Sabtu, Januari 01, 2011

Tun Ghafar Baba: Dari penjual kayu api ke Parlimen.


Tun Abdul Ghafar bin Baba (18 Februari 1925 - 23 April 2006) merupakan Timbalan Perdana Menteri di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Abdul Ghafar bin Baba mula memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 10 Mei 1986 sehingga 15 Oktober 1993. Kehadiran beliau dilihat sebagai tokoh penstabil politik Malaysia, ikon 'tokoh politik kampungan' yang berjiwa Melayu tulen.


--------------------------------------------------

Kehidupan awal
Beliau dilahirkan pada 18 Februari 1925 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Bapanya bernama Baba Abdullah berasal dari Sungai Udang, Melaka dan ibunya, Saodah Saleh dari Kampung Bemban, Melaka. Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba membesar dalam sebuah keluarga yang susah. Bapanya melakukan pelbagai bidang pekerjaan termasuk sebagai penarik beca, kereta lembu dan penoreh getah. Allahyarham Abdul Ghafar adalah anak yang keenam daripada sembilan orang adik-beradik. Beliau menjadi anak yatim piatu ketika berumur lapan tahun. Sejak itu, Allahyarham Tun Abdul Ghafar tinggal bersama bapa saudaranya. Beliau menjaja ubi kayu di Melaka untuk menambah pendapatan keluarga.

______________________________________________



Beliau terpaksa berdikari bagi menampung perbelanjaan hariannya dengan menjadi ‘Caddy’, pemungut bola golf dan penjual kayu api. Ketika usia 14 tahun, beliau menjadi pemungut bola golf dan bola tenis golongan atasan seperti Yang di-Pertuan Agong pertama, Tunku Abdul Rahman. Ketika berumur 34 tahun, beliau menjadi Ketua Menteri Melaka dan duduk semeja dengan Tunku Abdul Rahman apabila menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara.


______________________________________________


Pendidikan
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kuala Pilah (1931 - 1936) dan dan Sekolah Melayu Tangga Batu (1937 - 1940), Melaka. Kemudian beliau menyambung pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris (kini Universiti Pendidikan Sultan Idris), Tanjung Malim (1946 - 1949). Beliau memulakan kerjaya sebagai seorang guru (1949 - 1955) sebelum beralih sepenuhnya kepada kerjaya politik (1955 - 2004).

______________________________________________


Keluarga
Beliau berkahwin dengan Allahyarhamah Toh Puan Hajjah Asmah binti Alang dan kemudian berkahwin dengan Dayang Heryati binti Abdul Rahim pada tahun 1992, tetapi bercerai pada tahun 2003. Beliau dikurniakan 11 orang anak. Antaranya ialah bekas ahli parlimen Batu Berendam , Dato Tamrin Abdul Ghafar dan anak bongsu, Kartika Sri. Tiga anaknya telah meninggal dunia.

______________________________________________


Politik
Tun Ghafar Baba mula mengorak langkah untuk memperjuangkan nasib bangsa dan negara Malaysia, apabila melibatkan diri dalam politik pada tahun 1940 dengan menyertai Kesatuan Melayu Muda (KMM) di Melaka ketika berusia 15 tahun. Kemudian aktif dalam PKMM sejak 1945 hingga 1948.

______________________________________________



Beliau cukup yakin dengan peranan PKMM bagi membela nasib orang-orang Melayu. Beliau sering menghadiri perhimpunan dan mendengar ceramah dari tokoh-tokoh PKMM seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestaman, Ishak Muhamad dan lain-lain. Tokoh-tokoh ini sering melawat ke negeri Melaka.


______________________________________________



Pada 1955, Tun Ghafar menyertai UMNO di Melaka. Kira-kira 11 tahun kemudian, bintang politik beliau semakin terserlah apabila memegang beberapa jawatan seperti Setiausaha UMNO Melaka, Pengerusi UMNO Melaka, Pegawai Penerangan UMNO Malaya, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Naib Presiden UMNO (1962-1987), Ketua Perhubungan UMNO Sabah (1991), Pengerusi BN Sabah (1992), dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (1974-1993).


______________________________________________



Beliau mula terbabit secara sepenuh masa dalam politik dengan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri Melaka Luar pada pilihan raya umum pertama 1955. Kawasan pilihan raya terakhir yang diwakilinya ialah kawasan Parlimen Batu Berendam di Melaka yang dimenanginya pada pilihan raya umum 1999. Beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka atau Ahli Parlimen Jasin selama 49 tahun berturut-turut, menerusi 11 pilihan raya umum sejak 1955 hingga 1999.


______________________________________________


Dari kiri: Ahmad Boestamam, Pak Sako dan Dr Burhanuddin Al-Helmy, tokoh kemerdekaan negara.
Beliau merupakan antara kepimpinan UMNO yang telah berkhidmat di bawah 3 Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Mahathir. Beliau keluar kabinet selama 10 tahun apabila Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri. Apabila Tun Dr. Mahathir dilantik Perdana Menteri beliau masih berada di luar kerajaan dan hanya masuk kembali pada tahun 1986 apabila Tun Musa Hitam meletakkan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

______________________________________________


MARA
Ghafar Baba pernah menjadi pengerusi MARA yang pertama dari 1 September 1967 hingga 31 Oktober 1971 bagi meninggikan martabat ekonomi orang Melayu. Beliau juga merupakan pengasas Kolej MARA (1972), Institut Kemahiran Mara, Yayasan Pelajaran Mara dan ITM yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Utusan Melayu (M) Bhd dan Kompleks Kewangan selama 10 tahun bermula 1 September 1976 hingga 1986 apabila dilantik Timbalan Perdana Menteri.

______________________________________________


Masalah kepimpinan MCA
Ghafar merupakan satu-satunya pemimpin UMNO yang diberi kepercayaan menerajui MCA sebagai pemangku Presiden MCA selama 10 bulan ketika parti berasaskan kaum Cina itu dilanda krisis akibat perebutan kuasa antara presidennya ketika itu, Tan Koon Swan dan bekas presiden, Tan Sri Dr Neo Yee Pan. Peranan Ghafar sebagai orang tengah sewaktu parti MCA menghadapi krisis kepimpinan pada tahun 1984 menjadikannya seorang yang tersayang kepada parti tersebut. Setiap tahun, pemimpin MCA akan pergi ke rumah Ghafar untuk meraikan hari jadinya dan berseloroh untuk mengatakan bahawa beliau pernah menjadi "presiden sementara" mereka. Allahyarham turut dilihat sebagai ‘faktor penstabil’ (stabilising factor) kepada parti komponen Barisan Nasional berdasarkan sifat rasional dan pemikiran matang Allahyarham, terutama apabila berhadapan dengan isu-isu sensitif berkaitan agama, kaum, budaya dan bahasa.

______________________________________________



Ketua Menteri Melaka

Seawal 1959 Tun Ghafar menolak tawaran jawatan Ketua Menteri Melaka sehingga memaksa Perdana Menteri Malaysia ketika itu Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj mengancam untuk membiarkan negeri itu tanpa Ketua Menteri. Ghafar akhirnya akur dengan kehendak Tunku dan memegang jawatan itu selama lapan (1959-1967) tahun.

______________________________________________


Menolak jawatan Menteri
Pada 1974 Tun Ghafar meninggalkan kabinet pimpinan Perdana Menteri Tun Hussein Onn . Pada 1981 menolak jawatan Menteri Pelajaran yang ditawarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Antara jawatan yang disandangnya ialah Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Pada 1989 Tun Ghafar memangku jawatan Perdana Menteri semasa Dr. Mahathir menjalani pembedahan jantung.

