Ahad, April 27, 2014

26 April 2014: Legenda Selangor berentap bersama Legenda Johor di Stadium Mini Bandar Penawar.













26hb April 2014: Legenda Selangor berentap bersama Legenda Johor di Stadium Mini Bandar Penawar.
Alhamdulillah, pada 26hb April 2014 (Sabtu), Sahabat Kelab Jersi Kita (KJK) dan Retro BolaSepak (RBS) berkesempatan mengikuti rombongan skuad Bekas Pemain Selangor (Ex-Selangor) ke Kota Tinggi, bagi tujuan perlawanan persahabatan amal bersama skuad Bekas Pemain Johor (Ex-Johor). Perlawanan ini berlangsung di Stadium Mini Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor. Perlawanan Amal ini lebih kepada mengeratkan silaturahim yang lama telah terbina di atas nama sukan bolasepak. Walau mereka musuh di padang hijau, tetapi di luar, mereka sahabat selamanya.
Memandangkan kebanyakan anggota skuad Ex-Selangor terlibat dalam bidang pengurusan dan kejurulatihan beberapa pasukan Liga Super dan Liga Premier, hanya 12 orang pemain yang dapat dibariskan pada perlawanan tersebut, seterusnya menyebabkan hanya seorang pemain (penjaga gol simpanan, Fahmi Isa) yang dapat menggantikan penjaga gol utama, Jamsari Sabian.
Meskipun skuad Ex-Selangor hanya sampai di Kota Tinggi pada jam 5 petang dan masih keletihan, mereka masih mampu memberikan aksi mantap ketika berdepan cabaran skuad Ex-Johor, yang dibarisi oleh 22 orang pemain, dengan beberapa pemainnya adalah pemain muda yang pantas.
Ex-Selangor yang ketinggalan 2-0 menerusi gol cantik sumbangan legenda Johor, Azmil Azali (sepakan percuma) dan Halim Wahidon, berjaya mengumpul motivasi dan mengerah kudrat untuk mengejar seterusnya menyamakan kedudukan, 2-2, menerusi dua jaringan minit akhir oleh Asmawi Bakiri. Apa yang menarik ialah meskipun beberapa orang pemain Selangor mengalami kecederaan dalam perlawanan tersebut, dan beraksi 90 minit tanpa pertukaran, mereka tetap meneruskan aksi bersama kekuatan mental dan motivasi yang tinggi.
Selanjutnya, jaringan 2-2 menyaksikan perlawanan ditentukan menerusi penentuan penalti. Keputusan akhir, Ex-Johor telah menewaskan Ex Selangor melalui sepakan penalti (5-4). Tahniah buat Ex-Johor di atas kemenangan pada malam tersebut. Sumbangan amal dalam perlawanan ini akan disalurkan kepada: Rumah Anak Yatim Al-Husna Bandar Penawar; PDK Mas Timor (Felda Sungai Mas); serta PDK Permata Kasih (Felda Air Tawar 5).
Saya dan rakan-rakan KJK dan RBS rasa bertuah dan bersyukur di atas usaha untuk mengenang semula para pemain yang pernah mewarnai saingan bola sepak Malaysia. Semoga lebih banyak perlawanan dan usaha dilakukan, bagi mengangkat martabat jersi serta liga tempatan kita. Kobar jiwa semangat. Padu.
-----------------------------
Sumber:
  1. https://www.facebook.com/johorsoutherntigers.com.my?fref=photo;
  2. https://www.facebook.com/JohorThePhotoshooterz?fref=photo;
  3. https://www.facebook.com/nizaruddin.kadir?fref=photo;
  4. https://www.facebook.com/lokmal.hakim.7?fref=photo;
  5. https://www.facebook.com/rahmat.bigapple?fref=ts;
  6. https://www.facebook.com/muhammadhazren?fref=ts;
  7. https://www.facebook.com/pages/Kelab-Jersi-Kita/102781643230951?fref=ts.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...