Jumaat, April 29, 2011

Qathrunnada: Episod 5.

Ammar kelihatan masih tenang. Dia meredah pagi itu menuju Bangunan Syed Hussin Holdings. Ada terjinjing hajat yang perlu diselesaikannya. Di dalamnya, kelihatan ramai pekerja dan kakitangan syarikat tersebut yang asyik dengan kerja masing-masing.

Dan, Ammar terus menuju ke arah seorang penyambut tetamu yang kelihatan sangat anggun dan korporat.

“Assalamualaikum...” Ammar memberikan salam. Namun, penyambut tetamu itu seperti tidak menghiraukannya. Dia sibuk menghadap komputer di hadapannya. Tangannya laju menaip sesuatu.

“Macam robot,” bisik hati Ammar.

“Ehem, ehem.... Assalamualaikum, cik...” Sekali lagi Ammar memberikan salam.

Penyambut tetamu wanita itu berhenti menaip untuk seketika. Dia merendahkan sedikit cermin matanya dengan jari tangan kanannya. Dia memandang tubuh Ammar dari hujung ubun-ubun sampailah ke kasut sukan yang dipakai oleh Ammar. Rambut panjang, baju selekeh. Pakai seluar jeans lusuh pulak tu.

“Yes, may I... Ooops... Sorry. Hmm... Nak apa? Boleh saya bantu?” Tanya penyambut tetamu itu endah tak endah, sambil meneruskan kerja-kerja menaipnya. Ammar mencuri pandang ke arah komputer di hadapan wanita itu.

“Facebook?... Cis... Ingatkan busy sebab apa tadi. Kurang asam jawa betul. Mentang-mentang la aku pakai t-shirt dengan seluaq jeans ja,” Ammar berang. Bengang. Tapi tak terluah daripada mulutnya. Sekadar terpendam di kalbu. Malas dia nak kecoh-kecoh di pejabat yang berhawa dingin itu.

“Hmmm... Wahai cik adik manis yang tengah busy membuat ‘kerja’, bulihkah kiranya saya berjumpa dengan Tan Sri Zulkarnain?...” Sengaja ditekankan perkataan ‘kerja’ itu.

Tiba-tiba sahaja, penyambut tetamu itu berhenti menaip. Merenung Ammar dengan pandangan yang amat tajam. Tajam. Sampai tembus. Takutnya....

Penyambut tetamu itu mula bangun, sambil mencekak pinggang rampingnya. Mukanya kelihatan seperti menahan perasaan amarah yang membuak-buak dan menggelelegak.

“Garangnya... Macam Gunung Tangkuban Perahu, yang menunggu waktu nak meledak dan meletus!...,” bisik hati Ammar.

“Awak ni ada buat appointment dengan Tan Sri ke?”

“ALLAH, saya lupa la nak buat appoinment. Tan Sri ada dak? Cik adik habaq la kat dia saya mai nak jumpa dia. Bulih dak?...”

“Eh, awak ingat ni tempat ape, hah? Awak tau tak yang Tan Sri tu busy? Nak jumpa client sana, client sini. Dato’-Dato’, Tan Sri-Tan Sri. Meeting sana, meeting sini. Mana dia ada masa nak jumpa orang macam awak ni! Lain kali, nak jumpa Tan Sri, buat la appoinment dulu. Temu janji. Faham?!”

Serentak dengan itu, makcik cleaner yang sedang mengelap lantai berdiri kaku. Pelik melihat penyambut tetamu itu menengking lelaki yang berdiri di hadapan mejanya.

“Amboi... Cantiknya bahasa dia... Cik adik manis, saya tau la saya ni tak dak pangkat Dato’ ka, Tan Sri ka, tiang seri ka. Baju pun pakai t-shirt ja. Tapi, respect la saya sikit. Saya pun manusia jugak. Tetamu awak...” Ammar cuba berdiplomasi.

Hatinya sudah terbakar hangus. Hampir rentung mungkin.

Penyambut tetamu itu seperti buat endah tak endah. Dia terus menyambung ‘kerja’ menaipnya. Sibuknya dia...

“Harap muka ja segak. Tapi, bahasa, perangai, tuu diaaa, hancoq!...” Ammar menahan marah sambil mengetap bibirnya.

Ammar menghayunkan langkah yang berat menuju ke arah sofa yang sememangnya disediakan untuk para tetamu yang datang ke pejabat tesebut.

Ketika Ammar sedang mengatur langkah longlai, tiba-tiba pintu pejabat itu terbuka. Dan lelaki yang membuka pintu itu kelihatan cukup familiar padanya.

Penyambut tetamu yang kelihatan cukup dingin tadi tiba-tiba menyambut kedatangan lelaki tegap itu dengan senyuman yang cukup mesra.

“Eh, Pak Usu??...” Ammar menyapa lelaki tegap itu, dengan nada agak teruja.

Lelaki yang bertubuh tegap yang memakai kot yang mahal itu menoleh ke arah suara yang memanggilnya. Diamatinya betul- betul wajah pemuda itu.

“Astaghfirullahal‘azim, Am! Bertuah punya budak! Bila balik Malaysia? Tak bagitau dekat Pak Su, pun?!”

Ammar terus mencium tangan lelaki tegap yang berusia separuh abad itu selepas mereka berpelukan untuk beberapa ketika.

Penyambut tetamu itu bungkam. Dia membuat andaian, pastinya pemuda kampung yang dilayan seperti sampah tadi itu mempunyai hubungan yang akrab dengan Tan Sri Zulkarnain, bossnya.

“Ah, sudah... mampus aku,” bisik hati penyambut tetamu itu.

“Liyana, ni kenapa you tak jemput tetamu kita ni masuk ke dalam pejabat I ? Kenapa you tak hidangkan dia dengan minuman?”

Ooooo... Liyana. Sedap namanya. Cantik. Macam orangnya. Tapi perangai? Bahasa? Masya-ALLAH. Macam semut dipijak. Tak mati antan, dilanda patah tiga...

Penyambut tetamu yang kelihatan cukup angkuh ketika melayan Ammar tadi, kini terketar-ketar menundukkan pandangannya. “Saya... Saya...”

“Eh, tak pa aih, Pak Su. Saya pun baru lepas minum tadi. Baru sampai ja pun. Tadi ‘seronok’ sangat sembang dengan Cik Liyana kita ni, sampai terlupa tujuan saya mai sini. Hehehe,” Ammar cuba menutup kesalahan yang dilakukan oleh penyambut tetamu itu.

Dia ingat lagi pesan Tok Liah;
‘Mandi di olak-olak, cakap di bawah-bawah. Rendah diri. Jangan riak. Jangan takabbur. Jawatan, pangkat, nama, kemasyhuran, tu suma pinjaman ja. Sementara. Sat ja. Dunia suma tu. Tunduk kepala bukan minta dipijak. Jaga akhlak diri. Jangan tak dapat tanduk, telinga hang pulaskan. Jangan zalimi orang lain.

Ammar sedar, andai dia menceritakan perihal layanan penyambut tetamunya itu kepada bapa saudaranya, pasti perempuan itu dipecat. Tak baik aniaya orang...

Wahai TUHAN ku, lapangkanlah bagiku, dadaku; “Dan mudahkanlah bagiku, tugasku; “Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku, “Supaya mereka faham perkataanku” (Surah Taha: Ayat 25, 26, 27).

Wahai TUHAN kami ! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir” (Surah Al-Baqarah: Ayat 250.)


**********************************************************************************

Penyambut tetamu yang tadinya kelihatan cukup angkuh, kini semacam seekor tikus kecil yang ternampak seekor kucing besar. Dia risaukan masa depannya, seandainya dia dipecat akibat perlakuan bodohnya sebentar tadi.

Memang begitulah perangai penyambut tetamu itu, hanya melayan dengan baik para tetamu syarikat yang datang dengan pakaian yang segak, elegan dan korporat.

“Adusss... Entah-entah dia ni anak saudara Tan Sri Zulkarnain. Ah, sudah... Mati la aku kali ni!... Mana aku nak cari kerja lepas ni ?... Duit sewa rumah, bil air, api, kereta, insurans. Tolong aku, ya ALLAH!!” Penyambut tetamu itu bercakap sendirian dalam dunia hatinya.

“Hmm... Anyway, Liyana, this is Muhammad Ammar bin Syed Hussin, pewaris tunggal Syed Hussin Holding, yang selalu I cerita kat you and our staffs. My late sister’s only son. Anak Arwah Datuk Syed Hussin, my late brother- in-law. Hmm... hebat dia ni. Baru balik dari UK. Hmm... Apa nama tempat Am belajaq tu? Pak Su lupa la.”

“Hm... biasa-biasa ja, Pak Su. LSE. London School of Economics and Political Science.”

“Hah?! London School of Economics and Political Science?! United Kingdom?!” Liyana menjerit dalam hatinya. Hampir sahaja luruh jantungnya. Lemah longlai kakinya menahan ketakutan dan kebimbangan.

Dia sangat-sangat berharap bahawa dia kini hanya bermimpi, dan dia akan bangun daripada tidur sebentar sahaja lagi. Tapi, dia sedar dan tahu. Ini bukan mimpi. Bukan cobaan. Ini betul-betul.

Pemuda kampung yang dilayannya seperti sampah tadi rupa-rupanya adalah pewaris tunggal syarikat tempat dia bekerja.

Bukan itu sahaja, semua anak-anak syarikat di bawah Syed Hussin Holdings dan juga seluruh harta-harta, kekayaan serta saham-saham milik Allahyarham Datuk Syed Hussin juga adalah hak milik pemuda itu.

“Mati aku kali ni, mati aku...”

Liyana ingin sahaja sujud menyembah kaki Ammar, ingin meminta seribu kemaafan atas keterlanjurannya itu tadi. Tapi dia bungkam. Terkesima. Kaku. Macam batu.

“Ma... Maafkan saya, Encik... errr... Datuk... err... Tan Sri...”

“Am. Panggil Am ja,” Ammar menyampuk sambil tersenyum meleret.

“Eh, kenapa you minta maaf dari Am ni, Liyana? Actually, what’s going on here? Am? Liyana? Could both of you please explain it to me?”

“Oh, tak dak pa aih, Pak Su. Tadi, kami gurau-gurau. Ada terkasaq sikit kot. Tapi tak dak apa lah...” Am terus tersenyum. Senyuman yang menyimpan geram, tapi tak berisi dendam.

“Hmm... ada-ada sajalah kamu ni, Am. Dah, jom masuk office Pak Su. Office arwah papa Am. Office yang bakal jadi office Am tak lama lagi. Banyak yang Pak Su nak sembangkan dengan kamu ni.”

Ketika Tan Sri Zulkarnain masuk ke biliknya, Ammar masih lagi memerhatikan wajah bersalah yang dimiliki Liyana. Diperhatikan betul-betul wajah bersalah itu. Jika tadi Ammar tersinggung dengan herdikan penyambut tetamu itu, kini timbul pula rasa kasihan.

“Cik adik ni, cantik. Manis. Oghan Kedah habaq; segak. Pakai tudung pulak tu. Tapi, kalau dihiasi dengan bahasa dan akhlak yang indah, lagi cantik. Len kali, tak kiralah hat datang tu pakai baju selekeh ka, baju t-shirt ka, seluaq jeans ka, seluaq Superman ka, layanlah elok-elok. Kan tu tetamu kita. Tak baik tau layan orang macam yang cik adik manis layan tadi tu. Kecik hati dia nanti. Lagipun, it may affect our company’s image, right ?...”

“Ye, ye, betul tu, Datuk... eh! Encik... Ammar. Saya... saya nak... mintak maaf... sangat-sangat... Saya tahu saya salah, encik.”

“Haa... itu macamlah... Terbaik... Baru ada baguih. Lain kali, before you are going to do or say anything, always ask yourself, and consider carefully, whether what you do, or are going to do or say, is right or proper. Remember that carefully, okay?. It doesn’t mean that when a person is not wearing a great attire, he is not important. Semua yang datang ke pejabat ni, saya nak awak sambut dengan mesra. Treat them equally. Senyum. Macam masa awak sambut Tan Sri Zulkarnain tadi. Kan senyum tu satu sedekah. Awak jugak yang dapat pahala. Tak gitu, Cik Liyana?...”

“Ye, ye... gitu, gitu... Encik Ammar.”

“He he he... Dah, toksah buat muka macam ikan termenung tu. Dah macam tokua busuk ja saya tengok. Haha. Nasib baik saya ni bukan jenis peghongoih. Kalu oghang len, saya rasa, awak toksah harap la. Remember this; don’t expect to receive good treatment when you have done something wrong. Don’t you ever set a noose and put your own head into it. Don’t do things out of a sheer sense of bravado. Bahaya tu.”

Liyana mengangguk lemah. Sedar. Insaf.

“Seghabai-seghabai saya pun, MBA holder tau? Hehe. Gurau ja. Buat kerja elok-elok. Jangan dok chatting ja. Kalu Tan Sri tau, susah awak nanti. Okeylah, saya nak masuk bilik Tan Sri sat. Nice to know you...,” Shah mengakhiri tazkirah ringkasnya. Puas.

******************************************************

Tatkala anak matanya asyik memerhatikan ke seluruh ruang pejabat itu, hati Ammar berputik kagum. Bukan keindahan rekaan hiasan dalaman ruang pejabat yang buat ia jadi kagum, tetapi ketabahan arwah ayahnya yang bersusah-payah untuk membangunkan Syed Hussin Holding, yang membuatkan Ammar jadi tersentuh hati.

Sesungguhnya, Ammar cukup tersentuh dengan kemampuan arwah ayahnya untuk bersaing dalam segala macam pertarungan kehidupan di Kota Kuala Lumpur ini. Latar kehidupan di kota metropolitan ini sememangnya benar-benar menduga iman dan kesabaran jiwa para penghuninya.

Ammar memandang dalam-dalam wajah Tan Sri Zulkarnain. Tak tumpah seperti wajah arwah ibunya, Syarifah Zuraidah. Tan Sri Zulkarnain merupakan satu-satunya ahli keluarganya yang masih hidup selain insan tersayang di sekelilingnya seperti Tok Liah, Razak, Fauziah dan Nuha. Ya, Nuha

Bukannya ibu Ammar tidak mempunyai adik-beradik lain. Ada ramai. Sepuluh orang.
Tapi, semua tak mengaku saudara bila arwah ibu Ammar memilih untuk mengahwini Syed Hussin; arwah ayahnya.

Sebelum itu pun, hubungan arwah ibunya dengan adik-beradik yang lain memang renggang. Dingin.

Hal ini demikian kerana, arwah ibunya merupakan anak tiri. Arwah datuk tiri Ammar sebelah arwah ibunya - yang sudah mempunyai sepuluh orang anak, memilih untuk berkahwin dengan arwah nenek Ammar yang masih muda usianya ketika itu.

Arwah nenek Ammar - sebelah arwah ibunya - telah dituduh hendak merampas kekayaan arwah datuk tirinya. Dan, arwah ibu Ammar turut terasa tempias kebencian itu. Fuh! Complicated sungguh...

Tetapi, adik tiri bongsu arwah ibu Ammar, Tan Sri Zulkarnain tak pernah melayan Allahyarhamah Datin Syarifah Zuraidah seperti kakak tirinya. Dia menganggap arwah kakak tirinya itu seperti kakak kandungnya sendiri.

Dan, kerana layanannya yang baik kepada arwah ibu Ammar itulah, arwah ayahnya, Allahyarham Datuk Syed Hussin memilihnya sebagai rakan kongsi niaga.

Sampai adik ipar tiri arwah ayahnya dapat gelaran Tan Sri. Rezeki yang ALLAH beri...

Dan, kerana itu jugalah, Tan Sri Zulkarnain diberikan hak untuk menjadi pemangku Pengarah Urusan empayar Syed Hussin Holdings; selepas kematian Datuk Syed Hussin.

Hak yang bakal diserahkan kepada Shah Redha selepas Shah menjadi graduan- ada kelayakan untuk memimpin syarikat tersebut.

Mengikut perjanjian dan wasiat, Tan Sri Zulkarnain akan dilantik menjawat jawatan penasihat dan ahli lembaga pengarah Syed Hussin Holdings selepas Shah mengambil alih pimpinan syarikat tersebut.

Ketika arwah orang tuanya berkahwin dulu, arwah ayah Ammar hanyalah seorang peniaga kecil-kecilan di pasar malam. Pemuda kampung dari Baling yang miskin. Tiada memiliki harta. Pernah berniaga dengan meletakkan barangan buatan Siam dalam bonet kereta sewa milik rakannya.

Tapi arwah ayah Ammar cekal. Dia melanjutkan pelajaran pelajaran ke universiti terkemuka di luar negara dengan biasiswa kerajaan. Berbekalkan ilmu dan segulung ijazah yang dimiliki itulah, Syed Hussin mengembangkan sayap perniagaannya. Mencari setiap sudut, lubuk perniagaan yang halal.

Sampailah dia menjadi hartawan, jutawan. Ammar kagum dengan arwah ayahnya. Hebat...

Daripada Aisyah r.a katanya; “Sabda Rasulullah S.A.W: Sesungguhnya ALLAH mengasihi seseorang yang apabila melakukan kerja, dilakukan dengan baik.” (Riwayat al-Baihaqi).

Lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual-beli dan berzikir kepada ALLAH dan mendirikan solat....” (Surah an-Nur: Ayat 37)


Bersambung....


Semua tulisan, grafik, gambar dan ilustrasi yang dinyatakan dan diterbitkan di dalam siri novel “Qathrunnada” ini merupakan hakcipta yang dimiliki oleh pemilik blog http://chedinsphere.blogspot.com/. Sahabat-sahabat bagaimanapun dibenarkan memaut entri ini ke laman atau blog kalian dengan meletakkan kredit ke atas blog ini. Terima kasih. :)

Qathrunnada: Episod 4.


Ammar baru sahaja sampai di banglo mewahnya di Bandar Utama, Damansara. Dia kepenatan, lantaran meronda-ronda di Kuala Lumpur tadi. Ternyata, keluarganya adalah sebuah keluarga yang berada. Namun begitu, ia tidak pula pernah sombong dan sentiasa merendah diri.

Damansara. Di sinilah tempat lahirnya seorang Ammar Hussin. Perkataan Damansara itu sendiri dikatakan diilhamkan daripada pelabuhan di Sungai Gombak iaitu Labuhan Sara.

Antara lain, perkataan Damansara juga dikatakan berasal dari dua perkataan India iaitu ‘daman’ dan ‘sara’. ‘Daman’ bermaksud ‘kaki bukit’, sementara ‘sara’ pula membawa maksud ‘air’ (dalam bahasa Sanskrit) atau kediaman besar penuh kekayaan dalam bahasa berkenan.

Berlatarkan pagar kayu, halaman rumah banglo dua tingkat ini menyerlahkan suasana desa di tengah kota. Ia menonjolkan pemiliknya sebagai seorang yang gemarkan alam semula jadi.

Berkonsepkan mesra tetamu, pastinya sesiapa saja berasa tenang ketika menghirup udara segar dengan deruan air terjun buatan di halaman rumah banglo berkenaan. Pepohon hijau yang tersusun rapi, melengkapkan lagi kedamaian di halaman rumah ini.

Kesuburan dan kesegaran semua pepohon hijau di sekitar kawasan banglo itu sedikit pun tidak menyakitkan mata, malah memukau pandangan kerana susun atur begitu kemas dan teliti. Pepohon hijau kecil disusun sebaris, begitu juga dengan pepohon yang sudah dewasa diletakkan selari bagi menampakkan seni taman idea sendiri.

Daripada luar rumah banglo dua tingkat di itu, kelihatan sama seperti rumah lain di sekitarnya, tetapi, apabila melepasi pagar, suasana nyaman mula terasa.

Halamannya dipenuhi pepohon hijau tropika pelbagai jenis, ternyata disusun sempurna dan kelihatan menarik tanpa perlu mengeluarkan belanja besar, paling penting sedap mata memandang.

Beberapa sangkar burung juga diletakkan untuk menarik perhatian binatang berkenaan. Dari ruang hadapan hingga belakang rumah, tumbuhan tropika menghiasi setiap sudut halaman dan turut diselitkan beberapa perhiasan tambahan seperti tempayan lama serta hiasan-hiasan lain.

Susun atur keseluruhan landskap tampil ringkas dan teratur dengan tanaman disusun selari pada bahagian tepi laman, membiarkan bahagian tengah kosong, memadai dengan kehadiran batu pemijak merentasi bahagian rumput.

Ammar terus duduk di sofa empuk, sambil jarinya menekan kemas punat ON pada remote control televisyen. Sudah dua hari dia berada di banglo tersebut, setelah hampir seminggu dia di rumah pusaka Tok Liah. Banglo itu cukup mewah dan serba indah, tapi ironinya, hanya dia dan pembantu rumahnya sahaja yang menjadi penghuninya.

**********************************************************************

Sejelasnya, ibu dan bapa Ammar telah maut dalam sebuah nahas jalan raya. Perlahan dia mengucap. Kemalangan ngeri itu berlaku di Jalan Kuala Kedah. Ketika itu, Ammar baru sahaja selesai menjawab kertas terakhir untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Ammar terperanjat besar bila dikhabarkan berita kematian orang tuanya. Tok Liah juga terperanjat besar mendengar perkhabaran yang disampaikan oleh adik tiri kepada ibu Ammar, iaitu Tan Sri Zulkarnain.

Ketika itu, pandangan Ammar menjadi gelap. Gelap dan gelap. Akhirnya dia tersepuk di kaki Tok Liah. Tok Liah kebengongan.

Ibunya, Syarifah Zuraidah dan pemandu kereta ayahnya, Wak Parjo meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian. Kereta yang dinaiki mereka remuk kerana berlanggar dengan sebuah lori.

Ayah Ammar, Datuk Hussin, yang cedera parah dalam kemalangan itu meninggal tiga hari kemudian di Hospital Alor Star. Ammar hanya duduk dengan arwah orang tuanya di banglo mewah itu sehingga umurnya lima tahun. Kemudian, dia menetap bersama Tok Liah di Baling, Kedah.

Niat untuk membawa Tok Liah untuk tinggal di rumah ini berehat-rehat menyedut angin kota memang sudah lama terselit di sudut hati arwah ayah Ammar, Datuk Hussin.

Setiap kali arwah ayah Ammar mengunjungi Tok Liah di kampung, cadangan itulah yang selalu diketengahkan. Tapi anehnya, Tok Liah menolak pelawaan yang baik daripada anak tunggalnya itu.

Dari arwah ayah Ammar tinggal di rumah pangsapuri hingga dia berpindah ke rumah banglo berhalaman luas, Tok Liah masih belum juga jejak ke rumahnya.

Tok Liah lebih senang sendirian di rumah pusaka. Tok Liah lebih senang menghayun tajak dan cangkul, membersihkan rumput-rumput di sawah atau membuat batas ubi dan keledeknya. Bagi Tok Liah, tanah bendang dan desa kecil tempat letak rumah pusaka sudah sebati dengan jiwa dan sanubarinya.

Kekadang, arwah Datuk Hussin berasa sangat bersalah dan malu. Dia mempunyai segala bentuk kekayaan dan kemewahan, namun Tok Liah masih tetap tinggal di rumah pusaka yang usang itu.

Bagi Tok Liah, membesarkan Hussin adalah kewajipannya sebagai seorang ibu. Tok Liah tidak pernah mengharapkan sebarang balasan, cukup sekadar jika anak tunggalnya itu datang menziarahinya sekali-sekala.

Tok Liah cukup bencikan kemewahan harta-harta duniawi, tapi cintakan kesederhanaan dan ibadah dalam kehidupan sehariannya. Baginya, hidupnya hanya untuk ibadah kepada TUHAN.

Namun, semenjak kehadiran Ammar, Tok Liah terasa yang dia perlukan teman. Tok Liah sangat-sangat menyayangi cucunya itu. Dan, sering kali diluahkan harapan dan hajatnya kepada Hussin dan Zuraidah. Tok Liah mahu menjaga dan membesarkan Ammar di rumah pusakanya, di Baling.

Tok Liah tak mahukan wang dan kemewahan dari Hussin. Dia hanya mahukan Ammar. Dia mahu menjaga dan membesarkan Ammar, seperti dia membesarkan anak tunggalnya, Hussin dulu.

Pada awalnya, arwah ibu Ammar, Datin Zuraidah tidak bersetuju dengan permintaan Tok Liah. Mana mungkin dia membiarkan Ammar dibesarkan di rumah pusaka yang serba kekurangan itu.

Namun, setelah puas dipujuk oleh Datuk Hussin dan permintaan daripada Ammar sendiri yang tidak boleh berenggang langsung dengan Tok Liah, Datin Zuraidah akhirnya akur. Dia redha.

Semenjak hari itu, arwah ibu dan ayah Ammar selalu menjenguknya di Baling, Kedah. Mereka selalu balik bila ada saja kelapangan.

Hari itu, sepasang suami isteri itu baliklah ke kampung. Namun, itulah kali terakhir...

***************************************************************************

Bibik Sapar melihat Ammar dari dapur dengan wajah kasihan. Bibik Sapar kenal benar dengan Ammar. Mungkin dia terkenang arwah orang tuanya, Bibik Sapar meneka di dalam dunia hatinya sendiri.

Pembantu rumah yang Ammar panggil Bibik itu sudah lama bekerja di banglo mewah itu, dari zaman arwah orang tua Ammar mula-mula duduk di situ, sehinggalah sekarang.

Dan, Bibik Sapar berasa senang hati dengan majikannya yang sangat baik hati dan pemurah. Lalu, Bibik Sapar pun berjalan menghampiri Ammar.

“Am mahu makan apa hari ini? Mahu Bibik masakkan?...” Tanya Bibik Sapar.

“Entah la, Bik. Saya rasa macam tak mau makan ja. Tak dak selera. Tapi, kalu Bibik nak masak, Bibik masak ja lah apa-apa hat Bibik suka. Am makan ja.” Jawab Ammar, sebelum sedikit mengeluh. Kepenatan.

“Hm... Baiklah. Bibik pergi masak dulu, ya? Malam nanti Am makan di rumah ya? Bibik masak gulai asam pedas dengan ikan pari, Am punya favourite...”

Ammar hanya mengangguk lemah, sambil tersenyum simpul. Bibik Sapar pun terus berlalu ke dapur. Waktu sudah pukul 6.00 petang. Ammar naik ke biliknya dengan membawa barang-barang yang dibelinya tadi.

Bersambung....

Wahai TUHAN ku, ilhamkanlah aku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah aku - dengan limpah rahmat-Mu - dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh” (Surah An-Naml : Ayat 19).

Wahai TUHAN ku, ilhamkanlah aku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu, dan sesungguhnya aku daripada orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepada-Mu)” (Surah Al-Ahqaf : Ayat 15).


Semua tulisan, grafik, gambar dan ilustrasi yang dinyatakan dan diterbitkan di dalam siri novel “Qathrunnada” ini merupakan hakcipta yang dimiliki oleh pemilik blog http://chedinsphere.blogspot.com/. Sahabat-sahabat bagaimanapun dibenarkan memaut entri ini ke laman atau blog kalian dengan meletakkan kredit ke atas blog ini. Terima kasih. :)

Isnin, April 25, 2011

Al-fatihah: Ujian Imam Muda.

Al-fatihah-Ujian Imam Muda

Bacaan yang mengesankan kalbu. Sungguh.

Lagu "Hijab": Sheikh Ahmad al-Ajmy.


Assalamualaikum.

Sedang asyik membelek-belek YouTube, terjumpa pula salah-sebuah lagu yang paling saya suka: “Hijab”, nyanyian Sheikh Ahmad al-Ajmy.

Beliau merupakan seorang pembaca al-Quran yang sangat baik. Suara merdunya menambah keunggulan dua buah lagu beliau iaitu “Ghuraba’” dan “Hijab.” Beliau berasal dari Khobar, kawasan timur Arab Saudi. Beliau menyiapkan thesis peringkat doktor falsafahnya (PhD) di Universiti Awam Lahore, Pakistan. Kini, beliau menjadi imam di Masjid Jeddah.

Puas saya mencari lirik bagi lagu ini, malangnya enggak ketemuan. hehe. Jadi, saya tuliskan sahaja mengikut kefahaman saya.

Bagi lirik bahasa Melayu, saya terjemahkan menggunakan bahasa yang mudah (untuk beberapa rangkap liriknya): kerana senikata asalnya adalah dalam bahasa Arab. Dan, langgam dan gaya bahasa Arab adalah sedikit berbeda berbanding bahasa Melayu.

Senang cerita, bahasa Arab ni bunga dia lebih sedikitlah. hehe. Sila tegur kalau ada kekurangan.

Lagu ini merupakan sebuah puisi indah yang dinukilkan bagi memberi motivasi kepada umat Islam yang ditindas di seluruh dunia, khususnya dalam soal kebebasan berpakaian mereka.

Ramai wanita Islam yang terpaksa bersusah-payah menempuh segala macam kezaliman dan penindasan pihak pemerintah, yang melarang mereka daripada berhijab.

Sebagai tamsilan, tindakan Parlimen Perancis dan Belgium yang sedaya-upaya mengharamkan pemakaian niqab dan burqa. Ini adalah sama sekali bertentangan dengan hak asasi manusia yang diperjuangkan oleh pemimpin-pemimpin mereka sendiri.

Adalah agak paradoks, apabila para rahib (nuns) memakai veil, maka mereka dianggap sebagai mempunyai pegangan agama yang tinggi. Tetapi, wanita Islam yang menutup aurat mereka (sepertimana yang dituntut oleh Islam) dianggap sebagai ditindas dan jumud. Lucu, bukan?

Meski berhijab, wanita Islam masih mampu mendaki gunung yang tinggi; menyeberangi lautan dalam; berfikir sedalam dan seluas-luasnya. Jadi, bagaimana mungkin hijab dianggap sebagai sesuatu yang kuno dan jumud?

Terjemahan bahasa Inggeris
“Our sister, we have heard something mystifying! :-
They have uttered unworthy talk on Hijab,
They’ve said, “A tent has been put over the necks,”
They’ve said, “That oppression, darkness are attached with the garments,”
They’ve said, “That backwardness and primitiveness are linked with Niqab,”
They’ve said, “That gracefulness and modernisation are non-existent,”
They have called for the Liberation of women; while compiling for it, books,
They even lured the road of adornment (immorality) to waste the young men,

O our sister, recognise that they are too fallen to the bottom; to the earth,
O our sister, recognise that they’ve became low with their illusion like the dogs,
O our sister, recognise that this is the yowl of the spiteful from the wolves (haters of Islam),
O our sister, their entire roars will not affect the cloud (no matter what they say they will never changes the hearts of the Muslims),
O our sister, patience will dissolve by its ocean all difficulties,
O our sister, YOU are the chaste and are preserved by the Hijab,
O our sister, YOU have the resolute and the equality and the reward,

And since the Hell-fire is the tomb of oppressors; where their punishment awaits,
and ALLAH will expose their oppression on The Day of Account,

Since Jannah is the home, and what a beautiful welcome back it is?”

Terjemahan bahasa Melayu
“Wahai saudara-saudara perempuan kami (para Muslimah), kami telah mendengar sesuatu yang menakjubkan (aneh)! :-
Mereka telah menyatakan sesuatu yang tidak baik tentang hijab
mereka telah menyatakan bahawa “sebuah khemah telah diletakkan untuk menutupi tengkuk kalian”
mereka telah menyatakan bahawa “penindasan itu, kegelapan diletakkan bersama-sama pakaian (hijab) itu”
mereka telah menyatakan bahawa “hijab itu adalah berkaitan dengan ketinggalan jaman dan kejumudan “
mereka telah menyatakan bahawa “sifat pemurah dan modenisasi itu tidak wujud (dengan pemakaian hijab)”
mereka menuntut kebebasan wanita menerusi buku-buku yang dijilidkan,
mereka malah menggalakkan kaum lelaki menuruti jalan-jalan terkutuk,

Wahai saudara-saudara perempuan kami (para Muslimah), ketahuilah bahawa mereka telah jatuh ke lembah yang paling dalam,
wahai saudara-saudara perempuan kami (para Muslimah), ketahuilah bahawa inilah bukti kebencian sang serigala (musuh-musuh Islam),
wahai saudara-saudara perempuan kami (para Muslimah), salakan mereka itu tidak akan memberi kesan kepada awan (tidak kira apa yang mereka kata, mereka tidak akan mampu mengubah hati (pendirian) umat Islam),
wahai saudara-saudara perempuan kami (para Muslimah), lautan kesabaran akan mengakhiri kesemua kepayahan,
wahai saudara-saudara perempuan kami (para Muslimah), kalianlah yang dimuliakan dan dipelihara oleh hijab,
wahai saudara-saudara perempuan kami (para Muslimah), kalianlah yang memiliki pegangan (pendirian), persamaan dan ganjaran (daripada ALLAH),

Dan memandangkan Api Neraka adalah batu nesan kepada para penindas (orang yang zalim); di situlah nanti mereka akan dihukum,
dan ALLAH akan mendedahkan penindasan mereka sewaktu Hari Perhitungan,

Memandangkan Syurga adalah rumah kita, bukankah indah kepulangan (ke kampung asal) itu?”


Kedudukan wanita dalam Islam

Sewaktu belajar di UiTM, saya pernah mengambil sebuah subjek “Women and the Law”. Menerusi kelas tersebut (pensyarahnya sangat baik hati tetapi tegas), saya berpeluang mempelajari sejarah gerakan dan fahaman feminisme seperti cultural feminism, radical feminism, liberal feminism, Islamic feminism dan sebagainya.

Gerakan-gerakan feminisme tersebut mempunyai perbedaan dan persamaan dalam matlamat perjuangan mereka.

Gerakan-gerakan ini menuntut, antara lain, supaya lebih banyak peluang diberikan kepada kaum wanita untuk terlibat dalam bidang ekonomi, politik, keterlibatan sosial, membuat sesuatu keputusan, pendidikan, latihan dan pekerjaan.

Saya berpandangan bahawa Islam (berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah) tidak sekali-kali menindas kaum wanita, bahkan ditinggikan kedudukan mereka. Misalnya, sebelum kedatangan Islam pada zaman jahiliyah, wanita ditindas, bayi perempuan dibunuh, dipandang rendah.

Kendati pun, apabila Islam datang, maka wanita Islam ditinggikan darjatnya dan tiada lagi segala perbuatan jahiliah.

Bahkan, manusia pertama yang mati syahid pada zaman Nabi Muhammad SAW adalah wanita iaitu Sumaiyah r.a. Manusia pertama yang memeluk Islam pada zaman itu juga adalah wanita iaitu Khadijah r.a. Dan, seperti yang kita sedia maklum, martabat seseorang ibu itu adalah sangat dimuliakan dalam Islam.

Ini membuktikan bahawa Islam telah sejak sekian lama (lebih 1,400 tahun yang lalu) memperjuang dan mengangkat martabat wanita. Ini jauh sekali mendahului dunia Barat yang mana gerakan feminisme hanya dimulakan dengan perlahan (dan kemudian giat) sekitar kurun ke-19 dan kurun ke-20.

Jadi, kalau benar ada pemerintah Islam yang menindas kaum wanita, maka itu bukanlah salah ajaran Islam. Kendati, itu adalah salah pembuat dasar. Sejelasnya, Islam senantiasa konsisten dalam memelihara dan memuliakan martabat wanita. Sungguh.

Hah, panjang pula saya menulis. Maaf. Saya kongsikan lirik dan klip video lagu ini buat sahabat-sahabat yang budiman, seadanya, baik dan buruknya sekali: baik untuk dimanfaatkan, buruk untuk dibuang.

Salam. :)

Jumaat, April 22, 2011

Malam itu di Balai Budaya (Keranda 152)


Malam itu di Balai Budaya

Malam itu di Balai Budaya
Api dan Air Mata

Malam itu di Balai Budaya
Seorang guru tua berbicara
Berarak ke Parlimen, aku di muka’

Malam itu di Balai Budaya
Seorang peguam muda berkata
‘Bakar Perlembagaan 152′

Malam itu di Balai Budaya
Seorang pemuda berteriak
‘Ayuh, mari kita berarak’

Malam itu di Balai Budaya
Para pelajar berikrar
‘Dada kami sedia dibakar’

Malam itulah juga
Parlimen jadi pertanda
Memenggal leher BAHASA


Puisi ini dicipta Almarhum Usman Awang pada 3 Mac 1967 ketika Parlimen membahaskan Rang Undang-Undang Bahasa berkaitan dengan Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan. Pada masa itu Tun Syed Nasir ialah Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.

Keranda 152 merujuk kepada perarakan bantahan para pejuang bahasa Melayu terutama penulis dari Dewan Bahasa dan Pustaka yang mencapai kemuncaknya pada 3 Mac 1967 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Antara tokoh terpenting ialah Almarhum Usman Awang (Sasterawan Negara Dato’ (Dr) Usman Awang @ Tongkat Warrant @ Adi Jaya @ Atma Jiwa @ Pengarang Muda @ Amir @ Manis @ Rose Murni @ Setiabudi @ Zaini @ UA adalah di antara nama-nama pena/samaran beliau) yang ketika itu menjadi editor Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Dewan Budaya yang diterbitkan DBP.

Perarakan ini merupakan simbolik kepada kematian bahasa Melayu apabila kerajaan Malaysia tidak menepati janji untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan bahasa dalam bidang kehakiman.

Peristiwa “api dan air mata” ini berlaku pada hari Jumaat, 3 Mac 1967, di Balai Budaya, DBP, apabila hampir 2,000 orang daripada 120 NGO berkumpul, “duduk berhimpit-himpit, berdiri berjejal-jejal, di pintu masuk bersesak-sesak, di anak tangga jengah-menjengah, yang di bawah berpusu-pusu”.

Dalam peristiwa tersebut, sekumpulan 9 orang peguam Melayu telah menghantar memorandum menyuarakan bantahan namun tidak dipedulikan oleh parti yang memerintah. Seramai 2,000 orang mewakili 120 pertubuhan orang Melayu telah berhimpun di Balai Budaya, DBP pada petang Jumaat 3 Mac, 1967. Sekumpulan aktivis menyatakan kesediaan untuk berarak ke Bangunan Parlimen. Mereka mahu mengusung Keranda 152 yang membawa jiwa bangsa yang sudah ditamatkan hayat oleh bangsanya sendiri.

Kemuncak perjuangan ini menyaksikan lahirnya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1970 yang menyaksikan buat kali pertama, bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai pengantar utama.

Lebih 2,000 pejuang bahasa termasuk pengarah DBP, Tun Syed Nasir Ismail dan Usman Awang berhimpun dan berucap di Balai Budaya, DBP selepas sembahyang Jumaat pada 3 Mac 1967.

Mereka mahu berarak membawa keranda putih bertulis Perkara 152 ke bangunan Parlimen yang terletak di Jalan Mahameru, kira-kira 3 km dari DBP. Namun kerajaan Perikatan tetap bertegas dengan bahasa Inggeris.

Dalam perhimpunan yang diadakan di Balai Budaya itu, Syed Nasir hanya mampu bercakap dalam beberapa patah perkataan sahaja. Suaranya tak keluar, kerongkongnya tersekat, beberapa titis air matanya mengalir.

Katanya, “saya menangis, bukan kerana takut, tetapi air mata ini lahir dari keharuan hati sanubari saya mengenangkan nasib bangsa saya. Saya tak boleh buat dan bercakap apa-apa sekarang ini. Saya terikat. Bila suatu hari nanti saya tidak terikat lagi, saya akan hamburkan kepada rakyat. Sekarang ada usaha yang hendak menghancurkan saya, menghina saya...”


Suara Syed Nasir tenggelam dalam tepukan dan jeritan yang menyatakan sokongan, menyatakan rakyat berdiri di belakang beliau.

Tetapi, Peristiwa 13 Mei menjadi detik penting dan peluang terbaik untuk menukar status bahasa Melayu kepada bahasa pengantar, bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang sebenar-benarnya dalam semua majlis dan semua perkara. Menteri Pelajaran yang berani bertindak ketika itu ialah Abdul Rahman Yaakub dari Sarawak.

Konvensyen Ekonomi Melayu yang diadakan juga setuju menubuhkan Universiti Kebangsaan Malaysia dengan seberapa segera sebagai alternatif Universiti Malaya di Singapura yang ditubuhkan oleh penjajah British. Ini adalah kejayaan terbesar yang dilakukan oleh kakitangan DBP sehingga ke hari ini.

Tuntasnya, Peristiwa Keranda 152 akan diingat sebagai satu episod penting dalam sejarah perjuangan bahasa Melayu. Balai Budaya yang menjadi saksi peristiwa bersejarah itu, kini sudah ditukar nama kepada Balai Tun Syed Nasir. Peristiwa 13 Mei 1969, kemudiannya seakan menjadi penyelamat bila bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar utama dalam dasar pendidikan negara.

Khamis, April 21, 2011

Qathrunnada: Episod 3.



Ammar masih duduk di pangkin itu sambil diam dan kelu mematung. Lidahnya bagai terkunci rapat. Bibirnya bagai terkancing erat. Pandangannya asyik menjurus kepada pokok-pokok padi yang meliuk-lentuk disapa angin petang. Nyaman...

“Abang Am?...”

Suara lembut itu cukup dikenalinya. Suara yang sayup-sayup itu menusuk telinganya dari arah sisi kanan. Ammar berpaling, mencari pemilik suara lunak itu.

“Nuha?!...”

Mengkala Abang mai?...”

“Baru ja.” Jawab Ammar, ringkas, sambil mengukir satu senyuman bahagia. Dia dan Nuha sudah berkawan sejak kecil, sedari dulu.

Ayahnya, Hussin, dan ayah Nuha, Razak, juga sahabat sedari kecil.

**************************************************************************

Hussin anak tunggal Tok Liah, rakan sepermainan sejak kecil merangkap sahabat karib Razak. Tapi, Hussin rajin dan pandai, tak macam Razak. Ketika Hussin melanjutkan pelajaran ke universiti dulu, Razak masih lagi di sawah, mengusahakan bendang pusaka keluarganya.

Meski Hussin sudah duduk bandar besar dan sudah ada kehidupan mewah, Hussin tidak melupakan Razak. Kata Hussin, ia terlalu terhutang budi dan nyawa dengan Razak.

Kisahnya, dulu Razak pernah menyelamatkan Hussin ketika Hussin hampir lemas semasa mandi sungai. Itu kisah dulu. Dah lama. Razak pun hampir terlupa kisah itu. Sungguh, Razak sama sekali tidak suka mengungkit-ungkit pemberian atau jasanya kepada seseorang. Dia menolong seikhlasnya, tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Tapi, Hussin tak pernah lupa. Dan, kerana Hussin tak pernah lupa pada jasa Razak itulah, dia tidak pernah berkira bila Razak mahu meminjam duit. Modal untuk membuka kedai runcit pun Hussin beri kepada Razak. Meski tinggi risikonya. Entahkan rugi, entahkan untung. Tapi Hussin tak kisah, sebab dia terhutang budi pada Razak. Dan, kali inipun cerita sama diungkit kembali.

Nama Nuha itu sendiri diberikan Hussin. Nama itulah juga yang diniat untuk diberikan kepada anaknya jika Hussin dan isterinya dapat anak perempuan. Namun, hanya Ammar – anak lelaki tunggal mereka itu sahajalah rezeki yang diberikan ALLAH.

Dan, nama itu jugalah yang dihadiahkan Hussin dan isterinya buat anak perempuan Razak yang baru dilahirkan ketika itu: Nurul Nuha.


***************************************************************************


“Apa khabaq Nuha la ni ?... Tak berubah na... masih macam dulu... manis ja,” Ammar mengusik Nuha yang berada di sisi.

“Nuha biasa-biasa ja. Abang Am apa khabaq ?...”

“Khabaq baik... Bahagia, dapat jumpa Nuha... Hmm...Pelenggaq ni banyak menyimpan kenangan kita berdua kan?...” Kata Ammar.

“A’ah...”

“Nuha ingat lagi dak...? Dulu, kalau ada apa-apa hal, mesti Nuha mintak tolong daripada Abang, kan?...”

“Mestilah. Abang kan Superman Nuha. My hero!” Nuha tersenyum. Manis.

“Kalau jari masuk selumbaq pun Nuha jumpa Abang, kan? Sampai teghiak tuu... Wuu.... A... bang Am... jari Nuha.... kena masuk selumbaq... wuu.... haha.”

“Ish, mana ada sampai lagu tu ?!... Abang Am ni, suka tokok-tambah cerita. Tak baik tau!”

Ammar tersengih. Senyumannya meleret. Mindanya yang terusik terus terlontar. Jauh...

“Awat abang tiba-tiba ja Abang senyum ni?...”

“He he... Tak dak apa aih....,” balas Ammar dengan senyuman dan tawa kecil. Ekor matanya mencuri-curi pandang wajah Nuha.

Nuha yang menoleh, spontan bersuara, “Ha, tengok tu. Senyum lagi, sampai tersengih-sengih!! Kali ni awat pulak? Terkenang buah hati ka, cik abang?....”

Ammar terjeda dan terkesima. Terasa malu tatkala disoal begitu.

“Ehhhh.... Tak dak aih!” Balasnya selamba. “Kan hanya Nuha sorang ja yang bertakhta di hati abang ni?...”

“Ehmm... ya la, tu. Entah-entah, kat London nu, penuh marka keliling pinggang...”

“Uuuuish... Tak baik tau Nuha tuduh abang lagu tu. Tak dak bukti. Dosa.... Sebenaqnya... Abang tengah pikiaq, bila waktu hat sesuai nak masuk meminang Nuha ni...”

“Ish, abang ni! Ke situ pulak dia! Nuha tanya betui-betui ni...”

“Hmm... Abang terkenangkan kisah kita waktu kita kecik-kecik dulu. Pelik, kan?”

“Apa dia hat peliknya??...”

“Dulu kan kita kecik, la ni dah besaq. Dah jadi teruna dara,” jawab Ammar.

“La... Biasa la tu. Awat abang rasa pelik pulak?...”

“Yalah, dulu, kan Nuha tak pakai baju. Pakai seluaq pendek ja. La ni dah pakai kebaya labuh. Siap bertudung pulak tu. Manis ja,” Ammar ketawa di hujung kata-katanya serentak melirik ke wajah manis Nuha di sisi.

Si gadis mencebik geram. Pantas jejari runcing menggetus lengan Ammar. Berkerut-kerut muka si jejaka menahan sakit dek cubitan halus si gadis, pedihnya serasa sampai ke tulang. Lalu bekas cubitan diusap berkali-kali, berbirat merah.

“Aduuui... Okey, okey, Nuha, Superman surrender,” ujar Ammar pantas sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya ke atas. Mengaku kalah. Nuha tersenyum bangga.

“Eh, nak hujan la. Dah nak meghelop ni. Jom kita kelik,” pelawa Ammar tiba-tiba, tatkala memerhati cahaya lembayung melatari kaki langit. Pantas punggung diangkat. Nuha turut bangun.

Sekawan burung kelihatan riang terbang, bersiulan pulang ke sarang.

Senja nan indah, hari itu tampak membawa suasana menjadi cukup tenang. Butiran hujan pun turun, seolah-olah bertasbih memuji kebesaran ILLAHI. Subhanallah.


“...(Sambil mengucapkan) Salamun ‘alaikum bima shabartum (keselamatan atas kamu berkat kesabaranmu). Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu...” (Surah ar-Ra’d: Ayat 24)


Bersambung...

Kamus loghat Kedah/Utara :-
Mengkala = bila
Pelenggaq = pangkin
Selumbaq = selumbar(cebisan kayu kecil yang biasanya tertusuk dalam kulit)
Awat = kenapa
Hat = yang
Meghelop = maghrib/senja
Kelik = balik
La = sekarang

Semua tulisan, grafik, gambar dan ilustrasi yang dinyatakan dan diterbitkan di dalam siri novel “Qathrunnada” ini merupakan hakcipta yang dimiliki oleh pemilik blog http://chedinsphere.blogspot.com/. Sahabat-sahabat bagaimanapun dibenarkan memaut entri ini ke laman atau blog kalian dengan meletakkan kredit ke atas blog ini. Terima kasih. :)

Sabtu, April 16, 2011

Qathrunnada: Episod 2.


Baling, Kedah.
Kelihatan seorang lelaki yang bersih wajahnya memberi salam di hadapan sebuah rumah yang sangat-sangat sederhana. Lelaki itu melaungkan lafaz salam berulang-ulang kali, sambil berdiri di sebelah dua buah beg bagasi miliknya.

“Assalamualaikum... assalamualaikum... Tok.... Tok Liah... Am balik ni!”

“Am? Am dah balik?!”

“Alhamdulillah... Tok rindu sangat kat hang!”

“Am rindukan semuanya tentang kampung kita dan Tok! Dah lama dah Am tinggalkan Tok!”

Sungguh, Ammar merindui nenendanya yang semakin dimamah usia itu -- Tok Liah. Dia memilih untuk terus menaiki penerbangan ke Lapangan Terbang Bayan Lepas. Ingin terus pulang ke Baling.

Bukan ke Bandar Utama, Damansara -- ke rumah banglo mewah milik orang tuanya.

Kendatipun, terdapat suatu perasaan rindu pada seseorang yang masih bersarang di jiwanya. Dia ingin berjumpa Nuha: sosok yang sangat dirinduinya setelah hampir 6 tahun berpisah.

“Tentu Nuha sudah jadi perawan manis!...” katanya lagi, sendirian.


********************************************************************************


Ammar mula terbayangkan wajah manis Nuha. Senyuman manis Nuha Nuha memang tiada tandingan di matanya. Pasti bertambah manis dengan redup manja matanya.

Dan, saat ini, Ammar tetap setia mengelamun, ke langit sedang biru, di angin lalu, bersama seribu indah kenangan.

“Hang dok melengung apa tu, Am... dok terkenang marka London, ka...?”

“Ish, Tok ni... buat Am terkejut ja... Hm... Dok aih, ada-ada ja Tok ni. Sapa la nak kat oghan macam Am ni, Tok...”

“Ehm.... Ramai yang nak. Hang ja yang jual mahal. Tunggu si Nuha la tu. Bukan Tok tak tau..”

Ammar terkesima. “Aiseh... macam mana bulih kantoi lak ni...” hatinya berbisik.

“Eh, tak dak la, Tok. Pandai-pandai ja Tok ni. Eh... Nampak gaya, macam nak hujan la, Tok.”

“Hang toksah nak tukaq ceghita lain... Tok tau hang ada hati pada si Nuha tu, kan?... Hang tu umoq da naik meningkat, Am... takkan hang nak tunggu sampai Tok berumah kat ‘batu dua’ baghu hang nak kahwin?...”

“Errr......” Ammar jadi kelu untuk membalas kata-kata Tok Liah.

“Hang jangan tunggu lama-lama, Am... Nuha tu ghamai peminat...”

Ammar memikirkan cara untuk melepaskan diri. Mahu menukar topik, otaknya sedang bercelaru. Penuh sarat dengan bayangan kenangan bersama Nuha.

Tiba-tiba, dia mendapat satu idea.

“Hmm... Tok, Am nak pi meladi sat, na ?... He he... Rindu la suasana kampung...”

“Hang jangan balik lambat-lambat sangat. Nak hujan ni...”

“Yes, Ma’am. He he...,” kata Am sambil menunjukkan tabik hormat kepada Tok Liah. “Am pi dulu, na ?... Sayang sangat kat Tok.”

Seiring dengan itu, satu kucupan mesra di pipi Tok Liah dihadiahkan oleh Ammar. Tok Liah pun membelai lembut wajah cucunya. Betapa rindu yang tidak dapat dibendung dapat dirasakan.

Sungguh, Tok Liah sayangkan cucunya. Begitu juga Ammar, ia juga sangat menyayangi wanita yang telah banyak berjasa dalam hidupnya itu.

Bersambung....


* Kamus loghat Kedah/Utara :-
Melengung = Termenung
Marka = Kekasih
Oghan = Orang
Pi = Pergi
Meladi =Merayau
Sat = Sekejap


Semua tulisan, grafik, gambar dan ilustrasi yang dinyatakan dan diterbitkan di dalam siri novel “Qathrunnada” ini merupakan hakcipta yang dimiliki oleh pemilik blog http://chedinsphere.blogspot.com/. Sahabat-sahabat bagaimanapun dibenarkan memaut entri ini ke laman atau blog kalian dengan meletakkan kredit ke atas blog ini. Terima kasih. :)

Qathrunnada: Episod 1.



Setitis air mata
menyatukan
aku
dengan mereka
yang patah hati
di kala puing-puing rindu
berselerakan
bertandu rawan di pulau fikir
jiwa halus pun berbisik
nanarkah mimpi,
bila bulan terbit pagi?



*********************************************************************************


Dari tingkap pesawat, seorang lelaki -- berkumis rapi dan bejanggut kemas – membuang pandangannya jauh keluar.

Ammar mengeluh pendek. Sungguh, badannya sudah lenguh-lenguh, kerana lama menunggu jadual penerbangan yang ditangguh berkali-kali.

Pada ketika-ketika tertentu, ada gegumpal halus semacam berjurai-jurai turun. Itulah salju-salju beku yang setia menemani lelaki itu. Ada lirik puisi mampir dan juga pergi. Lelaki itu mencatat dalam diam.

Masya-ALLAH Kota London
aku temui ketenangan
di wilayah mesra ini
meski kerinduan pada tanah daerah tercinta
tetap mekar terasa
dalam taman rahasia hati.


Tanpa disedari, air matanya mengalir perlahan di pipi. Dikesatnya perlahan-lahan. Di pelupuk matanya sudah jelas terbayang wajah kampung halaman tercinta.

Ammar duduk sugul di sebelah tingkap tempat duduknya. Sambil merenung jauh ke bawah melalui tingkap itu, hatinya berkata dengan penuh rasa haru bergantungan, “Selamat tinggal London, tunggu kehadiran aku, Malaysia!...”

“Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan atau pun berat...” (Surah At-Taubah: Ayat 41)

“...dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Wahai TUHAN kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau...” (Surah Ali-‘Imran: Ayat 191)


Bersambung...

Semua tulisan, grafik, gambar dan ilustrasi yang dinyatakan dan diterbitkan di dalam siri novel “Qathrunnada” ini merupakan hakcipta yang dimiliki oleh pemilik blog http://chedinsphere.blogspot.com/. Sahabat-sahabat bagaimanapun dibenarkan memaut entri ini ke laman atau blog kalian dengan meletakkan kredit ke atas blog ini. Terima kasih.

Pengenalan Novel: Qathrunnada.

Sedikit bingkisan daripada novel yang bakal saya tulis.

In sya ALLAH akan dimuat naik ke dalam blog ini tidak berapa lama lagi.

Semoga ada manfaatnya. Amin. :)

*Nota kaki :: Novel ini akan saya tulis secara spontan dan bersiri (mengikut kelapangan masa yang saya ada). Hal yang demikian, siri novel ini bolehlah dibaca dengan menekan (klik) label "Siri Novel: Qathrunnada" daripada senarai "Arkib Blog Saya." :)

Isnin, April 11, 2011

Lilin dan cuaca.

Hidup ini laksana cuaca. Kita tidak akan tahu (meski ada yang mendakwa mampu meramal) bila akan turunnya hujan atau teriknya mentari. Justeru, adalah bijak untuk menyediakan payung sepanjang masa.

Sejelasnya, payung bagi orang mukmin adalah sifat sabar, ikhtiar, tawakkal dan redha. Payung-payung tersebut besar hikmahnya.

Satu perkara yang perlu kita ingat ialah merungut tidak menyelesaikan masalah. Malah, ia membuat sesuatu masalah kelihatan lebih besar daripada keadaan asalnya.

Pokoknya, kurangkan bercakap dan banyakkan mendengar. Kurangkan bercakap dan banyakkan bertindak.

Lebih baik berusaha menyalakan lilin daripada menyumpah kepada kegelapan. Sungguh.

Ustaz Fadzil Noor: Murabbi Dalam Kenangan



Ustaz Fadzil Noor, ketika usia mudanya. Serius dan matang.
Ustaz Fadzil sewaktu aktif bersama ABIM.


“... Kalau boleh saya tak nak berhenti bercakap sebab saya berucap dengan orang yang saya kasihi dan saya sayang.”
-- Diucap oleh Almarhum Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor ketika majlis penutupan Muktamar PAS ke-48, muktamar yang terakhir sebelum beliau menghembuskan nafasnya terakhir.
_______________________________________________________


Kehidupan awal
Ustaz Fadzil Noor merupakan seorang pemimpin dan tokoh politik yang dihormati dan disegani oleh semua lapisan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa, ekoran daripada penampilan peribadinya di dalam semua aspek kehidupan. Berbekalkan ilmu pengetahuan yang tinggi terutamanya ilmu-ilmu agama, perwatakan yang sederhana serta sentiasa berdampingan dengan masyarakat, beliau dianggap sebagai pemimpin berkarisma.

Semuanya itu hasil daripada latar belakang keluarganya dan juga pendidikan, di mana telah membentuk beliau sebagai seorang insan yang berperibadi tinggi dan dihormati. Ustaz Fadzil@Ali bin Mohd Noor dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, Alor Setar, Kedah. Moyang Almarhum ialah Tuan Guru Hj Idris yang lebih dikenali sebagai Tuan Syeikh Idris Al-Jarumi yang merupakan seorang ulama terkenal di Kedah dan berasal dari Patani, Selatan Thailand.

_______________________________________________________

Pendidikan
Sejarah awal pendidikan Ustaz Fadzil bermula sekitar tahun 1946. Waktu itu beliau mengikuti pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga, Alor Setar sehingga tahun 1949. Kemudian menyambung pelajaran di peringkat menengah di Maktab Mahmud sehingga tahun 1958 sebelum meneruskan pengajian tinggi di tempat yang sama hingga tahun 1962.

Tahun 1963 beliau telah menyambung pelajaran ke seberang laut dengan mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir dengan mendapat biasiswa kerajaan negeri Kedah. Di Universiti Al-Azhar, beliau mengambil jurusan Perundangan Islam (Syariah) dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1967 dengan memperolehi ijazah Sarjana Muda dalam lapangan tersebut. Sekembalinya dari Mesir, beliau mengajar di Maktab Mahmud dan kemudian sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

_______________________________________________________

Perkahwinan
Ustaz Fadzil telah mendirikan rumah tangga dengan sepupunya Siti Khadijah Ibrahim pada tahun 1963. Isteri beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Farbish Bakar, Alor Setar, Kedah. Kemudian, setelah berkahwin, turut bersama melanjutkan pelajaran ke Al-Azhar bersama suaminya. Hasil perkahwinan, beliau dikurniakan lapan orang anak iaitu Huda, Ammar, Aiman, Muna’izzah, Muhamad Faiz, Salwa, Ahmad Fauwaz dan Ahmad Anas. Beliau bukan sahaja berjaya sebagai ahli politik malah merupakan ketua keluarga yang mithali dalam mendidik anak-anaknya dengan penuh kasih sayang dan bertanggungjawab.

_______________________________________________________

Ulama yang sederhana, dalam mendampingi pimpinan dan masyarakat.
Bakat Kepimpinan
Sememangnya diakui bahawa beliau memiliki bakat kepimpinan yang tinggi. Bakat kepimpinan beliau mula terserlah sejak di bangku sekolah terutamanya ketika menuntut di Maktab Mahmud, di mana beliau memiliki kebolehan berpidato dan mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan dan bahas. Keistimewaan yang ada pada beliau boleh berhujah secara spontan dan berkemahiran tinggi dalam ilmu mantiq. Pada tahun 1967, sewaktu di Al-Azhar, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha dan Timbalan Presiden dalam Kesatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

____________________________________________

Ustaz Fadzil sewaktu jaman belianya. Tenang dan berpengaruh.
Dipecat daripada jawatan pensyarah
Pada 1973, beliau telah ditawarkan berkhidmat sebagai pensyarah bahagian pendidikan Islam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sehingga tahun 1978. Semasa berkhidmat di UTM, beliau telah dipecat oleh pihak pentadbir UTM ekoran bertanding dalam pilihan raya pada tahun 1977 di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Merah dan Parlimen Kuala Kedah.

Di dalam kes Fadzil Mohamed Noor v Universiti Teknologi Malaysia [1981] 2 MLJ 196, FC tersebut, Mahkamah Persekutuan ketika itu memutuskan bahawa di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971), kuasa untuk melaksanakan tindakan disiplin ke atas kakitangan universiti hanya boleh dilaksanakan oleh Jawatankuasa Disiplin dan bukan oleh Lembaga Universiti -- yang seharusnya bertindak selaku forum rayuan terhadap keputusan Jawatankuasa Disiplin tersebut.

Ketua Hakim Negara ketika itu, Raja Azlan Shah (kini Duli Yang Maha Mulia Sultan Paduka Seri Sultan Perak) memutuskan bahawa, oleh kerana fungsi dan peranan peranan kedua-dua badan tersebut adalah berbeda dan terpisah, tindakan disiplin oleh pihak Lembaga Universiti dalam memecat Ustaz Fadzil diputuskan sebagai tidak sah di sisi undang-undang dan mahkamah telah mengarahkan pihak pentadbir UTM membayar ganti rugi. Setelah isu tersebut selesai, beliau kembali bertugas sebagai pensyarah dan beberapa bulan kemudian beliau telah meletakkan jawatan kerana menceburkan diri sepenuh masa dalam perjuangan PAS.

_______________________________________________________

 
Ustaz Fadzil Noor sewaktu berucap di atas pentas ABIM.
Muktamar ABIM, sewaktu era DSAI menjadi Presidennya.
Wacana bersama DSAI, sewaktu di zaman belianya. Ustaz Fadzil duduk no.2 dari kanan, di sebelah DSAI.

Penglibatan dalam PUM dan ABIM
Ustaz Fadzil Noor pernah menjadi Setiausaha Persatuan Ulama Malaysia (1974-1976), Setiausaha Penerangan ABIM (1973-1974) dan Timbalan Presiden ABIM (1974-1978). ABIM yang ditubuhkan pada tahun 1971 telah mengisi kelompangan dunia ‘anti establishment’ akibat PAS yang menyertai kerajaan campuran. Ustaz Fadzil ialah orang penting ABIM selain daripada Ustaz Wahab Zakaria, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman.

Beliau disifatkan oleh DSAI sebagai orang yang banyak dirujuk oleh DSAI dalam menggerakkan ABIM sebagai gerakan sosio-dakwah yang penting dalam dekad 70an. Jaringan kader ABIM di seluruh negara ini juga akhirnya telah membawa ramai pemimpin dan ahli ABIM menyertai PAS pada awal tahun 80an, terutamanya selepas DSAI menyertai UMNO.

* Untuk kupasan ringkas berkenaan biodata DSAI, boleh rujuk pautan ini: DSAI: Mantan TPM Malaysia.

Sepanjang penglibatan dalam ABIM sebagai sosok utama perjuangan, Ustaz Fadzil turut terlibat dalam demontrasi menentang isu kemiskinan di Baling, Kedah tahun 1974. Beliau juga terkenal sebagai penggiat tarbiah dalaman ABIM. Beliau banyak bergerak mengisi program usrah, tamrin dan seminar perkaderan di pelbagai tempat. Gerakan belia Islam ini juga banyak menerbitkan buku-buku fikrah dan harakah yang dituang oleh tokoh-tokoh seperti Hasan Al Banna, Sayyid Qutb, Maududi, apatah lagi ABIM menjadi gerakan fenomenal di kampus pada dekad 70an.

Kemudian, bersama-sama beberapa pemimpin kanan ABIM yang lain, beliau menyertai PAS menjelang pilihan raya dan bertanding atas tiket PAS. Antaranya ialah Nakhaei Haji Ahmad (Dato' Haji), Haji Abdul Hadi Awang (Datuk Seri), Ustaz Abdul Halim Arshad dan Ustaz Yahya Othman.

* Untuk biodata ringkas Ustaz Nakhaie Ahmad, boleh klik pada pautan ini: http://chedinsphere.blogspot.com/2012/06/ustaz-nakhaie-ahmad-mantan-ydp-yadim.html

Ustaz Hadi Awang yang merupakan Ketua (Yang DiPertua/Pengerusi) ABIM Terengganu, kemudiannya menjadi tokoh pemidato terkenal PAS. Beliau berjaya mengumpul pengikut yang ramai di Masjid Rusila, Marang dan seluruh negara, menerusi ceramah-ceramahnya yang keras dan berkesan.

* Untuk kupasan ringkas berkenaan biodata Ustaz Hadi Awang, boleh rujuk pautan ini: Ayah Chik: Presiden PAS.

Ustaz Fadzil juga merupakan Setiausaha Agung Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) tahun 1974, sebuah NGO yang penting di negara ini yang telah mewadahkan ulamak-ulamak untuk mengerakkan kesedaran Islam kepada masyarakat dan kerap kali juga dilihat bertelagah dengan kerajaan dalam banyak isu yang bersangkutan dengan syariat dan akidah. Beberapa tokoh PUM juga kini menjadi tonggak penting kepada PAS seperti Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin.

* Untuk kupasan ringkas berkenaan sejarah ABIM, boleh rujuk pautan ini: ABIM: Imbauan Empat Dasawarsa.

_______________________________________________________

Menerima kemasukan Dr Hassan Ali, mantan Pengarah Biro Tata Negara (BTN) ke dalam PAS.
Majalah Pembaharu.
Tegas sebagai Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen.
Turut kelihatan, YB Mahfuz Omar dan Haji Mat Sabu.
Ustaz Fadzil Noor berucap sewaktu Muktamar PAS. Kenangan.
Politik
Beliau mula bertanding dalam Pilihanraya Umum 1978 menentang Datuk Senu Abdul Rahman tetapi kalah. Pada tahun 1981, beliau dipilih sebagai Naib Presiden PAS dan kemudian Timbalan Presiden pada 1982. Pada 30 Mac 1989 beliau dipilih sebagai Presiden PAS selepas pengunduran Tuan Guru Haji Yusof Rawa.

Beliau merupakan ADUN Bukit Raya untuk lima penggal berturut-turut walaupun cuba bertanding bagi kerusi Parlimen beliau tewas, sehinggalah pada Piliharaya Umum 1999, beliau berjaya mengalahkan Datuk Othman Abdul untuk menduduki kerusi Parlimen Pendang dan mengekalkan kerusi ADUN Anak Bukit (sebelum itu Bukit Raya). Pada tahun yang sama, beliau dilantik sebagai Ketua Pembangkang menggantikan Lim Kit Siang yang kalah dalam pilihanraya umum itu.

Pada 1998, beliau dilantik sebagai Pengerusi GERAK (Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia). Gerak ditubuhkan oleh PAS, DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan disertai oleh 15 pertubuhan bukan kerajaan dan individu untuk menegakkan keadilan selepas pemecatan dan penahanan DSAI.

Ustaz Fadzil adalah orang yang menubuhkan GERAK, dan dengan GERAK itulah beliau merintis penubuhan Barisan Alternatif yang merupakan satu tahaluf siyasi ke arah pembentukan Malaysia Baru. Waktu itu, DSAI sudah berada di dalam penjara. Di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor, GERAK dilancarkan pada 27 September 1998 di Markaz Tarbiah, Taman Melewar. Puluhan ribu rakyat dan ratusan wartawan dari dalam dan luar negara hadir ke majlis pelancaran tersebut.

_______________________________________________________


Pengasas KIDU dan SMIDU.
KIDU.
SMIDU dan KIDU
Ustaz Fadzil juga telah mengasaskan Sekolah Menengah Islam Darul Ulum (SMIDU) dan Kolej Islam Darul Ulum (KIDU). SMIDU ialah sebuah Sekolah Agama Rakyat yang terletak di sempadan Pokok Sena dan Kuala Nerang, Kedah. Bersama dengan KIDU, kedua-dua gabungan ini dinamakan sebagai Muassasah Darul Ulum.

Dalam satu ucapannya, Ustaz Fadzil menyatakan, “…adalah menjadi harapan saya agar Muassasah Darul Ulum yang sama-sama kita asaskan ini akan dapat melahirkan ulamak yang mampu mendokong dan melaksanakan Islam sebagai cara hidup, melahirkan intelektual Islam yang berkemampuan dalam berbagai bidang kehidupan dan mampu menangani permasalahan ummah dan negara.”

SMIDU ditubuhkan pada tahun 1992 di bawah pentadbiran Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah di atas nama Markas Tarbiah Watta’lim. Kemudian pada 1998, nama sekolah ini dengan rasminya ditukar kepada nama sekarang, Sekolah Menengah Islam Darul Ulum.

_______________________________________________________

Allahyarham Dato' Harun Idris (mantan MB Selangor) yang ketika itu
menyertai Parti Semangat 46 pimpinan Ku Li, bersalaman dengan
Ustaz Hadi Awang dan Ustaz Fadzil Noor,
Ustaz Fadzil Noor berjabat mesra dengan Tengku Razaleigh (Ku Li).
Era Gagasan Rakyat-Angkatan Perpaduan Ummah:
Pak Syed Husin Ali, Ustaz Fadzil dan Ku Li.
Pengisytiharan kerjasama parti PAS, NasMa, PSRM dan SDP.
Ustaz Fadzil Noor dan Ustaz Nakhaie Ahmad mewakili PAS.
Isi kandungan Persefahaman PAS-NasMa-PSRM-SDP 1986. 
NST melaporkan bahawa DSAI, ketika itu bintang UMNO yang semakin meningkat naik,
membidas kerjasama PAS dan CCC sebagai pakatan ekstremis yang akan gagal.
CCC
Tahalluf Siyasi: CCC, APU dan BA.
Ustaz Fadzil bersama-sama kepimpinan ulamak yang diterajui oleh Almarhum Ustaz Yusuf Rawa, Ustaz Nik Aziz, Ustaz Hadi Awang dan Ustaz Nakhaie Ahmad turut merintis jalan baru dalam lembaran perjuangan PAS.

* Untuk kupasan ringkas mengenai biodata Ustaz Nakhaie Ahmad, boleh rujuk pautan ini: http://chedinsphere.blogspot.com/2012/06/ustaz-nakhaie-ahmad-mantan-ydp-yadim.html

PAS yang pada asalnya diberikan imej sebagai parti Islam radikal oleh sesetengah pihak, telah menjalankan kerjasama dengan pemimpin Cina yang tidak sehaluan dengan kepimpinan parti MCA. PAS telah menubuhkan ‘Chinese Concultative Council’ (dan kemudiannya dikenali sebagai ‘Community Coalition Congress’) bagi menarik masyarakat Cina khususnya, dan masyarakat bukan Melayu umumnya.

Pada 14 April 1986, NST melaporkan bahawa DSAI (yang telah menyertai UMNO dan menjadi Ketua Pemudanya) melabelkan pakatan PAS dengan beberapa NGO Cina menerusi CCC sebagai ‘kerjasama antara dua kumpulan ekstrimis.’ Meskipun CCC dilihat sebagai gagal oleh sesetengah pihak, PAS akhirnya berjaya menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) sebagai sayap baru parti PAS pada 23 Mei 2010. DHPP dianggotai oleh masyarakat belum Islam yang menyokong parti PAS.

Kerjasama bersama CCC turut diikuti eksperimen PAS dalam beberapa PRU menerusi kerjasama dengan – antara lain - NASMA, PSRM, SDP, Semangat Melayu 46, DAP, PRM dan KeADILan (PKR). PAS – bersama-sama parti-parti dan NGO lain – bekerjasama di bawah beberapa payung nama dalam menghadapi komponen UMNO-BN yang dilihat gah dan gagah di bawah pimpinan Dr Mahathir-Musa Hitam-Ghafar Baba-Sanusi Junid-Daim Zainuddin-DSAI. Antara nama gabungan pembangkang yang dicatatkan dalam sejarah politik tanahair ialah Angkatan Perpaduan Ummah-Barisan Rakyat, Barisan Alternatif dan terbaru, Pakatan Rakyat.

* Untuk kupasan ringkas berkenaan sejarah CCC, boleh rujuk pautan ini: Dalam Kenangan: Majlis Perundingan Orang Cina (CCC).

____________________________________________________



Tun Dr Mahathir dan Ustaz Fadzil Noor.
Tun Dr M dan Ustaz Fadzil menandatangani persefahaman berkenaan
sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin, usai Syarahan Perdana 2002.
Perpaduan Ummah
Pada 8 Mei 2002, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Dato’ Dr. Seri Mahathir Mohamad (kini Tun) yang juga merupakan Presiden UMNO telah dipertemukan dengan Almarhum Dato’ Fadzil Nor (Presiden PAS merangkap Ketua Pembangkang Parlimen ketika itu) di Balai Tun Syed Nasir, DBP.

Majlis yang turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) dan Timbalan Presiden PAS ketika itu, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang ini disaksikan di secara langsung di seluruh negara.

Program ini adalah suatu peristiwa penting dalam sejarah politik negara kita. Ianya mendapat liputan secara langsung oleh RTM. Program penuh gemilang ini antara lain ialah hasil usaha Presiden ABIM ketika itu, Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman dan (Allahyarham) Dato’ Rahim Bakar, ketika itu adalah Pengerusi Dewan Bahasa & Pustaka.

_______________________________________________________

Membaca Kitab Suci Al-Quran.
Sekitar majlis pengebumian Ustaz Fadzil.
Meninggal dunia
Beliau menerima rawatan selepas melakukan pembedahan pintasan jantung pada 10 Jun 2002. Sebelum itu beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Terengganu kerana mengadu sakit dada. Beliau meninggal dunia pada 23 Jun 2002 di Unit Rawatan Rapi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia akibat sakit jantung pada jam 10.30 pagi. Jenazah beliau diterbangkan oleh pesawat Hercules dari Selangor ke Kedah.

Jenazah Ustaz Fadzil Noor disemadikan di madrasah di tempat kelahiran beliau di Madrasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah sesuai dengan wasiat beliau. Sewaktu jenazah beliau hendak disemadikan, dilaporkan kurang lebih 60,000 rakyat hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada beliau, sehinggakan setiap orang yang datang berebut-rebut untuk mengangkat jenazah beliau. Hal yang demikian menyebabkan jalan raya sesak teruk sehingga 20km.

_______________________________________________________

Ustaz Nik Aziz, Almarhum Ustaz Hassan Shukri dan Almarhum Ustaz Fadzil Noor.
Almarhum Ustaz Hassan Shukri, Ustaz Fadzil Noor dan Ustaz Hadi Awang.
Ustaz Fadzil dalam kenangan.
Ustaz Fadzil dan Ustaz Hadi Awang sedang menyantuni penyokong PAS. Nostalgik.
Penutup
Setiap yang mengaku rakyat Malaysia perlu dan mesti mengenali bapa kebangkitan ini: Ustaz Fadzil Noor. Perjuangan PAS dan Ustaz Fadzil Noor dalam menggerakkan pemurnian semula penyelewengan demokrasi termasuk pelbagai akta yang menyekat dan mencabul hak asasi rakyat di negara ini adalah sesuatu yang sewajarnya kita teladani.

Allahyarham sepanjang hayatnya adalah pejuang yang gigih, sabar, komited dan sederhana. Demi kepentingan perjuangan Islam dan kebajikan rakyat, Ustaz Fadzil Nor akan bersahabat dengan sesiapa sahaja walaupun orang itu dulu adalah lawan beliau. Sifat tidak berdendam menjadikan beliau dihormati oleh kawan dan segani oleh lawan.

Untuk jasa dan sumbangan ustaz Fadzil Noor kerana menggerakkan barisan rakyat, moleklah jika pembaca beragama Islam menghadiahkan al-Fatihah untuk Almarhum. Al-Fatihah.

*************************************

Sumber dan pautan:
i. Kes undang-undang: Fadzil Mohamed Noor v Universiti Teknologi Malaysia [1981] 2 MLJ 196, FC;
ii. Halim Mahmood. Senario Pemilihan UMNO, 1986. Semenyih: Marwilis Publisher;
iii. Kamal Amir. Era Melayu Baru, 1993. Petaling Jaya: Warkah Tulin Sdn Bhd;
iv. Kamal Amir. Episod Gelora Melayu, 2007. Petaling Jaya: Putrajaya Bumi Communications Sdn Bhd;
v. Ruhanie Haji Ahmad. Musa Hitam: Serene in the Storm, 1987. Petaling Jaya: Media Indah Sdn Bhd;
vi. Subky Latif. Istimewa Terkenang: Siri Koleksi Rencana Terpilih Siasah, 2009. Kuala Lumpur: Media Icon Sdn Bhd;
vii. Syed Hussein Al-Attas. Musa A Traitor?, 1986. Kuala Lumpur: AlNujum Sdn Bhd;
viii. Yahaya Ismail. Siapa Kebal: Mahathir atau Raja-Raja Melayu?, 1993. Kuala Lumpur: Dinamika Kreatif Sdn. Bhd.;
ix. Yahaya Ismail. Siapa Presiden UMNO 1987: Mahathir-Tengku Razaleigh?, 1987. Kuala Lumpur: Dinamika Kreatif Sdn. Bhd.;
x. Zabidi Mohamed. Lelaki UMNO Terakhir: Iktibar Untuk Pejuang Islam, 1999. Kuala Lumpur: Zabidi Publication;
xi. Zainuddin Maidin. Mahathir Di Sebalik Tabir, 1994. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd;
xii. Zakri Abadi. Mahathir Machiavelli Malaysia?, 1990. Kuala Lumpur: Sarjana Enterprise;
xiii. http://tehranifaisal.blogspot.com/;
xiv. http://syababghardhuffaz.blogspot.com/2007/06/dato-ustaz-hj-fadzil-noor.html ;
xv. http://muslimeen-united.blogspot.com/2010/05/memperingati-almarhum-ustaz-fadzil-noor.html ;
xvi. http://fauwazfadzil.blogspot.com/2009/03/al-marhum-ayahanda-ustaz-fadzil-noor.html ;
xvii. http:// www.aizatlegendz.blogspot.com/ ;
xviii. http://ahmadazam.blogspot.com/;
xix. http:// greensyndicate.blogspot.com ; dan
xx. http://fauwazfadzil.blogspot.com/2009/03/al-marhum-ayahanda-ustaz-fadzil-noor.html .
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...