______________________________________________


Timbalan Perdana Menteri
Dalam pemilihan Perhimpunan Agung UMNO 1987, beliau berjaya mengalahkan Musa Hitam bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO dengan majoriti tipis, 40 undi. Encik Ghafar Baba dilantik oleh Dr Mahathir Mohamad menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia selepas Musa Hitam meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 1987. Pada 1993, Tun Ghafar berundur daripada jawatan Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri apabila kedudukannya sebagai Timbalan Presiden UMNO dicabar oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tujuannya bagi mengelak perpecahan dalam parti dan mempertahankan kestabilan negara. Surat perletakan jawatan ditulis pada kertas Penerbangan Malaysia di bilik VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Subang untuk berlepas ke Korea Selatan bagi tugas rasmi.

Pada tahun tersebut, 95% ahli UMNO menyokong Anwar. 137 daripada 145 mencalonkan Anwar. Ghafar hanya 7 bahagian sahaja. Pasukan yang menentang Tun Ghafar digelar 'Team Wawasan'. Pasukan ini terbentuk daripada satu kumpulan atau pakatan politik dalaman yang diketuai oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam Pemilihan UMNO 1993 yang memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO tanpa bertanding oleh sebab Tun Ghafar Baba menarik diri. Ia juga terdiri daripada individu seperti Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Muhammad Haji Muhd Taib yang mana mereka telah memenangi jawatan Naib Presiden UMNO. Team Wawasan dikaitkan dengan Wawasan 2020 yang diperkenalkan oleh Tun Mahathir Mohamad yang ketika itu sebagai Presiden UMNO.

______________________________________________


Jawatan

  • Setiausaha Kesatuan guru-guru (1949 – 1951);
  • Setiausaha UMNO Melaka (1951 – 1955);
  • Pengerusi UMNO Melaka (1955 – 1973);
  • Ketua Menteri Melaka (1959 – 1967);
  • Ahli Majlis Tertinggi UMNO (1957 – 1993);
  • Ketua Penerangan UMNO (1958 – 1962);
  • Naib Presiden UMNO (1962 – 1987);
  • Presiden de facto MCA pada tahun 1985 (MCA mengalami krisis kepimpinan pada 1985 dan 1986);
  • Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri (1986 – 1993).


______________________________________________


Penghargaan
Tun Ghafar Baba enggan menerima sebarang gelaran datuk atau pingat daripada mana-mana sultan. Tambahan pula Melaka tidak mempunyai sultan atau raja kecuali Yang diPertua Negeri Melaka. Sehingga akhir hayatnya beliau dipanggil Encik Ghafar sahaja. Beliau menerima gelaran Tun selepas bersara sepenuhnya daripada politik. Sekolah Menengah Kebangsaan Ghafar Baba di Masjid Tanah, Melaka juga dinamakan sempena nama beliau. Nama asal sekolah ini ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Masjid Tanah. Encik Abdul Ghafar bin Baba selaku Ketua Menteri Melaka telah meletakkan batu asas pada 24 September 1962.

MRSM Jasin ditukar nama kepada MRSM Tun Ghafar Baba pada 27 Julai 2006 selepas beliau meninggal dunia bagi mengenang jasa beliau. Majlis penjenamaan semula itu dilakukan oleh Menteri Pembangunan Usahawan & Koperasi, Y.B Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin. Muzium Tun Abdul Ghafar merupakan rumah asal beliau di Jasin, Melaka. Enam Felda di Melaka dinamakan semula sempena nama Tun Abdul ghafar iaitu Felda Tun Ghafar Machap, Felda Tun Ghafar Hutan Percha, Felda Tun Ghafar Menggong, Felda Tun Ghafar Kemendor, Felda Tun Ghafar Air Kangkong dan Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh. Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perkara itu pada 7 April 2007.

