Selasa, Mac 01, 2011

Masjid Jamek, Kuala Lumpur

Pembinaan
Masjid Jamek Kuala Lumpur telah dibina di atas kawasan tanah perkuburan Melayu yang pertama. 'Jamek' berasal dari istilah Arab yang bermaksud tempat untuk berhimpun (dalam konteks ini -- bagi tujuan agama).

Batu Asas Masjid ini telah diletakkan oleh D.Y.M.M. Sultan Selangor, Sultan Sir Ala’eddin Suleiman Shah C.M.J. pada 23hb. Mac 1909 dan disempurnakan pembukaannya pada 23 Disember 1909.


Masjid ini merupakan salah satu di antara masjid yang tertua di Kuala Lumpur. Pembinaannya direkabentuk dan diselia oleh Pemangku Arkitek Kuala Lumpur, Arthur Benison Hubback, yang sebelum ini bertugas di Jabatan Kerja Awam di India. Beliau telah menyelia reka bentuk stesen Keretapi Kuala Lumpur yang diilhamkan oleh beliau.

Pihak British membina Masjid Jamek berhampiran dengan pusat pentadbiran iaitu Bangunan Sultan Abdul Samad di seberang Sungai Gombak. Pembinaannya mengambil masa sembilan bulan dengan kos sebanyak 32,615 ringgit di mana kerajaan telah menyumbang 20,000 ringgit dan bakinya adalah hasil kutipan daripada para jemaah.

Pada tahun 1983, kerja-kerja pembesaran telah dijalankan oleh Syarikat Arkitek yang dimiliki oleh Encik Razaly. Pembinaan tambahan telah dibuat beberapa kali kerana jumlah jemaah yang semakin bertambah termasuklah pada tahun 1984. Bangunan Masjid yang dibina pada tahun 1909 ini terletak di pertemuan dua sungai iaitu Sungai Klang dan Sungai Gombak.

Masjid-masjid ini mempunyai gaya dan reka bentuk masjid-masjid di India Utara. Bangunan induknya mengandungi tiga buah kubah dan sisi menghadap ke timurnya pula dua buah menara. Masjid ini dianggap masjid yang tertua di bandaraya Kuala Lumpur.

Seni bina masjid ini menjadikan ia sebagai mercu tanda yang kemudiannya berkembang sebagai nadi bandaraya Kuala Lumpur. Masjid Jamek merupakan masjid utama bagi solat Jumaat dan pusat aktiviti Islam sehinggalah pembinaan Masjid Negara pada tahun 1967.

Masjid ini tidak dapat diperbesarkan kerana dihimpit oleh Sungai Klang dan Sungai Gombak. Awalnya, mereka yang hendak solat perlu mengambil wuduk di bucu pertemuan sungai. Beberapa lapis tangga dibina ke dalam sungai untuk memudahkan orang ramai mengambil air sembahyang.

Seni bina
Reka bentuk masjid ini adalah berdasarkan rekaan tradisional India Utara,,dengan dewan solat terbuka ke arah laman tertutup atau “sahn”. Masjid ini diapit dengan dua menara dan beberapa menara lebih kecil. Kubah bebawang di kemuncak dewan solat dan di kemuncak menara menyerupai seni bina Moghul.

Masjid Jamek adalah contoh seni bina “rasmi” British di Malaysia, yang membabitkan gabungan unsur Moor dan Mughal. Belang merah dan putih dinding batu sama seperti Masjid Jamek di Cordoba, Sepanyol, membentuk dinding luar masjid. Persamaan lain dengan masjid Moor boleh dilihat pada gerbang bertiang dalam bentuk berpetak dan perincian dengan selang jalur batu-bata, plaster dan marmar.

Pentadbir Inggeris adalah pihak yang mula membawa kubah di bangunan-bangunan di Malaysia. sumber inspirasi mereka ialah bangunan-bangunan Moghul di India. Maka muncullah masjid berkubah di Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar, Masjid Zahir Alor Star dan Masjid Jamek Kuala Lumpur. Kemuncaknya ialah Bangunan Sultan Abdul Samad, bangunan ibu pejabat KTM dan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur.



Masalah
Masjid ini menjadi mangsa pembangunan infrastruktur Kuala Lumpur. Jabatan Perancang Bandar Kuala Lumpur meluluskan pelbagai bangunan dan struktur sehingga menghilangkan keindahan masjid ini. Akibatnya, tiada lagi ruang untuk pembesaran dan tempat parkir kereta. Tandas juga tidak terurus dengan baik.

Masjid ini terletak kira-kira 10 meter dari paras normal Sungai Gombak-Sungai Klang. Pada 10 Jun 2007, Lantai Masjid Jamek dan sekitarnya tenggelam hampir 1 meter. Hujan lebat bermula 6 petang dan berlarutan sehingga 8 malam.

Tanda ukur di Sungai Klang mencapai 30 kaki iaitu angka paling tinggi pada pengukur itu.Beberapa kereta dihanyutkan air ke pekarangan Masjid Jamek. Masalah banjir pernah melanda pada tahun 1926,1971 dan 2003.

Dalam Masjid Jamek diselaputi lumpur dan sebuah tembok dinding sebelah kanan masjid runtuh akibat rempuhan arus deras air banjir. Stesen Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) di Masjid Jamek juga ditutup hampir sejam.




Sungai Gombak yang bergabung dengan Sungai Batu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) merupakan cabang terbesar jika dibandingkan dengan cabang Sungai Klang yang menyusur di bawah stesen transit aliran ringan Masjid Jamek. Sungai Ampang bergabung dengan Sungai Klang. Hujan sekitar Selayang, Kepong, Jinjang, Gombak, Segambut, Sentul, Setapak dan Melawati hingga ke Jalan Ipoh dan Chow Kit akan melimpah sebagai banjir kilat di Masjid Jamek.


Satu kubah bawang di bahagian tengah masjid ini pernah runtuh sekitar 1990-an. Kemudian ia diperbaiki semula. Solat masih diteruskan kerana tidak melibatkan semua kubah.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) perlu memantau kekotoran dan ketidakselesaan akibat golongan tertentu yang beristirehat dan baring-baring di dalam masjid.


Penutup
Tuntasnya, Masjid Jamek asalnya telah dibina oleh pedagang-pedagang Islam yang berasal dari India di persimpangan Sungai Klang dan Sungai Gombak, Kuala Lumpur pada zaman penjajahan British.

Kedudukannya berhampiran tapak perkuburan awal di situ dan kini terletak berhampiran dengan Dataran Merdeka, stesen Putra LRT dan Star LRT. Ia menjadi sebahagian daripada mercu tanda Kuala Lumpur sebagai Kota Kebudayaan Islam.

Sumber:
• http://commons.wikimedia.org/wiki/File:Masjid_Jamek_station_%28Sri_Petaling_Line%29,_Kuala_Lumpur_%28January_2007%29.jpg
• http://ms.wikipedia.org/wiki/Fail:Masjid_Jamek_station_%28Ampang_Line%29_%28exterior%29,_Kuala_Lumpur.jpg
• http://www.daftarwarisan.gov.my/index.php?page=warisan_keb_home&subpage=show_detail&category=1&id=305
• http://www.masjidjamekbandaraya.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...