Khamis, April 29, 2010

Duhai diri, berjanjilah untuk berubah!


Amir Junaid Muhadith yang lebih dikenali sebagai "Loon", merupakan bekas penyanyi rap terkenal dan pernah menganggotai syarikat rakaman P. Diddy, Bad Boy Records.

Sementelah, beliau pernah membintangi filem arahan Damon Dash, State Property 2 dan Death of a Dynasty.

Baru-baru ini, Loon telah memeluk Islam dan mengubah sedikit penampilannya. Dengan tubuh yang sedikit berisi, dan wajah yang cukup bening, beliau kini mendalami ilmu-ilmu Islam. Subhanallah.

Dalam ceramahnya, beliau acapkali menyentuh soal kecintaannya kepada bidang muzik -- khususnya rap dan hip hop. Beliau menegaskan, meski dari luar, dunia Hollywood dilihat sebagai dunia yang dipenuhi kemasyhuran, hakikatnya adalah sebaliknya. Ia adalah dunia palsu yang penuh dengan kehinaan yang menghanyutkan. Karena itulah beliau sanggup meninggalkan bidang yang diminatinya, demi mencari ketenangan yang hakiki.

Dan, beliau menemui Islam.

Melihat perubahan pada diri Amir, saya sendiri merasa segan dan malu. Kesungguhan beliau untuk mempelajari Islam sewajarnya dicontohi. Maka saya berpesan kepada diri saya sendiri -- "Duhai diri, berjanjilah untuk berubah!"

Selasa, April 27, 2010

Macam ikat dua biji kelapa muda di perut!


Sewaktu kita kecil, ibu dan ayah adalah orang yang paling ikrab dengan kita. Merekalah tempat kita mengadu, merekalah tempat kita berlindung, merekalah segala-galanya.

Sedari kita kecil, merekalah yang paling banyak berjasa. Mengandungkan, melahirkan, menyusukan, membesarkan, mendidik, memanjakan, serta menegur dengan penuh kasih sayang.

Tetapi, bagaimanakah cara kita membalas jasa mereka? Pernahkah kita mengucapkan terima kasih atas jasa dan budi yang telah mereka curahkan untuk kita semua?

Saban hari media melaporkan anak-anak derhaka yang sanggup meninggalkan ibu bapa mereka sendirian termanggu-manggu di kampung waimah rumah warga tua. Tapi, bila ibu ayah mereka telah meninggal dunia, masing-masing berebut mahukan bahagian dalam harta pusaka. Aduhai, tak malukah? Tak sedarkah? Ingatlah, jika hari ini kita menderhaka kepada kedua orang tua, tak mustahil satu hari nanti anak cucu kita pula yang derhaka dan meninggalkan kita.

Hadiahkanlah hati terlembut kita bagi ibu dan ayah. Perhatikanlah bagaimana sinar syurga yang terpancar dari wajah-wajah terkasih, yang guratan-guratan ketuaannya adalah karena kesulitan dan kepayahan dalam mendidik, mengasuh dan membesarkan kita.

Sungguh, ibu dan ayah bukanlah orang biasa. Jika tidak – mengapakah mereka dipilih TUHAN untuk menghadirkan kita di dunia ini. Hargailah jasa mereka. Hargailah.

Ucapkanlah terima kasih ibu, terima kasih ibu, terima kasih ibu, dan terima kasih bapa.

Ucapkanlah, kerna mungkin tiada peluang esok buat kita semua.


* Terkenang analogi dan kata-kata guru saya, Ustazah Normah di Sekolah Rendah Agama Kampung Kundang sekitar tahun 1999 dulu, "kalau kamu nak tahu bagaimana susahnya ibu mengandungkan kamu, ambillah dua biji kelapa muda, ikat di perut kamu, dan pergilah masak, basuh kain, basuh pinggan, dan buat semua kerja suri rumah." Peh...

Tunggu apa lagi? Bersatulah!


Grafik di atas saya hasilkan secara spontan menggunakan aplikasi photoscape. Sebelum itu, saya baru sahaja selesai menjawab kertas peperiksaan akhir LLB(Hons), bagi subjek Law of Evidence (Undang-Undang Keterangan).

Idea untuk menghasilkan grafik ini hadir selepas saya melihat perkembangan politik tanah air yang semakin membimbangkan. Pembunuhan karektor, fitnah dan rasuah semakin berleluasa.

Yang menjadi mangsa, rakyat terbanyak. Berpecah-belah, bercerai-berai hanya karena perbedaan fahaman politik. Hal ini mendukacitakan. Sangat-sangat mengecewakan.

