makalah ilmiah serta sering dijemput membentangkan kertas kerja di pelbagai persidangan dalam dan luar negara. 
Antara tahun 1993 hingga 1995, penduduk Islam Bosnia telah dizalimi oleh puak Serbia yang tidak berpuas hati dengan pengisytiharan kemerdekaan Bosnia daripada Persekutuan Yugoslavia yang turut merangkumi Croatia dan Serbia-Montenegro. Kempen pembersihan etnik itu memakan korban awam melebihi angka 100,000 orang. Di Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ialah antara pertubuhan terawal yang membangkitkan keprihatinan masyarakat dan kerajaan persekutuan terhadap nasib yang menimpa masyarakat Bosnia. ‘Tabung Bosnia’ dilancarkan dengan kerjasama Berita Harian dan Utusan Malaysia. Sumbangan kewangan dan perubatan berkenaan ialah petanda sokongan moral rakyat Malaysia terhadap penderitaan masyarakat Bosnia ketika itu. ABIM juga melancarkan ‘Tabung Pelarian Islam Rohingya’ pada 1992 dan Pusat Informasi Rohingya bagi membela nasib umat Islam Rohingya yang menderita apabila ditindas kumpulan pengganas yang disokong oleh Kerajaan Myanmar.
Pada 1 Julai 1994, Dr Muhammad Nur Manuty yang ketika itu menjawat jawatan Presiden ABIM, telah membuat satu kenyataan akhbar berkenaan sokongan ABIM untuk membantu pihak Kerajaan dalam mengangani masalah Al-Arqam. ABIM telah menawarkan untuk memberikan penerangan menerusi program-program dan seminar di seluruh negara. Sewaktu menyampaikan Ucapan Dasar bertajuk “Ketahanan Umat: Penjanaan Generasi Abad 21”, pada Muktamar ABIM 1994, Dr Manuty menyatakan bahawa, “Gerakan Islam pada hari ini turut terpanggil untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi memurnikan semula aqidah sebahagian umat Islam. Kita tidak seharusnya membiarkan masyarakat awam di negara ini menjadi keliru dan ragu dengan pegangan agama yang tidak mengikut manhaj Ahlu’s Sunnah wal-Jama’ah”. 
Sementara itu, dalam Koleksi “Ucapan Dasar Muktamar Sanawi ABIM: Keprihatinan Umat dan Transformasi Sosial”, Dr Manutty menyatakan bahawa, “Sesungguhnya dunia Islam memerlukan pemimpin-pemimpin yang beramanah, ikhlas, berakhlak tinggi, berbudaya ilmu, iltizam dengan perjuangan, fatanah (bijaksana) serta berwawasan. Jika ciri-ciri sedemikian dapat dipenuhi, dunia Islam pasti akan berubah dari keadaan yang daif menjadi negara yang bermaruah.”

Sewaktu era Reformasi, Dr Nur Manutty terlibat aktif dalam Parti KeADILan Nasional (KeADILan) yang kemudiannya dikenali sebagai Parti KeADILan Rakyat (PKR). Antara jawatan yang pernah disandang beliau ialah Naib Presiden dan Anggota (Jemputan) Biro Politik PKR. Kemudian, beliau menjadi Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan Pengarah Centre for Studies in Modernity and Civil Society (CESMACS) [Pusat Kajian Modeniti dan Masyarakat Madani]. Di bawah kepemimpinan Ustaz Siddiq Fadzil dan Dr Muhammad Nur Manuty, ABIM mengambil pendekatan berbeza, tidak lagi melaung tetapi berbisik, tidak lagi menggempur tetapi memujuk, tidak lagi konfrontasi terus-menerus dengan pemerintah tetapi melalui ‘corrective participation’. 
____________________________________________
 


2.6. Era meletakkan sikap dan Agenda Penyatuan Ummah.
Pada September 1997, Saudara Haji Ahmad Azam Abdul Rahman telah dipilih sebagai Presiden ABIM yang kelima di Muktamar Sanawi ABIM ke-26 di Alor Setar, Kedah. Sebelum menjadi Presiden, beliau memegang beberapa jawatan penting dalam ABIM, termasuk; Ketua Biro Perancangan dan Pengembangan ABIM, Penolong Setiausaha dan Setiausaha Agung. Dalam alaf baru, beliau membawa tema pemugaran semula idealisme untuk menggilap semula dinamika perjuangan serta agenda pemersatu ummah, bertepatan dengan tuntutan semasa yang begitu mendesak. ABIM terus menjadi jurubicara umat dalam pelbagai dimensi agar umat seluruhnya terpelihara iman, nyawa, harta, maruah, kebebasan, hak dan keselamatan mereka. Sewaktu era ini, ABIM telah memperkukuhkan peranannya di arena antarabangsa menerusi penubuhan Misi Keamanan Sejagat – Global Peace Mission (GPM). Saudara Haji Azam memegang beberapa jawatan seperti Naib Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Pengerusi Future Global Network Foundation (FGN) dan Ahli Jawatankuasa Kanan dalam International Movement for a Just World (JUST), dan ahli Transparency International Malaysia. Pada bulan Disember 2007, beliau telah dilantik sebagai Pengerusi kepada Commission for Social, Humanitarian and Solidarity Union of NGO’s of The Islamic World (UNIW). 

*********************************








2.6.1. Gerakan Reformasi di Malaysia.
Era kepimpinan Saudara Haji Azam ini juga ditandai oleh kemelut politik tanahair sehingga tercetusnya ‘Gerakan Reformasi’. Tindakan ABIM yang menyatakan pendirian menyokong DSAI dalam isu pemecatan mantan TPM itu, membawa kepada penahanan empat pemimpin utamanya di bawah ISA pada 21 September 1998. Antara yang ditahan ialah Haji Ahmad Azam (Presiden); Mukhtar Redhuan (Timbalan Presiden); Shaharuddin Badaruddin (Setiausaha Agung) dan Abdul Halim Ismail (Naib Presiden). Turut ditahan ialah Presiden PKPIM ketika itu, Amidi Datuk Abdul Manan dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi.
_______________________________________________________


2.6.2. Agenda Perpaduan Ummah.
ABIM telah menyumbang dengan konstruktif menggagaskan ‘Agenda Penyatuan Ummah’ terhadap seluruh masyarakat Melayu-Islam di Malaysia. Pada 8 Mei 2002, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Dato’ Dr. Seri Mahathir Mohamad (kini Tun) yang juga merupakan Presiden UMNO telah dipertemukan dengan (Almarhum) Dato’ Fadzil Noor (Presiden PAS merangkap Ketua Pembangkang Parlimen ketika itu) di Balai Tun Syed Nasir, DBP. Majlis yang turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) dan Timbalan Presiden PAS ketika itu, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang ini disaksikan di secara langsung di seluruh negara. Program ini adalah suatu peristiwa penting dalam sejarah politik negara kita. Ianya mendapat liputan secara langsung oleh RTM. Program penuh gemilang ini antara lain ialah hasil usaha Presiden ABIM ketika itu, Saudara Haji Ahmad Azam Abdul Rahman dan (Allahyarham) Dato’ Rahim Bakar, ketika itu adalah Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).  Peristiwa ini masih dikenang sehingga hari ini, dan menjadi antara peristiwa penting sepanjang era kepimpinan Saudara Haji Azam dalam memegang jawatan Presiden ABIM kelima dari tahun 1997 hingga 2005.
_______________________________________________






2.7. Era Pengukuhan Pendekatan Dimensi Islam di Malaysia.
Pada Ogos 2005 pula, Dr Yusri Mohamad dipilih sebagai Presiden ABIM yang keenam di Muktamar Sanawi ABIM ke-34. Dr Yusri merupakan mantan Presiden PKPIM sesi 1995/1996 dan sesi 1996/1997. Dr Yusri dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1972. Bapa beliau, Allahyarham Dato’ Haji Mohamad bin Che Wook merupakan bekas Mufti Besar Kelantan. Bapa dan ibunya, Datin Hajjah Nik Zahrah Nik Yahya, merupakan antara generasi awal graduan Melayu lulusan Mesir. Dr Yusri menerima pendidikan menengah di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada tahun 1985-1989 dan kemudian melanjutkan pengajian di UIA dalam bidang undang-undang (LLB) pada tahun 1995 dan undang-undang (syariah) (LLB(S) pada tahun 1996. Pengajian sarjana undang-undang (LLM) (Undang-Undang Islam) di School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London, England dan pengajian PhD dalam bidang Teori Perundangan Islam di UIA. 

Dalam era kepimpinan beliau, ABIM telah menyumbang dengan aktif di dalam aspek kenegaraan terutama berkaitan isu kedudukan istimewa Islam di dalam perlembangaan dan persoalan syariah di dalam masyarakat majmuk. Di bawah kepimpinan Dr Yusri, beliau menekankan aspek sufisme dan spiritualisme. Beliau menegaskan peri-pentingnya untuk ABIM mengamal dan menggunapakai dimensi tasawwuf, akhlak dan ihsan yang telah ditinggalkan oleh gerakan Islam. Hal tersebut adalah bagi memperkukuhkan pendekatan dimensi Islam/Syariah, fiqh, iman, aqidah dan tauhid yang diserap dalam gerakan Islam selama ini. Dr Yusri menggunakan tamsilan As-Syahid Hassan al-Banna (mantan Mursyidul Am Ikhwanul Muslimun) yang merupakan pengamal ‘tariqah’ (tarekat) sebagai rujukan utama. Sewaktu menerajui ABIM, Dr Yusri turut aktif bersama Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) selaku Pengerusi NGO tersebut. 

*************************************



Sewaktu era Reformasi, Dr Yusri pernah memegang jawatan selaku Setiausaha Politik Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, isteri DSAI. Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Biro Hal Ehwal Mahasiswa, Pemuda Parti KeADILan Nasional (KeADILan). 

*************************************



Dr Yusri juga merupakan penerima Anugerah Pingat Jasa Belia sempena sambutan Hari Belia peringkat kebangsaan, yang dilangsungkan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Anugerah ini diberikan sebagai menghargai jasa dan sumbangan yang diberikan oleh mantan-mantan pimpinan belia dalam menggerakkan aktivisme belia terutama sekali di peringkat akar umbi. Anugerah disampaikan oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. 

*************************************


Dr Yusri pernah aktif bersama Yayasan Sofa dan menjadi Pengerusi Bersama Himpunan Sejuta Umat Selamatkan Akidah (HIMPUN). Di dalam HIMPUN, Dr Yusri menjalinkan kerjasama yang erat bersama-sama Dr Hassan Ali [Presiden Jalur Tiga (JATI)] dan mantan pimpinan ABIM seperti Ustaz Ismail Mina [Pemimpin Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)] dan Prof Dr ‘Cikgu’ Sidek Baba (Mantan Timbalan Rektor UIA dan kini Profesor Pendidikan di universiti yang sama). 
_________________________________________________


2.8. Era Pengukuhan Kerjasama WADAH-ABIM-PKPIM.
Peralihan kepimpinan ABIM telah berlaku pada Ogos 2009 di mana Dr Muhamad Razak Idris telah dipilih sebagai Presiden ABIM yang ketujuh. Beliau berkhidmat di Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Dr Razak merupakan mantan Timbalan Presiden PKPIM sewaktu Saudara Haji Amidi Abd Manan menjadi Presiden pertubuhan pelajar Islam tersebut. Dr Razak menuntut ABIM mempersiapkan masyarakat untuk mendepani era terbuka. Menurut beliau, “ABIM pada alaf baru harus mempersiapkan masyarakat terutama generasi muda mendepani era masyarakat terbuka. Realiti dunia bersifat global menuntut persediaan luar biasa terutama dari segi ketahanan ilmu dan budaya. Jika tidak, masyarakat kita berdepan krisis jatidiri yang parah. Kita tentu tidak menginginkan negara mencapai status maju namun asing di tanah air akibat jati diri yang larut dalam kebudayaan asing. Inilah agenda besar dakwah ABIM untuk beberapa dekad mendatang.”

************************************* 



Dr Razak menyatakan bahawa matlamat terakhir Islamisasi ialah bagi membina dan membangunkan semula satu ummah yang kuat sehingga mampu digelar sebagai ummat terbaik atau ‘khaira ummah.’ Hal yang demikian, pembinaan ummah terbaik adalah satu tuntutan asas bagi usaha menangani cabaran kemunduran peradaban yang sedang dialami umat Islam hari ini. Berasaskan kerangka cita-cita dan matlamat inilah, Islamisasi sebagai satu tema dakwah dijayakan oleh ilmuwan dan pendakwah. Proses penjayaan ini sudah dilangsungkan sekian lama dan menghasilkan natijah tersendiri. Antara kesannya ialah kemunculan suatu fenomena yang sering dirujuk di dalam diskusi pemikiran sebagai ‘gelombang kebangkitan Islam’ atau ‘al-nahdah al-Islamiah’ di seluruh dunia Islam. 

******************************************



 2.8.1. Ijtimak Harakiy WADAH-ABIM-PKPIM yang pertama.
Di bawah kepimpinan Dr Razak, Ijtimak Harakiy, iaitu perhimpunan membabitkan tiga serangkai gerakan Islam utama: Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM), dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) [WADAH-ABIM-PKPIM] telah berjaya direalisasikan. Perhimpunan yang telah berlangsung sebanyak dua kali ini telah mencipta sejarah tersendiri dalam perkembangan Islam di negara ini. Sewaktu Ijtimak Harakiy kedua yang dilangsung pada 22-24 Julai 2011, Dr Razak telah menyeru kepada sidang muktamar agar menekankan soal ‘islah’ sebagai asas yang mendasar kepada ‘change’ (perubahan): bukan sekadar perubahan kosong (for the sake of change), tetapi jauh lebih penting – berubah kepada sesuatu yang jauh lebih baik. Justeru itu, semua ahli digesa tidak hanya ‘berbicara sekadar untuk berbicara’, dan mesti berubah daripada yang fasad (buruk) kepada yang jauh lebih baik. Dr Razak juga mengimbau sirah perjuangan ABIM dengan menyatakan bahawa perlunya watak unggul generasi Khaira Ummah dan kehalusan akal budi diperjuangkan oleh angkatan belia baru: belia Ulul Albab. 

* Untuk kupasan ringkas berkenaan Ijtimak Harakiy PKPIM-ABIM-WADAH 2011, boleh rujuk pautan ini: Sekitar Ijtimak Harakiy PKPIM-ABIM-WADAH.
_________________________________________________



2.9. Era Mengimbangi Fiqhul Waqi’ dan Fiqhun Nusus serta Pengukuhan Semula Hubungan Antarabangsa.
Sewaktu Muktamar Sanawi (Mesyuarat Agung Tahunan) ABIM ke-40 yang dianjurkan di Kolej Dar Al Hikmah, Sungai Ramal, Saudara Haji Amidi Datuk Haji Abdul Manan telah diangkat selaku Presiden ABIM kelapan (bagi sesi 2011/2012). Muktamar Sanawi ke-40 ABIM tersebut mengangkat tema ‘Memacu Wawasan Tamadun Khayra Ummah’. Sekali lagi, Saudara Amidi dilantik sebagai Presiden ABIM untuk sesi 2013/2014. Saudara Amidi merupakan mantan Presiden PKPIM sesi 1997/1998 dan sesi 1998/1999. Beliau juga pernah dilantik menjadi YDP ABIM Pahang untuk sesi 2005-2009. 

Beliau pernah menukilkan bahawa, “…Budaya ilmu seharusnya mengandungi rantaian tindakan yang berupa pemikiran, nilai, amalan dan rangka kerja yang berteraskan ilmu. Mungkin tempoh 3 hingga 6 tahun di pusat pengajian tinggi amat singkat untuk memahami dan mengamalkan dengan sebenar-benarnya budaya ilmu, namun benih kesedaran perlu disemai bagi melahirkan generasi Mahasiswa Malaysia yang perkasa.”

