Rabu, Disember 05, 2012

Naskah Keindahan Islam (Haji Fadlullah Wilmot).


Naskah "Keindahan Islam" cetakan kedua (1984).
Kenangan 1970an. Dari kiri: Allahyarham Ustaz Asaari Muhammad,
DSAI (ketika itu Presiden ABIM) dan Haji Fadlullah Wilmot,
sewaktu kunjungan ke Markas Darul Arqam di Sungai Penchala.
Sewaktu peringkat awal penubuhan Arqam, belum ada slogan 

"Syeikh Suhaimi-Imam Mahdi" atau "Pemuda Bani Tamim", 
melainkan pengamalan Al-Quran dan As-Sunnah
 dalam kehidupan seharian. Duduk di pangkuan 
Haji Fadlullah ialah anak beliau, 
Wardina Safiyyah.
1986: Haji Fadlullah bersama keluarga beliau
di Malaysia. Wardina berbaju 'maroon',
duduk paling kanan.
Haji Fadlullah dan keluarga besar beliau.

Umat Islam tidak lari dari dunia, pun mereka tidak terpinga-pinga oleh dunia.” – Tuan Haji Fadlullah Wilmot, ‘Keindahan Islam’ (1981). 

Naskah ‘Keindahan Islam’ (Haji Fadlullah Wilmot).
Naskah ‘Keindahan Islam’ diterbitkan buat kali pertama pada 1981 dan dicetak buat kali kedua pada tahun 1984. Karya terbitan Adabi Publishing Sdn Bhd Kuala Lumpur ini, merupakan hasil karangan Haji Fadlullah Wilmot, seorang pendakwah yang terlibat dalam memberi bantuan kemanusiaan – dalam bentuk keperluan asasi, tempat tinggal dan pendidikan -- di kawasan-kawasan yang ditimpa bencana di seluruh dunia. Di dalam naskah ini, Haji Fadlullah Wilmot menegaskan bahawa para penulis atau sasterawan yang menganut agama Islam mempunyai peranan yang penting dalam usaha membangkitkan kembali keagungan umat Islam. Mereka harus menjadi pemikir dan penggerak agar umat Islam bangun kembali untuk meneguhkan keimanannya.

Selanjutnya, Haji Fadlullah menyatakan bahawa untuk menebus kembali keagungan lslam dan zaman kebanggaan bagi umat Islam, seluruh umat Islam harus sering disedarkan dan diasuh dengan sikap serius dalam usaha yang besar ini. Sikap yang terlalu berkiblat kepada Barat untuk mengejar kemajuan, harus diubah kerana angkatan sesuatu bangsa apabila hilang keperibadian bangsanya dan hancur ke dalam keperibadian yang lain, ertinya bangsanya itu telah lenyap dan musnah. Haji Fadlullah menerusi penulisannya menekankan bahawa Islam bukanlah semata-mata mengajarkan kepada penganutnya untuk mencari kehidupan akhirat sahaja. Kehidupan di dunia juga harus dikuasai, kerana apabila kita lemah di dunia, ibadat kita untuk akhirat akan terjejas. Islam sebenarnya mengkehendaki kesedaran dan keseimbangan. Apabila kita mengejar untuk akhirat, usaha mencari kebahagiaan di dunia janganlah dilupakan; demikian juga sebaliknya.

Dalam hal ini, Haji Fadlullah Wilmot melalui naskah ‘Keindahan Islam’ menegaskan bahawa kesenangan di dunia ini hendaklah dinikmati dalam rangka kesyukuran manusia kepada Penciptanya. Kehidupan ini adalah suatu kesempatan bagi manusia dalam menikmati dan mensyukuri segala yang dianugerahkan oleh ALLAH SWT. Hendaklah diinsafi bahawa dunia dan kehidupan ini adalah pemberian ALLAH SWT. Manusia diciptakan supaya hidup mengikut landasan-landasan yang wajar dan sihat. Manusia bebas menikmati kehidupan di dunia ini, tetapi mereka janganlah hendaknya menyakiti diri sendiri, manusia dan makhluk-makhluk yang lain. Menurut Haji Fadlullah lagi, sesuatu bangsa tidak mungkin mencapai kejayaan, kalau bangsa itu tidak mempunyai suatu gambaran yang jelas mengenai matlamat dalam kehidupan ini dan memberikan kepada kita cita-cita yang luhur. Tuntasnya, Islam memberikan kepada kita suatu gambaran yang jelas mengenai tujuan kita dalam hidup ini, dan suatu pedoman bagi dasar-dasar gerakan akhlak, masyarakat dan akal.

Latar Belakang Penulis ‘Keindahan Islam’.
Haji Fadlullah Clive Wilmot adalah seorang warganegara Australia tetapi dilahirkan di Southgate, England pada 21hb Ogos 1943. Beliau dilahirkan di England, tetapi berhijrah ke Australia sewaktu kecil bersama kedua ibu bapanya. Beliau merupakan lulusan Sarjana Muda Psikologi dan Sains Politik dari Universiti Tasmania. Di Universiti Tasmania, beliau memeluk Islam sewaktu berusia 20 tahun menerusi persahabatannya dengan rakan-rakan dari Asia. Selepas lulus daripada universiti tersebut dan mengajar untuk beberapa tahun, Haji Fadlullah menyertai Sukarelawan Luar Negara Australia atau Australia Volunteers Abroad (AVA). Selanjutnya, beliau terlibat dalam beberapa badan dan pertubuhan, antaranya sebagai: Presiden Persatuan Psikologi Universiti Tasmania; Pengasas, Pegawai Perhubungan Awam, Setiausaha Agung dan Presiden Gabungan Pelajar-Pelajar Islam Australia atau Australian Federation of Muslim Students Associations (AFMSA). Beliau juga pernah mewakili Australia ke Persidangan Belia Sedunia di Libya dan Persidangan Masjid Sedunia di Makkah, Arab Saudi. 

Pada tahun 1976, Himpunan Belia Islam Sedunia atau World Assembly of Muslim Youth (WAMY) yang beribu pejabat di Arab Saudi mengadakan Konvensyen Tahunan Ketiga di Riyadh, Madinah dan Makkah selama tiga minggu. WAMY menjemput dua orang wakil dari Australia mewakili AFMSA dan Australian Federation of Islamic Council (AFIC), badan yang menyatukan semua persatuan Islam di Australia. Malaysia ketika itu diwakili oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Datuk Ibrahim Ali mewakili Kesatuan Pelajar Islam Malaysia (KPIM) dan Almarhum Ustaz Fadzil Nor (mantan Presiden PAS).

Beliau pertama kali melawat Indonesia pada 1967, di mana kemudiannya dihantar oleh AVA untuk mengajar di beberapa buah universiti di Austalia dan Banda Aceh, Sumatera, dan bertemu dengan isterinya dan berkahwin pada 1972. Selain menjalinkan hubungan ikrab dengan pemimpin dan tokoh pejuang di Aceh, Haji Fadlullah turut belajar tentang sejarah dan bahasa Melayu Aceh di sana. Selepas tamat kontrak dengan AVA, beliau pulang semula ke Australia pada 1975, sebelum menetap di Malaysia kerana konflik yang melanda Aceh. Selama beberapa tahun di Malaysia dari 1977, beliau pernah bertugas di Yayasan Dakwah Islamiah Rantau Asia Tenggara dan Pasifik yang bertempat di Kuala Lumpur. Beliau juga merupakan mantan anggota Majlis Kebangsaan PERKIM, Naib Presiden PERKIM Cawangan Wilayah Persekutuan dan Pengerusi Jawatankuasa Buku PERKIM. 

Haji Fadlullah juga dikenali sebagai pendakwah. Selain aktif menyampaikan ceramah dan syarahan, beliau pernah menulis rencana dalam majalah ‘Qiblat’, ‘Dakwah’ dan ‘Widya’; di samping menyumbangkan tulisannya untuk rancangan radio dan televisyen di Malaysia dan Brunei. Beliau juga merupakan pengarang ‘The Current Islamic Movement’, editor ‘Role of Muslim as a Minority Community’, penterjemah ‘The Dilemme of Muslims Psychologists’, ‘The Quran and Modern Science’ dan ‘Marxism and Other Western Fallacies’. Sekitar 1990an, Haji Fadlullah pernah memegang jawatan selaku Pembantu Peribadi (Special Assistant) kepada Rektor Universiti Islam Antrabangsa (UIAM). Bertugas sebagai Ketua di Pejabat Rektor UIAM yang ditubuhkan pada 1985, Haji Fadlullah turut menyumbang kepada usaha untuk memberdayakan sistem jam kredit (credit hours) dan semester dengan dwi bidang utama (double majors). UIAM turut mempunyai dua buah kampus baru sewaktu beliau bertugas di sana. Tajaan juga diberikan kepada pelajar-pelajar miskin dari negara-negara Islam. Selepas bersara dari UIAM, Haji Fadlullah menjalankan perniagaan dan turut memberi syarahan berkenaan pengurusan kepada para eksekutif. Beliau merupakan jurulatih bertauliah daripada Institut Kepimpinan dan Pengurusan British (British Institute of Leadership and Management).

Rentetan Tragedi Tsunami di Aceh, Indonesia pada 26hb Disember 2004, beliau telah diminta oleh pemimpin Pertubuhan Muslim Aid yang beribu pejabat di Britain untuk membantu penduduk Aceh, di mana 200 orang saudara isterinya meninggal dunia, daripada 350,000 orang yang terkorban. Bantuan kemanusiaan yang asalnya dilakukan secara sambilan, akhirnya menjadi kerjaya tetap beliau. Daripada dua orang kakitangan dan sebuah kenderaan sewa, akhirnya beliau berjaya mengembangkannya kepada sebuah pertubuhan dengan 100 orang kakitangan dan sepuluh buah pejabat di seluruh Indonesia dan Kemboja. Tiga tahun di Aceh, Haji Fadlullah kemudiannya dihantar oleh Muslim Aid ke Bangladesh berikutan taufan ‘Cyclone’ yang melanda negara tersebut. Di Bangladesh, Muslim Aid mempunyai 700 orang kakitangan dan 75 buah pejabat di negara tersebut. Di samping bantuan kemanusiaan, isu kemiskinan dan pendidikan diberikan keutamaan oleh Muslim Aid, di mana 100 buah sekolah kecil dibina untuk anak-anak Bangladesh yang tidak mampu bersekolah keranan kemiskinan. Kemudian, beliau ditugaskan untuk menjadi Ketua Pengarah Islamic Relief di Pakistan sejak 2009, selepas banjir besar yang melanda negara tersebut.

************************************************

1 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...