Kita harus sedar, perpaduan nasional hanya akan menjadi realiti sekiranya rakyat bijak membezakan yang mana satu intan dan yang mana satu kaca.

Kita tidak boleh terlalu mudah mempercayai kata-kata fantasi dan retorik kosong milik golongan politikus dalam memikul agenda masing-masing. Bukankah kita sejelasnya dianjur untuk bersatu-padu, dan bukan berpecah?

Ayuh generasi warisan bangsa, terimalah, terimalah, dan terimalah kemajmukan, demi pengukuhan perpaduan...

Jadi, tunggu apa lagi? Bersatulah! =)

Isnin, April 26, 2010

Ada apa pada nama?


Che Din - merupakan nama pena saya.

Panggilan ini juga sudah sebati dengan saya - malah rakan-rakan di kampus juga ramai yang memanggil saya dengan nama "Che Din".

Justeru, ada yang bertanya - mana dapat nama tu? Tiru nome de plum Tun M (Che Det) ke? Hm, untuk menjawab persoalan ini, saya jelaskan secara ringkas seperti berikut:

"Che Din" mengambil inspirasi daripada nama Ernesto Che Guevara, pejuang dan ikon revolusi Cuba dan dunia. Sehingga hari ini, imej beliau memandang ke atas dengan beret hitam merupakan imej yang paling banyak diguna dan dikomersilkan.

"Che" berasal daripada bahasa Sepanyol / castellano bermaksud "sahabat" (dalam bahasa Inggeris disebut "mate"/"friend").

"Che" juga adalah istilah Latin kuno yang boleh didefinisikan sebagai "hai" (kata sapaan).

Saya tidaklah sehebat Che Guevara, cuma semangat dan kecekalannya dalam mempertahankan prinsip perjuangan, menjadikan beliau pejuang hebat yang wajar dicontohi.

Malah, beberapa ketika sebelum dihukum mati (sewaktu dalam tahanan) oleh askar-askar petualang Bolivia, beliau dengan berani melaungkan - "Aku tidak takut, tidak pernah takut untuk mati. Aku tidak pernah memikirkan untuk hidup selama-lamanya. Tapi, aku percaya bahawa revolusi akan hidup selama-lamanya."

Kemudian, beliau menyatakan lagi, "Aku tahu bahawa kamu datang untuk membunuh aku. Tembaklah, wahai pengecut, tembaklah! Kamu hanya akan membunuh seorang lelaki!"

Che Guevara kemudian ditembak di bahagian tangan dan kaki menggunakan rifle jenis semi-automatik. Guevara menggelupur di atas tanah sambil menggigit lengan sekuat-kuatnya, bagi mengelakkan daripada menangis. Beliau kemudiannya ditembak dengan kejam sebanyak 9 kali - 5 kali di bahagian kaki, sekali di bahagian bahu dan lengan, sekali di bahagian dada, dan sekali di bahagian kerongkong.

Keberanian beliau juga mengingatkan kita semua kepada as-Syahid Syeikh Ahmed Yassin dan as-Syahid Dr. Abdel Aziz al-Rantissi (kedua-duanya mantan Ketua Pergerakan Hamas di Palestin).

Beberapa hari sebelum beliau dibunuh, as-Syahid Dr. Abdel Aziz al-Rantissi dengan tegas melaungkan bahawa, "tidak ada bedanya mati itu - ia tetap akan datang tanpa kita minta, sama ada mati karena penyakit barah atau mati dibedil Apache. Saya memilih untuk mati dibedil Apache Israel." Rejim Zionis Israel menunaikan permintaan Almarhum dengan mengebom kereta yang dinaiki beliau menggunakan Helikopter Apache Tentera Israel.

Selain daripada itu, tak berapa lama sebelum beliau dibunuh, as-Syahid Syeikh Ahmed Yassin menyatakan bahawa, "Seandainya seorang Ahmed Yassin dibunuh, akan lahir 1000 orang lagi Ahmed Yassin. Perjuangan ini tidak akan berhenti sampai bila-bila." Almarhum yang cacat penglihatan dan lumpuh hampir seluruh badan, dibom oleh Helikopter Apache Israel sewaktu diusung di atas kerusi roda selepas selesai menunaikan solat di sebuah masjid.

Justeru, ada apa pada nama? Ada pengertian, dan doa yang dalam maksudnya. =)

Aduhai manusia dan jurang-jurangnya.


Ramai di kalangan kita yang mempertikai makanan yang terhidang di hadapan kita.

Kita merungut bila di depan kita cuma ada nasi ayam, sedangkan kita mahukan hidangan yang lebih enak - makanan segera Mc Donald, KFC, A&W, Pizza Hut dan sebagainya.

