Selasa, Mei 27, 2014

Stadium Shah Alam ‘Hidup’ Semula dan Cerita Malaysia Tidak Menang Piala Thomas 2014.

Stadium Shah Alam ‘Hidup’ Semula dan Cerita Malaysia Tidak Menang Piala Thomas 2014.
I
Segalanya bermula dengan – apa yang dinyatakan sebagai - komen bekas pemain Selangor FA yang berjasa selama 13 tahun, Amri Yahyah atau ‘Wak Am’. Di dalam sebuah majalah dan beberapa laporan akhbar, Wak Am dikatakan mengkagumi kemeriahan penonton yang memenuhi stadium setiap kali perlawanan membabitkan Johor Darul Takzim FC (JDT FC). Beliau juga didakwa mengatakan bahawa ‘tidak sabar untuk membenam pasukan lamanya’.
Komen-komen ini – bersama sentimen yang ditiup oleh sesetengah pihak – seolah-olah mencurah minyak kepada api yang hangat membara, lanjutan daripada ‘tarian’ Wak Am ketika jaringan gol JDT di Larkin beberapa ketika yang lepas. Meskipun Wak Am meminta maaf daripada para penyokong Selangor di Larkin ketika itu, arus yang menentang keberadaan Wak Am dalam kem JDT dilihat semakin deras.


B.O.S, ketika tahun 2012. Mereka adalah 
penyokong setia Johor, tatkala tidak ramai 
yang hadir ke Larkin ketika itu.
2013: B.O.S., bersama lautan 
penyokong JDT FC.
Skuad Johor FA era 90an. Antara kejayaan
besar ialah menjuarai Piala Malaysia
1991 dan Piala FA 1998.

Logo Johor FA.
Logo Johor FC.


1996: Skuad Telekom Melaka FC, meraikan
kejayaan menjuarai Liga FAM, menewaskan juara 1995,
Johor FC. Turut kelihatan, Hamsani Ahmad, yang masih
beraksi untuk musim 2013, kali ini bersama
Negeri Sembilan FA.

1996: Wakil FAM, Datuk Bakar Daud,
bersalaman dengan para pemain 

Johor FC.



Skuad Johor FC 2010 turut menerima tajaan 
JKiNG. Antara pemain handalan skuad ini ialah 
Tengku Hazman Raja Hassan, Awe 
(Nurul Azwan Roya) dan 
Eddy Helmi Manan.
1997: Detik bersejarah; gol emas dijaringkan oleh
Masayuki Okano, Jepun layak buat kali
pertama ke Piala Dunia.

1997: Papan elektronik di Stadium Larkin
menunjukkan kedudukan akhir Jepun-Iran.

Pemain naturalisasi Jepun, Wagner Lopes meraikan
kejayaan Jepun bersama penyokong
Jepun di Stadium Larkin.

Para penyokong setia Jepun datang
sejauh Fukuoka untuk ke Stadium Larkin.

1997: Skuad Jepun di Stadium Larkin, sebelum
sepak mula. Penuh bersemangat dan yakin.
II
Sejujurnya, saya tidak begitu mengambil pusing kenyataan ini atas beberapa faktor. Pertama, mungkin saja kenyataan Wak Am itu berniat baik, tetapi bila ditulis, ia disalahtafsir oleh pembaca sebagai berniat menghina dan mencabar penyokong Selangor. Kedua, selama kurang-lebih 13 tahun Wak Am menabur bakti bersama The Red Giants, sudah acap kali beliau menyeru agar penyokong Selangor memenuhi stadium.
Malangnya, kehadiran penyokong dan peminat Selangor ke stadium, khususnya selepas era 2006, adalah agak mengecewakan, kecuali ketika beberapa perlawanan besar. Apa yang dinyatakan oleh Wak Am, jika betul seperti yang dilaporkan, sebenarnya adalah perkara yang betul. Cuma, mungkin saja interpretasi serta persepsi para pembaca yang menjadikan ia sebagai tiupan sentimen yang memanaskan keadaan.
Ketiga, Wak Am kini berkhidmat untuk JDT FC, majikan barunya. Setelah beberapa kali mendapat beberapa tawaran daripada pasukan-pasukan yang menginginkan khidmatnya, Wak Am akhirnya memilih JDT, selepas bersama pasukan Merah Kuning sejak tahun 2001. Meskipun penghijrahan Wak Am sangat mengesankan saya dan penyokong yang lain – atas dasar sayangnya kita terhadap Wak Am selaku pemain yang berpengaruh; saya percaya, pemergian beliau adalah bersebab. Cuma, sebab itu mungkin kurang boleh diterima oleh segelintir penyokong The Red Giants.
Apalah kiranya beliau mencari angin baharu, dalam keadaan kudratnya selaku pemain profesional akan berakhir beberapa tahun saja lagi. Wak Am akan kekal sebagai legenda yang saya hormati, selepas Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari (SuperMokh) dan Azman Adnan (Man Turn).

III
Sementelah, saya fikir, molek juga sekiranya artikel atau temubual tersebut diseimbangkan dengan fakta atau info berkenaan kehadiran penonton di Larkin ketika era Johor FA beraksi sebelum 2013. Itu lebih baik dan seimbang.
Sebagai seorang peminat kelab Johor FC dari era PKENJ FC (1990an), sudah tentu saya merasa sedih apabila kelab tersebut digantikan dengan JDT FC. Namun, ia tidak sedikitpun menghalang saya untuk menyuarakan rasa hormat kepada penyokong JDT FC yang bersorak dengan penuh ikatan dan bersemangat sepanjang kempen Liga Super dan Piala FA tahun 2013-2014 ini.
Inilah namanya hasil penjenamaan semula serta tranformasi nan berkesan. Di Felda-Felda pun, ramai penjual yang membuka gerai menjual jersi-jersi liga tempatan, bukan sahaja jersi JDT, yang pasti dicari oleh segenap lapisan rakyat Johor. Di merata ceruk di dalam dan luar negara, kebanyakan rakyat Johor berbangga dan tidak segan lagi untuk menyarungkan jersi kelab yang mewakili negeri mereka itu.

IV
Kenyataan Wak Am yang disiarkan majalah dan akhbar tersebut, akhirnya membawa sesuatu yang positif kepada Stadium Shah Alam, gelanggang keramat Selangor yang pastinya sukar untuk dilimpahi dengan jumlah 80,000 orang untuk sebuah perlawanan liga. Tanggal 24hb Mei 2014, seperti suasana final untuk merebut piala, setelah sekian lama, Stadium Shah Alam ‘hidup’ semula. Stadium Shah Alam ‘hidup’ semula.
Penyokong Selangor membuktikan bahawa mereka masih sayangkan pasukan negeri mereka, dan tidak mustahil stadium tersebut dibanjiri anak Selangor, dari setiap ceruk negeri: utara, selatan, timur dan barat; hadir memberikan sokongan padu kepada anak buah Mehmet Durakovic.
Pada akhirannya, setiap insan melakukan kesilapan; tiada kesempurnaan melainkan kesempurnaan TUHAN. Sikap segelintir penonton yang dengan sengaja membaling botol dan plastik sampah ke arah Wak Am dilihat tidak profesional serta tidak berhikmah. Fahamilah resam serta adat dalam bersukan, sebelum bertindak di luar batas kesusilaan. 

V
Sikap tidak mudah berputus asa pemain import dari Argentina, Luciano Figueroa akhirnya membuahkan hasil apabila gandingannya di barisan hadapan bersama Pereyra Diaz berjaya menghasilkan satu gol yang cukup bermakna. Beliau juga bagai menghadiahkan kemenangan tersebut kepada peminat serta penyokong pasukan Harimau Selatan apabila terus ke arah penonton sejurus menjaringkan gol tersebut.
Ternyata kehadiran ramai penyokong pasukan JDT amat membantu moral pasukan apabila terpaksa berhadapan dengan puluhan ribu penyokong pasukan lawan yang turut mengharapkan kemenangan berpihak kepada pasukan mereka. Tahniah diucapkan kepada semua termasuk penyokong dari selatan yang hadir memberikan sokongan padu buat pasukan.

