Isnin, Mei 12, 2014

10hb Mei 2014: Selangor, 1-0, Pahang di Stadium Darulmakmur.

Antara bas yang menyertai rombongan
SSFC ke Stadium Darulmakmur.
Bro Jamsari Sabian, bekas penjaga gol
Selangor dan kebangsaan,
bergambar kenangan.
I
10hb Mei 2014: Selangor, 1-0, Pahang 
di Stadium Darulmakmur.
Alhamdulillah, Sahabat Kelab Jersi Kita (KJK) sempat menyertai rombongan Selangor Soccer Fan Club (SSFC) untuk menyaksikan aksi pusingan kedua Liga Super 2014, bagi perlawanan yang ke-15, membabitkan pasukan Pahang dan Selangor yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan dan bermula jam 8.45 malam.
Jumlah keseluruhan rombongan bas ke stadium Darulmakmur dilaporkan sebanyak 22 buah bas, di mana 10 buah bas adalah dari SSFC (termasuklah Anak Selangor FC, Kajang Boy's Selangor fans; dan Selangor Fanatik), menakala 12 buah bas lagi daripada ultraSel dan IMDSBS. Rombongan 22 buah bas ini tidak termasuk yang berkonvoi dengan menaiki kereta dan motor, yang dilakukan semuanya demi Selangor tercinta. 

II
Rekod Pahang menentang Selangor dalam 16 buah perlawanan Liga Super sahaja sejak 2005 hingga 28hb Jan 2014 ialah: Pahang menang 3 kali; Selangor menang 11 kali; manakala seri 2 kali. Pahang telah menjaringkan 20 gol, tatkala Selangor menyumbat 37 gol. Rekod pertemuan kedua pasukan pada saingan pusingan pertama Liga Super terdahulu menyaksikan Selangor menewaskan Pahang dengan jaringan 1-0 pada aksi perlawanan yang berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada tanggal 28hb Januari 2014.
Perlawanan yang disifatkan antara paling diberikan perhatian musim ini, memandangkan kedua-dua pasukan berkongsi mata yang sama dan bersaing untuk merebut tangga teratas Liga Super 2014. Perlawanan ini menjadi tumpuan kerana ia melibatkan perebutan kedudukan selaku pendahulu liga ekoran kedua pasukan masing-masing berkongsi 28 mata sebelum perlawanan ini dan hanya dipisahkan dengan kelebihan jaringan gol.
Kali terakhir rekod Selangor beraksi di Stadium Darulmakmur ialah pada 7hb Mei 2013, di mana kedua-dua pasukan seri, 2-2. Kali terakhir Pahang menang ke atas Selangor di Darulmakmur ialah pada 22hb Mei 2011, di mana Pahang menang, 2-1 ke atas Selangor. Kali terakhir Pahang tewas kepada Selangor di Darulmakmur pula ialah pada 4hb September 2012, di mana Pahang tewas, 1-4 kepada Selangor.

III
Pahang memulakan perlawanan dengan agak meyakinkan, menerusi beberapa percubaan oleh Matias Conti, tetapi diselamatkan oleh Farizal Marlias. Menjelang minit ke-23 permainan, Pahang telah pun mempunyai 6 sepakan sudut, tatkala Selangor belum memiliki walau satu sekalipun. Sepakan percuma yang dilakukan oleh Azidan Sarudin hampir-hampir membahayakan gawang Gergasi Merah, tetapi gagal menepati sasaran.
Di hadapan 35,000 orang penonton , inspirasi Hafiz Kamal dan Azidan Saruddin di bahagian tengah, selain sayap yang laju bak lipas kudung, R. Gopinathan dan Azamuddin Akil berjaya mendatangkan gerun kepada kubu Merah Kuning.
Penyerang Selangor kelahiran Brazil yang sedang dilanda kontroversi penghijrahan ke JDT FC, Paulo Rangel, gagal mendatangkan impak positif pada separuh masa pertama permainan, selepas dikekang hebat oleh ‘orang besi’ Jamaica, Damion Stewart dan ‘skipper’, Razman Roslan. Tamat separuh masa pertama, kedua-dua pasukan terikat, 0-0.

IV
Selangor FA akhirnya berjaya mencalar rekod tanpa kalah Pahang di laman sendiri pada saingan Liga Super musim ini, selepas meraih kemenangan tipis 1-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan. Jaringan pemain sayap dari Indonesia, Andik Vermansah pada minit ke-64 membolehkan skuad Gergasi Merah merampas kedudukan pendahulu liga daripada Pahang dengan mengumpul 31 mata selepas 15 perlawanan. Pahang pula turun satu anak tangga dengan 28 mata.
Selepas ketinggalan satu gol, skuad Tok Gajah melancarkan gerakan serangan bertubi-tubi, namun Conti dan Nwakaeme gagal melakukan penyudah yang baik. Berkenaan Mohd Nasril Nourdin yang melepaskan gol tunggal untuk kemenangan Selangor, ia adalah kesilapan keseluruhan pasukan. Penjaga gol utama, Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid tidak beraksi kerana kecederaan. Pemain Pahang bermain dengan baik dan banyak mencipta peluang tetapi gagal membolosi gawang lawan. Kekalahan tipis ini merupakan yang pertama untuk Pahang, memadamkan rekod bersih kemenangan selaku tuan rumah sejak Jun 2013.

Razman Roslan, anak jati Selangor
yang kini menabur jasa bersama
skuad Tok Gajah.
V
Saingan liga masih panjang; semoga Selangor dapat menamatkan kemarau menjulang piala pada tahun ini dan seterusnya layak ke Piala AFC 2015. Masih terlalu awal untuk menyebut tentang kejuaraan liga, kerana masih ada baki 7 buah perlawanan lagi yang harus dilalui. Apa-apa sahaja boleh berlaku. Para pemain dan penyokong perlu fokus dalam memainkan peranan masing-masing, sehingga tamat saingan musim ini. Pemain perlu komited dan berdisiplin; penyokong pula perlu terus setia memberikan sokongan membina dan hadir ke stadium, setiap kali berkelapangan.
Kerjasama erat serta toleransi antara SSFC, Kuaci Fans (penyokong yang tidak terikat dengan mana-mana kumpulan) serta ultraSel seharusnya diteruskan, sebagaimana yang berjaya dilaksanakan di Stadium Darulmakmur. Semoga semua terus berpadu tenaga, atas nama solidariti terhadap pasukan tercinta.


VI
Terdapat beberapa peristiwa menarik sepanjang rombongan pergi dan pulang Kuantan kali ini. Jumlah peserta rombongan penyokong yang agak ramai menyebabkan setiap kali mereka ‘menyerbu’ kawasan R & R, mereka terpaksa beratur panjang, baik untuk ke tandas, menunaikan solat, mahupun membeli makanan. Malahan, ada kedai yang kehabisan bekalan nasi dan lauk, memandangkan pihak penjual tidak menyangka penyokong yang singgah ke kedai mereka adalah seramai itu.

VII
Saya turut tumpang simpati terhadap para sahabat yang terkandas dalam perjalanan pulang ke Shah Alam, selepas bas yang mereka naiki, rosak di Lebuh raya Karak. Alhamdulillah, semuanya berjaya diselesaikan dengan baik dalam pukul 7 pagi. Semoga kesabaran dan dugaan yang mereka alami ini, dibalas dengan kejayaan cemerlang Selangor musim ini, in sya ALLAH. 


VIII
11hb Mei merupakan tarikh lahir Sahabat Kelab Jersi Kita (KJK), Bro Hendri Jamil. Justeru, tepat pukul 12.01 minit pagi, para penumpang bas beramai-ramai membuat kejutan kepada beliau, apabila bersama-sama menyanyikan lagu ‘ALLAH Selamatkan Kamu’; dalam perjalanan pulang dari Kuantan. Semoga Bro Hendri terus bahagia, sakti dan istiqamah di samping isteri, anak dan keluarga tercinta. Amin. 

IX
Kobar jiwa semangat dan 1001 kenangan padu di Kuantan. Terima kasih kepada wira Piala Malaysia Selangor MPPJ FC 2003 dan ‘treble’ Selangor FA 2005, Abang Jamsari Sabian, sebab sudi mengikuti rombongan bersama para Sahabat Kelab Jersi KitaKajang Boy's Selangor fans dan Selangor Soccer Fan Club (SSFC). Semoga lebih ramai legenda serta bekas pemain bola sepak tempatan yang sudi menghadirkan diri ke stadium dan beramah mesra bersama peminat dan penyokong. Terima kasih Kuantan, untuk memori indah ini. Bersama memartabatkan jersi serta liga tempatan kita. Viva Selangor. Padu.
--------------------------------------------
Sumber:
  1.  https://www.facebook.com/rtbps?fref=photo;
  2. https://www.facebook.com/kamarulzaman.jumari?fref=photo;
  3. https://www.facebook.com/UltraSelCurva?fref=ts;
  4. https://www.facebook.com/pages/TOK-GAJAH-Supporters/1421594831411882?ref=ts&fref=ts;
  5. https://www.facebook.com/selangorfc?fref=ts;
  6. http://www.thestar.com.my/Sport/Football/2014/05/10/Selangor-tame-Pahang-to-go-top-of-the-league/;
  7. http://www.astroawani.com/news/show/selangor-calar-rekod-bersih-pahang-di-laman-sendiri-35597;
  8. https://www.facebook.com/zaid.ayid?fref=photo;
  9. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pemainambilmudah_Zainal/Article.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...