Isnin, Januari 31, 2011

Buku.



Buku
Kata Alice Hoffman, "satu-satunya silap mata (magic) yang hakiki ialah buku."

Seperti yang kita sedia maklum, dunia buku sememangnya tak bisa dipisahkan dengan ilmu pengetahuan. Bagai aur dengan tebing, keduanya memang saling berkait. Ilmu merupakan kata yang berasal daripada bahasa Arab, masdar dari 'alima-ya'lamu yang bererti tahu atau mengetahui.

Bila bercakap soal dunia buku, saya fikir kata-kata ini amat signifikan untuk kita renungkan bersama:
"Aku tahu, setiap kali aku membuka sebuah buku, aku akan bisa menguak sepetak langit. Dan jika aku membaca sebuah kalimat baru, aku akan sedikit lebih banyak tahu dibandingkan sebelumnya. Dan segala yang kubaca akan membuat dunia dan diriku menjadi lebih besar dan luas."
-- (Jostein Gaarder & Klaus Hagerup, Perpustakaan Ajaib Bibbi Bokken)



Dalam bahasa Inggeris, ilmu biasanya dipadankan dengan kata science, sedang pengetahuan dengan knowledge. Dalam bahasa Melayu, istilah knowledge umumnya diertikan sebagai 'ilmu' tetapi sering juga diertikan dengan ilmu pengetahuan, meskipun secara konseptual mengacu pada makna yang sama.

Tuntasnya, buku bolehlah dikatakan sebagai dunia maklumat kita; yang mana tidak boleh tidak -- perlulah pula untuk kita bertanya (belajar) dari insan yang lebih mengetahui (guru).




Saya masih mempunyai impian untuk memiliki sebuah perpustakaan mini satu hari nanti. Sebagai langkah permulaan (yang kecil), saya telah membeli sebuah almari untuk menyimpan sebahagian buku-buku saya. Saya memerlukan dua buah lagi almari yang mempunyai 12 ruang untuk meletakkan buku-buku yang lain pula.


Doakan impian saya terlaksana. In sya ALLAH.

Salam. :)

SN Pak Samad: Pejuang.





**************

Abdul Samad bin Muhammad Said atau lebih dikenali sebagai A. Samad Said (lahir: 9 April 1935) ialah Sasterawan Negara 1986. Beliau juga pernah dianugerahkan dengan "Anugerah-anugerah Menulis Asia Tenggara" (SEA Write Awards). Dilahirkan di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka,  Pak Samad mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura (1940-1946) dan Institusi Victoria, Singapura (1956). Seorang yang berminat dalam penulisan sejak di bangku sekolah, beliau telah menulis banyak karya yang terkenal. Antara antologi puisinya ialah Suara Dari Dinding Dewan (2003), Dirgahayu Dr. Mahathir dan Rindu Ibu (2004). Antologi Esei terbaru adalah Ilham Di Tepi Tasik (2006). Datuk A.Samad Said pernah juga menggunakan nama pena Hilmy, Isa Dahmuri, Jamil Kelana, Manja, Mesra dan Shamsir.

**************





**************

Dato' Kemala: Penyair Malaysia.



Biodata ringkas:
Dato' Dr Ahmad Kamal Abdullah (Dato' Kemala) dilahirkan di Gombak, Selangor pada 30 Januari. Beliau menerima pendidikan di Sekolah Melayu, Agama dan Inggeris. Lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim. Kemudian, beliau memperoleh Ijazah pertama dan kedua dari USM Pulau Pinang (1975, 1984); Ijazah Doktor Falsafah (Persuratan Melayu) UKM (Julai 2000) dan Diploma Pengurusan (Makati, Filipina, 1990). Beliau juga adalah Fellow University of Iowa, Amerika Syarikat (1993).

Beliau pernah berkhidmat sebagai Guru (1963-1968) di Kuala Kubu Baharu, Tanjung Karang, Teluk Gong, Pelabuhan Kelang. Pada Mac 1968, beliau mula bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Penyunting. Kemudian, sebagai Redaksi majalah Dewan Pelajar, Dewan Sastra. Jawatan terakhir sebagai Ketua Bahagian Kesusasteraan Bandingan di Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. Pensyarah Penulisan Kreatif (Puisi dan Fiksi) di UM (1991,2005). Kini beliau Sarjana Tamu di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Serdang Selangor.

Anugerah:
1955: Cerita "Pengembaraan Ahmad" memenangi Hadiah mingguan Hiburan Kanak-Kanak;

1971: Hadiah Utama Skrip terbaik Drama "Malam Perhitungan" daripada Majlis Drama Malaysia;

Antara 1972-1986: Hadiah Karya Sastera/Hadiah Sastera Malaysia untuk puisi, cerpen dan esei;

1986: Hadiah Maal Hijrah Jabatan Perdana Menteri untuk cerpen "Masjid";

1986: SEA Write Award Thailand;

1995, 1999 dan 2000: Hadiah Sastera Perdana untuk Kumpulan Puisi Titir Zikir dan MIM dan Esei "Surealisme dlm Puisi T.Alias Taib dan WS Merwin";

2002: Anugerah Pujangga daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak Darul Ridhwan;

2003-2006: Hadiah Utama Esei dan Puisi Hadiah Sastera Utusan-Exxon;

2005: Anugerah Tokoh Sasterawan Selangor;

2006: Anugerah Abdul Rahman Auf sempena Maal Hijrah 1427 Hijrah;

2008: Hadiah Sastera Perdana untuk puisi "Sejambak Bunga Karang Tsunami" dan esei "Usman Awang dan Chen Haosu: Dua penyair Agung Melayu dan China".

Sabtu, Januari 29, 2011

Kerja.

Kata orang; kerja itu memenatkan. Meletihkan.

Untuk setakat 29 Januari 2011 ini; saya boleh katakan -- "Saya sangat letih bekerja. Tapi, saya seronok belajar banyak perkara baru."

Kerana saya manusia yang selalu alpa, maka saya perlukan ilmu dan amal untuk selalu mengingatkan saya. Tentang do's and don'ts (rules) -- pantang-larang dalam kehidupan dan bermasyarakat.

Kerana hidup ini adalah satu pengalaman belajar yang takkan ketemu titik akhirnya.

Kerana hidup ini untuk mati. Dan, mati untuk 'hidup' yang lebih tinggi.





* Nota kaki :: Entri ini mungkin agak 'kosong' dari sudut pengisiannya. Tapi, sangat bermakna kepada saya -- yang telah penat bekerja seminggu. Menulisnya saya dalam blog ini, menunjukkan yang saya punya sedikit waktu lapang untuk dinikmati. Dan, ya, cuti Sabtu dan Ahad adalah sesuatu yang saya sangat syukuri. :)

Ku Li: Putera raja yang terjun ke gelanggang siasah.

Tengku Razaleigh bin Tengku Mohd Hamzah
Yang Berhormat Mulia Tan Sri Tengku Razaleigh Bin Tengku Mohd Hamzah (lahir: 13 April 1937; juga dipanggil Ku Li) merupakan bekas Presiden Semangat 46 yang telah dibubarkan pada 1996 dan juga bekas Menteri Kewangan Malaysia 1976-1984. Beliau juga merupakan pengasas kepada Petronas(Petroliam Nasional Berhad). Kini, beliau merupakan Ahli Parlimen Gua Musang, Kelantan.

______________________________________________________


Kehidupan awal
Dilahirkan kepada Tengku Hamzah bin Raja Muda Long Zainal Abidin Ibni Sultan Muhammad III yang lebih dikenali sebagai Tengku Serimah ataupun Tengku Seri Maharaja, Tengku Razaleigh mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Padang Garong, dan kemudiannya di Kolej Sultan Ismail (SIC) dan Maktab Melayu Kuala Kangsar, Perak.

Seterusnya, beliau melanjutkan pelajarannya dalam bidang undang-undang di Lincoln Inn, London. Tetapi hasratnya untuk menjadi peguam terbantut apabila bapanya sakit dan beliau terpaksa menguruskan perniagaan bapanya. Pada tahun 1959, Tengku Razaleigh mendapat Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Queen, Ireland. Cik Puan Noor Abdullah merupakan isteri Tengku Razaleigh.

______________________________________________________

Kerjaya politik
Pada tahun 1962, Tengku Razaleigh menjadi ahli UMNO dan dilantik menjadi Ketua UMNO Bahagian Ulu Kelantan. Pada tahun berikutan, beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Perhubungan UMNO Kelantan dan Majlis Tertinggi UMNO. Tengku Razaleigh menjadi Ketua Perhubungan UMNO negeri Kelantan pada tahun 1967.

Atas jemputan Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, beliau bertanding bagi kawasan Dewan Undangan Negeri menentang Dato Asri Muda. Tengku Razaleigh menang dalam pilhan raya tersebut dan menjadi ahli Parlimen pada umur 37 tahun.

Atas permintaaan Tun Abdul Razak pada Pilihan Raya Umum 1974, Tengku Razaleigh bertanding kerusi Parlimen. Sewaktu itu, Majalah Time meramalkan beliau akan menjadi pemimpin utama di Malaysia. Pada zaman Tun Abdul Razak, Tengku Razaleigh dilantik sebagai pengerusi Pernas, Petronas dan Bank Bumiputera.

Sewaktu menjadi pengerusi Pernas, beliau melawat negara China dan merupakan orang Malaysia pertama menemui Perdana Menteri China, Chou En Lai. Seterusnya, Tun Abdul Razak berkunjung ke China. Jadi, Tengku merupakan arkitek Persahabatan Malaysia-China 1974 yang membawa kejatuhan Parti Komunis Malaya.

Semasa Tengku Razaleigh memimpin Bank Bumiputera, beliau telah menjemput Wong Am Pui dan Dato Khoo Kay Peng melatih kakitangan Melayu agar mahir dalam pengurusan bank. Pada Julai 1974, Tengku Razaleigh menjadi Naib Presiden UMNO setelah kematian Tun Dr Ismail Abdul Rahman. Beliau menjadi Naib Presiden UMNO selama tiga penggal berturut-turut sehingga 1978.

______________________________________________________

Pada 5 Mac 1976 hingga Julai 1984, Tengku Razaleigh telah dilantik sebagai Menteri Kewangan dan setiap tahun membentangkan belanjawan negara di Parlimen melalui siaran secara langsung oleh RTM. Ketika itu, perkembangan ekonomi negara berkembang 6-8 peratus setahun. Beliau merupakan Menteri Kewangan yang paling lama sebelum diambil alih oleh Dato Daim Zainuddin dalam rombakan kabinet pada tahun 1984. Dalam rombakan tersebut, Tengku Razaleigh dilantik menjadi Menteri Perdagangan dan Perindustrian.

Pada 24 April 1987, Tengku Razaleigh bersama Dato Musa Hitam mencabar regu Dr Mahathir dan Ghafar Baba dalam pemilihan parti sebagai Presiden dan Naib Presiden Parti UMNO. Malangnya, beliau ditewas 43 undi di tangan Tun Dr Mahathir Mohamad. Kekalahan tersebut merupakan titik pusing kerjaya politiknya.

Untuk kupasan ringkas berkenaan biodata Tun Ghaffar Baba, boleh rujuk pautan ini: Tun Ghafar Baba: Dari Penjual Kayu Api ke Parlimen.

Sementelahan, untuk kupasan ringkas berkenaan biodata Tun Musa Hitam, boleh rujuk pautan ini: Tun Musa Hitam: Tenang Dalam Gelora.

Selepas kekalahan ini, Tengku Razaleigh menubuhkan Parti Semangat 46 bersama dengan Datuk Rais Yatim. Semangat 46 bekerjasama dengan PAS dan DAP dalam Pilihan Raya Umum tahun itu tetapi gagal memenangi untuk membentukkan kerajaan.

Cuma PAS berjaya menguasai kerajaan negeri Kelantan dan PBS berjaya menguasai kerajaan negeri Sabah. Selepas Semangat 46 dibubarkan 1996, Tengku Razaleigh dan Dato Rais Yatim menyertai UMNO semula.

______________________________________________________


Pada tahun 2000, beliau menawarkan diri untuk bertanding melawan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sebagai Presiden dalam pemilihan parti UMNO namun kuota pencalonan sebanyak 30 peratus tidak mencukupi dari bahagian-bahagian UMNO.

Pada masa yang sama, beliau juga cuba mencabar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk jawatan Timbalan Presiden, namun juga gagal atas kuota. Selain itu, beliau juga gagal menepati kuota apabila ingin bertanding untuk jawatan Naib Presiden. Pada tahun 2004, beliau cuba mencabar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sebagai Presiden ketika itu, namun hanya bahagian Gua Musang mencalonkannya. Oleh itu, beliau gagal menepati kuota.

Sekali lagi pada 2009, setahun selepas Pilihanraya Umum, beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan yang sama menentang Datuk Seri Najib Tun Razak kerana Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengundurkan diri, kerana keputusan Barisan Nasional dalam pilihanraya yang merosot.

______________________________________________________


Royalti minyak Kelantan
Tengku Razaleigh Hamzah menyatakan Kelantan berhak mendapat royalti minyak. Pendirian baru itu disampaikan semasa berucap pada majlis solat hajat dan ceramah perdana royalti petroleum di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Baharu, Kelantan pada 28 Januari 2010. Turut hadir ialah Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tengku Razaleigh Hamzah menjadi pengerusi Petronas ketika perjanjian itu ditandatangani, Tengku Razaleigh sebagai orang Kelantan tentu mahu melihat Kelantan mendapat wang royalti minyak itu. Tengku Razaleigh adalah individu yang bertanggungjawab menandatangani perjanjian antara Petronas dan kerajaan negeri Kelantan pada 1975 di bawah Akta 144 (Akta Kemajuan Petroleum 1974).

______________________________________________________

Partai Melayu Semangat 46 atau Semangat 46
Selepas pemilihan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada tahun 1987, UMNO telah berpecah kepada dua kumpulan, iaitu Pasukan A yang diketuai oleh Dr Mahathir di bawah UMNO Baru dan Pasukan B yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah di bawah kem Semangat 46. Antara bekas pemimpin 'heavyweight' UMNO yang menyertai Semangat 46 ialah mantan Menteri Besar Selangor, Allahyarham Datuk Harun Idris.

Antara tokoh Pemuda UMNO yang tersohor ketika itu ialah Datuk Seri Najib dan DSAI. Untuk kupasan ringkas berkenaan biodata DSAI, boleh rujuk pautan ini: DSAI: Mantan TPM Malaysia.

______________________________________________________


Semangat 46 mendakwa mereka sebenarnya UMNO Lama yang terbunuh pada tahun 1987. Dalam usaha mereka merebut nama keramat 'UMNO' itu, Tun Dr. Mahathir yang memang terkenal lebih tangkas dan siaga lebih dahulu beroleh faedah mendaftarkan UMNO Baru.

______________________________________________________


Tengku Razaleigh menubuhkan Parti Semangat 46 bersama dengan Dato' Seri Utama Rais Yatim. Maksud "Semangat 46" ialah, meneruskan semangat penubuhan UMNO yang ada pada tahun 1946. Manakala Datuk Seri Dr Mahathir menubuhkan UMNO Baru ketika itu, untuk menggantikan UMNO yang diharamkan sebelum itu. Semangat 46 kemudian menubuhkan sebuah parti campuran dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bernama Angkatan Perpaduan Ummah untuk bertanding dengan UMNO-BN.

Presiden PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor (Almarhum) memanfaatkan kesempatan ini dengan mewujudkan kerjasama politik dengan S46 yang membolehkan PAS berkuasa semula di Kelantan. Ketua Dewan Ulamak PAS (kemudian Mursyidul Am PAS), Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat diberikan kepercayaan untuk memimpin kerajaan Kelantan semenjak 1990.

Untuk kupasan ringkas berkenaan biodata Ustaz Fadzil Noor, boleh rujuk pautan ini: Ustaz Fadzil Noor: Murabbi Dalam Kenangan.

Parti Semangat 46 juga bekerjasama dengan PAS, BERJASA, HAMIM, dan KIMMA untuk menubuhkan Angkatan Perpaduan Ummah demi bertanding dalam Pilihanraya Umum Malaysia 1990 dan Pilihanraya Umum Malaysia 1995.

Namun, mereka cuma mampu memenangi kuasa pemerintahan negeri Kelantan di bawah pimpinan PAS di sana, pada tahun 1990. Pada masa yang sama, S46 juga bekerjasama dengan DAP, PBS, dan PRM untuk menubuhkan Gagasan Rakyat demi bertanding dalam Pilihanraya Umum 1990.

Walaupun menjadi peneraju kepada kedua-dua pakatan tersebut, namun pencapaian Parti Semangat 46 tidaklah memberangsangkan. Sebaliknya, PAS telah menguasai Kelantan melalui muafakat di dalam APU manakala PBS telah menawan Sabah melalui muafakat di dalam Gagasan Rakyat.

Manakala DAP telah mendapat kerusi Dewan Rakyat paling banyak berbanding rakan-rakan parti pembangkang yang lain sekaligus Lim Kit Siang diangkat menjadi Ketua Pembangkang.

Malang seribu kali malang apabila satu-persatu ahli Semangat 46 melompat kembali kepada UMNO. Akhirnya pada tahun 1996, Semangat 46 dibubarkan apabila Ku Li sendiri mengumumkan penyertaannya ke dalam UMNO.

Semangat 46 sebenarnya berpeluang besar untuk menewaskan Barisan Nasional khususnya UMNO dalam Pilihanraya Umum 1990. Namun isu 'Tengkolok Kristian' gagal di'counter' di saat-saat akhir memandangkan penguasaan media hanya didominasi oleh UMNO-Barisan Nasional (UBN).

Selain itu, yang lebih utama adalah pengundi di kawasan Pantai Barat Semenanjung khususnya Melayu masih gagal melihat Parti Semangat 46 sebagai sebuah parti berasaskan Melayu. Oleh kerana pengundi Melayu adalah pengundi terbesar di Malaysia, undi mereka tetap condong kepada UMNO atau PAS sahaja.

Hasilnya, UMNO kekal dominan di Pantai Barat dan PAS pula berjaya menawan Kelantan di kawasan Pantai Timur. Semangat 46 pula hanya 'menang tersorak namun kampung tergadai'.

Setelah menyedari sentimen kemelayuan yang masih kuat di kalangan pengundi, akhirnya pada tahun 1994, Parti semangat 46 telah dijenamakan semula sebagai Parti Melayu Semangat 46. Namun, segala-galanya telah terlambat. Dua tahun selepas itu, Parti Melayu Semangat 46 akhirnya tersungkur menyembah bumi dan berkubur tanpa nesan.

Pada 1996, PAS mula berkrisis dengan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) yang menyebabkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dibentuk pada 1989 berpecah.

Selepas Semangat 46 dibubarkan pada bulan Mei 1996, Tengku Razaleigh Hamzah, Dato' Seri Utama Rais Yatim, Datuk Paduka Ibrahim Ali dan Dato' Radzi Sheikh Ahmad menyertai UMNO Baru. Oleh sebab itu, Mahathir Mohamed menyeru PAS supaya mengikut jejak S46 dan menyertai UMNO demi menyatukan semula bangsa Melayu di bawah satu parti.

______________________________________________________



* Nota kaki :: Dalam satu temubual dengan media tidak berapa lama dahulu, Ku Li mendakwa bahawa Semangat 46 sebenarnya dicadangkan penubuhannya oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman, Bapa Kemerdekaan. Beliau mendakwa bahawasanya Tunku meminta beliau menubuhkan parti tersebut dan membubarkannya apabila UMNO-BN sudah kembali kepada perjuangan asalnya. Sama ada ianya benar ataupun tidak, hakikatnya, parti tersebut telahpun berkubur dan ramai pemimpin dan ahlinya telah pulang ke pangkuan UMNO-BN.

Rabu, Januari 19, 2011

Interlok: Air mata SN Pak Lah.


Biodata SN Abdullah Hussain
Datuk Abdullah Hussain (lahir 25 Mac 1920) ialah seorang penulis yang hebat. Beliau menerima Anugerah Sasterawan Negara pada tahun 1996 yang menjadikan beliau Sasterawan Negara kelapan. Beliau dilahirkan di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah Darul Aman, Malaysia. Abdullah terkenal memiliki banyak pengalaman dan menguasai beberapa bahasa asing.

Novel-novelnya iaitu Terjebak, Peristiwa dan Aku Tidak Minta merupakan rakaman pengalaman-pengalaman berunsur seram, tragis, dan lucu sewaktu Abdullah di Indonesia dan di Thailand. Ketiga-tiga novel tersebut, di samping Rantau Selamat dan Interlok adalah sumbangannya yang bermakna dalam bidang penulisan novel sehingga kini. Sementara bukunya yang menyangkut bidang bahasa iaitu Kamus Istimewa Peribahasa Melayu dianggap sebagai salah satu kamus peribahasa yang terbaik setakat ini.

Usaha gigih Abdullah menterjemah beberapa buah karya sastera dunia dapat kita hayati melalui novel Angin Timur Angin Barat dan Bumi Bertuah (Pearl S. Buck), Muatiara (Steinbeck), Orang Tua dengan laut (Hemingway) dan Lorong Midaq oleh Naguib Mahfouz. Dalam bidang biografi, Abdullah telah menghasilkan biografi tentang P. Ramlee dan Za’ba, masing-masing adalah seniman dan ahli bahasa Melayu yang terulung. Abdullah juga menulis biografi Tun Datu Haji Mustapha, pemimpin politik dari Sabah dan seterusnya ialah biografi tentang tokoh sastera, Harun Aminurrashid.

Sebagai penulis yang kaya dengan pengalaman, Abdullah Hussain telah berjaya merakamkan pengalaman beliau yang pelbagai dan menarik itu ke dalam cerpen dan novel-novel karya beliau. Hasil kesungguhan dan kegigihan beliau berkarya, maka novel terbaru beliau iaitu Imam telah terpilih memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1994/95, dan sebelum itu novel yang sama telah berjaya menggondol hadiah “Hadiah Novel Nasional” (mengingati Pak Sako), 1992/94, yang dianjurkan bersama oleh Syarikat Utusan Melayu dan Public Bank Berhad. Dan puncak dari segala-galanya itu ialah, apabila Abdullah Hussain dinobatkan sebagai Sasterawan Negara yang kelapan dalam tahun 1996. Sebelum itu iaitu dalam tahun 1981, Abdullah Hussain telah terpilih menerima Anugerah S.E.A. Write Awards di Bangkok.

Selain mendapat pengiktirafan tertinggi dalam bidang penulisan kreatif, Abdullah Hussain juga telah dianugerahi Pingat Jawa Hukom Ngon Adat Lembaga Kebudayaan Aceh (LAKA) 1995, dan bersempena hari ulang tahun keputeraan Sultan Kedah, beliau telah dianugerahi Darjah Kebesaran Dato’ Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran “Dato” dalam tahun 1995.



Novel Interlok
Interlok berasal dari perkataan Inggeris 'interlock' bermaksud memancarkan atau bertaut rapat. Justeru, Interlok membawa bersamanya gagasan 'jalinan ke arah keharmonian dalam masyarakat' yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memaparkan tema mengenai integrasi tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India seawal tahun 1900-an sehingga Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957. Karya hebat ini digarap sedemikian indah bagi menggambarkan perpaduan dan keharmonian kaum yang seharusnya kita selami dan hayati. Karya ini sewajarnya dihayati, khususnya saat perpaduan dan keharmonian rakyat dalam negara kita dilihat semakin hari semakin lusuh dan longgar.

Dibahagikan kepada empat bab, bahagian pertama bercerita daripada sudut pandang Seman dan keluarganya di kampung. Bab kedua tentang Chin Huat sekeluarga yang baru datang dari China. Dan, bab ketiga tentang kehidupan Maniam di estet, sebelum dirangkum semuanya dalam bab terakhir. Lokasi pertemuan 3 watak utamanya ialah di Pekan Simpang Empat, Kedah. Ia mengisahkan bagaimana kaum Cina dan India dibawa oleh Inggeris sebagai pekerja lombong dan estet pada zaman sebelum merdeka.

Tuntasnya, Interlok dikarang dengan pemikiran indah yang menyubur benih-benih akal budi di kalangan hati rakyat Malaysia. SN Datuk Abdullah Hussain telah terlebih dahulu menjangkaui konsep 1Malaysia. Jika benar karya ini dianggap bersifat perkauman dan menyentuh sensitiviti agama, kenapa tiada bantahan sepanjang 40 tahun novel -- yang memenangi hadiah sagu hati Sayembara Menulis Novel sempena 10 tahun merdeka ini -- berada dalam pasaran?







Novel "Interlok": SN Abdullah Hussain Tidak Menghina Sesiapa

[Pendapat yang diberikan oleh Prof Dr. Awang Saryan kepada BERNAMA apabila beliau diminta mengulas isu novel "Interlok" yang didakwa menghina kaum tertentu; terbit dalam Malaysiakini, portal BERNAMA dan Utusan Malaysia 11 Januari 2011]


Setakat yang saya ketahui, SN Abdullah Hussain ialah penulis yang menghasilkan karya berdasarkan fakta dan realiti sosial pada zaman-zaman yang dilalui dan disaksikannya sendiri. Novel Interlok merupakan gambaran realiti sosial pada zaman berkenaan, dan pengisahan yang melibatkan penghijrahan kaum pekerja dari luar, termasuk orang dari India, memang terakam dalam karya-karya ilmiah. Kewujudan kasta yang dimaksudkan itu bukan suatu bentuk penghinaan, malah merupakan realiti di negara India dan memang golongan daripada kasta itulah yang dibawa oleh penjajah Inggeris untuk manipulasi ekonomi mereka.

Amat mustahil mengharapkan SN Abdulah Hussein membohongi sejarah dengan mengatakan bahawa dalam kapal itu bersesak-sesak golongan Brahmin atau golongan Ksyatria dibawa oleh Inggeris untuk menjadi buruh kereta api atau buruh di ladang getah, kerana golongan berkenaan tidak mungkin dibawa oleh penjajah Inggeris untuk menjadi buruh. Konteks yang menggambarkan suasana dalam kapal itu pula menunjukkan nilai murni golongan tersebut yang memiliki perasaan dan kesediaan hidup bersama tanpa berasa bimbang oleh sebab berlainan taraf atau kasta.

Semua pihak perlu membuat renungan yang rasional dan ilmiah dalam membuat sesuatu rumusan dan perlu menghayati teks sastera dalam konteks wacana sosiobudaya dan sejarah, bukan berdasarkan sentimen sempit yang tidak ilmiah, apatah lagi jika berkaitan dengan perhitungan politik sempit pula
.



"Kembara Bahasa"
Prof Dr. Awang Sariyan (lahir 20 Oktober 1953) adalah seorang ahli bahasa Melayu yang terkenal dan yang telah banyak menulis rencana bimbingan bahasa Melayu untuk pelajar, serta mebuat puluhan buku panduan bahasa, buku ilmiah, buku umum, dan kamus. Dalam seminar bahasanya, beliau sering membentangkan kertas kerja dan hasil penyelidikannya.

Mendukung perjuangan dan amanah mengisi erti "Bahasa Sendi Tamadun Bangsa".

Sejak awal 2008, beliau dilantik oleh Kerajaan Malaysia sebagai Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China, berpangkalan di Beijing Foreign Studies University; sebelumnya Pengarah Jabatan Bahasa DBP, Profesor di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM dan Profesor di Akademi Pengajian Melayu UM; Profesor Tamu di Pusat Pengajian Asia Tenggara, Universiti Frankfurt, Jerman dan di Program Linguistik Pascasiswazah Universiti Sumatera Utara serta Perunding Seberang Laut Kementerian Pendidikan Singapura; Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (2000-2008) dan anggota Kumpulan Perihatin; pernah bergerak cergas dalam Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM); penyampai ucap utama, syarahan, kertas dasar dan kertas kerja di dalam dan di luar negara; penatar kurus bahasa dan penulisan profesional; penulis lebih 50 judul buku bahasa dan pendidikan serta kamus; Profesor Adjung UPSI. Kertas ucap utama, syarahan, kertas dasar dan kertas kerjanya meliputi lebih 200 judul dalam seminar di dalam dan di luar negara.

Beliau memiliki akaun FB nya dengan nama 'Kembara Bahasa' dan blognya http://kembarabahasa.blogspot.com/.



** Nota Kaki :: Menurut seorang sahabat Fb saya, Tuan Zaidi Ismail (Editor majalah Dewan Bahasa), beliau mendengar Tn. Haji Jajuli menyatakan cerita sebenar sewaktu beliau ke rumah SN Abdullah Hussain. "Sewaktu saya ke rumah SN, beliau menyatakan beliau tidak menangis. "Aksi" menangis yang dipaparkan dalam Utusan hanyalah aksi yang diminta oleh wartawan. Wartawan meminta beliau menggayakan aksi mengesat air mata. Pejuang tidak menangis."

Hah!

Salam. :)

Ahad, Januari 09, 2011

Ted Williams: Gelandangan bersuara emas.



Jika sebelum ini kita dikejutkan dengan kehadiran dua penyanyi yang popular dek penangan YouTube -- Justin Bieber dan Susan Boyle -- kini seorang lagi insan turut terkena tempiasnya. Video Ted Williams, 53 tahun -- berasal dari Brooklyn, New York -- di YouTube telah ditonton oleh lebih 10 juta orang sejak 3 Januari lalu. Video tersebut telah mengubah kehidupan beliau secara drastik.





Williams adalah seorang juruhebah dan penyampai radio pada tahun 1980-an sebelum hidupnya dihancurkan oleh penyalahgunaan dadah (ganja dan kokain) dan alkohol. Menurut Williams, hidupnya menuju kehancuran mulai tahun 1996 ketika dia mula banyak minum minuman keras.

Sejak itu, beliau hidup di tempat-tempat pengemis dan di jalan meskipun anak-anaknya -- tujuh perempuan dan dua lelaki -- yang tinggal di kawasan Columbus, berusaha membantunya. Beliau juga berulang kali masuk penjara karena terlibat dengan kes curi dan pemalsuan.




Baritone: Ini bukan Bonggooo.
Kelebihan Ted Williams ialah beliau memiliki suara bariton iaitu suara yang mempunyai range yang lebih tinggi daripada bass dan lebih rendah berbanding tenor. Beliau memiliki suara yang dalam dan tegas yang amat enak didengar ketika ia berbicara dengan intonasi pembawa berita. Maka, tidak hairanlah beliau mendapat jolokan 'The Golden Radio Voice'. Perkataan Bariton (baritone atau barytone) ini berasal daripada istilah Greek βαρυτονος, yang bermaksud "suara yang dalam". Muzik untuk suara ini biasanya ditulis dalam lingkungan A kedua di bawah C tengah hingga ke F di atas C tengah (A2-F4), namun bergantung kepada sesetengah keadaan, nota itu boleh dilanjutkan hingga ke akhir.




Takdir.
Akhirnya, hidup beliau berubah selepas videonya disebarkan di laman Twitter oleh seorang jurugambar akhbar Columbus Dispatch. Dalam sekelip mata, beliau menjadi bintang internet. Jutaan orang ingin mendengar suaranya dan bersimpati terhadap kisah hidupnya. "Saya tidak pernah membayangkan bahawa semua ini tiba-tiba akan menjadi sebahagian daripada hidup saya," katanya. Williams telah dihubungi oleh pasukan Cleveland Cavaliers yang menawarkan kontrak dua tahun, antara lain menjadi pengacara dan juruhebah di Arena Quicken Loans, kompleks sukan pasukan itu di Columbus.

Beliau mendapat kesempatan kedua dengan banyak bantuan dari internet. Begitulah takdir. Sejelasnya, hidup ini memang ibarat roda. Terkadang di atas, di bawah, di atas semula. Ada terselindung hikmah dari setiap apa yang terjadi. Justeru, jangan cepat menuding jari dan menafikan kerja-kerja ALLAH SWT. Redha, syukur, dan berikhtiarlah!



Salam. :)

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...