Sementelah, ada pula yang sanggup tak menjamah apa-apa makanan (sehingga menjejaskan kesihatan) semata-mata untuk diet. Dietnya pula kadang-kala, sehingga membahayakan kesihatan - mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Aduhai...

Kendati, kita lupa - masih ramai saudara kita yang menangis mahukan makanan. Demikianlah, manusia dan jurang-jurangnya. Sedarlah. Sedarlah. Bersyukurlah...

Bersyukur.


Hm, sekadar ingin berkongsi - saya fikir, gambar ini menarik untuk dijadikan renungan kita bersama.

Menurut kefahaman dan pembacaan saya, gambar menunjukkan jenazah seorang anak kecil di Afrika yang mati kebuluran, yang mana tangannya dipegang oleh seorang petugas PBB (mohon diperbetulkan andai salah info).

Demikianlah, kita hidup di bumi bertuah Malaysia ini dengan segala macam nikmat yang melimpah ruah - makanan yang pelbagai jenis, sehingga kadang-kala membawa kepada pembaziran. Nauzubillah.

Kita selalu lupa, bahawa di luar sana masih ramai saudara-saudara kita yang merintih menahan kelaparan demi sesuap nasi. Malah, di Malaysia sendiri masih ada yang makan siput khinzir untuk mengalas perut.

Intihanya, bersyukurlah kita bisa makan - meski tak seenak mana. Bersyukurlah kita bisa tidur - meski tak selena mana. Bersyukurlah kita masih hidup - meski tak sebahagia mana. Kerna ada saudara kita di luar sana yang hidupnya tak seharmoni kita. Bersyukurlah...

Masihkah ada esok untuk menyesal?


Yang aku mahu
tiada tetes merah luka
tiada benci sengketa
natijah perbalahan sesama saudara

Ayuhai jiwa-jiwa yang diam melata
kita semua serumpun
harus padu bersatu

Yang aku mahu
dengan hati merayu-rayu
dengan semangat
bersaksi petir yang bergemuruh
bersaksi dentuman guruh
bersaksi gegar nan menggerutup,
KITA
bangkit dari persada luka
berdiri megah di pentas wira


menghapus musuh, petualang.
menghindar bencana berbalut petaka.


CHE Din,
21 Mac 2010,
Bilik A706, Aras 7,
Fakulti Undang-undang,
UiTM Malaysia,
Shah Alam.

Menyentap Saraf Beku.


Atok, Nenek, Wan, kesayanganku
bersaksikan
nisan kayu,
kuntuman kemboja
yang berguguran - aku sayu
jadi jatuh rindu syahdu

Kain putih, lenyapkanlah
wajah bening mereka
dalam litup tenang selimutmu

Kapas
belailah, tidur abadi mereka
atas bahagia kelembutanmu



Atok, Nenek, Wan, kesayanganku
pada masa hayat kalian
aku terima banyak nasihat hidup

namun, pada kematian kalian
sungguh, aku terima lebih banyak nasihat hidup



Atok, Nenek, Wan, kesayanganku.
maka benarlah
masa tidak mampu berdusta,
sedang hati masih merindui
semalam yang penuh kenangan

indahnya sukar dilupa,
menyimpannya umpama menelan jadam



Atok, Nenek, Wan, kesayanganku
belum sempat aku mengucapkan selamat datang
kalian telah pergi meninggalkan

belum sempat aku meluahkan rasa sayang
kalian telah hilang dari pandangan

sejambak Fatihah ku kirimkan buat kalian,
Oh, Atok, Nenek, Wan, kesayanganku.


CHE Din,
24 Mac 2010,
Jabatan Perubatan Forensik,
Hospital Kuala Lumpur,
Jalan Pahang,
Kuala Lumpur.

Kenapa Tidak Berjabat Erat?


Teman
kenapa tidak berjabat erat
kan KITA sedarah sebangsa
menghirup nafas
atas bumi yang sama

Ayuh teman
KITA laungkan lagu perpaduan
KITA laungkan ikrar persatuan
KITA kobarkan jiwa hebat

api dan duri KITA redahi,
gelora, ombak nan menggulung KITA lalui
bersama, angin yang menderu
bersama, keyakinan teguh
pada TUHAN Seru Semesta Alam

Ayuh teman
KITA
semat semangat
semerah hasrat
sepadu tekad.


CHE Din,
28 Mac 2010,
Apartmen Ruvena Villa,
Taman Putra Perdana,
Puchong.

a.z.a.m KITA


Azam KITA

satu hati
satu cita
satu arah tujuan
satu perjuangan
satu semangat -

bulat air kerna pembentung
bulat KITA kerna muafakat


Atas garis kasih ummah ini
dalam jalur cinta negara
dalam kobar jiwa merdeka,
KITA
bersatu teguh,
bercerai runtuh.