Menurut Saudra Haji Amidi, sebagai sebuah pertubuhan belia, ABIM perlu menyesuaikan semula setiap gerak kerja yang dirancang supaya bersesuaian dengan akta berkenaan. ABIM akan lebih menumpukan usaha mempergiatkan gerakan dakwah, mendekati masyarakat terutama generasi muda menjadikan Islam sebagai cara hidup mengikut kesesuaian semasa khasnya dalam era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Di bawah kepimpinan Haji Amidi, ABIM menekankan bahawa perlunya keganasan politik ditolak dan politik matang dijulang. Haji Amidi menggesa semua pihak termasuk parti politik agar menghentikan gejala keganasan politik sambil menambah insiden itu boleh diatasi sekiranya rakyat berpegang kepada prinsip “negara barakah”. Prinsip negara barakah mengangkat tinggi prinsip, nilai akhlak, etika dan moral. Di bawah kepimpinan beliau, gerakan dakwah ABIM kini tidak lagi tertumpu pendekatan Amal Jama’i (amal yang dilakukan secara bersama dan tersusun dalam sebuah gerakan dakwah), tetapi mengalami proses transformasi yang menjadikan dakwah lebih segar, baru dan sesuai dengan watak anak muda hari ini. 
_________________________________________________

Lagu ABIM:
__________________________________________






 3.0. Syed Muhammad Naquib al-Attas: Tokoh Cendekiawan Ulung.
Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas lahir di Bogor dan mendapat pendidikan awal di Sukabumi dan Johor Bahru. Kemudian belia menuntut di Royal Militrary Academi, Sandhurst, England sebelum pergi ke Universiti Malaya, Singapura. Beliaulah orang yang mengilhamkan logo ABIM dan mencetuskan idea penerbitan dan penamaan Risalah ABIM. Beliau dianugerahkan Ijazah Sarjana (Cemerlang) dalam bidang Falsafah Islam di Universiti Mc Gill, Kanada pada 1962 dan Ph.D dari University of London dalam bidang teologi dan metafizik Islam. Beliau menjadi salah seorang pengasas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) apabila universiti itu ditubuhkan. Di situ, beliau memegang pelbagai jawatan selain daripada jawatan-jawatan di Universiti Malaya dan di universiti-universiti lain di luar Negara sebagai profesor pelawat. Professor Muhammad Naquib mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang akademik dan beliau telah menulis lebih daripada dua puluh judul buku dalam bidang falsafah, metafizik, sejarah, kesusasteraan, seni, pendidikan dan peradaban. Banyak hasil tulisannya diterjemah ke dalam pelbagai bahasa di dunia.

Sebagai cendekiawan Islam beliau telah memberi sumbangan yang tidak ternilai terhadap pengislaman ilmu dan juga pendidikan Islam. Dalam ABIM, beliau menjadi orang yang bertanggungjawab mengasaskan landasan dan hala tuju intelektualnya melalui siri ceramah dan diskusi ilmu. Prof Dr Syed merupakan Pengasas dan Pengarah Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC). Beliau telah menyumbang dalam bidang keagamaan, bahasa, budaya, kesusasteraan dan mempertingkatkan tahap nasionalisme di Malaysia. Karya-karya beliau dijadikan bahan rujuk dan kajian oleh mahasiswa dan cendekiawan Islam seluruh dunia. Pada 11.05.2011, Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas telah diaugerahkan Tokoh Melayu Terbilang UMNO dalam satu majlis yang diadakan sempena ulangtahun Umno ke-65 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Anugerah disampaikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.
___________________________________________



 4.0. Khatimah.
Empat dasawarsa ABIM sudah bertapak dengan pelbagai program dan amal usahanya,memiliki Taski, sekolah rendah dan menengah serta mempunyai Kolej Dar Al Hikmah, mempunyai hospital, pusat dakwah untuk saudara baru, koperasi belia Islam. ABIM juga mempunyai hubungan antarabangsa yang ikrab dan erat, antara lain dengan: World Assembly of Muslim Youth (WAMY), World Council of Muslim Inter-Faith Relations (WCMIR), International Institute of Islamic Thought (IIIT) dan International Islamic Federation of Islamic Organizations (IIFSO). Sementelahan, ABIM senantiasa menjalinkan hubungan baik dengan gerakan Islam di merata tempat, termasuk Mesir (Ikhwanul Muslimin), Turki (Parti Adalet ve Kalkinma Partisi atau Parti Keadilan dan Kesejahteraan: AKP), Arab Saudi (Rabitah Islami), Pakistan (Jamaat e-Islami), Bangladesh (Bangladesh Islami Chhatra Shibir), Australia (Australian Federation of Islamic Council: AFIC), dan England (The Islamic Foundation). Untuk regional, jelas, ABIM mempunyai jalinan yang mesra dengan gerakan dakwah di Indonesia, bukan hanya dengan Dewan Dakwah Islamiyah (Indonesia), tetapi juga Regional Islamic Southeast Asia and the Pacific (RISEAP), Council of ASEAN Youth Coordination (CAYC), ASEAN Muslim Secretariat (AMSEC), Muhammadiyah, Nadhatul Ulama (Indonesia), Young Muslim Association of Thailand (YMAT), Darul Arqam Singapura, Ikatan Cendekiawan Muslim Indonesia (ICMI) dan Majlis Ulama Indonesia.

Apalagi setelah adanya PKPIM, ABIM yang kini dipimpin oleh kini dipimpin oleh generasi belia di bawah usia 40an dengan; berserta panduan berguna daripada ahli-ahli senior dalam WADAH. Tuntasnya, dalam soal menggambarkan sejarah dan perjuangan ABIM, molek kiranya kita menghayati kata-kata hikmah ungkapan Dr Siddiq Fadzil pada tahun 1982 ini: “...Gerakan kita terangkai dalam kesinambungan siri perjuangan para mursalin dan mujahidin di sepanjang usia dunia yang pada pokoknya membawa misi yang sama: membawa manusia mengabdikan diri seutuh dan setulusnya kepada Allah, mengabdi dalam erti yang setulen dan seluas-luasnya, tunduk dan akur sepenuhnya kepada ajaran Samawi, patuh dan setia sebulat-bulatnya kepada tatahidup rabbani.” Julang semangat zaman. Khalas.

********************************

**********************************
Entri-entri berkaitan:
1.     Untuk sejarah ringkas ABIM, boleh rujuk pautan ini: http://chedinsphere.blogspot.com/2010/12/sejarah-angkatan-belia-islam-malaysia.html.
2.     Wacana ke-15 Sinar Harian: Peranan Ulama Menasihati Pemimpin: http://chedinsphere.blogspot.com/2012/10/wacana-ke-15-sinar-harian-peranan-ulama.html?spref=fb.
3.     Teks ucapan kemerdekaan oleh Ustaz Siddiq Fadzil: http://chedinsphere.blogspot.com/2012/08/mensyukuri-nikmat-menginsafi-amanat.html.
4.     Peluncuran buku Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat: http://chedinsphere.blogspot.com/2012/07/buku-islam-dan-melayu-martabat-umat-dan.html.
5.     Peluncuran buku Yusuf Qaradhawi dan Kebangkitan Rakyat: http://chedinsphere.blogspot.com/2012/08/sekitar-majlis-diskusi-dan-peluncuran.html.
7.     Pelancaran Tabung Bosnia ABIM pada 1992: http://chedinsphere.blogspot.com/2012/10/9hb-jun-1992-pelancaran-tabung-bosnia.html.
8.     Sedikit tulisan berkenaan Grup Peguam ABIM (GPA): http://chedinsphere.blogspot.com/2012/08/abim-dilantik-sebagai-pengerusi-ujn.html.

**********************************

Sumber dan Pautan:

Sumber daripada bahan bercetak (buku, majalah dan jurnal):
  1. Ahmad Awang. Islam di Malaysia: Cabaran Sepanjang 80-an, 15 Januari 1980. Dewan Masyarakat;  
  2. Badlihisham Mohd Nasir, Da’wah And The Malaysian Islamic Movements, 2003. Semenyih: Synergymate Sdn. Bhd.;
  3. Badlihisham Mohd Nasir, Dinamisme Gerakan Islam Dan Cabaran Semasa, 2008. Shah Alam Karisma Publication Sdn. Bhd.;
  4. Buku-buku tulisan Ahmad Luthfi Othman “Memo Buat Bakal PM” (1993); “Anwar Lawan Ghafar” (1993); “Layakkah Anwar Ketuai Reformasi?” (1998); “Anwar : Skandal Seks atau Konspirasi Poitik” (1998) dan “Anwar Boneka Barat?” (1999);
  5. Chandra Muzaffar. Islamic Resurgence in Malaysia, 1987. Petaling Jaya: Penerbit fajar Bakti Sdn Bhd.;
  6. Mohamad Fauzi Zakaria. Pengaruh Pemikiran Assyahid Sayyid Qutb Terhadap Gerakan Islam di Malaysia, 2007. Kuala Lumpur: Jundi Resources;
  7. Mohd Aizat Mohd Salleh al-Hafiz. Pemikiran Tuan Guru, 2011. PTS Millennia Sdn Bhd.;
  8. Riduan Mohammad Nor. Terbitan Sejarah & Perkembangan Gerakan Islam Abad Moden, 2007. MHI Publication;
  9. S.Husin Ali. The Malays: Their Problems and Future, 1981. Petaling Jaya: Heinemann Educational Books (Asia) Ltd.;
  10. S. H. Al-Attas. Anwar Ibrahim : Wira, Juara atau Penderhaka, 1999. Jaharah Enterprise;
  11. Syaikh Yusuf al-Qaradhawi. Kebangkitan Gerakan Islam: Dari Masa Transisi Menuju Kematangan (al-Shahwah al-Islamiyyah min al-Murahiqah ila al-Rusyd), 2003. Jakarta: Pustaka al-Kautsar; dan
  12. Syed Naquib, Al-Attas. Islam and Secularism, 1978. Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia.
Sumber daripada Internet:
  1. Dari belia gusar ke dewasa matang;
  2. http://adiselmerbawiy.blogspot.com;
  3. http://ahmadazam.blogspot.com/;
  4. http://anwaribrahimblog.com/;
  5. http://belia.org.my/content/view/537/43/;
  6. http://drhalimahali-bloggerlist.blogspot.com;
  7. http://en.wikipedia.org/wiki/Anwar_Ibrahim;
  8. http://ensiklopedia-bahasa-malaysia.jbdirectory.com/Pergerakan_Pemuda_UMNO;
  9. Gambar ahli-ahli Tamrin di Derang;
  10. http://ms.wikipedia.org/wiki/Angkatan_Belia_Islam_Malaysia;
  11. http://pahangdaily.blogspot.com/2008/10/galeri-kenangan-zaman-kegemilangan.html;
  12.  http://www.abim.org.my/component/content/article/6-laporan-aktiviti/102-islamisasi-jana-perubahan-positif-presiden-abim.html ;
  13. http://www.anwaraidc.com/?p=10989; dan
  14. http://www.pemudaumno.org.my/index.php .

23 ulasan:

  1. terima kasih untuk artikel yang sangat lengkap, tapi saya mengharap sangat ada penceritaan mengenai kewujudan JIM yg berasal dari ABIM akibat kemasukan DSAI ke dalam UMNO. bagi saya kejadian itu yang sebenarnya mencetus dan mencorak lanskap pergerakan Islam di Malaysia pada masa kini.

    BalasPadam
  2. hanafi: tanya kepada orang JIM. papepun sejarah telah berlaku. kita elak permusuhan menghalang usaha dakwah kita

    che din: i want to know u better. can I? aliflamrabayaain@gmail.com

    BalasPadam
  3. Brother Hanafi :: Ya, saya sedang mengumpul bahan mengenai JIM (IRC). In sya ALLAH, akan saya ikhtiarkan untuk publish dalam entri akan datang. :)

    BalasPadam
  4. Brother Muhammad :: Saya sederhana sahaja. Insan kerdil yang masih belajar erti kehidupan.

    Nak kenal? Apa salahnya. Ini emel saya: hujjahpawana@yahoo.com :)

    BalasPadam
  5. Salam perkenalan :), mungkin juga anda bleh kaji, mengapa JIM Berpecah menjadi ISMA dan yg pasti ia tidak berkaitan dgn Anwar Ibrahim he2

    BalasPadam
  6. Brother Syahiran :: Salam ukhwah. :) Ya, masih mengumpul bahan berkenaan IRC, JIM dan ISMA. Kebanyakkan sumber agak 'bias'.

    Maksud saya, lebih banyak menghentam IRC dan JIM.

    Saya sedang ikhtiar untuk cari sumber yang independent. In sya ALLAH akan saya kongsi jika sudah siap adunannya. :)

    BalasPadam
  7. tahniah.. satu kupasan dan berserta gambar yang terhad.
    mohon izin tampal di blog.
    imayu05.blogspot.com

    terima kasih.

    BalasPadam
  8. Mabruk! Tahniah atas pengkisahan yang ringkas tapi padat dan tepat. Cuma Logo ABIM yang diletakkan di blog ni bukan logo yang asal seperti yang direkabentuk oleh Prof Naquib. Cuba semak semula di laman sesawang ABIM.

    BalasPadam
  9. Nur Ruzana Kamarudin Sohaimi :: Terima kasih untuk pujian dan teguran. Saya sederhana sahaja. :)

    * Saya masih belum menjumpai logo asal ABIM. Memang tercari-cari juga. hehe. Kalau ada pautannya, harap boleh dikongsikan dengan saya ya. Terima kasih. :)

    BalasPadam
  10. Abang Radin :: Silakan. Salinlah mana yang berkenan.

    Moga ada manfaatnya, in sya ALLAH. :)

    BalasPadam
  11. Ya, sudah ketemu logo asal ABIM. heh. Alhamdulillah. :)

    BalasPadam
  12. TERINGIN NAK AMIK GAMBAR DALAM BLOG NI,TUK BAHAN PENGKISAHAN ABIM DAN ABIM KEDAH. MOHON PANDUAN

    ZUL AZRI SANI
    YDP KEDAH (019-4054068)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam, Syeikh. Boleh klik pada gambar sambil tekan butang Ctrl pada papan kekunci. Kemudian tekan "save as".

      Atau, boleh berikan alamat emel? Nanti saya emelkan, in sya ALLAH. :)

      Padam
  13. SYUKRAN SYIEKH !
    ANA NAK DUA2, BOLE KAN ?

    EMEL ANA : danfodio27@gmail.com

    BalasPadam
  14. Salam che din ... saya berminat dgn kisah ini dan teringin utk membuat skrip .... seperti di negara luar kisah perjuangan lah yang dijadikan ideologi utk teruskan perjuangan tp skrip perfileman kita terlalu kearah ideologi sebelah kanan .. haluan kiri asyik dihetam sahaja ...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam alaik.

      In sya ALLAH, pihak ABIM sedang berikhtiar mengumpul bahan untuk tujuan penghasilan manuskrip-buku. Apabila sudah diterbitkan kelak, bolehlah dijadikan bahan rujukan yang lebih baik.

      * Entri saya ini sederhana saja. Mungkin kurang sesuai dijadikan rujukan. :)

      Padam
  15. Assalamulaikum, Baarakallahu laka atas tulisan ini. Belum baca habis. Cuma ttg saya sedikit pembetulan. Saya takernah menjawat naib ketua pemuda ataupun mpt parti keadilan

    BalasPadam
  16. Assalamulaikum, Baarakallahu laka atas tulisan ini. Belum baca habis. Cuma ttg saya sedikit pembetulan. Saya takernah menjawat naib ketua pemuda ataupun mpt parti keadilan

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam alaik. Terima kasih atas respon yang baik, Dr Yusri.

      Maaf tentang kesilapan info, akan saya perbetulkan. :)

      Padam
  17. Che Din..bagaimana dengan HALUAN atau dulunya dikenali sebagai ABIM Perlis atau Group Ustaz Dahlan...HALUAN juga banyak sumbangan untuk ummah di Malaysia

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam, Tuan. Tanpa menafikan jasa mana-mana gerakan Islam, baik Darul Arqam, Tabligh, JIM, IKRAM, ISMA, HALUAN mahupun yang lain, setiap jamaah ada sahamnya dalam menyebar-luaskan Islam di Malaysia.

      Cuma, untuk entri yang ini, saya membuat sedikit kajian ringkas berkenaan sejarah ABIM dan sumbangannya.

      :)

      Padam
  18. Assalam CikDin,
    Saya berminat untuk menggunakan gambar penglibatan Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas bersama ABIM. Sebelum tu, saya ingin mohon keizinan Cik Din terlebih dahulu. Bole ke Tuan?

    BalasPadam

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...