Selangor Juara Piala Sumbangsih 2009
Seakan-akan mahu memberi amaran awal,
Selangor tampil penuh bergaya pada aksi pembuka musim Liga Malaysia (Liga-M)
2009. Buktinya, skuad Gergasi Merah itu berjaya merangkul Piala Sultan Ahmad
Shah apabila membelasah Kedah 4-1 pada perlawanan Sumbangsih 2009 di Stadium
Darul Aman, Alor Star.
Lebih mengejutkan, Kedah yang turut
selaku juara ‘treble’ bagi dua musim berturut-turut dilihat
bagai masih tercari-cari rentak sebenar apabila beraksi di gelanggang keramat
mereka itu. Sebaliknya, Selangor yang dibimbing jurulatih baru, K. Devan tampil
penuh bertenaga sepanjang perlawanan berlangsung.
Keghairahan 30,000 penyokong tuan rumah
untuk melihat Sang Kenari mencipta sejarah merangkul tujuh piala dalam masa dua
tahun musnah dalam masa 90 minit gara-gara aksi cemerlang skuad Gergasi Merah
yang dibimbing oleh K. Devan itu. Selangor tidak menunggu lama untuk
menghasilkan gol.
Untuk rekod, Selangor pernah ditabalkan
selaku juara Liga Premier pada musim 2005. Ketika itu, Selangor yang dibimbing
Dollah Salleh melakar sejarah tersendiri apabila meraih gelaran ‘treble’. Selain
muncul juara Liga Premier 2005, skuad Gergasi Merah itu turut menjulang Piala
Malaysia 2005 dan Piala FA 2005.
Pada saingan musim 2009, Selangor tampil
dengan wajah baru. Selangor yang cukup gah di pentas bola sepak tempatan
membuat perubahan drastik dalam barisannya apabila melantik Devan bagi
menggantikan Dollah. Bagi menguatkan jentera mereka musim ini, Selangor berjaya
mendapatkan khidmat empat bekas pemain Perak.
Mereka ialah dua penjaga gol, Hamsani
Ahmad, Nasril Nourdin, pemain tengah, Hardi Jaafar serta K. Nanthakumar.
Selangor turut berjaya ‘mengikat’ pertahanan kental, Khairul Anuar Baharom dari
Negeri Sembilan selain Rudie Ramli (Kuala Muda Naza), Sanjos Sundawat dan Fazli
Baharudin (PDRM). Ternyata percaturan baru Selangor musim 2009 ini menjadi.
Dengan adunan pemain asal seperti kapten
Amri Yahyah serta penyerang, Safee Sali, ditambah pula dengan kegarangan
beberapa pemain muda seperti Amirulhadi Yahya, Asraruddin Putra Omar, Razman
Roslan dan Nasriq Baharom, Selangor sememangnya sebuah pasukan yang harus
digeruni. Jika tidak, mana mungkin mereka mudah membelasah Kedah yang turun
dengan reputasi tinggi sepanjang 2007-2008.
Tahun 2009 boleh dikatakan tahun gemilang
buat Amri Yahyah apabila kali pertama dipilih sebagai kapten pasukan
menggantikan Shukor Adan yang berhijrah ke Negeri Sembilan. Amri tidak menunggu
lama untuk mencipta nama. Pada Januari 2009 atau lebih tepat lagi pada perlawanan
Piala Sumbangsih 2009, Amri hanya memerlukan empat minit untuk menjadi pemain
pertama menjaringkan gol pada musim 2009 melalui sepakan percuma.
Bagai menyimpan dendam kepada Kedah yang
mengecewakan Selangor dua kali dalam final Piala FA dan final Piala Malaysia
2008, Amri sekali lagi meledak gol kedua peribadi pada minit ke-35. Pada babak
kedua, tiada sebarang tanda bahawa Kedah akan bangkit memberi tentangan. Sebaliknya
mereka terus dihukum apabila kehilangan seorang pemain, Farizal Rozali yang
diperintah keluar padang selepas bertindak kasar ke atas penjaga gol Selangor,
Mohd. Nasril Nourdin.
Malam gemilang itu dilengkapkan dengan
dua lagi gol dari Zameer Zainun dan Safee Sali buat Selangor menang, 4-1 dan ia
adalah piala pertama dijulang Amri sebagai kapten pasukan. Gol sagu hati Kedah
hanya hadir pada minit ke-89 menerusi Khyril Muhymeen.
Amri turut memimpin Selangor menjuarai
Piala FA 2009. Selangor yang dihampakan Kedah pada final yang sama 2008 berazam
mengubat kekecewaan itu dengan membenam pendatang baru yang semakin mencabar
iaitu Kelantan. Masa penuh berakhir 0-0 dan masa tambahan tampak begitu memihak
kepada Kelantan apabila mendahului 1-0. Namun hantaran lambung D. Surendren
disambut dengan ‘flying header’ mencium tanah; buat Amri menyamakan kedudukan
10 minit sebelum tamat. Sepakan penalti jadi penentu, Selangor megah menewaskan
Kelantan 4-1.
Bulan Julai 2009 juga sangat bermakna
apabila Amri dan Selangor menjuarai Liga Super Malaysia buat kali pertama
setelah mengutip 63 mata dengan Amri menjaringkan 13 gol. Namun, kecemerlangan
itu disekat oleh Terengganu dalam saingan suku akhir Piala Malaysia apabila
mereka menidakkan hasrat Selangor ke separuh akhir dengan sepakan penalti pada
pusingan kedua di Kuala Terengganu.
-------------------------------------------------------
Sumber:
- Majalah Arena Bola Sepak;
- Akhbar Kosmo;
- Akhbar Utusan Malaysia;
- Akhbar Berita Harian;
- http://dzulhelmimohdrazali.wordpress.com/2014/01/21/amri-yahyah-seorang-lagenda/;
- http://kayimagez.blogspot.com/2010/12/final-liga-super-2010-selangor-vs.html;
- http://wanfelany.blogspot.com/2009/07/manchester-united-malaysia-selangor.html;
- http://www.glennguan.com/blog/?p=1242;
- http://chronohunterz.blogspot.com/2011/09/bagaimana-aku-kenal-pasukan-bolasepak.html;
- http://osmanadnan.com/blog/tag/selangor/;
- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_22.htm.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan