Isnin, September 30, 2013

Piala Sultan Selangor 2013, Stadium Shah Alam.


Perlawanan terakhir Wak Am?
Amri Yahyah dan Ultras Selangor.
Tepukan terakhir Wak Am sebagai pemain Selangor?
Mahalli Jasuli dan Amri Yahyah.
I
Selama beberapa musim – seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diraikan setahun hanya sekali – Perlawanan Piala Sultan Selangor memang ditunggu-tunggu oleh peminat bola sepak Merah-Kuning secara umumnya. Stadium Shah Alam yang besar, kebiasaannya lengang, akan kembali penuh sewaktu perlawanan piala tersebut.
Selain pasukan Pilihan Selangor yang kebiasaannya dibarisi oleh beberapa pemain bintang jemputan, sentimen ‘perseteruan’ yang melingkari sejarah epik bola sepak Selangor-Singapura sejak sebelum merdeka lagi, membuatkan ramai terpanggil untuk menyaksikannya secara langsung setiap tahun.
Kendatipun, pada tahun ini, Selangor FA mempertaruhkan skuad utama mereka, dan tidak membariskan pemain bintang daripada pasukan lain seperti sebelumnya.
Dalam perlawanan tersebut, Pilihan Selangor berjaya muncul juara Piala Sultan Selangor buat kali keenam apabila menumpaskan Pilihan Singapura 3-2 bagi saingan edisi ke-12 di Stadium Shah Alam.
Sebelum ini Pilihan Selangor telah berjaya meraih kejuaraan pada 2001, 2003, 2005, 2008 dan 2012, kemenangan semalam juga menyaksikan mereka mengatasi Pilihan Singapura yang pernah muncul juara sebanyak lima kali pada 2006, 2007, 2009, 2010 dan 2011. Kedua-dua pasukan pernah meraih kejuaraan bersama pada 2004.
Turut hadir pada malam tersebut ialah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang hadir mengiringi DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan mencemar duli bagi menyaksikan perlawanan yang menemukan dua musuh tradisi Liga Malaysia suatu ketika dahulu.
Kenangan.
Pengubat duka peminat The Red Giants.
DYMM Sultan Selangor memperkatakan sesuatu kepada Wak Am.
MB Selangor bersalaman dengan para pemain Selangor FA.
Selangor menurunkan skuad utama 2013.
II
Biarpun bergelut dengan isu peletakan ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim, pasukan Merah Kuning ternyata beraksi cemerlang untuk tidak mengecewakan kurang-lebih 60,000 penonton yang hadir malam itu.
Pasukan bimbingan jurulatih, P. Maniam itu muncul juara hasil dua jaringan tonggak penyerang import Francis Forkey Doe dan satu gol dari pemain import pertahanan, Adam Griffith. Dalam aksi yang disaksikan kira-kira 60,000 penyokong itu, Pilihan Selangor tersentak dengan jaringan Pilihan Singapura apabila penyerang veteran, Aleksander Duric pada minit kelima tatkala mereka masih lagi mencari rentak untuk mempamerkan permainan mantap.
Usaha keras Selangor untuk mencari gol penyamaan akhirnya berhasil apabila pemain import, Adam Griffith mudah menanduk masuk hantaran lambung Mahali dari sebelah kanan pada minit ke-40.
Pada minit ke-54 Selangor berjaya berada di depan apabila Forkey Doe merembat kencang bola dari dalam petak penalti selepas mendapat hantaran pendek Amri Yahyah.
Pilihan Singapura berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-70 melalui sepakan penalti Kamel Ramdani. Ramdani sebelum itu dikasari Fitri di dalam petak penalti.
Kegembiraan Pilihan Singapura tidak lama, apabila Forkey Doe berjaya menjaringkan gol keduanya hasil rembatan lencong dari luar petak penalti menewaskan Hassan yang dilihat sedikit ke depan dari posisinya.
Kesebelasan utama dibarisi Asharuddin Putra Omar, Norazlan Razali, Mohd Amri Yahyah, Mahali Jasuli, Adam Griffith, Forkey Doe, S.Kunalan, K.Gurusamy, Mohd Nashriq Baharom, Mohd Fitri Shazwan dan S.Veenod.
Pasukan Selangor membawa pulang trofi dan wang tunai RM50,000 yang disampaikan baginda sejurus tamat permainan.