CHE Din,
Moot Court,
Kolej Cempaka 1,
Fakulti Undang-undang,
UiTM,
Shah Alam,
Malaysia.

Di tiap pelosok ceruk mata


Di tiap pelosok ceruk mata
aku, buka balutan luka
aku, lihat secebis serbuk harapan
pada wajah bening dan keikhlasan

sungguh,
puas sudah, kuperam emosi
puas sudah, kusentap rasa benci
yang mendesir di hati

kenapa
mengapa
bagaimana
KITA bisa jadi seteru
sedang sewajibnya KITA berpadu

sungguh,
ini bukan pengalaman mistik
tapi hakikat pedih,
yang sangat jelik.

CHE Din,
Kampung Kundang,
Tanjong Sepat,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia.

Sungguh, aku merinduikanmu


Atas tanah tumpah darah ini
dalam bening malam, yang kelam
ku rasakan lengang, yang panjang
dalam ramainya manusia, yang bertandang,
lalu-lalang

Marilah, marilah
kembali selimutkan rinduku
bersama hangat keramahanmu

Ku ingin kau menjadi bintang taram-temaram
menerangi di setiap malam-malam suramku
yang penuh dengan kekesalan
agar ia kembali
menjadi indah, karena hadirmu di hidupku

Sungguh, aku merinduikanmu,
Perpaduan!
Sungguh, aku merinduikanmu,
Kebebasan!
Sungguh, aku merinduikanmu,
Keadilan!

Sungguh, aku tak mahu jadi
GENERASI
yang tak kenal lagi
rasa rendah hati
dan harga diri.



CHE Din,
11 April 2010,
Kampung Kundang,
Kuala Langat,
Selangor Darul Ehsan.

Jiwa Melarat (The Forlorn Soul)



Oh TUHAN
ke mana harus kukirim warkah ini
warkah rintih hati KAMI
warkah hati rakyat terbiar sepi
yang hampir mati, dihempap kezaliman

Oh TUHAN
ke mana harus kukirim warkah ini
apakah ke pemimpin angkuh tak sedar diri
atau
apakah sekedar ke hati sendiri, nafsi-nafsi
memendam jiwa rasa, meraung ombak emosi

Oh TUHAN
sungguh, telah kujenguk-jenguk pemimpin itu
bila kusapa buat tak tahu
menambah luka pilu sendu

Oh TUHAN
pemimpin itu, rupa-rupanya
matanya ramah hanya
pada bodek lidah manis
sang oportunis
yang menabur beras ambur-ambur
yang menghambur kalam puja dusta palsu
yang bila memberi beriktisad balasan budi

Oh TUHAN
kugenggam kemas warkah ini
warkah darah dan air mata ini
sambil, memandang wajah pemimpin itu
yang tersenyum megah, penuh riak makna
laksana duduk di atas peterana.


CHE Din,
Khamis,
15 April 2010,
Restoran Barra, Pusat Komersil,
Shah Alam.

Di setiap inci pojok SAMUSKD (Sebagai sebuah puisi kenang-kenangan, serta penghargaan buat para Guru dan Bekas Guru SAMUSKD)




GURU
kalianlah dian kemerlap
pelita jendela, di malam syahdu gemerlap
yang selalu tabah
dalam atur kata, menghias makna
dalam sabar, mengharung duka
dalam setia, tanpa jemu lepa
menguntai kata, hingga jadi mutiara
agar KAMI bisa, menebak makna

GURU
terimalah puisi KAMI
sebagai, sebuah kenang-kenangan
sekaligus renungan hati
sebagai, sebuah penghargaan
sekaligus rasa rendah diri,
karena
dalam doa-doa yang berhembus, diterbangkan udara
kalianlah, kasih pelita jiwa
kalianlah, fungsionaris ilmu sebenar

Terpujilah, terpujilah, dan terpujilah kalian,
wahai GURU
dalam harum rahmat,
berkat ALLAH, sang Ar-Rahmaan.


Zairudin Hashim,
Bekas Pelajar SAMUSKD (2000-2004),
23 April 2010,
Dewan Raja Muda Musa,
Kompleks Belia dan Kebudayaan,
Shah Alam.

Salam Perkenalan.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, setelah hampir 4 tahun saya tidak menulis blog, kini saya kembali. Semoga ada manfaatnya blog ini buat saya khususnya, serta sahabat-sahabat sekalian.

Saya ada sertakan sedikit puisi-puisi dan grafik yang saya edit dalam blog ini. Sekadar ingin berkongsi. =)

Che Din.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...