Mustapha Sakmud: Dari Sepanggar ke Kementerian Pendidikan Tinggi
Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi, Majlis Belia Malaysia - MBM)
Rajin
bekerja beramal kuat,
Kepada Tuhan mengabdi diri;
Pemimpin setia berjiwa rakyat,
Sedia sepakat menjaga negeri.
Kepemimpinan adalah amanah yang cukup berat -
sarat dengan tanggungjawab dan kewajipan. Jawatan kepimpinan yang disandang
bukanlah satu keistimewaan, kelebihan atau kemegahan sebaliknya adalah suatu
amanah yang sangat berat dan memerlukan pengorbanan tinggi serta kerja keras
secara bersungguh-sungguh.
Tanggungjawab kepimpinan perlu dilaksanakan dengan
penuh strategi dan perancangan yang tertatur serta tersusun rapi demi mencapai
kemajuan, kesejahteraan dan kebahagiaan rakyat sama ada di dunia dan juga
akhirat. Menginsafi hal ini, seorang tokoh dari Sabah tampil demi memperjuangkan
nasib rakyat agar terbela kebajikan mereka.
Beliau yang dimaksudkan ialah YB
Datuk Ts. Mustapha Sakmud, kini memikul tanggungjawab selaku Timbalan Menteri
kepada Menteri Pendidikan Tinggi, YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Bin
Abdul Kadir.
Bersama pasangannya, Datin Hajah Rosnih Nasir - seorang pendidik di
sekolah; YB Mustapha dikurniakan 5 orang anak (3 lelaki dan 2 perempuan), di
samping seorang cucu. Dilahirkan pada 9 Julai 1968, tokoh ini sebelumnya
berkhidmat selaku Timbalan Menteri kepada Menteri Sumber Manusia ketika itu, YB
V. Sivakumar pada Disember 2022 hingga Disember 2023.
Sewaktu menabur bakti di
Kementerian Sumber Manusia (KSM), YB Mustapha cukup komited mengangkat
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang disifatkan sebagai
‘game changer’ atau pengubah keadaan dalam usaha negara untuk menjadi negara
maju. Beliau juga berikhtiar untuk memastikan segala inisiatif yang diambil oleh
kementeriannya akan memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia termasuk Sabah
dan Sarawak.
Ketika itu, YB Mustapha merupakan antara tujuh timbalan menteri
dari Sabah yang dilantik oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi
menjayakan kerajaan Perpaduan. Selepas 12 bulan berkhidmat di KSM, YB Mustapha
begitu komited menjayakan agenda Malaysia Madani bersama seluruh warga kerja
kementerian terbabit. Beliau dilihat begitu optimis dengan fokus kerajaan
Perpaduan untuk mengangkat darjat negara melalui kemakmuran ekonomi rakyat yang
dizahirkan menerusi rombakan kabinet yang lebih dinamik.
Justeru, di bawah
portfolio baharu yang diamanahkan kepadanya itu, beliau akan cuba memberi
perhatian kepada isu-isu yang dekat dengan pemegang taruh di bawah Kementerian
Pendidikan Tinggi (KPT). Sesuai portfolio baharu beliau di KPT, YB Mustapha
Sakmud menggariskan 10 fokus utama yang akan dilaksanakan termasuklah
memperkasakan TVET merentasi 12 kementerian.
Menerusi kenyataan medianya, beliau
menyebut akan memperkenalkan inisiatif Jejak TVET Madani. Tambahnya lagi,
inisiatif ini akan menonjolkan graduan institut pengajian tinggi (IPT) berbakat
besar dalam perusahaan dan merealisasi hasil inovasi IPT dipasar secara
komersial. Menurut beliau, kesedaran kesihatan mental akan terus dipromosikan
selain memperkasa kekuatan emosi dan spiritual pelajar. Katanya lagi, pelajar
dari keluarga miskin tegar dan pedalaman akan dibimbing oleh kementerian bagi
memastikan mereka dapat menamatkan pengajian mengikut tempoh yang telah
ditetapkan.
Ujar YB Mustapha, ketidakpadanan pekerjaan yang mengakibatkan guna
tenaga tidak penuh turut diberi perhatian. Beliau juga akan memastikan pelajar
yang menjalani latihan praktikal mendapat elaun yang setimpal; memastikan bakat
dalam negara mencukupi sebagaimana permintaan pelabur dan menurunkan kadar
pengangguran dalam kalangan belia yang kini pada 10.1 peratus.
Dipilih secara
demokratik selaku Ahli Parlimen Sepanggar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 sejak
November 2022, beliau meraih 27,022 undi meninggalkan pencabarnya yang lain
dengan majoriti undi sebanyak 7,042. Beliau juga mempunyai latar belakang
pendidikan yang cemerlang. Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan
Elektronik, University of Aberdeen, Scotland, United Kingdom (1992) ini juga
merupakan lulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Master of Business
Administration), Universiti Malaysia Sabah (UMS - 2007).
Sementelah, YB Mustapha
pernah bekerja sebagai Jurutera Instrumen, Sabah Forest Industries (SFI) pada
1992, Jurutera Telekom Malaysia Berhad dengan memegang jawatan Pengurus
Perancangan Asas Telekom Malaysia Berhad Wilayah Pantai Timur, Sabah
(1993-2013), Pengurus Syarikat Konsultasi MRES (sejak 2013), Ahli Lembaga
Pelancongan Sabah (2018-2020), Setiausaha Politik, Kementerian Pelancongan,
Kebudayaan dan Alam Sekitar, Sabah (2020) dan Ahli Majlis Daerah Kota Belud
(2018-2020).
Dalam penglibatan sosial, beliau pernah memegang jawatan sebagai
Presiden Majlis Belia Sabah (MBS) selama 2 tahun (2008-2010) selain berkhidmat
sebagai Exco Majlis Belia Malaysia (MBM) pada tahun 2007 hingga 2009.
Dalam hal
keagamaan pula, YB Mustapha Sakmud juga telah menyumbang amal bakti dengan memegang
jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Negeri Sabah (2007-2010).
YB Mustapha juga menerima gelaran Ts. iaitu gelaran
profesional bagi Juruteknologi Profesional yang diiktiraf oleh Lembaga
Teknologis Malaysia (MBOT). Ini merupakan salah satu mekanisme pengiktirafan
kepada teknologis dan juga juruteknik negara.
Pada 7 Oktober 2023, beliau telah
dianugerahkan Pengurniaan Darjah Kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu
(P.G.D.K) yang membawa gelaran Datuk bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun
Kelahiran Rasmi Yang Ke-70 Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Atas
kecemerlangannya sebagai pemimpin organisasi khususnya kebeliaan dan
kemasyarakatan, beliau diiktiraf Kerajaan Negeri Sabah apabila menerima Anugerah
Tokoh Belia Negeri Sabah pada tahun 2008. Tambahan lagi, beliau diberikan
Anugerah Khalid Al Walid sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah
pada 2009. Beliau juga merupakan penerima Anugerah Jasa Bakti Presiden Majlis
Belia Sabah (2008-2010) dan Anugerah Pingat Bakti Belia Malaysia (2018) daripada
Majlis Belia Malaysia dan Pengurniaan Jaksa Pendamai (2018).
Pada peringkat akar
umbi, YB Mustapha meneruskan kegiatan komunitinya dengan menubuhkan persatuan
Initiative For Generation (IFG - sejak 2013) dan Kinabalu Reform and Research
Initiative of Strategic Leadership (KRISTAL - sejak 2016) sebagai Pengerusi.
Penglibatan beliau dalam politik di Sabah adalah sebagai Timbalan Pengerusi,
Majlis Pimpinan Negeri (MPN PKR) Sabah (2016 - 2022). Beliau juga memegang
jawatan sebagai Exco Majlis Pimpinan PKR Pusat (MPP). Semenjak gabungan Pakatan
Harapan (PH) ditubuhkan, YB Mustapha telah dilantik sebagai Setiausaha Pakatan
Harapan Negeri Sabah sejak 2017.
Natijah kepimpinan adalah untuk membina dan
membangun insan yang sejahtera jiwa dan rohaninya, murni akhlak dan sikap, dan
bantu-membantu dalam melakukan kebaikan. Inilah masyarakat madani yang teguh
menegakkan kebenaran dan keadilan, selain berganding bahu mencegah kemungkaran.
Dan inilah yang sentiasa diikhtiarkan oleh YB Mustapha Sakmud dalam kempimpinan
beliau - khususnya untuk masyarakat Sepanggar yang sangat dekat dengan hati
beliau.
Pergi berjamu ditengok sopan,
Tutur dijaga orang pun hormat;
Negeri maju
penduduk pun aman,
Sentosa bersama berkat selamat.
Kain kembayat sulaman suasa,
Menyarung sampin corak bersilang;
Bahagia rakyat aman sentosa,
Dinaung pemimpin
adil terbilang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan