Isnin, Disember 31, 2012

Kelayakan Piala Dunia 98: Jepun lawan Iran, Stadium Larkin (1997).


1997: Detik bersejarah; gol emas dijaringkan oleh
Masayuki Okano, Jepun layak buat kali
pertama ke Piala Dunia.
Papan elektronik di Stadium Larkin
menunjukkan kedudukan akhir Jepun-Iran.
Pemain naturalisasi Jepun, Wagner Lopes meraikan
kejayaan Jepun bersama penyokong
Jepun di Stadium Larkin.
Para penyokong setia Jepun datang
sejauh Fukuoka untuk ke Stadium Larkin.
Masayuki Okano, meraikan gol emas di
Stadium Larkin, yang membolehkan Jepun
layak ke Piala Dunia untuk kali pertama.
1997: Skuad Jepun di Stadium Larkin, sebelum
sepak mula. Penuh bersemangat dan yakin.
Logo Piala Dunia 1998.
Jersi Jepun 1998.
Seluar dan stokin Jepun, 1998.
'Tragedi Doha': Jepun gagal ke Piala Dunia 1994
selepas hanya seri kepada Iraq. Sekali gagal,
tidak bererti gagal selamanya. 
Skuad Jepun meraikan kejayaan
mereka di Stadium Larkin, Johor Bahru.

Ketua Jurulatih Jepun, Takeshi Okada,
meraikan gol Okano (no. 14) selepas
pemain tersebut menjaringkan gol kemenangan Jepun.
1997: Skuad Jepun bergembira
di Stadium Larkin.

Ali Daei, lagenda Iran yang pernah
beraksi untuk Bayern Munich FC.
Meskipun tewas kepada Jepun di Larkin,
Iran tetap layak ke Perancis, selepas menewaskan
Australia dalam penentuan 'play-off'.
Skuad Piala Dunia 1998 Iran.
Jepun lawan Brazil.
Hidetoshi Nakata, lagenda Jepun yang
mencipta nama di Eropah. Beliau kelihatan
memakai kasut bola  berjenama Fila.
Nakata cuba disaingi oleh pemain
Argentina pada Piala Dunia 1998.
Aksi Nakata di Piala Dunia 1998.
Nakata dan rakan-rakan, 1998.
Skuad Piala Dunia 1998 Jepun.
Masami Ihara, Pemain Terbaik Asia 1995.
Digelar sebagai Wall of Asia, Ihara pernah beraksi
menentang Johor FC pada tahun 1996, 

sewaktu mewakili Yokohama Marinos FC.
1996: Wakil FAM, Datuk Bakar Daud,
bersalaman dengan para pemain Johor FC.
1996: Penyokong setia Johor FC.
PKENJ FC yang lebih dikenali sebagai Johor FC,
merupakan kelab yang paling konsisten dalam
liga tempatan. 2012 merupakan penampilan
terakhir Johor FC,
1996: Skuad Telekom Melaka FC, meraikan
kejayaan menjuarai Liga FAM, menewaskan juara 1995,
Johor FC. Turut kelihatan, Hamsani Ahmad, yang masih
beraksi untuk musim 2013, kali ini bersama
Negeri Sembilan FA.

1996: Aksi Telekom Melaka FC dan Johor FC.

Jepun dan Korea Selatan, pernah menjadi pesaing
utama Malaysia satu masa dulu. Kedua-duanya
telah sering menyertai Piala Dunia dan Sukan
Olimpik. Kita bagaimana?
Wagner Lopes, pemain naturalisasi Jepun dari Brazil.
Gandingan beliau bersama Nakata cukup dikenang
oleh peminat Jepun. Perlukah Malaysia
menggunakan pemain naturalisasi
untuk layak ke Piala Dunia?
16hb November 1997 (Sabtu).
Satu perlawanan bersejarah antara Jepun dan Iran telah dijalankan di Malaysia pada tahun 1997. Perlawanan ini dilangsungkan di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos Johor Bahru (lebih dikenali sebagai Stadium Larkin), Malaysia, untuk menentukan wakil ketiga dari Asia untuk ke Piala Dunia 1998. Pasukan Jepun yang belum pernah layak ke Piala Dunia, agak terdesak untuk menjadi antara 32 buah pasukan yang layak ke Perancis, memandangkan mereka akan menjadi penganjur bersama Piala Dunia 2002 dengan Korea Selatan. Sewaktu Kelayakan Piala Dunia 1994 pada 28hb Oktober 1993, Jepun mencatat keputusan seri 2-2 dengan Iraq di Doha, apabila pemain Iraq menjaringkan gol penyamaan pada minit-minit terakhir permainan. Keputusan seri tersebut menghancurkan impian Jepun, memandangkan mereka perlu mencatatkan keputusan menang untuk menjuarai kumpulannya. Kekalahan kepada Iraq ini digelar oleh peminat Jepun sebagai ‘Tragedi Doha.’

Untuk Kelayakan Piala Dunia 1998, Zon Asia diberikan 3.5 slot, di mana 3 slot merupakan slot automatik dan 0.5 lagi ialah slot ‘Play-off’ AFC/Oceania. Skuad kebangsaan Malaysia gagal ke Piala Dunia 1998, setelah menduduki tempat kedua Kumpulan A, dengan hanya 11 mata, iaitu 5 mata di belakang juara kumpulan, Arab Saudi. Tempat ketiga dan keempat diduduki oleh Taiwan dan Bangladesh. Tidak lama sebelum perlawanan epik tersebut, pasukan Jepun dilanda sedikit gelora, apabila ketua jurulatih mereka, Shu Kamo, dipecat pada bulan Oktober 1997, setelah pasukan Jepun hanya mampu menduduki tempat ketiga untuk Kumpulan B selepas empat perlawanan. Kamo digantikan oleh pembantu beliau, Takeshi Okada, yang kemudiannya berjaya mengemudi pasukan Jepun untuk menang dalam dua perlawanan akhir peringkat kumpulan, sebelum layak ke pusingan ‘play-off’

Selepas gagal dalam percubaannya untuk layak ke Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat, Jepun akhirnya berjaya melayakkan diri ke pertandingan paling berprestij untuk acara bola sepak, selepas menewaskan Iran 3-2. Gol kemenangan Jepun diperolehi menerusi jaringan ‘gol emas’ oleh Masayuki Okano, selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 sepanjang waktu permainan sebenar.

Penyokong Jepun telah mendominasi Stadium Larkin seawal jam 3 petang, merangkumi sejumlah besar 22,000 orang yang hadir pada malam bersejarah tersebut. Mereka memberikan sokongan yang teguh kepada pasukan kesayangan mereka sejak babak awal permainan. Kemudian, mereka bersorak keriangan selepas pasukan Jepun berjaya menundukkan Iran menerusi penentuan ‘gol emas’ sewaktu untuk layak ke Piala Dunia 1998 yang berlangsung di Perancis. Meskipun tewas, Iran tetap mara ke Piala Dunia 1998 setelah menewaskan Australia dalam play-off AFC/Oceania. Iran menyertai Jepun, Korea Selatan dan Arab Saudi ke Perancis, untuk merasai pengalaman bertanding dengan pasukan-pasukan terbaik di dunia.

Menjelang 1998, Piala Dunia 1998 di Perancis menyaksikan bola rekaan baru oleh Adidas, dengan dihiasi corak tiga warna bendera Perancis: merah-putih-biru. Ini sangat berbeda daripada rekaan tradisional bola Piala Dunia; dengan warna tradisi hitam-putih.  Merupakan bola Piala Dunia yang berwarna-warni, Tricolore menggunakan teknologi cetakan ‘underglass’ dengan lapisan sintetik yang lebih nipis. Edisi 1998 juga menyaksikan Scotland melengkapkan rekod sebagai pasukan paling kerap disingkirkan sewaktu pusingan pertama. Mereka gagal dalam 8 kali percubaan: 1954, 1958, 1974, 1978, 1982, 1986, 1990 dan 1998. Perancis yang dipimpin oleh Didier Deschamps dan Zinedine ‘Zizou’ Zidane berjaya memenangi Edisi 1998 selepas menewaskan calon pilihan, Brazil, 3-0 dalam perlawanan akhir. Perancis memenangi Piala Dunia buat kali pertama, dan menjadi negara tuan rumah keenam memenangi kejohanan tersebut selepas Uruguay, Itali, England, Jerman Barat dan Argentina.

Antara bintang Jepun yang menyerlah sewaktu Piala Dunia 1998 ialah Hidetoshi Nakata, yang mula beraksi sejak Olimpik 1996 di Atlanta. Nakata yang ketika itu mewarnakan rambutnya ala pemain bola keranjang Amerika, Dennis Rodman, beraksi cemerlang untuk Jepun di Perancis. Selain itu, Masami Ihara yang digelar ‘Wall of Asia’ juga mempamerkan permainan yang memberangsangkan selaku ketua pasukan Jepun di Perancis. Untuk rekod, Masami Ihara merupakan Pemain Terbaik Asia 1995. Beliau pernah beraksi untuk kelab Yokohama Marinos FC, yang menang 2-0 ke atas kelab Johor FC dari Malaysia. Perlawanan Yokohama Marinos FC dengan Johor FC dijalankan sewaktu Pusingan Kedua Kelab-Kelab Asia 1996, selepas Johor FC berjaya menewaskan kelab Vietnam, Polis Bandaraya Ho Chi Minh FC pada pusingan pertama. 

Seperti yang kita sedia maklum, Liga Bola Sepak Jepun, ‘J-League’ hanya mula dilaksanakan secara professional pada 1993. Namun, sejak 1998, Jepun telah layak ke Piala Dunia sebanyak empat kali. Jepun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat pernah ditewaskan oleh Malaysia yang pernah layak ke Sukan Olimpik 1972 di Munich dan Olimpik 1980 di Moscow. Tetapi jurang kualiti dan pembangunan sukan bola sepak di negara kita kini tampak masih jauh jika dibandingkan dengan tiga negara yang pernah kita tewaskan dulu itu. Semoga satu hari nanti, kita tidak hanya bermimpi dan bernostalgia tentang sejarah gemilang Raja Bola Ghani Minhat, Supermokh, Isa Bakar, James Wong, Hassan Sani, Aru The Spiderman, Santokh Singh dan Towkay Soh Chin Aun (sekadar menyebut beberapa nama). Semoga sahaja, satu hari nanti – seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun – kita layak ke Piala Dunia. Amin.

-------------------------------------------------------------------

Sumber dan rujukan:
  1. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/10/evolusi-bola-piala-dunia.html;
  2. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/10/adidas-dan-puma-perseteruan-dassler.html;
  3. http://ajw.asahi.com/reliving_the_past/leaf/AJ201211160001;
  4. http://www.asahi-net.or.jp/~fg3h-tri/contents/gallery3_b.html;
  5. http://matome.naver.jp/odai/2126259257826817201/2126277289731788903;
  6. http://jugadordefutbol-junpiter.blogspot.com/2008/12/jfa-world-cup-1998-authentic-shorts.html;
  7. http://www.zakzak.co.jp/spo/200812/s2008121305_all.html;
  8. http://ameblo.jp/pipe51/day-20120603.html;
  9. http://www.goal.com/jp/slideshow/675/9;
  10. http://footfoot55.official.jp/archives/168;
  11. http://web-japan.org/nipponia/nipponia18/en/feature/feature07.html.


Ahad, Disember 30, 2012

Cerita kedai kopi.

Bro Azmi pakai jersi 
Pos Malaysia FC. Sempoi.
Sesi cerita kedai kopi, dengan Brader Azmie Switchimage, antara penggerak dan pencetus awal rekaan 'kit' jersi bola sepak di Malaysia. Karya beliau boleh dilihat di sini: http://designinsport.blogspot.com/. Seorang yang kaya dengan senyuman dan cerita tentang kehidupan, banyak yang dapat saya kongsi dan pelajari daripada beliau. Pesan Bro Azmie, “Hidup ni jangan tamak. Buat kerja mesti ikhlas. Sebab ketamakan dan keikhlasan itu, boleh pengaruhi kita dalam menghala ke arah mana jalan hidup yang kita pilih. Kalau buat kerja; buat sungguh-sungguh. Hati dan matlamat kita kena betul.”

Tabik hormat buat Bro Azmie. Salam.

Ganjaran sewajarnya.

“Saya juga setuju bahawa pemain-pemain bola sepak bahkan ahli sukan lain diberi ganjaran sewajarnya. Tetapi syarat yang penting ialah SEWAJARNYA.” -- Profesor Emeritus Dr. Khoo Kay Kim, Majalah Arena Bola Sepak (Julai 1984).

Khamis, Disember 27, 2012

Perlawanan Akhir Piala Malaysia 1984: Selangor lawan Pahang.

27hb Mei 1984
Perlawanan Akhir Piala Malaysia 1984 menyaksikan Selangor FA berdepan juara bertahan, Pahang FA yang diperkuatkan beberapa pemain berbakat seperti Jamal Nassir, Zainal Abidin Hassan dan Yunus Alif. Untuk rekod, Yunus Alif merupakan Pemenang Kasut Emas 1984, manakala Zainal Abidin Hassan pula memenangi Kasut Perak. Kasut Gangsa diraih oleh Zulkifli Hussein yang beraksi untuk Kelantan FA. Sementara itu, Pahang juga diperkuatkan oleh dua orang pemain import dari Kota Temasik, iaitu Pathmanathan dan K. Suriamurthy. Pemain Selangor, Lim Teong Kim tidak beraksi dalam perlawanan akhir tersebut memandangkan telah mengutip dua kad kuning. Beliau juga pernah digantung dan digugurkan daripada skuad kebangsaan selama 3 bulan bersama Santokh Singh, kerana menyertai perlawanan yang diharamkan oleh FIFA. Namun, Santokh Singh yang ketika itu berusia 32 tahun, beraksi selaku ketua pasukan Selangor FA pada perlawanan akhir Piala Malaysia 1984.  

Dalam perjalanan menuju destinasi Akhir Piala Malaysia, Selangor FA telah menewaskan Wilayah Persekutuan FA dengan agregat 4-1 pada peringkat Suku Akhir Piala Malaysia, sebelum menewaskan Pulau Pinang FA dengan agregat 2-0 pada peringkat Separuh Akhir. Sementelahan, Pahang FA mengalahkan Kelantan FA dengan agregat 5-2 pada peringkat Suku Akhir, dan menang 4-2 ke atas Johor FA. Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi yang seimbang sepanjang babak pertama permainan. Namun, pada minit ke-77, Pahang FA berada di hadapan apabila R. Suriamurthy melakukan sepakan ‘first-timer’ yang cantik untuk menewaskan R. Arumugam. Selepas mendahului 1-0 melalui jaringan R. Suriamurthy, pemain import dari Singapura, Pahang FA seakan-akan hampir pasti mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada tahun 1983, sehinggalah segalanya dirobek oleh dua jaringan Azhar Shariff dan Khan Hung Meng dalam tempoh 10 minit terakhir. Gol tersebut berpunca daripada kelalaian dan kealpaan para pemain Pahang selepas mendahului dengan hanya satu gol. Akhirnya Pahang FA tersungkur di ambang kejayaan, dengan keputusan 1-3.

Gol-gol Selangor FA dijaringkan pada minit ke-87, 89 dan 90. Khan Hung Meng yang dikawal oleh Abu Bakar Ahmad dan Jamal Nassir sepanjang babak pertama perlawanan, berjaya membuat satu hantaran lintang kepada pemain muda, Azhar Shariff yang berada di depan pintu gol. Azhar Shariff tidak mensia-siakan peluang yang terhidang, apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-87 dengan satu jaringan yang menarik. Pada minit ke-89, Khan Hung Meng yang menerima hantaran daripada Kanagarajah dari sebelah kiri kawasan Pahang FA, merembat deras dengan kaki kirinya untuk menewaskan penjaga gol lagenda, Ong Yu Tiang. Gol ketiga Selangor FA juga dijaringkan oleh Khan Hung Meng yang bermain di bahagian sayap kiri, kali ini pada minit ke-90. Hung Meng yang tidak dikawal, mudah menewaskan Yu Tiang untuk melengkapkan malam gemilang Selangor FA. Oleh kerana terlalu gembira, Santokh Singh berlari dari kawasan gol Selangor untuk meraikan jaringan gol kedua Khan Hung Meng. Tiga biji gol dalam tempoh kurang-lebih tiga minit, menjadi intisari yang menggamatkan Piala Malaysia edisi 1984 pada tanggal 27hb Mei itu. Malam itu, Khan Hung Meng diangkat sebagai wira bola sepak Selangor.

Piala Sumbangsih 1985
Kemudian, pada 30hb Disember 1984, Selangor FA sekali lagi menewaskan Pahang FA, kali ini dengan keputusan 2-1. Bintang Pahang FA, Zainal Abidin Hassan, tidak beraksi dalam perlawanan yang disaksikan oleh kurang-lebih 15,000 orang penyokong setia kedua-dua pasukan di Stadium Merdeka. Gol tunggal Pahang FA dijaringkan oleh Yunus Alif yang berjaya memperdayakan R. Arumugam, selepas bijak menewaskan Zaidi Mokhtar dan Santokh Singh. Ong Yu Tiang, penjaga gawang Pahang FA, beraksi cemerlang sepanjang perlawanan. Namun, Reduan Abdullah yang ketika itu berusia 31 tahun, berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-67, sebelum Razali Alias memastikan Selangor FA mengutip kejayaan tiga piala untuk musim 1984 pada minit ke-69. 

----------------------------------------------------------

Sumber dan rujukan:
  1. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/boca-juniors-lawan-jemputan-selangor-xi.html;
  2. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/edisi-sulung-piala-fa-perak-lawan.html;
  3. http://chedinsphere.blogspot.com/2011/08/supermokh-lagenda-yang-tiada-galang.html;
  4. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/cerita-malaysia-ke-olimpik-1980-moscow.html;
  5. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/cerita-malaysia-ke-olimpik-1972-munich.html;
  6. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/3hb-mei-1986-sabtu-perlawanan-piala.html;
  7. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/19hb-mei-1999-malaysia-xi-lawan-arsenal.html;
  8. http://chedinsphere.blogspot.com/2011/03/penjaga-gol-terbaik-malaysia.html;
  9. http://www.facebook.com/norazmi.mahmood;
  10. http://ifoto.penerangan.gov.my/html/fjpen6/main.php.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...