Jumaat, Mei 23, 2014

Nostalgia Liga Malaysia: Shahril Arsat.

Nostalgia Liga Malaysia: Shahril Arsat.
Shahril Arsat merupakan anggota skuad ‘treble’ Piala Malaysia 1995, 1996 dan 1997 Selangor, selain merupakan Pemain Terbaik Final Piala Malaysia 2002 sewaktu bersama Sabah FA. Juga pernah menabur jasa bersama skuad MPPJ FC dan pasukan kebangsaan. Kini, beliau aktif bermain dalam siri perlawanan amal persahabatan bersama pasukan Ex-Selangor.
Shahril Arsat dilahirkan di Jasin, Melaka pada 7hb Ogos 1972, dan telah ditakdirkan untuk bertemu jodoh dengan dramatis, Noraini Morat pada 10hb Mac 2000. Mereka diijabkabulkan di Wangsa Maju dan dikurniakan tiga orang cahaya mata. Dilahirkan pada tanggal 19hb September 1978, Noraini yang lebih dikenali sebagai ‘Anie Morat’, berasal dari Sungai Rotan, Kedah dan pernah membintangi beberapa buah drama dan filem. 
Antara filem lakonan Anie Morat ialah ‘Merah’ arahan Datuk M. Nasir (1996); ‘Anaknya Sazali’ arahan Jack Ad’Din (2000); dan ‘Burung Besi’ arahan Bade Hj Azmi (1999). Antara drama yang pernah menyaksikan kelibat Ani Morat pula ialah ‘Ertinya Sebuah Kepulangan’. Beliau juga merupakan adik kepada penyanyi Ina (Freshies). Beliau banyak menghiasi majalah fesyen tempatan dan iklan-iklan TV sebelum menimba pengalaman berlakon drama dan filem.
Salah-seorang anak Shahril, Khayrin Qistina, telah disahkan menghidap penyakit jantung berlubang. Penyakit ini sudah dikesan sejak lahir tetapi doktor menyatakan bahawa pembedahan hanya boleh dilakukan apabila Qistina semakin membesar. Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), para bekas pemain Selangor serta orang ramai begitu tersentuh apabila mengetahui perkara berkenaan; dan menyumbang mengikut cara dan kemampuan masing-masing.

Pengalaman Shahril Arsat dalam sukan bola sepak ialah bermula mewakili daerah seawal umur 14 tahun, dan mewakili negeri pada umur 18 tahun dalam peringkat SUKMA dan seterusnya nasional. Beliau terlibat dengan aktif, mewakili sekolahnya dalam pelbagai acara sukan seperti sepak takraw. Shahril telah mula menyertai pasukan bola sepak Bawah-15 Sekolah menengah Kebangsaan Taman Ehsan dan menunjukkan bakatnya di dalam sukan tersebut. Beliau juga pernah membuat persembahan sempena Pertandingan Silat Sedunia yang ke-4 yang diadakan di Stadium Negara pada tahun 1987.

Beraksi di bahagian tengah, nama Shahril -- yang mempunyai ketinggian 164sm – mula meniti di bibir para peminat Merah Kuning apabila menganggotai skuad bintang Selangor. Bersama skuad The Red Giants, Shahril berjaya menggondol trofi Piala Malaysia sebanyak 3 kali iaitu pada tahun-tahun 1995, 1996 dan 1997. Selangor di bawah kendalian Datuk Aini Taib, dianggap sebagai era emas bola sepak negeri tersebut. Walaubagaimanapun, Shahril Arsat menjadi pemain kesembilan skuad Selangor musim 1998 yang digugurkan bagi menghadapi kempen musim 1999.

Lapan pemain lain ialah empat senior termasuk penyerang utama, Azman Adnan, Asmawi Bakiri, K. Gunalan dan penjaga gol, Azlisham Ibrahim. Empat pemain muda yang menerima nasib sama ialah Hairil Zamri Rashid, V. Yogeswaran, Amali Amir dan Mohd. Gaddafi Mohd. Karim. Pulau Pinang FA menduduki tempat kedua liga pada tahun 1999 dan 2000.

Pada tahun 2002, Shahril mewakili Sabah FA, tatkala Azman Adnan kembali mewakili Selangor FA yang kemudiannya berjaya menjuarai Piala Malaysia buat pasukan tersebut untuk kali ke-31. Gol kemenangan dalam perlawanan akhir penuh dramatik tersebut dijaringkan oleh Amri Yahya, pemain muda yang kemudiannya menjadi pemain Selangor yang sangat berpengaruh untuk skuad Selangor pada hari ini. Amri menjaringkan gol selepas gerakan cantik Jaafar Salleh dikuis pemain import, Mass Sarr Jr. dan melantun kepada Amri. Shahril pula dinobat selaku Pemain  Terbaik Perlawanan Akhir 2002.

Shahril kemudiannya mewakili MPPJ FC, yang mendapat markah merit untuk memasuki Liga Super selepas berjaya memenangi Piala Malaysia 2003. Kejayaan menjulang Piala Malaysia tersebut diteruskan dengan Trofi Piala Sumbangsih (2004); Juara Liga Perdana Malaysia (2004); dan Juara Piala Sultan Selangor (2004). Kelab MPPJ FC muncul juara bersama Piala Sultan Selangor selepas terikat 2-2 dengan Pilihan Singapura. Deduksinya, kejayaan skuad MPPJ 2003 dan 2004 adalah manifestasi dasar pengurusan yang bagus dan telus, yang berjaya membawa hasil yang lumayan. Antara kejayaan yang dicapai oleh kelab ini ialah Juara Piala Malaysia (2003); Juara Liga Perdana Malaysia (2004); Juara Piala Sultan Selangor (2004); dan Juara Piala Sumbangsih (2004). Sejarah yang dicatat pada 2003 pasti tidak akan dapat dilupakan oleh peminat tegar bola sepak Malaysia. 

Pada tahun 2006, Jalil Ramli kembali selaku Ketua Jurulatih Sarawak ketika skuad Ngap Sayot membuat perubahan besar-besaran kepada pasukan tersebut. Hanya lima pemain – Bobby Pian; Gilbert Cassidy Gawing; Ramos Sari; Fadly Kassim dan Kamarulzaman Hassan, kekal bersama skuad tersebut. Shahrin Majid yang asalnya mewakili MK Land dan Shahril Arsat yang sebelum itu mewakili MPPJ FC, hadir bagi memperkuatkan skuad Bujang Senang. Shahrin dan Shahril, keuda-duanya bekas bintang Selangor yang pernah berkhidmat untuk Sabah FA.

Shahril kali terakhir mewakili KL PLUS dalam Liga Malaysia musim 2007-2008. Sesungguhnya, Shahril Arsat, adalah antara nama bintang The Red Giants era 90an yang paling dikenang. Selain Selangor FA, beliau pernah beraksi untuk beberapa pasukan seperti Pulau Pinang FA, MPPJ FC dan Sarawak FA. Terima kasih Shahril, di atas segala sumbangan dan jasa kepada bola sepak Malaysia. Bersama memartabatkan jersi serta liga tempatan kita. Padu.
-------------------------------------------------------
Sumber:
  1. Majalah Arena Bola Sepak;
  2. Majalah GOL;
  3. Majalah Football;
  4. Akhbar Kosmo;
  5. Akhbar Utusan Malaysia;
  6. Akhbar Berita Harian.

2 ulasan:

  1. Balasan
    1. Abg Shahril Arsat memang berjasa besar kepada Selangor FA, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan MPPJ.

      Sempoi, dan tidak sombong dengan peminat. :)

      Padam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...