______________________________________________


Meninggal dunia
Pada 23 April 2006. Beliau meninggal dunia di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada pukul 7:35 pagi kerana komplikasi jantung, paru-paru dan buah pinggang. Beliau berusia 81 tahun ketika menghembuskan nafas terakhirnya. Jenazah beliau dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur. Turut hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bekas isterinya Dayang Heryati binti Abdul Rahim.Sembahyang jenazah diketuai oleh Imam Besar Masjid Negara, Datuk Kamaruddin Zakaria dan pengkebumian diketuai oleh Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Wan Halim Wan Harun.

Tun Abdul Ghafar merupakan Negarawan ke-4 disemadikan di bawah kubah Makam Pahlawan selepas Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn. Jenazah lain ialah Tan Sri Syed Jaafar Albar, Allahyarham Tun Syed Nasir Syed Ismail, Allahyarham Tun Sardon Jubir, Allahyarham Tan Sri Mohd Noah Omar dan Allahyarham Tan Sri Abdul Kadir Yusof. Sungguhpun pepatah lama ada mengatakan ‘patah tumbuh hilang berganti’, namun pemergian Allahyarham Tun Abd Ghafar Baba awal pagi semalam bagaikan kehilangan sebutir permata yang tidak mungkin akan dapat dicari ganti. Pemergian buat selama-lamanya Allahyarham Tun Abd Ghafar Baba bukan saja ditangisi ahli keluarganya, malahan jutaan rakyat Malaysia turut merasakan satu kehilangan yang tidak akan ada pengganti. Semoga roh Allahyarham akan dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan para solehin.

______________________________________________



** Nota Kaki :: Pada suatu ketika, Tun Ghafar pernah ditanya, bagaimana beliau boleh meninggalkan kuasa, status dan gelaran yang direbutkan oleh orang lain. Allahyarham Tun Ghafar menjawab: “Saya sukakan kehidupan yang biasa, membawa kereta saya sendiri dan boleh berhenti di tepi jalan untuk makan rojak di bawah pokok.”


Al-Fatihah!


----------------------------------------------


Sumber dan pautan:
i. Halim Mahmood. Senario Pemilihan UMNO. Semenyih: Marwilis Publisher, 1986;

ii. Kamal Amir. Era Melayu Baru. Petaling Jaya: Warkah Tulin Sdn Bhd, 1993;

iii. Kamal Amir. Episod Gelora Melayu. Petaling Jaya: Putrajaya Bumi Communications Sdn Bhd, 2007;

iv. Ruhanie Haji Ahmad. Musa Hitam: Serene in the Storm. Petaling Jaya: Media Indah Sdn Bhd, 1987;

v. Subky Latif. Istimewa Terkenang: Siri Koleksi Rencana Terpilih Siasah. Kuala Lumpur: Media Icon Sdn Bhd, 2009;

vi. Syed Hussein Al-Attas. Musa A Traitor?. Kuala Lumpur: AlNujum Sdn Bhd, 1986;

vii. Yahaya Ismail. Siapa Kebal: Mahathir atau Raja-Raja Melayu?. Kuala Lumpur: Dinamika Kreatif Sdn. Bhd., 1993;

viii. Yahaya Ismail. Siapa Presiden UMNO 1987: Mahathir-Tengku Razaleigh?. Kuala Lumpur: Dinamika Kreatif Sdn. Bhd., 1987;

ix. Zabidi Mohamed. Lelaki UMNO Terakhir: Iktibar Untuk Pejuang Islam. Kuala Lumpur: Zabidi Publication, 1999;

x. Zainuddin Maidin. Mahathir Di Sebalik Tabir. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, 1994;

xi. Zakri Abadi. Mahathir Machiavelli Malaysia?. Kuala Lumpur: Sarjana Enterprise, 1990;

xii. http://wikien4.appspot.com/wiki/Ghafar_Baba ; dan

xiii. http://ms.wikipedia.org/wiki/Abdul_Ghafar_bin_Baba .

2 ulasan:

  1. this guy is a good man. sanggup mengundur diri demi kepentingan semua.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum Tun. Al-Fatihah sekudusnya, buat negarawan kita ini.

      Padam

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...