Skuad Veteran Selangor. Lagenda.
Zainal Abidin Hassan, terkenal dengan gelaran 'Chief'.
Para lagenda bersalaman.
III
Pada malam itu, peminat bola sepak tempatan turut dihiburkan dengan perlawanan antara pasukan Veteran Selangor menentang Veteran Singapura. Veteran Singapura berjaya mengekalkan kemenangan yang dicatatkan tahun lalu, apabila mereka menang tipis 1-0 menewaskan Veteran Selangor hasil jaringan Rafi Ali pada minit ke-17.
  • Veteran Selangor: Rashid Hassan (penjaga gol); K Gunalan; Soh Chin Aun; Shahril Arsat; Zolkifli Ahmad; Dollah Salleh; Azlan Johar; Abdul Muin Rahim; Kamaruzaman Yusuf; Annuar Abu Bakar; Zainal Hassan; Low Kok; P Maniam; Somasundram; Talib Sulaiman; Yap Kam Choon; K. Sanbagamaran; Wan Mustapha; dan Khalid Ali. Jurulatih: Khalid Ali; Pengurus: Wong Choon Wah. 
  • Veteran Singapura: Shahri Rahim (penjaga gol); Iham Riduan; Rafi Ali; Ho Kwang Hock; Razali Saad; Dalis Supait; R Suriamurthy; Nahar Daud; Tay Peng Kee; Malek Awab; Ahmad Sayuti; Leong Kok Fan; Ishak Saad; Zulkarnaen Zainal; Don Ang; Syed Faruk; Fandi Ahmad; Robert Sim; dan Yusman Yusof. Jurulatih: Samad Allapitchay; Pengurus: Fandi Ahmad.

Saya, Ammar dan lelaki misteri. heh.
Wak Am (Ammar Asrafi). hehe. Penuh bersemangat pada malam tersebut.
Piala Sultan Selangor 2013. Kenangan. Abah, saya, Ammar, Haikal, Aiman dan Azreq.
Bro Azreen Kamarudin, Bro Suhir Ramzi dan Bro Syahrul Niezam: Penyokong setia dan pengumpul tegar jersi Merah-Kuning. Tabik hormat buat mereka.
Bro Razlan Raduan, bersama jersi Match Worn (MW) Khalid Ali yang dipakai ketika Piala Sultan Selangor 2010 - lagenda Selangor FA dan Malaysia. Padu.
Piala Sultan Selangor 2010.
Empat lagenda bersaudara: Abdul Rahman Ali, Hanafiah Ali, Khalid Ali dan Zainal Abidin Hassan. 
Asap daripada suar (flare) yang dinyalakan oleh Ultras Selangor, memenuhi ruang udara SSA.
Situasi yang sangat jarang berlaku: SSA dilimpahi penyokong Selangor.
IV
Isu ‘stadium lengang’ telah membelenggu Stadium Shah Alam dan pasukan The Red Giants sejak kemerosotan prestasi dalam kempen 2013, di mana Selangor gagal mempamerkan aksi konsisten di hadapan peminat mereka. Meskipun menjadi Naib Juara Liga Super 2013 – dengan keputusan seri yang banyak - Selangor terkandas di Peringkat Suku Akhir Piala FA 2013 kepada Johor Darul Takzim FC dengan sepakan penalti; terkandas di Peringkat Kumpulan sewaktu Piala AFC 2013; serta hanya menang sekali sewaktu Peringkat Kumpulan Piala Malaysia.
Keadaan berlarutan apabila jurulatih Haji Irfan Bakti secara mengejut meletak jawatan walaupun berbaki 3 perlawanan lagi dalam kempen Piala Malaysia 2013 - di mana jawatan tersebut diambil alih secara sementara oleh P. Maniam - seakan mahu mengulangi musim 2011 setelah K. Devan juga meletakkan jawatan.
Terdapat beberapa kemungkinan dan faktor yang mendorong kepada lengangnya Stadium Shah Alam musim ini (dan beberapa musim lepas).

