Rabu, April 30, 2014

Selangor Juara Piala Malaysia 2005.


Final Piala Malaysia 2005: 
Selangor, 3-0, Perlis.
Jaringan hatrik penyerang terbilang, Bambang Pamungkas membolehkan impian Selangor untuk melakar sejarah merangkul tiga gelaran dalam semusim menjadi realiti apabila mereka dinobatkan selaku juara Piala Malaysia yang baru selepas menewaskan penyandang juara, Perlis 3-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kemenangan tersebut membuktikan kejaguhan sebenar Selangor yang tersisih selama tiga musim sejak menjulang Piala Malaysia pada 2002, tetapi malam tadi mereka kembali menemui sentuhan bergelar juara. Tidak dapat dinafikan Selangor memiliki segala kelebihan untuk menafikan hajat menggunung Perlis yang berbekalkan gelaran juara musim lalu.
Sebaliknya, tiga gol menerusi penyerang berbisa Selangor, Bambang yang meledakkan jaringan pada minit ke-17, 51 dan 87 sudah cukup memastikan skuad Red Giants dinobatkan selaku juara mutlak Piala Malaysia buat kali ke-30.

Pemain terbaik perlawanan akhir Piala FA 2005, Elie Aiboy adalah pencetus kepada kejayaan Selangor dengan dua sepakan sudutnya ditanduk tepat oleh Bambang manakala D. Surendran pula untuk gol ketiga yang terus meranapkan impian Perlis.
Lengkap sudah tiga gelaran yang disandang oleh Selangor bagi musim 2005 sesudah mendakap kejuaraan Piala Liga Perdana di Stadium Paroi, Stadium Shah Alam pula ditabalkan juara Piala FA dan malam tadi mereka dijulang pula merangkul piala paling berprestij bola sepak Malaysia.
Di hadapan kira-kira 90,000 penonton yang jelas didominasi oleh penyokong yang berpakaian merah kuning bertempik sorak kegembiraan sejurus pengadil perlawanan, Shokri Nor meniup wisel penamat. Buat pemain skuad Merah Kuning, mereka berpelukan sesama sendiri selain ada yang menitiskan air mata yang turut disertai oleh jurulatih, Dollah Salleh, pengurus pasukan, Datuk Satim Diman serta pemain simpanan menyambut kejayaan Selangor bergelar juara ketika pemain Perlis longlai dengan wajah duka meratapi kekalahan tersebut.
Pada minit ke-70, permainan terhenti seketika ekoran rasa tidak puas hati pemain apabila pengadil tidak menghadiahkan sepakan penalti setelah pemain Perlis, Yusri Che Lah dijatuhkan di kawasan kotak penalti. Buat Perlis yang terlalu menyandarkan harapan kepada sentuhan Philimon Chipeta dan Zacharia Simukonda jelas tidak berupaya memecah benteng pertahanan Selangor yang jelas lebih ampuh dengan kecemerlangan penjaga golnya, Jamsari Sabian yang menjadi penghalang.
Aksi yang bermula dengan asakan bertali arus kedua-dua pasukan tetapi sebaliknya tuah memihak kepada Selangor yang memecah kebuntuan jaringan gol selepas 17 minit babak berlangsung hasil tandukan cantik Bambang Pamungkas.
Gol berpunca daripada sepakan sudut yang diambil oleh Elie Aiboy dari sebelah kanan, Bambang tangkas melonjakkan diri untuk menanduk masuk menggegar jaring menewaskan penjaga gol Perlis, Amran Omar. Gol tersebut mengamatkan seketika Stadium Nasional Bukit Jalil dengan pekik sorak sebahagian besar penyokong yang berpakaian merah kuning.
Perlis yang tersentak dengan gol awal tersebut terus menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan tetapi kelibat dua ayam tambatan, Philimon Chipeta dan Zacharia Simukonda sukar melepasi benteng pertahanan Selangor. Skuad Singa Utara hampir-hampir menyamakan kedudukan Peluang terbaik hadir milik Simukonda tetapi dia sekadar melepaskan rembatan tepat ke arah penjaga gol Selangor, Jamsari Sabian yang mudah meno lak keluar pada minit ke-21.
Permainan bertambah rancak dengan asakan bertali arus dilakukan oleh kedua-dua pasukan terutama Perlis yang cuba mencari gol penyamaan. Pada minit ke-41, dua peluang hadir selang beberapa saat milik Perlis menerusi percubaan Manzoor Azwira Chipeta di depan pintu gol tetapi Jamsari menjadi penghalang buat menamatkan babak pertama dengan kedudukan terikat 1-0.
Pada minit ke-51, Selangor menggegarkan Stadium Nasional buat kali kedua apabila meledakkan jaringan kedua hasil tandukan Bambang menewaskan Amran. Berpunca daripada sepakan sudut Aiboy tepat ke arah Bambang yang terus menanduk mengamamkan semua pemain pertahanan Perlis. Kedudukan makin selesa apabila Bambang menemui sentuhan hatrik hasil hantaran Surendran.
Andainya tanpa jaringan hatrik Bambang Pamungkas, Dollah Salleh tidak ragu-ragu akan memilih penjaga gol Selangor, Jamsari Sabian sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir bola sepak Piala Malaysia 2005. Jurulatih Gergasi Merah itu mengakui betapa bekas penjaga gol kebangsaan itu menampilkan persembahan terbaik dengan menyekat banyak percubaan penyerang kembar Perlis, Phillemon Chepita dan Zacharia Simukonda.
Tanpa sebarang gol yang membolosi Selangor, bekas penyerang kebangsaan era 80-an dan 90-an itu turut memuji barisan bentengnya yang mencapai kemajuan prestasi setelah sekian lama dikecam sebagai elemen pasukan yang paling lemah. Agak terkilan baginya ialah apabila tidak dapat menurunkan Khalid Jamlus kelmarin biarpun penyerang kebangsaan itu sebenarnya berkemampuan untuk digandingkan sama ada dengan Bambang mahupun Brian Fuentes.
Barisan pemain Selangor FA: Jamsari Sabian, Ahmad Tarmini Saiban, D. Surendran, Nazrulerwan Makmor, P. Gunalan, Brian Fuentes, Elie Aiboy, K. Sanbagamaran, Muhammad Shukor Adan, Mohd. Amri Yahyah (Nazzab Hidzan), Bambang Pamungkas.
Barisan pemain Perlis FA: Amran Omar, Joao Bandoch, Muhamad Kaironnisam, Zainuddin Ariffin, Mohd. Nazaruddin Md. Zain, Manzoor Azwira (Azi Shahril Azmi), Azizi Mat Rose, Mohd. Feriza Ismail, Mohd. Khairi Zainuddin, Yusri Che Lah, Philimon Chipeta, Zacharia Simukonda.

ANUGERAH LIGA MALAYSIA 2005
  • Piala Malaysia: Selangor;
  • Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Bambang Pamungkas;
  • Piala Sultan Ahmad Shah: Perak;
  • Liga Super: Perlis (RM500,000);
  • Liga Perdana: Selangor (RM200,000);
  • Piala FA: Selangor;
  • Permainan Bersih: PKNS;
  • Kasut Emas Liga Super: Zachariah Simikonda (18 gol);
  • Kasut Emas Liga Perdana: Marlon Alex James (23 gol);
  • Piala FAM: Kelantan (RM50,000);
  • Piala Presiden: Kelantan (RM100,000);
  • Pasukan yang naik ke Liga Super 2006: Selangor dan Negeri Sembilan;
  • Pasukan yang naik ke Liga Premier 2006: Kelantan dan Shahzan Muda.

-----------------------------------------
Sumber:
  1. Akhbar Berita Harian;
  2. Akhbar Utusan Malaysia;
  3. Akhbar The Star;
  4. Akhbar NST;
  5. Majalah Football;
  6. Majalah Arena Bola Sepak;
  7. https://www.facebook.com/ahmadjohari.yeopaziz?fref=ts;
  8. https://www.facebook.com/pages/Kelab-Jersi-Kita/102781643230951?fref=ts;
  9. http://www.rsssf.com/tablesm/malay79.html#cup;
  10. https://www.facebook.com/king.kheiriel?ref=ts&fref=ts;
  11. https://www.facebook.com/hangpcdua.malaya?fref=ts.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...