Selasa, Disember 18, 2018

29.9.18: HARI RAYA PENGUMPUL JERSI.


KEJOHANAN MINI FUTSAL KOLEKTOR JERSI MALAYSIA VOL. 1: 
MENYATUKAN PENDUKUNG BOLA SEPAK MALAYSIA BERSAMA SELEBRITI DAN KOLEKTOR
29 September 2018: Pasukan “Futsalitis B” dari Putrajaya telah muncul selaku Johan Kejohanan Mini Futsal Kolektor Jersi & Mafla Malaysia Volume 1 2018, yang dianjurkan di Uptown Sports, Bandar Baru Bangi. Skuad tersebut telah merangkul Piala Pusingan Futsal Kolektor Jersi, yang dianjurkan buat julung kalinya. Selain futsal, program ini turut melibatkanpameran khazanah mafla dan jersi liga tempatan serta skuad kebangsaan.
Tambah menarik, kejohanan ini diserikan lagi dengan perlawanan pertunjukan futsal di antara bintang bola sepak, personaliti futsal serta selebriti popular tanah air seperti Jamsari Sabian, Raimi Md Nor, Shahrom Kalam, Azmeer Yusof, Irfann Zakaria, Azlan Zaianl, Ivan Yusoff, Intan Serah, HazOne Bintang Mencari Bintang, Sharwani Hantu Kak Limah, Idlan Raja Lawak, dan ramai lagi.
Program ini dianjurkan oleh The Najwan dengan kerjasama Kelab Sukan Presint 18R13, Putrajaya bagi meraikan kemeriahan bola sepak di Malaysia serta kejuaraan Piala Suzuki AFF yang bakal bermula pada November nanti. Penganjuran ini merupakan program pertama yang menggabungkan komuniti kolektor memorabilia bola sepak Malaysia dengan kelab sukan yang menjadikan sukan futsal sebagai wadah penyatuan.
“Tujuan utama program ini ialah membudayakan sukan dalam kalangan belia Malaysia melalui penglibatan seperti perkumpulan kolektor dan pendukung bola sepak negara dengan berfutsal. Selain itu, acara ini juga bertujuan mempromosikan koleksi jersi dan skaf pasukan kebangsaan dan pasukan-pasukan Liga Malaysia. Juga, ia juga berperanan untuk mendekatkan sukan kepada golongan muda agar lebih aktif, di samping mendapat ilmu pengetahuan melalui pameran koleksi dan semangat apabila beramah mesra bersama personaliti bola sepak negara,” kata Mohd Izwan, pengerusi jawatankuasa program merangkap pengasas The Najwan.
Bagi kebanyakan pengumpul jersi dan mafla Malaysia, program ini merupakan kemuncak kepada beberapa siri pameran berasingan sebelum ini. Dengan gabungan hampir kesemua kolektor jersi dan skaf dari seluruh negara, pengunjung berpeluang untuk melihat pelbagai jenis jersi bola sepak pasukan kebangsaan Malaysia dan pasukan-pasukan yang bermain dalam Liga Malaysia seawal zaman 1970-an.
------------------------------------------------

HARI RAYA PENGUMPUL JERSI.
Pergi ke sawah menanam padi,
Singgah di sungai menangkap ikan;
Hidup hendaklah bersendikan budi,
Hormat-menghormati jadi amalan.
Syukur, dengan izin-NYA, para Admin Retro Bola Sepak dapat bertemu buat kali pertama, untuk tahun 2018 ini. Hari-hari biasa, whatsapp menjadi medium komunikasi, dek jarak yang memisah. Cuma Admin Razee tak dapat bersama kali ini.
Syabas dan sekalung penghargaan, buat The Najwan dan jawatankuasa penganjur, Kejohanan Mini Futsal Kolektor Jersi Vol.1, 2018, yang berlangsung dengan spektakular.
Menghimpunkan bekas pemain bola sepak, pemain futsal, selebriti serta para pengumpul jersi tegar dari seuruh pelusuk tanah air. Dari Kepulauan Borneo hingga ke Utara Semenanjung.
Dari Banjaran Crocker ke Banjaran Titiwangsa. Dari Selatan Thai hingga ke hujung Selatan tanah air, semua hadir atas matlamat dan minat yang sama. Berkorban masa dan duit, untuk program penuh bermakna ini.
Tahniah juga buat skuad Futsalitis B -- di mana logo RBS diabadikan pada lengan jersi skuad ini; yang muncul juara futsal dalam program tersebut.
Terima kasih buat semua yang sudi menegur serta membeli naskah cetakan kedua buku kami. Panjang umur murah rezeki, kita ketemu lagi.


Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...