27hb
Mei 1984
Perlawanan
Akhir Piala Malaysia 1984 menyaksikan Selangor FA berdepan juara bertahan,
Pahang FA yang diperkuatkan beberapa pemain berbakat seperti Jamal Nassir, Zainal
Abidin Hassan dan Yunus Alif. Untuk rekod, Yunus Alif merupakan Pemenang Kasut
Emas 1984, manakala Zainal Abidin Hassan pula memenangi Kasut Perak. Kasut
Gangsa diraih oleh Zulkifli Hussein yang beraksi untuk Kelantan FA. Sementara
itu, Pahang juga diperkuatkan oleh dua orang pemain import dari Kota Temasik,
iaitu Pathmanathan dan K. Suriamurthy. Pemain Selangor, Lim Teong Kim tidak
beraksi dalam perlawanan akhir tersebut memandangkan telah mengutip dua kad
kuning. Beliau juga pernah digantung dan digugurkan daripada skuad kebangsaan selama
3 bulan bersama Santokh Singh, kerana menyertai perlawanan yang diharamkan oleh
FIFA. Namun, Santokh Singh yang ketika itu berusia 32 tahun, beraksi selaku
ketua pasukan Selangor FA pada perlawanan akhir Piala Malaysia 1984.
Dalam
perjalanan menuju destinasi Akhir Piala Malaysia, Selangor FA telah menewaskan
Wilayah Persekutuan FA dengan agregat 4-1 pada peringkat Suku Akhir Piala Malaysia,
sebelum menewaskan Pulau Pinang FA dengan agregat 2-0 pada peringkat Separuh
Akhir. Sementelahan, Pahang FA mengalahkan Kelantan FA dengan agregat 5-2 pada
peringkat Suku Akhir, dan menang 4-2 ke atas Johor FA. Kedua-dua
pasukan mempamerkan aksi yang seimbang sepanjang babak pertama permainan.
Namun, pada minit ke-77, Pahang FA berada di hadapan apabila R. Suriamurthy
melakukan sepakan ‘first-timer’ yang
cantik untuk menewaskan R. Arumugam. Selepas mendahului 1-0 melalui jaringan R.
Suriamurthy, pemain import dari Singapura, Pahang FA seakan-akan hampir pasti
mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada tahun 1983, sehinggalah segalanya
dirobek oleh dua jaringan Azhar Shariff dan Khan Hung Meng dalam tempoh 10 minit
terakhir. Gol tersebut berpunca daripada kelalaian dan kealpaan para pemain
Pahang selepas mendahului dengan hanya satu gol. Akhirnya Pahang FA tersungkur
di ambang kejayaan, dengan keputusan 1-3.
Gol-gol
Selangor FA dijaringkan pada minit ke-87, 89 dan 90. Khan Hung Meng yang
dikawal oleh Abu Bakar Ahmad dan Jamal Nassir sepanjang babak pertama
perlawanan, berjaya membuat satu hantaran lintang kepada pemain muda, Azhar
Shariff yang berada di depan pintu gol. Azhar Shariff tidak mensia-siakan
peluang yang terhidang, apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-87 dengan
satu jaringan yang menarik. Pada
minit ke-89, Khan Hung Meng yang menerima hantaran daripada Kanagarajah dari
sebelah kiri kawasan Pahang FA, merembat deras dengan kaki kirinya untuk
menewaskan penjaga gol lagenda, Ong Yu Tiang. Gol ketiga Selangor FA juga
dijaringkan oleh Khan Hung Meng yang bermain di bahagian sayap kiri, kali ini
pada minit ke-90. Hung Meng yang tidak dikawal, mudah menewaskan Yu Tiang untuk
melengkapkan malam gemilang Selangor FA. Oleh kerana terlalu gembira, Santokh Singh
berlari dari kawasan gol Selangor untuk meraikan jaringan gol kedua Khan Hung
Meng. Tiga biji gol dalam tempoh kurang-lebih tiga minit, menjadi intisari yang
menggamatkan Piala Malaysia edisi 1984 pada tanggal 27hb Mei itu. Malam itu,
Khan Hung Meng diangkat sebagai wira bola sepak Selangor.
Piala
Sumbangsih 1985
Kemudian,
pada 30hb Disember 1984, Selangor FA sekali lagi menewaskan Pahang FA, kali ini
dengan keputusan 2-1. Bintang Pahang FA, Zainal Abidin Hassan, tidak beraksi
dalam perlawanan yang disaksikan oleh kurang-lebih 15,000 orang penyokong setia
kedua-dua pasukan di Stadium Merdeka. Gol tunggal Pahang FA dijaringkan oleh
Yunus Alif yang berjaya memperdayakan R. Arumugam, selepas bijak menewaskan
Zaidi Mokhtar dan Santokh Singh. Ong Yu Tiang, penjaga gawang Pahang FA,
beraksi cemerlang sepanjang perlawanan. Namun, Reduan Abdullah yang ketika itu
berusia 31 tahun, berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-67, sebelum Razali
Alias memastikan Selangor FA mengutip kejayaan tiga piala untuk musim 1984 pada
minit ke-69.
----------------------------------------------------------
Sumber dan rujukan:
- http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/boca-juniors-lawan-jemputan-selangor-xi.html;
- http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/edisi-sulung-piala-fa-perak-lawan.html;
- http://chedinsphere.blogspot.com/2011/08/supermokh-lagenda-yang-tiada-galang.html;
- http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/cerita-malaysia-ke-olimpik-1980-moscow.html;
- http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/cerita-malaysia-ke-olimpik-1972-munich.html;
- http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/3hb-mei-1986-sabtu-perlawanan-piala.html;
- http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/19hb-mei-1999-malaysia-xi-lawan-arsenal.html;
- http://chedinsphere.blogspot.com/2011/03/penjaga-gol-terbaik-malaysia.html;
- http://www.facebook.com/norazmi.mahmood;
- http://ifoto.penerangan.gov.my/html/fjpen6/main.php.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan