Khamis, Mac 31, 2011

Penjaga gol terbaik Malaysia.



Dalam sukan bola sepak, penjaga gol mengambil kedudukan yang mewakili garis akhir pertahanan antara serangan lawan dan gol pasukannya. Peranan utama penjaga gol adalah untuk mempertahakan gol pasukannya dan juga lawan daripada menjaringkan gol. Penjaga gol juga adalah satu-satunya pemain yang dibenarkan untuk memegang bola dengan tangan atau lengannya dalam permainan terbuka. Setiap pasukan diwajibkan mempunyai satu penjaga gol di padang pada semua ketika semasa suatu perlawanan berlangsung. 

Jika penjaga gol terpaksa keluar disebabkan kecederaan atau dibuang padang, pemain lain mesti mengambil peranan berkenaan, walaupun pasukan tersebut tidak mempunyai penjaga gol gantian/atau sudah menggunakan kesemua pemain simpanan. Skuad Harimau Malaya telah sejak sekian lama diwarnai dengan para penjaga gawang yang cekap dan hebat. Ayuh, kita kongsi beberapa orang penjaga gol terbaik dalam lipatan sejarah bola sepak tanah air:


Mendiang R. Arumugam
R. Arumugam (31 Januari 1953 - 18 Disember 1988) telah memulakan kerjaya bola sepaknya sewaktu umur yang sangat muda. Beliau memulakan penampilannya dengan pasukan Selangor FA apabila berusia 18 tahun di dalam pertandingan Piala Remaja Burnley dalam tahun 1971. Beliau dikenali sebagai “Spiderman” kerana ketangkasannya. Beliau juga merupakan wira Harimau Malaya, seangkatan dengan ikon bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari.

R. Arumugam telah mendapat 196 kaps (bukan semua perlawanan antarabangsa bersifat kelas A) bagi Malaysia semasa zamannya bersama pasukan kebangsaan semenjak 1973 apabila beliau bersara daripada arena antarabangsa pada tahun 1986. Sasaran asalnya adalah untuk mendapat 200 kaps. Antara pencapaian terbaiknya adalah memenangi pingat gangsa Sukan Asia 1974 serta layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980. Malangnya, negara kita memboikot Sukan Olimpik pada tahun tersebut sebagai protes terhadap pencerobohan Kesatuan Soviet ke atas Afghanistan.

------------------------------------------------------------


Chow Chee Keong
Tidak ramai yang mengambil peduli pemain ini: Chow Chee Keong. “The fallen hero” ini tersenarai sebagai penjaga gol ke-10 terbaik Asia sepanjang zaman. Beliau terpilih sebagai penjaga gol terbaik Asia sebanyak 5 kali (1966 - 1970). Pernah bermain untuk pasukan Liga Hong Kong dan menerima gaji termahal (HKD2,500.00) sewaktu mencurah bakti dalam liga tersebut. Pada tahun 1982, beliau bermain dengan Skuad kebangsaan selama tiga tahun berturut-turut sebelum mengumumkan persaraannya.

---------------------------------------------------------------


Rashid Hassan
Abdul Rashid Hassan merupakan bekas penjaga gawang Skuad Harimau Malaya yang sangat cemerlang. Selaku penjaga gol era 70, 80 dan 90-an, Rashid bukanlah calang-calang orang dan beliau cukup masak dengan kerenah serta asam garam arena bola sepak negara kerana pernah mewakili negara dalam pelbagai kejohanan. Beliau merupakan pemain yang seangkatan dengan Azizol Abu Haniffah, Dollah Salleh, K. Rajagopal, Khan Hung Meng, Lim Teong Kim, Serbageth "Shebby" Singh dan Zainal Abidin Hassan. Beliau juga tersenarai sebagai pemain yang meraih pingat emas pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur selepas menewaskan Singapura 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Merdeka.

---------------------------------------------------------------


Mendiang Ong Yu Tiang
Pemain seangkatan R. Arumugam, Mokhtar Dahari, dan Rashid Hassan ini pernah beraksi untuk pasukan Pahang, Terengganu (1976-1979), Selangor (1980-1984 dan 1990) dan PDRM (1993). Beliau pernah menjulang Piala Malaysia sewaktu bersama Selangor (1981 dan 1982) dan menjadi johan Liga Malaysia bersama Pahang (1987) dan Selangor (1991). Beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada tanggal 15 Disember 2003 akibat penyakit leukaemia. Beliau menjadi antara pemain Skuad Pilihan Malaysia yang beraksi sewaktu Kejohanan Bola sepak Pantai sekitar pertengahan 1990an yang turut disertai lagenda Manchester United dan Perancis, Eric Cantona.

--------------------------------------------------------------------


Hassam Miskam
Hassam Miskam, satu nama yang tidak asing buat penyokong Selangor dan Johor. Aksi cemerlangnya bagaimanapun diconteng dengan skandal rasuah yang membawa kepada kejatuhan beliau. Sukan bola sepak negara gempar dengan isu rasuah pada tahun 1994 di mana seramai 126 pemain dan jurulatih dipanggil untuk membantu siasatan.

Akibatnya, seramai 58 pemain dikenakan hukuman gantung selama satu hingga empat tahun oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Seramai 21 pemain dan jurulatih diberhentikan manakala beberapa pemain dibuang daerah dan seumur hidup tidak dibenarkan menyertai pertandingan bola sepak kelolaan FAM. Kesannya, Malaysia kehilangan pemain handalan yang ramai. Kelompok pemain yang didakwa pada tahun itu adalah antara yang terbaik (Matlan Marjan) pernah dilahirkan oleh negara.

Kemerosotan pasukan kebangsaan Malaysia datang bersama-sama dengan kemerosotan liga tempatan. Banyak peminat Malaysia menyalahkan skandal rasuah pada tahun 1994 sebagai satu pemangkin, tetapi populariti langganan TV juga melarikan kebanyakan peminat bola sepak Malaysia daripada siaran langsung perlawanan tempatan ke perlawanan Eropah yang berprofil tinggi. Dengan kekurangan minat dan dana, bola sepak kebangsaan Malaysia sekarang ini masih berbatu jauhnya jika dibandingkan dengan zaman kegemilangan bola sepak pada 1970-an dan 1980-an.

----------------------------------------------------------------

Mohd Halim Napi
Penjaga gol paling digeruni pada jamannya. Baik kerana ketangkasan mahupun kerana sikap panas barannya. Pemain yang dilahirkan pada 11 Jun 1971 ini bermain sehingga berumur 40 tahun, satu rekod yang jarang-jarang dikecapi oleh penjaga gol profesional di Malaysia. Mempunyai ketinggian 6' 1", Halim menyertai pasukan Kelantan selepas zaman Hamid dan Halim Ramli. Pernah digantung beberapa kali kerana mengasari dan bergaduh dengan pemain dan pengadil, penjaga gol yang mempunyai pengaruh yang besar ini pernah beraksi untuk beberapa pasukan seperti Kelantan, JKR dan Negeri Sembilan.

-------------------------------------------------------------------------


V.Murugan
Veerappan Murugan atau V. Murugan (lahir pada 3 April 3 1965) merupakan bekas penjaga gawang Malaysia dan mencipta nama sewaktu mewakili pasukan Selangor yang dipimpin oleh gabungan Dato’ Aini Taib dan Ken Worden (era Azman Adnan, Asroff Hanafiah, Ismail Ibrahim, Azlisham Ibrahim, Shahril Arshat, K. Gunalan, P. Maniam, David Mitchell, Josep Biskic, Mehmet Durakovic, dan ramai lagi). Beliau pernah bermain untuk pasukan Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Public Bank, PDRM dan Melaka. Beliau juga pernah memenangi Piala FA, Piala Malaysia, dan Liga Malaysia. Seperti Halim Napi, V. Murugan juga beraksi sehingga berumur 40 tahun.

-----------------------------------------------------------


Khairul Azman Mohamed
Khairul Azman Mohamed dilahirkan pada 5 Mac 1968 di Kuantan, Pahang. Beliau mempunyai ketinggian 1.85 m dan merupakan seorang bekas penjaga gol terbaik era 90-an yang pernah dilahirkan oleh Malaysia. Dengan ketinggian dan kemahiran yang baik, pada era kegemilanganya mampu membuatkan pemain lawan menggeruni kemampuannya mengawal gawang. Beliau merupakan anggota skuad Juara Piala Kemerdekaan Indonesia 1992, Juara Pestabola Merdeka 1993, Naib Juara Piala Tiger 1996.

Bekas Penjaga Gol Terbaik Asia dan Pemain Terbaik Piala Malaysia 1996 ini pernah bermain untuk Pahang dan Sabah. Merupakan anggota pasukan Sukan Sea yang dimalukan skuad Laos sewaktu Sukan Sukan Sea Jakarta 1997. Kegagalan Khairul menyelamatkan sepakan bebas pemain Laos dari luar kotak penalti menyebabkan pasukan negara gagal ke separuh akhir kejohanan tersebut. Namun, Khairul tetap dianggap terbaik pada era 90-an. Antara penjaga gol terbaik pernah dimiliki Malaysia.

------------------------------------------------------


Azmin Azram Abdul Aziz
Selepas Khairul Azman bersara daripada arena antarabangsa, muncul Azmin menjadi penjaga gol nombor satu negara. Ketangkasan Azmin ketika beliau berada pada zaman puncaknya tidak perlu dipertikaikan. Perlawanan menentang pasukan kebangsaan Brazil pada tahun 2002, menceritakan segalanya.

Sepakan percuma Ronaldinho, percubaan demi percubaan daripada Ronaldo, Rivaldo dan Roberto Carlos ketika itu berjaya dihalang dengan cemerlang. Hinggakan satu ketika terpampang di kaca TV, Ronaldinho menggelengkan kepalanya tanda mengkagumi Azmin. 0-0 pada separuh masa pertama, satu keputusan baik buat skuad negara, walaupun Azmin akhirnya bolos pada separuh masa kedua. Azmin juga turut beraksi sewaktu pasukan negara dibelasah oleh Skuad Manchester United sekitar 2001 yang ditunjangi pemain bintang seperti Nistelrooy, Jaap Stam, Laurent Blanc, Scholes dan Beckham.

-----------------------------------------------------------


Kamarulzaman Hassan
Beliau merupakan pemain “Skuad Harapan” Malaysia era Allan Harris yang dibarisi oleh pemain muda berbakat seperti Akhmal Rizal Rakhli, Norhafiz Zamani Misbah dan Juzaili Sameon. Penjaga gol yang sangat baik, cemerlang dan sangat sukar dibolosi. Namun, kesilapannnya yang tertampan bola ke gawang sendiri pada Sukan Sea 2001 di Kuala Lumpur, dikatakan menjadi “turning point” merudumnya prestasi Kamarul.

Penjaga gawang era Allan Harris ini pernah disingkir bersama Khalid Jamlus kerana melanggar ‘perintah berkurung’ semasa di kem latihan yang digelar sebagai “Kes Budak Disko 2001.” Kes ini semacam mengulangi “Kes Budak Disko 1995” yang membawa kepada penggantungan Azman Adnan dan beberapa pemain kebangsaan lain.

-------------------------------------------------------


Syamsuri Mustafa
Mohd Syamsuri Mustafa dilahirkan pada 6 Februari 1981. Sewaktu jaman gemilangnya, Syamsuri Berjaya mengenepikan beberapa penjaga gawang berpengalaman seperti Mohd Hamsani Ahmad, Azmin Azram Abdul Aziz dan Azizon Abdul Kadir. Antara kejayaan Syamsuri ialah kemampuannya menggondol pingat Perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2001, Gangsa Sukan SEA 2003, Tempat Ketiga Piala Tiger 2004, Naib Johan Piala Malaysia 2004, serta Pemain dan Penjaga Gol Pilihan dalam Anugerah Bolasepak Malaysia Coca-Cola FAM 2005-2006.

Jaringan jarak jauh Syamsuri ketika menentang pasukan tuan rumah, Vietnam, sewaktu Malaysia tewas 3-4 dalam Sukan Sea 2003 akan tetap dikenang dalam lipatan sejarah bola sepak Malaysia. Konsisten sebagai penjaga gol nombor satu negara selepas prestasi merudum Kamarulzaman Hassan. Mewakili Malaysia dalam banyak kejohanan. Syamsuri juga pernah terlibat dalam beberapa kontroversi dan masalah disiplin, yang sedikit-sebanyak telah menggugat peluangnya dalam skuad kebangsaan.

--------------------------------------------------------


Farizal Marlias
Mohd Farizal Marlias (lahir pada 29 Jun, 1986) merupakan anggota pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia dan pasukan bawah 23 tahun Malaysia. Pada Piala AFF Suzuki 2008, Farizal dipilih sebagai penjaga gol nombor tiga Malaysia menggantikan Badrulzaman Abdul Halim yang tercedera sebelum kejohanan. Selepas perlantikan K. Rajagopal sebagai jurulatih Malaysia, Farizal menjadi pilihan pertama untuk mengawal gawang Malaysia. Akibat masalah kecederaan, beliau kini terpaksa bersaing hebat dengan Sharbinee Alawi dan Khairul Fahmi Che Mat.

-----------------------------------------------------


Khairul Fahmi Che Mat
Khairul Fahmi Che Mat (lahir pada 7 Januari 1989 di Kota Bharu, Kelantan) merupakan penjaga gawang No.1 Skuad Harimau Malaya ketika ini. Beliau juga menganggotai Skuad Bawah 23 tahun dan Bawah 20 tahun Malaysia (Skuad Harimau Muda). Asalnya seorang penjaga gol yang dipanggil pada saat akhir akibat kecederaan Sharbinee dan Farizal, Khairul Fahmi mengejutkan ramai pihak dengan aksi bersih dan kecemerlangannya menjaga gawang. Antara kejayaan beliau ialah Piala Malaysia 2010, Piala Sumbangsih 2011 dan Piala Suzuki AFF 2010. Beliau dicanang sebagai pengganti Mendiang R. Arumugam.

--------------------------------------------------------------------------

Tuntasnya, ramai lagi penjaga gol yang pernah memeriahkan persada bola sepak tanah air. Azmi Mahmud, Nazreen Chong, Sarbinee Alwi, Osman katmon. Mudzar Mohamad, Ahmad Sobree, Azlisham Ibrahim, Yap Kam Choon, Mazlan Wahed (sekedar menyebut beberapa nama) dan ramai lagi penjaga gol pastinya dikenang sebagai atlet yang berjasa kepada pasukan masing-masing. Terima kasih untuk mereka. Tabik hormat, buat wira Harimau Malaya!

Ahad, Mac 20, 2011

Coca-Cola: Cool atau propa?


Ramai di kalangan kita yang pasti pernah mencicipi minuman ringan yang satu ini – Coca-Cola. Saat ini, minuman ini telah diminum hampir 1 bilion orang setiap hari.

****************


Coca-Cola atau Coke adalah minuman ringan berkarbonat yang dijual di banyak restoran, toko, dan mesin vendor di lebih daripada 200 negara. Minuman ini dikeluarkan oleh The Coca-Cola Company. Coke adalah salah satu tanda perniagaan dan jenama yang paling dikenali dan paling luas penjualannya. Saingan utamanya adalah Pepsi. Bersama McDonald dan beberapa jenama lain, Coca-Cola telah menjadi simbol antarabangsa budaya kepenggunaan Barat, Amerikanisasi dan penjajahan bentuk baru. Ayuh kita kongsi 50 fakta menarik berkenaan Coca-Cola:



****************



1. Ramuan Coca-Cola pada asalnya dicipta oleh ahli farmasi bernama Dr. John Pemberton sebagai ubat bagi menyembuhkan sakit kepala;


2. Beliau mendakwa bahawa Coca-Cola dapat menyembuhkan pelbagai penyakit, termasuklah ketagihan morfin; dyspepsia; neurasthenia; dan mati pucuk dan dijual dengan harga 5 sen sebotol;


****************



3. Frank M. Robinson, sahabat dan akauntan Dr. John, menyarankan nama Coca-Cola kerana berpendapat bahawa dua buah huruf C akan tampak menonjol untuk tujuan pengiklanan.



****************




4. Warna asal Coca-Cola ialah hijau;


5. Asalnya, Coca-Cola dicampur dengan dadah jenis kanabis. Kendatipun, pada 1905, ia telah dibuang atas bantahan orang ramai;

6. Coca-Cola dipanggil “Coca-Cola” kerana ramuan asal yang digunakan untuk menghasilkan “ubat Coca-Cola” ialah daun Coca dan benih Kola. Wine juga ditambah ke dalam Coca-Cola sebelum digantikan dengan gula pada hari ini;

7. Tidak ramai yang mengetahui formula rahsia Coca-Cola. Ramuan asas Coca-Cola akan dihasilkan di beberapa buah kilang pengeluaran berpusat sebelum dieksport ke seantero dunia yang membotolkan Coca-Cola;

8. Antara nama perasa yang dicampur ke dalam ramuan rahsia Coca-Cola ialah “7x”;


****************


9. Jenis cetakan yang digunakan untuk logo Coca-Cola dipanggil sebagai “Spencerian Script”;


10. Hak untuk membotolkan Coca-Cola dijual pada harga US$1 pada tahun 1890an. Tanda perniagaan (trademark) “Coca-Cola” pula digunapakai semenjak 1886, didaftarkan pada 31 Januari 1893 sebelum tanda perniagaan “Coke” pula didaftarkan pada 1945;


11. Coca-Cola mula dijual di Australia pada 1937 dan di New Zealand pada 1939;

12. Coca-Cola dan Kejohanan Sukan Olimpik mula menjalinkan kerjasama di Amsterdam pada musim panas 1928;

13. Dua buah negara sulung yang membotolkan Coca-Cola selepas ia diperkenalkan di Amerika ialah Cuba dan Panama;

14. Dalam bahasa Cina, Coca-Cola bermaksud “untuk menjadikan mulut anda gembira”;

15. ‘Diet Coke’ telah dilancarkan secara rasmi di Australia pada 1983. Pada penghujung waktu tersebut, ia menjadi minuman ringan berkarbonat yang mencatat jualan kedua tertinggi selepas Coca-Cola di Australia;

16. Sistem Coca-Cola mempunyai lebih daripada 500 buah jenama di seluruh dunia termasuklah ‘Diet Coke’; ‘Fanta’; dan ‘Sprite’. Juga, terdapat lebih 1200 kilang pembotolan Coca-Cola di seluruh dunia;

17. Apabila gula-gula Mentos ditambah ke dalam botol Coca-Cola, karbon dioksida di dalam Coca-Cola akan dibebaskan secara sangat cepat, menyebabkan air Coca-Cola di dalam botol tersebut tersembur seperti air pancut. Ia akan menjadi lebih berkesan jika gula-gula Mentos itu ditambah ke dalam Diet Coke;

18. Coca-Cola boleh digunakan untuk membantu menyembuhkan sengatan obor-obor;

19. Coca-Cola boleh digunakan untuk membersihkan kuali yang berkarat dan mangkuk tandas yang kotor. Anda hanya perlu menuang air tin Coca-Cola ke arah mangkuk tandas dan biarkan selama 1 jam;

20. Coca-Cola juga boleh digunakan untuk menghilangkan bau badan;

21. Coca-Cola boleh digunakan untuk menghilangkan kesan minyak gris;

22. Coca-Cola boleh digunakan untuk melonggarkan bolt dan nat yang sudah berkarat;

23. Coca-Cola boleh digunakan untuk membunuh serangga;

24. Coca-Cola boleh digunakan untuk mengilatkan duit syiling;

25. Coca-Cola boleh digunakan untuk menghilangkan kesan cat;

26. Coca-Cola boleh digunakan untuk menghentikan sesedu (hiccups);

27. Dalam masa satu malam, Coca-Cola boleh melembutkan gigi yang direndam di dalamnya;

28. Sekiranya ada gula-gula getah yang melekat pada rambut anda, rendamkan ia dengan Coca-Cola. Ia akan memudahkan gula-gula getah tersebut untuk dileraikan daripada rambut anda;

29. Di Amerika Syarikat dan beberapa negara lain, kereta peronda di kawasan lebuh raya akan membawa sebanyak 2 gelen air Coca-Cola untuk menghilangkan kesan darah akibat kemalangan jalan raya;

30. Sekiranya anda meletakkan stik tulang berbentuk T ke dalam air Coca-Cola, ia akan cair dalam masa 2 hari;

31. Seorang lelaki didapati meninggal dunia selepas meminum 8 botol air minuman Coca-Cola. Hal ini demikian kerana, kandungan karbon dioksida di dalam badannya adalah terlalu banyak dan melebihi kadar oksigen di dalam darah;


****************



32. Pepsi dilihat sebagai produk yang lebih dekat dengan jiwa remaja. Hal ini demikian kerana, Pepsi telah membelanjakan kebanyakan dan pemasarannya ke atas generasi muda. Tetapi, adakah ia cukup untuk mengekalkan jumlah penggunanya apabila mereka sudah berusia?;


33. Coca-Cola dikatakan mempunyai jumlah karbonat yang lebih banyak berbanding Pepsi. Namun, terdapat dakwaan yang menyatakan bahawa jumlah karbonat di dalam kedua-dua minuman tersebut begantung kepada di rantau mana ia dihasilkan;

34. Coca-Cola merupakan tanda perniagaan yang paling dikenali di seluruh dunia, dikenali oleh lebih 94% penduduk dunia dan merupakan perkataan yang paling dikenali selepas perkataan “OK”;

35. Terdapat hampir 10,450 tin minuman ringan keluaran Syarikat Coca-Cola yang diminum pada setiap saat dan setiap hari;

36. Meskipun Coca-Cola kebiasaannya dihidangkan dengan ais di kebanyakan negara di seluruh dunia, ia dihidangkan sebagai ‘Coca-Cola panas’ untuk mengurangkan kesejukan sewaktu musim sejuk;

37. Para pekerja Coca-Cola di Colombia tidak menghasilkan produk untuk eksport -- produk Coca-Cola yang dihasilkan di Colombia hanya dijual di sana;


****************



38. Perniagaan Coca-Cola di India menjana peluang pekerjaan buat lebih daripada 150,000 orang;


39. Lebih satu pertiga daripada jumlah keseluruhan air yang digunakan dalam operasi Coca-Cola di India akan diperbaharui dan dikembalikan ke sistem air bawah tanah;

40. Coca-Cola juga telah dituduh berkenaan penggunaan air yang berlebihan di India;

41. Pemilik Coca-Cola gemar meletakkan frasa “Original Formula” pada tin minuman mereka. Hakikatnya, ia bukanlah “original” (asli), memandangkan sejak 1985, sejenis campuran gula dalam minuman Coca-Cola telah digantikan dengan ramuan “high fructose corn syrup” (HFCS), mengakibatkan rasa yang lain daripada yang asal dan menjadikannya bahaya untuk kesihatan;

42. Pakar kesihatan menyarankan agar para pengguna berhati-hati terhadap penggunaan HFCS kerana dapat memperburukkan risiko obesiti dan diabetes yang lebih daripada gula tebu;

43. Selain itu, satu kajian pada 2009 menemui bahawa hampir setengah daripada sampel yang diuji daripada HFCS komersial mengandung zat berbahaya iaitu merkuri;

44. Kajian menunjukkan bahawa soda dan minuman manis merupakan sumber utama kalori yang tinggi Coca-Cola dan minuman ringan lainnya dapat mendatangkan bahaya jika digunakan secara berlebihan, terutamanya untuk golongan muda yang sering meminum minuman ringan;

45. Satu tin (330ml) Coca-Cola mengadungi 40gm gula; bersamaan 8 sudu teh;

46. Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr. Maamor Osman menyatakan bahawa kandungan florida (fluoride) dalam Colgate dan Coca-Cola sebenarnya adalah sisa terbuang industri yang boleh menjejaskan tahap kesihatan;

47. Kajian menunjunjukkan bahawa penggunaan minuman Coca-Cola dalam jangka panjang yang panjang boleh menyebabkan osteoporosis pada wanita yang lebih tua;

48. Di India, terdapat beberapa pihak yang mendakwa bahawa terdapat pestisida, DDT dan bahan kimia berbahaya lain di dalam ramuan Coca-Cola. Ia didakwa boleh menyebabkan barah dan gangguan terhadap sistem imunisasi (kekebalan) tubuh;


****************



49. Sekiranya kesemua Coca-Cola yang telah dihasilkan menggantikan air terjun Niagara dengan kadar normal 1.5 juta gelen sesaat, air terjun tersebut akan mengalir selama 38 jam dan 48 minit;


****************



50. Iklan Coca-Cola untuk musim percutian Krismas sekitar 1930an oleh seorang artis bernama Haddon Sundblom telah menghasilkan imej baru Santa Claus yang memakai sut merah yang terkenal sehingga ke hari ini. Sebelum itu, Santa Claus digambarkan dalam pelbagai bentuk yang menakutkan.



****************


Sumber:
  1. amsterbrand-emilio1982.blogspot.com;
  2. article.wn.com;
  3. http://bizcovering.com/major-companies/top-ten-facts-about-coca-cola/#ixzz1H85a02dS;
  4. http://papatoto.com/article/864349871876/;
  5. http://wiki.answers.com/Q/Is_there_any_interesting_facts_about_the_Coca-Cola_Company_Headquarters;
  6. http://www.associatedcontent.com/article/430537/fun_facts_about_coca_cola.html;
  7. http://www.stumblerz.com/fun-facts-on-coca-cola/; dan
  8. pixdaus.com.


Selasa, Mac 15, 2011

Filem Kami.


Sudirman
Sudirman Hj Arshad (25 Mei 1954-22 Februari 1992) merupakan salah seorang penyanyi terkenal di Malaysia. Beliau telah dinobatkan sebagai Penghibur Nombor 1 Asia selepas memenangi Anugerah Penyanyi Asia tahun 1989 di Royal Albert Hall, London.

Individu serba-boleh ini telah diberi jolokan sebagai Penghibur Milik Masyarakat, Seniman Rakyat dan Elvis Malaysia. Beliau adalah penyanyi, penghibur, penggubah, peguam, penulis, pengarang (buku kanak-kanak), pelukis kartun, usahawan, dan pelakon. Selain itu, beliau telah melahirkan sebanyak 168 buah lagu.

Begitulah tanggapan yang masih melekat di minda yang bernasib baik dapat menyaksikan sendiri Sudirman secara peribadi atau melalui kaca televisyan. Gelaran peledak Cili Padi ini hanya mempunyai ketinggian 1.47 meter dan berkasut saiz 7, mengenakan pakaian biasa, solekan dan sekali-sekala mengenakan chaplinesque yang bersahaja.

Satu-satunya filem yang dilakonkan oleh Allahyarham Sudirman ialah filem Kami yang mula ditayangkan pada 27 Mei 1982. Filem ini dikeluarkan oleh Indra Film Productions and Distribution Sdn. Bhd. dan merupakan filem sulung arahan Patrick Yeoh.






Filem Kami

Kami mengangkat watak Tookoo, remaja berusia 17 tahun yang inginkan kebebasan dan mencari kehidupan sendiri. Hobinya suka menyanyi. Namun, taraf pelajaran Tookoo yang terkandas setakat darjah lima tidak menjanjikan apa-apa dalam hidupnya.

Ibunya sudah meninggal dunia, dia tinggal bersama ibu tiri dan bapanya.

Lalu, dia cuba berjuang meneruskan hidup dengan melakukan sebarang kerja yang dapat memberikannya sesuap nasi. Disebabkan tidak serasi dengan ibu tirinya, dia berhijrah ke Kuala Lumpur.

Di sana, Tookoo bertemu dengan Din, seorang kanak-kanak terbiar berusia 11 tahun yang buta huruf. Din tinggal bersama makciknya yang selalu menderanya. Oleh sebab itu, Din pun melarikan diri dan ingin mencari ibu kandungnya.

Suatu hari semasa hujan, Din minta berteduh di tempat berlindung Tookoo iaitu sebuah banglo yang ditinggalkan. Bertemu Tookoo membuatkan Din rasa dihargai meskipun pada mulanya kehadirannya kurang disenangi Tookoo. Mereka tinggal dan mencari pekerjaan bersama dalam situasi gembira malah Din menganggap Tookoo umpama seorang abang dan juga bapa bagi dirinya.

Sejak itu, Din dan Tookoo menjadi kawan baik. Di situlah bermulanya “Kami”. Pelbagai bentuk halangan dan rintangan yang mereka hadapi dalam meneruskan hidup.

Begitu pun, kehadiran pegawai kebajikan masyarakat untuk mengambil Din yang dianggap tidak memiliki keluarga menimbulkan situasi sedih keduanya. Mereka terpaksa berpisah kerana Tookoo juga beranggapan Din wajar tinggal bersama keluarga angkat untuk meneruskan persekolahannya.

Selain Sudirman Haji Arshad dan Zul Zamrin Huri, turut membintangi Kami adalah Kwee Leng (Ibu tiri Tookoo), Ibrahim Din (Mamak), Shariff Babu (Pak Du), Azmi Mohamad (Abang Husin), Azizah Muslim, Norhayati Yaacob, Param Andhi, Balakrishnan Andhi dan Ganesh Munusamy.




Penutup
Saya - secara peribadi - cukup terkesan dengan babak awal filem Kami ini. Babak Din (Zul Zamrin Huri) mengintai sayu dari jauh sambutan hari lahir seorang anak orang kaya, dan kemudiannya mengutip alat tiup permainan yang telah dibuang oleh tetamu majlis tersebut.

Pelakon utamanya, Sudirman, telah dicalonkan dalam kategori Pelakon Terbaik di Festival Filem Malaysia, tetapi tidak berjaya.

Beliau dikatakan sangat berkecil hati, kerana beliau sedaya-upaya memberikan yang terbaik untuk watak Tookoo. Beliau ingin turut dikenali dalam bidang perfileman selepas menguasai pelbagai bidang lain seperti perniagaan dan industri muzik Malaysia.

Seniman Aziz Sattar menyatakan bahawa antara faktor utama kekalahan Sudirman ialah watak Too-Koo yang kelihatan “kebudak-budakan.”

Dari sisi lain, berbekalkan bakat lakonan yang ada dalam dirinya, beliau (Sudirman) telah memegang watak utama sebagai Tookoo dengan baik dalam filem Kami, bergandingan dengan Zul Zamrin Huri. Filem ini telah memenangi Anugerah Festival Filem Malaysia ke-3 yang mana telah mengungguli kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik.

Menjelang penghujung usianya, Sudirman memberitahu, beliau telah menyiapkan skrip filem “Primadona” dan bercita-cita untuk menjadi produser dan pengarahnya. Malangnya, hasratnya itu tidak kesampaian.

Al-Fatihah buat penghibur berjiwa besar ini.


Sumber:
• http://ms.wikipedia.org/wiki/Sudirman_Hj_Arshad
• seceriawarnapelangi.blogspot.com
• sinemamalaysia.com.my
• http://ramlan1984.blogspot.com/2011/02/wajah-wajah-sudirman.html

Ahad, Mac 13, 2011

Pelangi itu.








Cantiknya pelangi adalah kerana warnanya yang pelbagai.

Merah;

Jingga;

Kuning;

Hijau;

Biru;

Nila;

Unggu...

Justeru, hargailah individu dan makhluk lain di sekeliling kita.

Putih, tak semestinya bersih.

Hitam, tak semestinya tidak baik.


Gambar dicuplik dari:
• climate.met.psu.edu
• hongkiat.com
• gizmodiva.com
• katurahenley.com
• suhaimina.blogspot.com
• truemalaysian.wordpress.com

Sedar dalam Belasungkawa





Miyako tertunduk dalam bela sungkawa
dengan doa dan harta

Rikuzentakada bergetar gerun, gerun sekali
ombak menggelegar dahsyat di Kamaishi dan Sendai
orang terkapar lapar di Minami Sanriku

Kata orang:
“Tsunami itu cara TUHAN berbicara”

Kataku:
“perlukah jutaan jiwa melayang;
untuk menggugah kepedulian?
perlukah Acheh kembali terluka;
untuk kita tersedar?”


Terima kasih, TUHAN
terima kasih atas peringatan.

Che Din,
Paya Indah Wetlands,
13 Mac 2011,
10.30 pagi.



Gambar dicuplik dari:
www.dailymail.co.uk
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...