VI
Menarik untuk dinyatakan di sini bahawa ketika Wak Am dihujani dengan balingan botol dan sampah, orang pertama yang berlari ke arah beliau ialah Coach Mohd Rosedy Mohd Nadzir (Coach Ody). Beliau dikatakan antara individu terawal yang mula-mula mencungkil bakat Amri. Beliau dikatakan ibarat bapa kepada Wak Am ketika di kem Selangor. Hampir 16 tahun beliau mengenali siapa Amri.
Manusia hidup dengan tertib akhlak dan kejituan adab, dan bukan sebaliknya. Usahlah diperbesarkan hal yang kecil. Sudah-sudahlah menyemai kebencian terhadap Wak Am. Ketepikan segala usaha ‘perang saraf’ dan permainan psikologi-minda pihak lawan. Fokus saja kepada memberikan sokongan padu kepada pasukan sendiri.   
Semoga penyokong Selangor dapat memaafkan Amri. Kita seharusnya lebih profesional sebagai penyokong; walau ada kelakuan Amri yang mungkin mengguris hati kita. Marilah kita sama-sama menunjukkan disiplin tinggi semasa menyokong. Kita buktikan bahawa kita adalah penyokong terbaik. Sokong; waktu gagah dan rebah. Bersama memartabatkan jersi serta liga tempatan kita. Viva Selangor. Padu.

VII
Menyentuh berkenaan kemudahan surau dan tandas di Stadium Shah Alam: meskipun SSA sudah agak lama tidak digunakan memandangkan terdapat kerja pengubahsuaian dan penambahbaikan dilakukan, masih terdapat kekurangan yang signifikan iaitu soal keselesaan jemaah yang ingin bersolat di Surau SSA. Hal yang demikian, adalah sangat diharapkan agar pihak pengurusan stadium dapat memperbaiki serta memperbesarkan surau tersebut memandangkan keluasannya yang agak kecil sehingga menyebabkan para penyokong terpaksa menunaikan solat di luar surau, selain tiada kemudahan tempat solat untuk kaum wanita.
Masalah keselesaan untuk mengambil wudhu’ juga berlaku, di mana tekanan air yang keluar agak rendah, sehingga menyebabkan ramai yang terpaksa menunggu lama. Terdapat juga banyak rungutan berkenaan tempat duduk penonton yang agak kotor, yang mana menimbulkan kesangsian berkenaan tahap kesucian atau kebersihan untuk bersolat; khususnya apabila terkena pada seluar.
Apa yang diminta oleh para penyokong bukanlah penyaman udara atau permaidani mewah, sebaliknya, sekadar surau dan tandas yang bersih dan selesa, serta air yang cukup untuk menunaikan kewajipan sebagai seorang Muslim. Justeru itu, ramai yang memohon tandas yang ada diperbaiki, diselenggara, dan dibersihkan dengan baik. Dan diberi bekalan air utk kami menyucikan diri. Para penyokong juga mesti menyemai sikap bertanggungjawab dalam memastikan tidak membuat bising ketika ada pihak yang bersolat, selain tidak membuang sampah merata-rata.

VII
Dengan doa seluruh rakyat Malaysia, doa isteri-isteri Razif dan Jalani yang sedang mendodoikan anak-anak mereka; sejarah akan tercipta di final Piala Thomas ini!”…. 
Ohhhh… pukulan ‘cross court’! Bulu tangkis meniti di jaring lalu meleleh-leleh jatuh ke gelanggang pihak lawan!” 
– Datuk Haji Hasbullah Awang, Piala Thomas 1992.
Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia gagal dalam penantian 22 tahun untuk sekali lagi menjuarai Piala Thomas, apabila tewas kepada Jepun 3-2 di peringkat akhir kejohanan itu di Stadium Tertutup Siri Fort, New Delhi, India malam ini. Saingan menjadi mendebarkan ketika penentuan juara terletak kepada pemain perseorangan ketiga, kedua-dua negara, Liew Daren dan Takuma Ueda. Harapan Malaysia dilihat pudar apabila kesilapan demi kesilapan dilakukan oleh ketua pasukan negara itu sehingga gagal untuk menyekat kemaraan Ueda, setelah memberikan saingan sengit dalam set kedua dan set penentuan.
Walaupun persembahan Daren kurang memuaskan, semangat juang yang ditunjukkannya dalam perlawanan terakhir itu cukup hebat. Kekalahan itu sekaligus membenarkan Jepun muncul buat pertama kali menjuarai Piala Thomas. Sebaliknya ia melebarkan penantian 22 tahun Malaysia selepas kali terakhir negara menjuarai Piala Thomas iaitu pada 1992.

VIII
Kita harap banyak yang kita boleh belajar daripada Jepun, berkenaan kemampuan mereka membangunkan atlet bertaraf dunia dalam sukan seperti sepak takraw dan badminton. Kajian dan pembangunan yang teliti, bersama dasar pemerintah yang betul, serta perlaksanaan yang cemerlang. Saya fikir, Jepun ada contoh pembangunan sukan yang baik, diselarikan dengan perlaksanaan dasar kerajaan yang baik serta penajaan yang banyak daripada pihak swasta.
Pembangunan atlet muda dan pelapis harus digiatkan lagi. Sampai bila kita mahu harapkan kepada kumpulan pemain yang ada. Semuanya akan tiba jua pada usia persaraan. Atlet sudah cuba yang terbaik, tapi jika dasar dan kaedah perlaksanaan kita masih sama, semakin jauhlah perjalanan kita. Chong Wei, Nicol David, Azizulhasni, Sazali Samad: sampai bila nama-nama wira Negara ini akan kekal berada pada tahap kompetitif dan mengekalkan pencapaian tertinggi mereka?
Ke mana hala tuju juara-juara badminton SUKMA dan jaguh remaja negara? Perhatikan Kenichi Tago, Chen Long, Whang Zhengming, Viktor Axelson, Du Pengyu, Kento Momota – sekadar menyebut beberapa nama - semua dari kejohanan remaja dunia dan kini mempunyai ranking yang baik. Tapi, di mana Zulfadli Zulkifli, Iskandar Zulkarnain, Ariff Latiff, dan Tan Chun Seang hari ini? Ranking mereka sungguh jauh. Sewaktu remaja, tahap permainan mereka sama sahaja, tetapi mula berubah bila mencapai tahap utama. Di mana silapnya?

IX
Dalam kebanyakan situasi, kita dilihat kurang bijak menghargai bakat dan kebolehupayaan orang kita: ‘terlepas pandang’ barangkali. Di Malaysia kita ni, semuanya ada ‘politiking’. Antara sebab sukan kita layu sebelum mekar kerana terlalu banyak silat dan kuntau dalam persatuan. Sampai bila-bila sekalipun kita akan terkial-kial mengapai emas pertama Olimpik; selagi meja rundingan dijadikan medan perang dan tempat kita saling tuding menuding.
Dalam pada itu, kejayaan Jepun memenangi Piala Thomas membuktikan semangat mereka bukan lagi boleh dipandang enteng. Menundukkan gergasi sukan badminton seperti China, Indonesia dan Malaysia menjadikan Negara Matahari Terbit itu sudah berada dalam senarai negara-negara pemenang Piala Thomas.
Selain ketua jurulatihnya, Park Joo Bong – bekas pemain kebangsaan Korea dan pernah melatih pasukan badminton Malaysia – ada seorang lagi yang memberi sumbangan melatih pasukan Jepun iaitu Izuan Ibrahim atau juga dikenali sebagai ‘Coach Awe’. Apa yang menarik, Izuan merupakan seorang rakyat Malaysia berusia 30 tahun dan pernah menjadi jurulatih Nusa Mahsuri di bawah kelolaan Datuk Misbun Sidek. Izuan dikatakan pernah melatih dan menggilap bakat Kento Momota dan beberapa pemain-pemain negara berkenaan. Meskipun ramai yang mempertikaikan kesetiaan beliau kepada Malaysia, beliau tegar menyatakan bahawa tugas beliau adalah atas dasar profesionalisme dan jiwa beliau masih tegar menyayangi tanah tumpah darahnya. Syabas, Coach Awe!
Semoga sukan kita bangkit semula, seiring dengan slogan yang kita degar-degarkan. Dasar Pandang Ke Timur telah digarap sejak tahun 1982 lagi. Visinya jelas, cuma kaedah perlaksanaan kabur. Jepun sendiri melakukan kajian terhadap Liga Semi-Pro kita. Tapi kini? Kita mampu doakan yang baik-baik sahajalah, untuk kesejahteraan negara kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...