Jumaat, Ogos 31, 2012

“Sajak Tahun Baru 1990” (W.S. Rendra).



Sungguh.
Apa faedahnya kamu jaya di dalam kehidupan
bila pada akhirnya kamu takut mati
karena batinmu telah lama kau hina?
-- “Sajak Tahun Baru 1990” (W.S. Rendra).

Salam kemerdekaan, buat semua yang mahu membebaskan jiwa terjajah dan minda tertawan.

Hidup Malaysia kita. Merdeka!


Khamis, Ogos 30, 2012

MENSYUKURI NIKMAT, MENGINSAFI AMANAT.


MENSYUKURI NIKMAT, MENGINSAFI AMANAT.
Oleh: Dato’ Dr Siddiq Fadzil
(Mantan Presiden PMIUM, Mantan Presiden PKPIM, dan Mantan Presiden ABIM. Kini sebagai Presiden WADAH dan Kolej Dar Hikmah)

Bagi orang yang memahami makna dan harga kemerdekaan, 3l Ogos adalah tarikh istimewa. Justeru, pada hari itulah, lima puluh tahun yang  lalu (1957) tercapainya cita- cita yang telah diperjuangkan turun-temurun sejak entah berapa keturunan. Sejarah merdeka bukan baru bermula pada pertengahan abad 20. Perjuangan heroik melawan penjajah sudah bermula seawal abad ke-16M dengan perang Melaka-Portugis. Sejak itulah darah dan air mata perjuangan tidak pernah berhenti mengalir. Tidak siapa berdaya menaksir berapa kawah darah yang tumpah dan berapa telaga air mata derita yang mengalir demi mempertahankan atau mendapatkan kemerdekaan. Harga kemerdekaan memang mahal tak ternilai, dan kerana itu harus dihargai secara yang benar-benar bermakna. Bagi umat beragama kemerdekaan adalah nikmat kurnia Tuhan lang wajib disyukuri dengan cara yang diredhai dan disenangi Penganugerahnya. Mensyukuri nikmat sebagaimana yang diajar oleh agama ialah menggunakannva dengan cara yang benar, dan tidak menyalahgunakannya. Dalam konteks nikmat kemerdekaan ia harus disyukuri dengan membina kehidupan yang menepati erti kemerdekaan semurni dan setulennya. Mudah-mudahan roh para pejuang yang gugur, bahagia dalam peristirehatan apabila pengorbanan dan perjuangan mereka menghasilkan umat merdeka yang benar-benar merdeka. Dengan semangat syukur nikmat sempena berlalunya setengah abad kemerdekaan, kita bermuhasabah, menilai diri, sudah sejauh mana kehidupan kita sebagai bangsa telah menepati makna merdeka.

Islam dan Makna Merdeka
Islam pada hakikatnya adalah agama pembebasan. Mesej liberatif-emansipatif agama Ilahi ini jelas terungkap dalam misi utamanya ikhraju ‘n-nasi mina ‘z-zulumat ila ‘nur. Dengan kata lain, risalah Islamiah dapat dirumuskan sebagai misi pembebasan dan pencerahan  (tahririy-tanwiriy).  Kerana itu kehadiran Islam dan gerakan pendakwahannya di mana-mana selalu dirasakan sebagai a liberating and enlightening force. Demikianlah citra agama ini di mata kaum peribumi rantau Melayu ketika berlakunya transformasi kemanusiaan dan revolusi kebudayaan dalam gerakan pengislaman yang memesat pada abad ke-13-16M. Ternyata pembebasan dalam konteks misi keislaman mencakupi bidang yang cukup luas, meliputi pembebasan daripada segala bentuk pembelengguan termasuk kemerdekaan daripada penjajahan. Memang al-zulumat adalah kata yang jami’ dan inklusif meliputi segala rupa bencana kemanusiaan: kesesatan, kebingungan, kejahilan, kebodohan, kebekuan, kemunduran, kebejatan, kegilaan, kezaliman, kecurangan dan lain-lain sejenisnya. Umat Islam harus dibebaskan dan dimerdekakan daripada segala bencana tersebut. Pembebasan (tahrir) dalam konteks misi pengislaman selamanya tidak terpisah daripada pencerahan (tanwir). Apalah erti bebas daripada suatu kegelapan, jika kemudiannya dijerumuskan ke dalam kegelapan yang lain.

Demikianlah hakikat bermulanya transformasi pengislaman dengan deklarasi kemerdekaan diri menerusi lafaz kesaksian syahadat ketauhidan la ilaha illallah yang membawa implikasi ketidakrelaan tunduk mengabdi kepada siapa pun dan apa pun selain Tuhan Yang Maha Esa. Sebagaimana yang diungkapkan oleh al-Shaykh Muhammad al-Ghazaliy bahawa kalimat tauhid itu membawa implikasi penafian terhadap segala bentuk keberhalaan. penolakan terhadap segala jenis pengabdian di bumi dan penegasan terhadap hak kebebasan (Muhammad Al-Ghazali, 2000:36). Justeru, manusia mukmin adalah manusia berjiwa merdeka yang sedar dengan ketinggian martabat keinsanannya, setia memelihara pesan, Innahu laysa li al-mu’min an yudhilla nafsah (Sungguh, tidak seharusnya seorang mukmin menghina dirinya sendiri). Semangat kemerdekaan tahririy-taghyiri-tanwiriy itulah yang tampaknya ditangkap dengan tepat oleh Za'aba ketika merumuskan makna merdeka sebagai perubahan, “... daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menyuburkan dia; daripada I’tiqad-I’tiqad yang serong dan terpesong kepada I’tiqad yang subur dan merdeka: daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesalehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.”

Merdeka Berdasarkan Prinsip Karamah Insaniyyah
Merdeka pada hakikatnya adalah bahagian daripada kemanusiaan itu sendiri, sesuai dengan kurnia takrim dari Yang Maha Pencipta untuk makhluk jenis manusia seluruhnya. Kemuliaan yang diperoleh langsung dari Tuhan itu bukan deklarasi kosong, tetapi sarat dengan erti dan implikasi: kemerdekaan, kebebasaan, persamaan dan sejumlah hak serta keperluan asasi lainnya: yang tanpanya manusia kehilangan kemanusiaannya. Kerana itu manusia yang sedar dengan ketinggian martabat, maruah dan harga diri insan sebagai makhluk mulia memiliki kepekaan yang cukup tinggi terhadap apa jua gejala penghinaan terhadap manusia, baik dirinya sendiri atau manusia lain. Manusia yang berasa mempunyai maruah keinsanan tidak akan rela kemerdekaannya dirampas, kebebasannya dibelenggu dan apa sahaja perlakuan yang meremehkan kemanusiaannya. Ternyata kemerdekaan terkait erat dengan maruah. Bagi manusia merdeka, maruah adalah milik termahal yang sentiasa dijaga dan dipelihara dengan penuh rasa cemburu. Kerana itu pula manusia merdeka tidak dapat menerima kehidupan yang tidak bermaruah, kehidupan yang tidak bermoral, kehidupan yang cemar dengan amalan keji dan jijik seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa, penipuan, pemerasan, kepura-puraan, ampu bodek dan lain-lain sejenisnya. Lain halnya dengan hamba abdi yang diperlakukan bagaimana sekalipun – dihina, dibelenggu dan dimalukan, mereka tidak berasa malu dan tidak berasa kehilangan maruah kerana memang mereka tidak memiliki maruah.

Demikianlah, manusia berjiwa merdeka adalah manusia yang sedar dan peka dengan ‘izzat al-nafs atau maruah, harga diri dan kemuliaan martabat keinsanannya. Kesedaran dan kepekaan itulah yang memberinya rasa malu dan tahu malu. Rasa malu terkait dengan dignity seperti itulah yang dijelaskan oleh Syed Hussein Alatas.

What is meant here by the sense of shame is not shame associated with private and individual relations but a shame associated with the collectivity, with the conditions of one's fellow men. It is directed at elements threatening human welfare and dignity. ‘lt is undignified to have a dirty  surrounding. It is undignified to live in a disorderly and haphazard manner. It is undignified to be subjected to petty corruption and rude treatment. It is undignified to be cheated of your rights. It is undignified to be governed by men with criminal minds, men who spend most of their time plotting to cheat and plunder the state.’
(Alatas, S.H., 1999: 113-114).

Majalah antarabangsa NEWSWEEK, 23 Julai 2007 memuatkan tulisan Melinda Liu berjudul Politics of shame pada halaman utama Periscope. Makalah pendek tersebut mengulas hukuman mati yang dijatuhkan ke atas Zheng Xiaoyu, bekas ketua sebuah agensi kerajaan China, SFDA (State Food and Drug Administration), atas kesalahan meluluskan ubat-ubatan yang tidak diuji (untested) sehingga mengakibatkan kematian tidak kurang 10 orang. Kelulusan tersebut diberikan dengan bayaran (rasuah) $850,000. Kesalahan sedemikian membawa hukuman mati kerana kesan buruknya yang memalukan agensi berkenaan. Seperti yang dinyatakan oleh jurucakap pihak berkuasa Beijing,“Zheng has brought “shame” to his agency.” Mengenai kepentingan malu dalam masyarakat dan budaya Cina, makalah tersebut menyatakan, “Shame has always been a powerful force in China. Rooted in Confucian ethics, it often drives Chinese leaders to dispense tougher justice than is meted out for less-embarrassing crimes” Begitu tingginya tahap “tahu malu”" di kalangan mereka sehingga apabila seseorang disoal-siasat atas dugaan rasuah, cukup untuk menyebabkannya membunuh diri seperti yang dilakukan oleh seorang bekas ketua polis pada bulan Jun lalu. (NEWSWEEK, 23 Julai 2O07: 4).

Sifat malu sebenarnya menempati posisi teras dalam ajaran moraliti Islam, dan lebih daripada itu ia adalah manifestasi iman. Hadith dari Imam Malik menyebut, “setiap agama memiliki akhlaq, dan akhlaq Islam adalah malu" (likulli din khuluq, wa khuluq al-Islam al-haya”). Dalam Hadith lain disebut pula “malu adalah sebahagian daripada iman” (al-haya’min al-iman). Sifat malu yang tumbuh dari iman itu adalah sebahagian daripada disiplin dalaman yang dapat mengawal perilaku seseorang.

Apabila Tuhan sendiri mendeklarasikan martabat kemuliaan insan, ...dan sesungguhnya Kami memuliakan ana-anak Adam, bererti semua manusia sama mulianya, sama martabat keinsanannya, sama hak-hak kemanusiaannya, sama merdekanya dan sama bebasnya. Dari takrim ketuhanan itulah lahirnya dua prinsip utama yang sangat erat hubungannya: prinsip kebebasan (kemerdekaan) dan prinsip persamaan kemanusiaan. Seseorang itu tidak dapat dikatakan merdeka jika ia tidak mendapat pelayanan sebaik yang diterima oleh orang lain. Bagaimana mungkin kita dapat mengatakan seseorang itu merdeka andainya masih terbelenggu dalam sistem dan budaya hidup berkasta-kasta, masih mengamalkan feudalisme - baik feudalisme lama atau feudalisme baru, masih ada kelas atasan yang diistimewakan dan kelas bawahan yang didiskriminasikan. Merdekakah “orang kecil” seperti yang diperikan oleh seorang kiyai budayawan Indornesia, K.H.A. Mustofa Bisri dalam puisinya “ORANG KECIL ORANG BESAR”.

Orang kecil jika ikhlas diperas
Jika diam ditikam
Jika protes dikentes
Jika usil dibedil.

Orang kecil jika hidup dipersoalkan
Jika mati tak dipersoalkan

Lebih baik jadilah orang besar
Bagiannya selalu besar.

Orang besar jujur-tak jujur makmur
Benar-tak benar dibenarkan
Zalim-tak zalim dibiarkan.

Orang besar boleh bicara semaunya
Orang kecil paling jauh dibicarakan saja.

Orang kecil jujur dibilang tolol
Orang besar tolol dibilang jujur
Orang kecil berani dikata kurangajar
Orang besar kurangajar dikata berani

Orang kecil mempertahankan hak
disebut pembikin onar
Orang besar merampas hak
disebut pendekar.

Prinsip persamaan kemanusiaan inilah yang ditegakkan oleh Rasulullah s.’a.w. sebagaimana yang terakam dalam sunnahnya - sabda dan amal nyata. Pada zamannya para penguasa rata-rata membina citra diri mereka sebagai maharaja keturunan dewa berasal dari dunia indera. Motif penciptaan imej yang menggerunkan seperti itu ialah untuk menjadikan rakyat jelata berasa kerdil dan hina diri. Pada suatu ketika seorang a'rabiy dibawa mengadap Nabi (s.’a,w.). Akibat terbiasa membayangkan imej para penguasa seperti di atas, a'rabiy tersebut kelihatan terketar-ketar ketakutan. Junjungan s.’a.w. yang cukup mengerti kenapa keadaannya menjadi seperti itu segera menenangkannya dengan berkata. “Bertenanglah, saya bukan maharaja, saya adalah anak seorang wanita Quraysh yang biasa makan daging kering”. Cara pengenalan diri seperti itu mengesankan sikap tawadhu'nya kepada Allah dan sekaligus rasa kedekatannya dengan umat. Junjungan s.’a.w menisbahkan dirinya kepada ibunya yang bercitra wanita rakyat biasa, tidak kepada datuk-datuknya yang bangsawan dan pembesar Quraysh. Demikianlah cara pengenalan diri yang mengesankan persamaan kemanusiaan.

Banyak peristiwa lain lagi yang membawa mesej yang sama, termasuk kejadian tertangkapnya seorang wanita yang melakukan kesalahan mencuri. Kabilah wanita tersebut cuba melobi al-Rasul s.’a.w. agar membebaskannya daripada hukuman dengan alasan wanita tersebut termasuk golongan bangsawan dalam kabilahnya. Peristiwa itulah yang melatari sabda Junjungan s.’a.w. yang mencerminkan ketegasan dalam penegakan prinsip persamaan kemanusiaan,”Sesungguhnya telah hancur umat sebelum kamu (akibat amalan diskriminatif) apabila orang besar mencuri mereka biarkan, tetapi apabila orang kecil mencuri mereka hukum. Demi Allah, andainya (anakku) Fatimah binti Muhammad itu mencuri, nescaya aku potong tangannya”. Komitmen terhadap prinsip persamaan kemanusiaan diteruskan oleh para khalifah penggantinya seperti yang dilakukan oleh Khalifah Kedua, Amir al-Mu’minin ‘Umar ibn al-Khattab r.’a. terhadap anak Governor Mesir (‘Amr ibn al-‘as) yang memukul seorang Qibtiy semata-mata kerana ia (Qibtiy) telah memotongnya dalam satu perlumbaan. Khalifah telah menjatuhkan hukumanqisas ke atas anak Governor tersebut. Ketika pihak yang bersalah menprotes atas alasan ketidaksamaraan taraf , ‘Umar al-Khattab menjawabnya dengan nada yang cukul tegas, “Sejak bila kalian memperhambakan manusia, walhal semua mereka telah dilahirkan oleh ibu-ibyu mereka sebagai anak-anak merdeka!”. Peristiwa lain yang juga banyak dirujuk dalam isu persamaan kemanusian ialah hukuman qisas yang dijatuhkan  oleh ‘Umar ibn al-Khattab keatas Jabalah ibn al-Ayham.  Raja Ghassan itu didapati bersalah kerana memukul seseorang (orang awam) yang secara tidak sengaja terpijak pakaiannya. Jabalah juga membantah hukuman qisas, undang-undang yang menyamakan raja dengan jelata. Sebagai raja yang berasa darahnya lebih istimewa, beliau tidak mahu disamakan dengan rakyat biasa. Bantahan itulah  yang dijawab oleh ‘Umar (r.’a.) dengan satu lagi ungkapan yang cukup mengesankan, “Tetapi Islam telah menyamakan kamu berdua.” Demikianlah, kemerdekaan yang benar-benar bererti bagi orang kecil ialah apabila hak-haknya sebagai manusia mulia dihormati, sama seperti orang lain. Tetapi andainva masih berlaku amalan penghakiman diskriminatif, pendakwaan berpilih-pilih atau seumpamanya, bererti rakyat belum memperoleh kemerdekaannya.

Memang kemerdekaan adalah bahagian daripada keinsanan. Tetapi ia bukanlah kemerdekaan yang bererti kebebasan anarkis. Kebebasan dalam Islam selamanya terkendali dalam bimbingan prinsip-prinsip hukum dan nilai-nilai akhlak. Kerana itu sebagaimana yang disebut oleh al-Sakhawiy, “Islam memberikan kebebasan kepada manusia, dan sekaligus mengawalnya: dengan nilai akhlak agar tidak terlajak, dengan keadilan agar tidak menjadi pelaku kezaliman. dengan kebenaran agar terhindar dari tarikan nafsu kebatilan, dengan kebaikan dan pengorbanan agar tidak bersikap egois annaniyah kesombongan, ...” (al-Zuhaykiy, 2000:41).

* Dicuplik daripada:



**********************************
Entri-entri berkaitan:
1.     Untuk sejarah ringkas ABIM, boleh rujuk pautan ini: http://chedinsphere.blogspot.com/2010/12/sejarah-angkatan-belia-islam-malaysia.html.
2.     Wacana ke-15 Sinar Harian: Peranan Ulama Menasihati Pemimpin: http://chedinsphere.blogspot.com/2012/10/wacana-ke-15-sinar-harian-peranan-ulama.html?spref=fb.
3.     Teks ucapan kemerdekaan oleh Ustaz Siddiq Fadzil: http://chedinsphere.blogspot.com/2012/08/mensyukuri-nikmat-menginsafi-amanat.html.
4.     Peluncuran buku Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat: http://chedinsphere.blogspot.com/2012/07/buku-islam-dan-melayu-martabat-umat-dan.html.
5.     Peluncuran buku Yusuf Qaradhawi dan Kebangkitan Rakyat: http://chedinsphere.blogspot.com/2012/08/sekitar-majlis-diskusi-dan-peluncuran.html.
8.     Sedikit tulisan berkenaan Grup Peguam ABIM (GPA): http://chedinsphere.blogspot.com/2012/08/abim-dilantik-sebagai-pengerusi-ujn.html.

**********************************

Separuh akhir Piala Malaysia 1996.


Separuh akhir Piala Malaysia 1996.
Antara anggota skuad Red Giants yang masih saya ingat: (Belakang) Shamsul Amri Abu Bakar, Azlisham Ibrahim, P. Maniam, Abu Talib Sulaiman, Nazzab Hidzan, Dato’ Aini Taib (Pengurus pasukan), Azman Adnan, Mubin Mokhtar, Asmawi Bakiri, Mehmet Durakovic, Shahril Arsat, David Mitchell, dan Ken Worden (Jurulatih). Barisan depan: V. Murugan, Asroff Hanafiah, V. Yogeswaran, Paul Raj dan Yap Kam Choon. 


Entri-entri berkaitan:
***************************************************

Rabu, Ogos 29, 2012

Quotes About Books.


Quotes About Books.

1.      A room without books is like a body without a soul.” -- Marcus Tullius Cicero.

2.      When I have a little money, I buy books; and if I have any left, I buy food and clothes.” -- Desiderius Erasmus Roterodamus.

3.      Good friends, good books, and a sleepy conscience: this is the ideal life.” -- Mark Twain.

4.      If one cannot enjoy reading a book over and over again, there is no use in reading it at all.” -- Oscar Wilde.

5.      There is no friend as loyal as a book.” -- Ernest Hemingway.

6.      A great book should leave you with many experiences, and slightly exhausted at the end. You live several lives while reading.” -- William Styron, Conversations with William Styron.

7.     Anyone who says they have only one life to live must not know how to read a book.” -- Author Unknown.

8.      A book is like a garden carried in the pocket.” -- Chinese Proverb.

9.  Books - the best antidote against the marsh-gas of boredom and vacuity.” -- George Steiner.

10.  Books are delightful society.  If you go into a room and find it full of books - even without taking them from the shelves they seem to speak to you, to bid you welcome.” -- William Ewart Gladstone.

11.  The reading of all good books is like a conversation with the finest men of past centuries.” -- Rene Descartes (Discours de la Methode, 1637).

References:     

Selasa, Ogos 28, 2012

Hudud: Amaran Abim jangan sampai cetus Islamofobia.


Saudara Amidi Manan, Presiden ABIM dan mantan Presiden PKPIM.
Logo ABIM.

Hudud: Amaran Abim jangan sampai cetus Islamofobia
Oleh: Haji Amidi Dato’ Abdul Manan (Presiden ABIM)

***************************

Ulasan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) merujuk kepada polemik hudud serta perundangan Islam yang semakin memuncak semenjak kebelakangan ini.

Semenjak penubuhannya pada tahun 1971, Abim telah secara konsisten menyatakan komitmen serta sokongannya terhadap perlaksanaan undang-undang Islam di negara ini. Komitmen serta sokongan ini beralaskan kepada fakta bahawa Islam telah diangkat sebagai agama persekutuan di negara ini, sekaligus menidakkan dakwaan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular (yang memisahkan Islam dari tatacara politik dan perundangan).

Kenyataan ini secara jelas dimaktubkan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan dengan jelas bahawa Islam adalah agama persekutuan yang turut didukung menerusi beberapa peruntukan undang-undang lain.

Justeru Abim mengecam sama sekali usaha pihak tidak bertanggungjawab yang ingin memomokkan perundangan hudud serta perundangan Islam sebagai sebuah agenda bersifat ancaman terhadap golongan masyarakat bukan Islam di negara ini.

Sesungguhnya Abim menilai tanggapan tersebut bersifat politik murahan yang dihalalkan untuk meraih dukungan politik secara meluas di kalangan masyarakat bukan Islam terutama sekali di saat negara dicengkam situasi politik kotak hitam ataupun keadaan politik tidak menentu menjelang pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Dalam hal ini, Abim ingin merujuk kepada beberapa kenyataan yang dikemukakan oleh pimpinan MCA dan DAP yang sama sekali tidak mengambil kira sensitiviti serta intipati tersirat yang terkandung dalam perundangan hudud serta Islam secara keseluruhannya.

Sekiranya keadaan ini berterusan serta tidak dibendung, fenomena Islamophobia yang membayangi keharmonian hubungan antara masyarakat Islam dan bukan Islam di seluruh dunia akan menular ke negara ini.

Abim ingin menegaskan bahawa Islam sama sekali tidak menafikan hak serta kebebasan masyarakat bukan Islam. Hakikat serta penegasan tersebut telah digariskan secara jelas dan tegas dalam perundangan Islam (hudud secara khususnya), menerusi prinsip maqasid syariah.



Lantaran itu, sebarang usaha untuk mempolemikkan perundangan Islam (hudud) untuk menimbulkan prasangka buruk dalam kalangan bukan Islam seharusnya dihentikan. Sebaliknya semua pihak harus bersedia memahami perkara ini sebaiknya bagi menangkis segala bentuk salah faham dalam masyarakat.

