Ahad, Oktober 30, 2011

Dalam Kenangan: Majlis Perundingan Orang Cina (CCC).

1.0. Mukadimah: Tahaluf Siyasi (Pakatan politik)
‘Tahaluf’ adalah kalimah Arab yang bermaksud ‘perjanjian persefahaman’, iaitu pakatan atau kerjasama bagi menghadapi pihak lawan. ‘Siyasi’ secara harfia bermaksud politik.

Secara ringkasnya, ‘Tahaluf Siyasi’ membawa makna kerjasama harakah Islam dengan mana-mana pergerakan lain yang tidak bermatlamatkan Islam di dalam perjuangannya. Kerjasama ini boleh terjadi di dalam apa jua bidang yang dipersetujui bersama untuk sama-sama menghadapi musuh yang sama.

Tahaluf Siyasi juga kemungkinan boleh berlaku dengan gerakan yang pernah atau berpotensi untuk menentang ideologi harakah Islam. Dalam suasana hari ini, tahaluf siyasi yang dimaksudkan juga termasuk kerjasama dengan golongan bukan Islam untuk menghadapi musuh yang sama.

-----------------------------------------------------------------------

1.1. Tahaluf Siyasi PAS
Selain gabungan PAS dan Partai Perikatan (kemudiannya dikenali sebagai Barisan Nasional/BN), antara peringkat awal Tahaluf Siyasi (Pakatan Politik) PAS, ialah menerusi Pakatan PAS-Majlis Perundingan Orang Cina atau Chinese Concultative Council (CCC), dan penubuhan Barisan Pembangkang/Harakah Keadilan Rakyat, iaitu pakatan PAS bersama-sama dengan beberapa partai pembangkang seperti: Partai Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM), Sepakat/Socialist Democratic Party (SDP) dan Partai Nasionalis Malaysia (NasMa).

Pada hari Isnin, tanggal 14 Julai 1986, bersamaan 4 Zulkaedah 1406, sesepuh Harakah Keadilan Rakyat (HAK) telah menandatangani satu ‘Perisytiharan Persefahaman Bagi Menghadapi PRU’, di mana pemimpin-pemimpin komponennya adalah seperti berikut: Ustaz Haji Yusuf Rawa (Yang Di-Pertua Agung PAS), Datuk Kampo Radjo (Pengerusi PSRM), Saudara Ahmad bin Nor (Presiden SDP) dan Dato’ Raja Nasron Raja Ishak (Presiden NasMa).

-----------------------------------------------------------------------

2.0. Sejarah Majlis Perundingan Orang Cina (CCC)
Setelah melalui tempoh yang mencabar antara 1978 hingga 1982 di mana PAS terpaksa berhadapan dengan perpecahan, kehilangan kuasa pemerintahan, tekanan ISA dan krisis kepemimpinan, akhirnya PAS telah mengasaskan kepemimpinan ulamak pada Oktober 1982.

Ustaz Haji Yusof Rawa telah diangkat untuk memimpin PAS bagi menggantikan Datuk Mohd Asri yang meletakkan jawatan. Permulaan era kepemimpinan ulamak memperlihatkan PAS kembali kepada asas perjuangannya untuk mendaulatkan Islam dan memberikan penekanan terhadap kewajipan tersebut.

Gerakan dakwah PAS berkembang dengan lebih tersusun melalui pendekatan haraki dan dalam masa yang sama PAS terus membina jambatan dakwah dengan masyarakat belum Islam sehingga terbentuknya CCC.

Dengan idea dan wawasan tokoh-tokoh seperti Almarhum Ustaz Haji Yusuf Rawa, Almarhum Ustaz Fadzil Noor, Ustaz Hassan Shukri, Ustaz Nakhaie Ahmad dan Haji Subky Latif, penubuhan CCC adalah bertujuan bagi memberi ruang kepada limpahan sokongan masyarakat Cina yang majoritinya belum Islam, khususnya kalangan ahli MCA -- yang berpecah ketika itu – yang ingin mencari tapak baru.

Haji Subky merupakan antara individu yang bertanggungjawab ‘mendekatkan’ PAS dengan masyarakat bukan Islam pada tahun 1985 dan 1986 sehinggakan di Kuala Lumpur dibuat seminar-seminar yang memberi penerangan konsep pemerintahan Islam kepada kaum Cina.

Kemudiannya, PAS mengorak langkah dengan mengadakan ceramah-ceramah di Dewan Perhimpunan Cina sehingga tertubuhnya CCC yang dianjurkan PAS. Antara pengasas CCC ialah Saudara Kamal Koh.

Sementelahan, langkah penubuhan CCC -- khususnya di Lembah Kinta -- dilihat sebagai satu langkah untuk me‘nasional’kan PAS, di mana partai tersebut cuba menjadi payung kepada orang yang belum Islam, terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum.

Di sudut yang lain, pendekatan PAS telah disambut oleh kerajaan dengan melaksanakan juzuk tertentu daripada Islam seperti ‘Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam’, ‘Dasar Bersih, Cekap dan Amanah’ serta penubuhan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa dan lain-lain.

-----------------------------------------------------------------------


3.0. PRU 1986: PAS “kalang pukang tanpa perancangan?”

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-7 pada tahun 1986, PAS memulakan era politik baru dengan bekerjasama dengan partai-partai pembangkang seperti NASMA, SDP, CCC dan lain-lain. Namun, kerjasama tersebut tidak mampu memberikan impak besar kepada perubahan iklim politik. Status-quo PAS kekal dengan kerusi tunggal Parlimen dan beberapa kerusi Dewan undangan Negeri (DUN).

Ustaz Riduan Mohamad Nor dalam bukunya, ‘Menerjang Badai: 50 Tahun Mempersada Perjuangan (2011)’ menyatakan bahawa, selain polemik pemenjaraan di bawah ISA, Peristiwa Lubuk Merbau, Tragedi Memali, kemasukan ramai ahli IRC (al-Jamaah/kini Jemaah Islah Malaysia), kepimpinan Ustaz Yusuf Rawa turut diuji dengan kritikan terhadap CCC dan kekalahan teruk PAS dalam Pilihan Raya 1986.

Kebanyakan Pemimpin PAS menyalahkan UMNO-Barisan Nasional (BN) yang didakwa telah memainkan isu Pakatan PAS-CCC sehingga pengundi-pengundi atas pagar tidak percaya lagi dengan perjuangan partai tersebut.

Dalam laporan Akhbar WATAN, keluaran 16-18 Ogos 1986, Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan ketika itu, Ustaz Haji Hassan Salleh mengakui bahawa kekalahan teruk PAS adalah disebabkan oleh ‘masyarakat kampung yang terkeliru dengan kerjasama PAS-CCC’ dan masyarakat belum Islam yang ‘masih belum mengetahui konsep negara Islam yang sebenarnya.’

Selain itu, mantan Setiausaha Agung dan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Abu Bakar Hamzah, menggambarkan kekalahan tersebut sebagai situasi di mana PAS “kalang pukang tanpa perancangan.”

-----------------------------------------------------------------------

4.0. Penilaian Semula CCC
Meskipun penubuhan CCC mempunyai matlamat yang baik dan agresif, terdapat beberapa pihak yang menyatakan bahawa; dengan membenarkan calon CCC (yang belum Islam) bertanding atas tiket PAS, PAS didakwa lari dari perjuangan asas Melayunya.

Hal ini demikian kerana, pada permulaan perjuangan PAS, tumpuan sasaran lebih kepada umumnya masyarakat Melayu-Islam. Sejak daripada penubuhannya sehinggalah kepada 1970an dan awal 1980an. Itulah asasnya.

Dr Mujahid Yusof Rawa di dalam bukunya yang diselubungi kontroversi, ‘Menuju PAS Baru (2010)’, menyatakan bahawa Ustaz Yusuf Rawa (Almarhum) cukup tersinggung apabila kepimpinan Pemuda PAS membahaskan satu usul supaya CCC dibuat penilaian semula. Dan, usul tersebut disokong oleh AJK PAS Pusat. Yang berucap ketika itu ialah Khalid Samad (kini Ahli Parlimen Shah Alam).

Ini membawa kepada ‘perletakan jawatan’ Ustaz Yusuf Rawa atas alasan ‘prinsip’ dan anggapan bahawa usul tersebut merupakan satu undi tidak percaya terhadap beliau.

Namun, setelah dipujuk oleh beberapa pemimpin dan tokoh PAS seperti Ustaz Hassan Shukri (Almarhum) dan Haji Subky Latif, Ustaz Yusuf Rawa menarik balik perletakan jawatannya, sebelum memegang Mursyidul Am PAS yang pertama, tidak berapa lama kemudian.

PAS mula mengalami perubahan selepas kepimpinannya bertukar tangan. Ustaz Yusof Rawa mengundurkan diri kerana keuzuran pada tahun 1987, maka kepimpinan diambil alih oleh Ustaz Fadzil Mohd Noor (Almarhum) dengan gandingan Ustaz Abdul Hadi Awang sebagai timbalannya.

Kerjasama dengan Parti Melayu Semangat 46, Hamim dan Berjasa di dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) telah dibentuk pada tahun 1989 untuk menghadapi Pilihan Raya Umum 1990. Pakatan APU telah menyapu bersih semua kerusi yang dipertandingkan sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan.

-----------------------------------------------------------------------

5.0. Penubuhan Kongres Penyatuan Masyarakat
Kongres Penyatuan Masyarakat atau Community Coalition Congress ditubuhkan dan didaftarkan sebagai parti politik pada 1988, dan diketuai oleh Saudara Ong Boon, untuk mengantikan sayap Majlis Perunding Orang Cina yang ditubuhkan oleh PAS pada PRU 1986.

Kongres tersebut telah diberikan kelulusan untuk bergiat sebagai sebuah partai politik pada 20 November 1988 oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS). Berbeza dengan matlamat asal penubuhan Majlis Perundingan Orang Cina, Kongres tersebut lebih bersifat terbuka dan berbilang kaum.

Antara pemimpin terawal Kongres tersebut ialah Naib Pengerusi, Saudara Liow Kom Hock dan Setiausaha Agung, Saudara Ong Hua.

Walaupun Kongres itu telah didaftarkan sebagai parti politik dengan ROS, ianya tidak pernah bertanding di dalam mana-mana pilihan raya sehingga kini. Kongres Penyatuan Masyarakat itu terus menjadi satu partai pasif dengan penubuhan Kelab Penyokong PAS (KPP) untuk menghadapi pilihan raya 2008 yang akhirnya dinaiktarafkan menjadi Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) sebagai sayap baru parti PAS pada 23 Mei 2010.

Hal ini adalah selaras dengan matlamat penubuhan sayap baru berkenaan bagi meluaskan pengaruhnya di kalangan penyokong bukan Islam, dewan itu boleh mengemukakan nama calon bukan Islam untuk bertanding dalam PRU.

-----------------------------------------------------------------------


4.0. Khatimah
Tuntasnya, meskipun ada yang beranggapan bahawa penubuhan CCC yang asal pada sekitar 1980an adalah satu kesilapan, hakikat yang tidak boleh kita nafikan ialah, ia membawa kepada perluasan sokongan PAS daripada masyarakat luar bandar tradisional berpendidikan Islam kepada golongan elit Melayu-Muslim yang menerima pendidikan sekular, ketika itu.

Malahan, ‘eksperimen’ tersebut juga menjadi satu asas kepada penubuhan Kelab Penyokong PAS (KPP) sekitar 2008 yang akhirnya dinaiktarafkan menjadi Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) sebagai sayap baru parti PAS pada 23 Mei 2010.

Dengan idea dan wawasan tokoh-tokoh seperti Almarhum Ustaz Yusuf Rawa, Almarhum Ustaz Fadzil Noor dan Haji Subky Latif, PAS mula menggerakkan Pakatan CCC, di mana parti itu mulai berjinak-jinak dengan kaum belum Islam.

Kepemimpinan Ulamak yang baru ketika itu, telah membawa perubahan yang segar kepada sikap, wawasan dan pendekatan ahli serta pemimpin partai tersebut. PAS mula bersikap lebih rasional dan membuka ruang lingkup perjuangannya kepada masyarakat terbanyak.

Menerusi perubahan seperti itulah, PAS telah mengubah spektrum pendekatannya: daripada sekadar berkonfrontasi; kepada pendekatan yang lebih damai dan matang. Khalas.


-----------------------------------------------------------------------


Sumber dan pautan:

i. Abu Bakar Hamzah. Islam dan Nasionalisme di Malaysia, 1986. Kuala Lumpur: Gelanggang Kreatif;

ii. Abu Bakar Hamzah. Parti Islam dengan Tahalluf Siyasinya, 1992. Kuala Lumpur: Media Cendiakawan Sdn Bhd;

iii. Abu Bakar Hamzah. Quo Vadis PAS?, 1989. Selangor: Polygraphic Press Sdn Bhd;

iv. Ahmad Awang. Islam di Malaysia: Cabaran Sepanjang 80-an, 15 Januari 1980. Dewan Masyarakat;

v. Alias Mohamed. Malaysia’s Islamic Opposition: Past, Present and Future, 1991. Kuala Lumpur: Gateway Publishing House;

vi. Badlihisham Mohd Nasir. Da’wah And The Malaysian Islamic Movements, 2003. Semenyih: Synergymate Sdn. Bhd.;

vii. Badlihisham Mohd Nasir. Dinamisme Gerakan Islam Dan Cabaran Semasa, 2008. Shah Alam: Karisma Publication Sdn. Bhd.;

viii. Chandra Muzaffar. Islamic Resurgence in Malaysia, 1987. Petaling Jaya: Penerbit fajar Bakti Sdn Bhd.;

ix. Mohd Aizat Mohd Salleh al-Hafiz. Pemikiran Tuan Guru, 2011. PTS Millennia Sdn Bhd.;

x. Mohd Izani Mohd Zain. Islam Dan Demokrasi: Cabaran Politik Muslim Kontemporari di Malaysia, 2005. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya;

xi. Riduan Mohammad Nor. Terbitan Sejarah & Perkembangan Gerakan Islam Abad Moden, 2007. MHI Publication;

xii. Syaikh Yusuf al-Qaradhawi. Kebangkitan Gerakan Islam: Dari Masa Transisi Menuju Kematangan (al-Shahwah al-Islamiyyah min al-Murahiqah ila al-Rusyd), 2003. Jakarta: Pustaka al-Kautsar;

xiii. Syed Naquib, Al-Attas. Islam and Secularism, 1978. Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia;

xiv. http://www.insight-info.com/articles/Item.aspx?i=259;

xv. http://dupahang.wordpress.com/2010/11/26/hubungan-pas-dap-ada-pasang-surutnya/;

xvi. http://www.geocities.ws/muhammadsyukri/SEASIslamState.html;

xvii. http://www.ibnuhasyim.com/2011_02_06_archive.html;

xviii. http://www.kias.edu.my/tahalufsiasi08.htm;

xix. http://www.ibnuhasyim.com/2008/06/pas-parti-islam-unik-di-dunia.html;

xx. http://www.merdekareview.com/bm/news.php?n=12366; dan

xxi. http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=23109:memperbetulkan-persepsi-terhadap-pas&catid=90:mohd-rashidi-hasan&Itemid=128.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...