Pertama, soal harga tiket. Ada yang merungut bahawa harga tiket di Stadium Shah Alam adalah agak mahal.
Keduanya, faktor lokaliti atau lokasi. Penyokong tegar Merah-Kuning ramai yang duduk luar Lembah Kelang-Shah Alam - jauh.
Ketiga, faktor pengangkutan awam. Kalaupun tinggal berhampiran SSA, dekat, tapi jika tiada kenderaan pun, payah juga nak turun ke SSA, bilamana balik kena ‘menapak’ sendiri.
Keempat, faktor kesungguhan para pemain. Kita perlu faham, bila kita menyebut sistem liga, Selangor FA menjadi Naib Juara Liga Super 2013 bukanlah semata-mata kerana permainan Selangor mantap, tetapi juga atas sebab kelemahan beberapa pasukan lain dalam mengekalkan konsistensi sepanjang musim.
Kelima, pastinya soal permainan yang ditunjukkan para pemain, khususnya ketika kempen Piala Malaysia. Hanya beberapa pemain – antaranya pastilah Amri Yahyah – yang mempamerkan aksi mantap dan bersungguh, berbeda dengan beberapa pemain yang seperti ada yang tidak kena – di mana kewibawaan mereka tidak semenggah dengan aksi yang ditunjukkan. Pada hemat saya, sekiranya pemain beraksi bersungguh-sungguh, penyokong setia pasti akan sanggup mengetepikan keempat-empat faktor di atas.
Keenam, pastinya persepsi berkenaan pengurusan pasukan Selangor beberapa musim ini. Ini lebih berbentuk dakwaan, saya tiada bukti.
Ketujuh, sikap dan mentaliti masyarakat kita. Hanya mahu menyokong ketika menang sahaja. Ini berbalik kepada kos juga. Ya, kalau asyik kalah saja, memang berat juga mahu belanja duit minyak, tol dan tiket ke stadium?

(Ini yang saya nampak. Saya mungkin saja silap. Tapi, saya tetap sokong Selangor).
Isu stadium lengang ini bagaimanapun, tenggelam di balik lautan penyokong berbaju Merah-Kuning yang melimpahi Stadium Shah Alam sewaktu Piala Sultan Selangor. Berita angin bahawa lagenda alaf baru Selangor, Amri Yahyah dan sebahagian besar tonggak The Red Giants yang akan berpindah – selain banyak tiket perlawanan yang diberikan secara percuma – berjaya memaut jiwa peminat untuk hadir ke Stadium Shah Alam memberikan sokongan.
Alangkah indah, sekiranya Stadium Shah Alam sepenuh ini sedari awal musim 2013? 
Alangkah bagus, andai pemain Selangor FA beraksi sebaik malam tersebut sepanjang musim ini?
Jumpa lagi 2014 nanti. Sokong; waktu gagah dan rebah.

Viva Selangor.
--------------------------------------------
Sumber dan Rujukan:
  1. https://www.facebook.com/selangorfc?fref=ts;
  2. https://www.facebook.com/ratu.amri/photos;
  3. http://hazminhamudin.com/piala-sultan-selangor-edisi-ke-12/;
  4. https://www.facebook.com/pages/SELANGOR-FC/108129519229455?ref=ts&fref=ts;
  5. http://m.utusan.com.my/Sukan/20130929/su_02/Pilihan-Selangor-pertahan-kejuaraan;
  6. http://arinortega.blogspot.com/2010/10/sultan-selangor-cup-2010.html;
  7. http://www.flickr.com/photos/shaifulrizal/5114813072/;
  8. http://koleksioldskool.blogspot.com/2010/10/sultan-of-selangors-cup.html.

Layangan kad merah pertama kepada SuperMokh (Allahyarham).

SuperMokh cuba ditenangkan oleh Datuk Mazlan Harun dan Khan Hung Meng, selepas dilayangkan ked merah pertama dan terakhir dalam kerjaya bola sepaknya. 
SuperMokh meluahkan perasaannya dalam akhbar NST berikutan insiden kad merah pertamanya.
Allahyarham Dato’ Mohd Mokhtar bin Dahari – lagenda bola sepak kebangsaan – telah menerima kad merah pertama dan terakhirnya dalam kerjaya bolasepaknya ketika menentang Singapura dalam saingan Piala Malaysia pada 25hb Januari 1981. Selangor ketika itu dilatih oleh jurulatih, M. Chandran dan pengurusnya ialah Mazlan Harun. Penolong Jurulatih Singapura FA ketika itu ialah Ibrahim Awang.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Negara, Singapura itu telah disaksikan oleh kurang-lebih 60,000 orang penonton. Pada malam bersejarah tersebut, angin bertiup agak kuat, sehingga menyebabkan beberapa orang pemain seperti Ho Hon Seong, Khalid Ali dan Zainal Abidin Hassan (Selangor FA) mengalami kekejangan otot.
Jentera serangan skuad Merah-Kuning ditunjangi oleh SuperMokh, Abdullah Ali dan Ho Hon Seong, manakala bahagian depan Singapura menyaksikan Fandi Ahmad, Mohamed Noh dan Quah Kim Song membarisi posisi tersebut bersama serangan yang bertali-arus. Jika bukan kerana ketangkasan Aru The Spiderman (Mendiang Dato’ R. Arumugam), pasti Singapura FA telah berjaya meraikan kemenangan besar pada malam tersebut.
Selain kontroversi layangan kad merah penuh epik kepada SuperMokh, Selangor FA juga telah dinafikan jaringan gol oleh pengadil perlawanan. Mokhtar telah melepaskan satu rembatan kencang bak peluru mengenai jaring gawang gol Singapura. Bagaimanapun, penjaga garisan mengangkat bendera, dan menyatakan bahawa bola yang asalnya dihantar oleh Abdullah Ali kepada Mokhtar telahpun terkeluar daripada permainan terlebih dahulu.
Ketika perlawanan terus berlangsung tegang dan panas, SuperMokh cuba merampas bola dengan melakukan ‘tackle’ kepada pemain Singapura, Lim Tang Boon. Meskipun ‘tackle’ tersebut diakui sebagai ‘bersih’ oleh ‘skipper’ Singapura sendiri, Samad Allipitchay dalam satu tembual selepas perlawanan, pengadil telah melayangkan terus kad merah yang memeranjatkan semua pihak.    
Terdapat sesetengah laporan yang menyatakan bahawa terjahan tersebut memang bersih, tetapi pengadil telah melayangkan kad kerana SuperMokh cuba mempertikaikan keputusan pengadil yang meniup wisel, selain menyepak bola ke tepi sebagai tanda protes.
Sementelah, ada pandangan bahawa pengadil tersebut sebenarnya berniat untuk melayangkan kad kuning kepada SuperMokh. Pengadil ‘bersejarah’ yang menghadiahkan kad merah itu ialah Othman Omar dari Melaka.
-------------------------------------------------  
Sumber dan Rujukan:
  1. www.nst.com.my/‎;
  2. Akhbar New Straits Times;
  3. Majalah Arena Bola Sepak;
  4. https://www.facebook.com/jabal.noor.9;
  5. https://www.facebook.com/ikmalhishammohdamin?fref=ts.

Sabtu, September 28, 2013

Intern FC lawan Pilihan Media, Padang Turf FAM.


Pilihan Media lawan Intern FC (Politeknik Arau), Padang Turf FAM. Kenangan. 
Padang Turf FAM, Kelana Jaya.
Sesi mengeteh dengan otai-otai media sukan. Alhamdulillah, banyak juga ilmu dan info yang saya perolehi.

Program Ibadah Korban dan Aqiqah di Selatan Thai dan Kemboja.


Untuk Program Korban dan Akikah di Kemboja, boleh rujuk kepada Tuan Haji 
Masrukhin Marzoki.
Program berterusan di Kemboja. Bukan setakat beri makan, tapi ilmu dan kesedaran.
Untuk Program Ibadah Korban di Selatan Thai, boleh rujuk kepada Tuan Haji 
Kamaruddin Kassim.
‘Akikah’ ialah penyembelihan binatang ternakan (contoh: lembu atau kambing) yang dilakukan selepas kelahiran bayi (lebih afdhal pada hari ketujuh) sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT.
Sementelahan, ‘korban’ adalah amalan menghampirkan diri kepada Allah SWT dengan menyembelih al-An’aam (binatang ternakan seperti lembu, kambing, kerbau, dan lain-lain) dengan mengagihkan sebahagian daripada daging itu kepada fakir miskin.
Binatang yang boleh disembelih untuk ibadah korban dan akikah adalah terdiri daripada al-An’aam seperti unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri. Binatang lain seperti rusa, seladang dan seumpamanya tidak boleh dikategorikan dalam golongan al-An’aam sekalipun ia jinak. Menurut Imam Khatib as-Syarbini, seekor unta atau lembu yang hendak dijadikan korban atau akikah boleh dikongsi bersama tujuh orang. Namun, kambing dan biri-biri tidak boleh dikongsi.
Tempoh atau waktu untuk melaksanakan ibadat korban agak singkat iaitu pada hari raya haji dan diikuti dengan tiga hari tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah, sebaliknya tempoh melaksanakan ibadat akikah adalah panjang.
Menurut Imam al-Shafie tempoh terbaik untuk akikah ialah hari ketujuh setelah kelahiran, sekiranya tidak dapat dilakukan dalam tempoh tersebut, boleh dilaksanakan dengan tidak melebihi tempoh nifas iaitu 60 puluh hari. Sekiranya tempoh nifas juga tidak dapat dilaksanakan oleh beberapa sebab terutamanya kefakiran, maka boleh dilaksanakan tidak melebihi tempoh susuan iaitu dua tahun.
Dalam tempoh itu juga tidak dapat dilaksanakan, maka hendaklah dilaksanakan sebelum berumur tujuh tahun. Sekiranya setelah tujuh tahun juga tidak dapat ditunaikan maka boleh dilanjutkan sehingga mencapai umur baligh.
Perbezaan antara ibadat korban dan akikah menurut kitab Mughni al-Muhtaj ialah ibadat korban disunatkan diberikan kepada fakir miskin daging yang mentah. Sebaliknya bagi daging akikah, sunat diberikan kepada fakir miskin setelah dimasak kerana Rasulullah SAW meminta Saidatina Fatimah untuk berbuat demikian.
Selain itu juga, diharamkan daging korban diberikan kepada orang kaya dan terdapat padanya unsur jual beli, namun jika diberikan kepada orang kaya dengan berniatkan sebagai hibah atau hadiah maka ia tidak menjadi satu kesalahan kerana orang kaya juga layak untuk menerima hadiah dan hibah. Sebaliknya tidak menjadi satu kesalahan sekiranya ada unsur pemilikan atau jual beli pada daging akikah.
Oleh kerana hukum berkorban itu sunat mu’akkad (perkara sunat yang dituntut dalam agama) dan mempunyai kelebihan-kelebihannya yang banyak, sayugia jangan dilepaskan peluang untuk membuat amalan korban ini.
Supaya ibadah korban dan aqiqah itu sempurna, fahamilah hukum-hakam yang berkaitan dengan ibadah-ibadah tersebut. Begitu juga mengambil perhatian dalam memenuhi tuntutan-tuntutan lain yang berkaitan seperti berwakil membeli dan menyembelih supaya amalan berkorban itu benar-benar menepati syara’.
Selamat menjalani ibadah korban dan aqiqah.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar Walillahilhamd!

Khamis, September 26, 2013

Al-Fatihah sekudusnya, buat Ustaz Azizan Abdul Razak.


Suasana di Kompleks PAS Pokok Sena: Orang ramai menziarahi jenazah Almarhum Ustaz Azizan Razak. Kehilangan seorang tokoh yang berilmu dan berjiwa besar.
Al-Fatihah sekudusnya buat mantan MB Kedah, Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak yang dilaporkan meninggal dunia pada jam 11.10 pagi tadi.

Semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan Almarhum dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

Jenazah Almarhum dilaporkan akan disembahyangkan di Kompleks PAS Pokok Sena dan dikebumikan di Muassasah Darul Ulum waktu Asar nanti.
Ustaz Azizan berkelulusan Sarjana Muda Syariah dari Universiti al-Azhar dan Undang-Undang dari Universiti Kent, Canterbury, United Kingdom. Juga pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). 

Qada’ dan qadar ketentuan ILLAHI. Takdir.

Ahad, September 22, 2013

Piala Malaysia, Piala Sultan Selangor dan Kisah Stadium Nan Lengang.


Piala Malaysia: Selangor FA lawan Johor FA.http://ppeoc.my/images/panorama/SelangorJohorFA.jpg
Bro Fakri Muniri bersama Brader Brown, yang sentiasa 
setia berniaga di SSA, dan sering kelihatan memberikan 
sokongan kepada skuad badminton 
dan bola sepak kebangsaan.
Sebahagian penyokong 
Johor yang hadir.
Otai-otai B.O.S. yang 
hadir ke SSA.

B.O.S, 
ketika tahun 2012.
B.O.S., bersama lautan 
penyokong JDT FC.
Ini Shah Alam. 
Lengang.
Adam Griffith menghadiahkan jersinya kepada 
seorang peminat cilik The Red Giants.
Bersama Bro Ariff Mustafa
usai perlawanan.
Viva Selangor.
Mengeteh bersama Bro Fakri Muniri dan Bro Fariq Muniri, 
dua bersaudara - penyokong Selangor FA. 
Juga pengumpul jersi liga tempatan.
I
Piala Malaysia 2013: Selangor lawan Johor
Perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A, Piala Malaysia 2013 menemukan Gergasi Merah dengan Harimau Selatan. Johor FA yang berada di kedudukan ketiga kumpulan tersebut perlu menang ke atas Selangor – yang telah tersingkir – untuk layak ke peringkat suku akhir.
Perlawanan bermula agak hambar sambil suasana Stadium Shah Alam kedengaran seperti Stadium Larkin, di mana gema suara penyokong Harimau Selatan kedengaran lebih ‘bingit’ berbanding penyokong The Red Giants. Tamat separuh masa pertama, kedudukan masih Selangor 0-0 Johor.
Pada minit ke-55, pengadil melayangkan kad merah kepada pemain Johor FA, See Kok Luen kerana melakukan terjahan keras terhadap Solihin Kanasian, ketika kedudukan masih Selangor 0-1 Johor. Sebelum itu, Johor FA dihadiahkan sepakan penalti yang berjaya disempurnakan oleh Farid Ideris pada minit ke-48.
Pada minit ke-69, hantaran lintang yang cuba dibuat oleh S. Kunanlan terus menerjah jaring Harimau Selatan, untuk mengikat kedudukan seri: Selangor 1-1 Johor. Pada minit ke-75, sepakan menarik Amri Yahyah dari arah luar kotak penalti melengkapkan kempen Piala Malaysia yang mengecewakan buat Selangor, meskipun menang 2-1 ke atas Johor.
Keputusan penuh perlawanan, Selangor 2-1 Johor. Selangor akhirnya menemui rentak kemenangan pada aksi terakhir Piala Malaysia 2013. Meskipun menang, hanya ATM FC yang mengiringi Sime Darby FC untuk layak ke suku akhir.

Senarai pemain Pilihan Selangor untuk Piala Sultan Selangor.
Tiket.
Asra dan Mahalli: Dua pemain berbakat besar yang 
gagal membantu Selangor FA dalam 
kempen Piala Malaysia 2013. 
II
Piala Sultan Selangor kali ke-12
Seperti tahun-tahun sudah, Piala Sultan Selangor telah dipertandingkan di mana menemukan dua musuh tradisi iaitu pasukan pilihan Selangor menentang pasukan pilihan Singapura. Saingan piala itu, diilhamkan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah, bermula 2001 yang bertujuan mengimbau kembali saingan sengit kedua-dua pasukan dalam kancah bolasepak tempatan. Kejohanan ini juga diadakan bagi mengeratkan lagi hubungan di antara dua pihak.
Kejohanan antara pasukan pilihan Selangor dan Singapura itu akan berlangsung pada 28hb September 2013 pada pukul 9 malam, didahului dengan perlawanan antara kumpulan veteran kedua-dua pasukan pada pukul 8 malam.

Semoga dengan pemberian ribuan tiket percuma dan beberapa acara menarik yang dijadualkan akan diadakan pada malam tersebut, dapat menarik ramai penyokong dan peminat untuk hadir bagi memenuhi SSA. Mungkin perlawanan tersebut juga merupakan aksi terakhir Amri Yahyah yang terkenal dengan gelaran ‘Wak Am’ bersama jersi Selangor FA.
Wak Am.
III
Kontroversi penghijrahan Amri Yahyah
Dua-tiga menjak ini, kecoh sedikit dalam kem penyokong Selangor FA, bila mana berita angin bertiup kencang bahawa lagenda era moden Selangor, Amri Yahyah, yang digelar ‘Wak Am’ oleh para peminat, akan berhijrah ke pasukan lain untuk musim 2014. Isu penghijrahan ini menjadi semakin sensasi apabila dikatakan membabitkan tawaran kontrak bernilai hampir RM1 juta setahun.
Nama ‘Wak Am’ mula mekar di bibir peminat apabila menjaringkan gol kemenangan Selangor ketika menewaskan Sabah 1-0 dalam Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2002. Tidak sedikit kelab dan pasukan negeri lain yang menawarkan beliau untuk menyertai pasukan mereka. Pastinya, tawarannya juga lumayan.
Ya, ramai yang mempertikaikan kesetiaan Amri kepada Selangor FA. Namun, penting untuk kita ingat, sedari namanya popular sedari 2002 hingga 2013 ini, Wak Am masih kekal dalam pasukan Merah-Kuning, dari zaman kejatuhan 2003-2004, 2006-2007, dan 2011 hingga kini.
Sekiranya betul – penghijrahan Amri pastinya diratapi para penyokong The Red Giants. Beliau adalah antara segelintir pemain berpengaruh yang masih beraksi dalam Liga Malaysia dan masih mampu bermain dengan baik. Kendati, tatkala kita berdegar-degar menyeru agar liga kita diswastakan, kita juga perlu menelan kepahitan realiti dunia profesionalisme di mana pemain perlu juga memikirkan soal jumlah pendapatan dan masa depan diri dan keluarga mereka.
Cuma, menarik juga untuk kita selami kenyataan Amri yang dikeluarkan dalam beberapa akhbar dua-tiga hari ini: “…Memang saya masih menantikan tawaran memperbaharui kontrak daripada FAS. Sebagai pemain profesional, saya perlu memikirkan masa depan dan pasukan mana yang benar-benar mahukan khidmat saya.”
Baik apa pun keputusan Wak Am, saya ucap dan doakan beliau sukses sampai ukhrawi. Salam.
-------------------------------------------------

Sumber dan Rujukan:
  1. http://www.facebook.com/photo.php?fbid=585303248200862&set=o.108129519229455&type=1&relevant_count=1;
  2. https://www.facebook.com/fakri?fref=ts;
  3. https://www.facebook.com/razlan.raduan.7?fref=ts;
  4. https://www.facebook.com/ratu.amri?fref=ts.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...