Oleh itu, Abim menawarkan ruang penjelasan dalam bentuk perbincangan serta wacana yang bersifat akademik dan ilmiah. Abim juga bersedia untuk mengadakan siri-siri penjelasan terkemuka dengan masyarakat awam terutama sekali di kalangan masyarakat bukan Islam.
***************************

Sumber:
  1. http://www.sinarharian.com.my/nasional/hudud-amaran-abim-jangan-sampai-cetus-islamofobia-1.78916; dan
  2. http://www.malaysiakini.com/news/207142.

Ahad, Ogos 26, 2012

Kumpulan 4U2C dan Komik Kawan.



 
Pada 1994, 4U2C telah mengeluarkan album ketiga mereka berjudul “2BD#1” (To Be The Number One) dan mereka bersaing hebat dengan kumpulan KRU yang mengeluarkan album mini “Awas!”. 
Tatkala KRU disambar oleh syarikat filem untuk menjadi pelakon, 4U2C pula disambar oleh syarikat pengeluar minuman SBM Trading Sdn Bhd untuk mewakili jenama baru minuman dalam tin yang bernama “RAP”.
Kumpulan Network International Chicanos Organisation (NICO)yang dianggotai Abdul Fashah Abdul Aziz (Md Nico), Muzaffar Shah Baharin (Affa) dan Shah Rosli (Dino), pernah mencetuskan fenomena muzik rap dna pop sekitar 1990an. Kumpulan itu merakamkan tiga buah album iaitu “Buatan Los Angeles” (1993); “Realiti” (1995); “Alamak!” (1996); dan Ops Kecoh (2003).
Kumpulan Selangor Rappers Unit (SRU), yang kemudiannya dikenali sebagai Kumpulan Rap Unggul (KRU), dianggotai oleh Edry, Norman dan Yusry. Sehingga kini mereka masih kekal bersama, malah berjaya meluaskan empayar perniagaan mereka.
**********************************

Kumpulan 4U2C dan Komik Kawan.
Dalam tulisan kali ini, saya paparkan sedikit koleksi komik “Kawan” yang saya miliki. Dulu saya melanggannya setiap bulan, tapi, kini tinggal tiga naskah sahaja. Saya menyukai siri kartun “4U2C” lukisan Kartunis Miki, yang menggunakan nama dan wajah anggota Kumpulan 4U2C sebagai watak utamanya. 4U2C (For You To See) asalnya dianggotai oleh tujuh orang anak muda yang terdiri daripada A.C (Mizal Zaini); Azam (Nor Azam bin Mohamed); Lanz (Razlan Ramdan); Yanz (Haji Suffian); Joe (Mohd Johari); Rinz (Raja Azrin); dan Adik (Mohd Faizal Khamis).

Kumpulan 4U2C pernah memenangi anugerah Penyanyi Berkumpulan Popular (Anugerah Bintang Popular) pada 1993. Tahun itu menyaksikan berakhirnya penguasaan kumpulan rock dalam kategori tersebut sejak pertandingan itu dimulakan pada 1987 yang ketika itu dimenangi oleh kumpulan Search.

Bersama generasi pertama 4U2C, A.C bersama rakan-rakannya merakamkan beberapa album seperti “4U2C” (1992); “Love2CU” (1993); dan “2BD#1” (1995). Kemudian, selepas keluarnya beberapa orang anggota asal 4U2C (termasuk Joe), A.C bersama generasi kedua kumpulan tersebut menghasilkan alum terakhir mereka, “Kembalilah Fiona” pada tahun 1996. Kenangan.

**********************************


Sumber:
  1. http://arkibnegara.blogspot.com/2011/03/minuman-rap-4u2c-1994.html;
  2. http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0211&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm;
  3. http://ms.wikipedia.org/wiki/Fail:4U2C_-_Kembalilah_Fiona_%2796.jpg;
  4. http://arkibnegara.blogspot.com/2011/01/histeria-di-konsert-4u2c-1993.html;
  5. http://mohdfitri.blogspot.com/2009_08_01_archive.html; dan
  6. http://kisah69.blogspot.com/2012/04/review-kumpulan-rap-terkenal-era-1993.html.



            
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...