Selasa, Mei 13, 2014

Allahyarhamhu Pak Jamal Kerdil dan Nostalgia Mini Parlimen.


Allahyarhamhu Pak Jamal Kerdil dan 
Nostalgia Mini Parlimen.
Beruntung kanak-kanak yang pernah menjadi ‘Ahli Parlimen’ ketika era rancangan ‘Mini Parlimen’ diperkenalkan oleh kerajaan kira-kira dua dekad lalu. Beruntungnya mereka kerana berpeluang ‘membahaskan’ banyak perkara dan membuat keputusan ‘meluluskan’ pelbagai dasar di usia muda.
Sidang Mini Parlimen ketika itu dikendalikan oleh Speaker yang tidak asing lagi, Allahyarhamhu Jamal Muhamad atau Pak Jamal Kerdil, berjaya mendedahkan golongan itu terhadap erti demokrasi. Idea penerbitan program kanak-kanak itu dicetuskan ilhamnya oleh isteri mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.
Permulaan kepada penerbitan Mini Parlimen berlaku pada tahun 1983 apabila Tan Sri Sanusi Junid yang ketika itu Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hari Merdeka menghubungi beliau dan menyatakan idea penubuhan Mini Parlimen sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-26.
Sebetulnya, idea Mini Parlimen tercetus daripada Dr. Siti Hasmah yang baru pulang dari luar negara. Sebaik menerima tugasan itu, tiada apa lagi yang mampu difikirkan selain daripada terkejut kerana harus mengemudi projek Kerajaan Pusat bernilai RM100,000 itu.
Dalam ucapan perasmian siding mini parlimen pada 1986, Tun Dr Siti Hasmah berkata, “Ambilah peluang ini untuk membincangkan isu-isu kepentingan kanak-kanak. Bincang isu-isu kepentingan negara dan keluarkan pendapat mengenai masalah-masalah yang dihadapi oleh negara dan rakyat Malaysia, dari kaca-mata kanak-kanak.”
Sementelahan, antara rancangan popular terbitan Pak jamal ialah ‘Taman Kanak-Kanak’, ‘Pesta Pop’, serta ‘ Pentas Aneka’. Rancangan Taman Kanak-Kanak yang dikendalikan Pak Jamal cukup popular sejak tahun 1961 hingga 1995. Program Taman Kanak-Kanak bukan setakat disiarkan di Rangkaian Nasional malah disiarkan serentak di Rangkaian Biru (bahasa Inggeris), Rangkaian Merah (Tamil) dan Rangkaian Hijau (Mandarin). Bagaimanapun, pada tahun 1985, Taman Kanak-Kanak mula menemui penonton di televisyen.
Kerana rancangan itu begitu mesra dengan kanak-kanak menyebabkan Pak Jamal pantang ditemui oleh golongan itu. Andai Pak Jamal bersua dengan kanak-kanak, dia tidak akan ‘dilepaskan’ begitu sahaja. Sebaliknya, Pak Jamal perlu melayani pelbagai pertanyaan dan telatah kanak-kanak.
Beliau juga pernah menghadiri Mesyuarat Seluruh Komanwel Orang-Orang Kerdil di Sydney, Australia serta berpeluang mengikuti kursus di Channel 10, Australia Broadcasting Corporation (ABC) selama sebulan pada tahun 1977.
Rancangan setengah jam Taman Kanak-Kanak yang disiarkan di Rangkaian Nasional setiap Sabtu pukul 11.30 pagi dan bersiaran selama 44 tahun, dihentikan selepas Pak Jamal bersara dari RTM pada tahun 1995.
Bulan Februari 1983, Pak Jamal merancang dan mengatur strategi selama tiga bulan dan mengambil masa hanya 14 hari untuk melatih kanak-kanak dengan bilangannya mesti sama banyak dengan Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri iaitu 180 orang. Peserta Mini Parlimen juga diberikan peluang untuk menyertai perbarisan Hari Merdeka di Dataran Merdeka selama 10 tahun bermula 1983.
Mini Parlimen era Pak Jamal bagaimanapun, hanya bersidang setiap kali negara menyambut Hari Kebangsaan dan lazimnya ia diadakan di Dewan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Angkasapuri. Sidang pertama Mini Parlimen dirasmikan oleh Dr. Siti Hasmah iaitu individu yang mencetuskan idea penubuhan sidang kanak-kanak itu.
Sebelum bertugas dengan RTM pada tahun 1960, Pak Jamal pernah menjalani uji bakat di Singapura pada tahun 1957 dengan bantuan Allahyarham Nordin Ahmad untuk mendapatkan peluang berlakon filem terbitan Cathay Keris arahan K.M. Basker, Mercedez.
Beliau juga pernah berlakon filem ‘Sabaruddin Tukang Kasut’ dan ‘Jambatan Maut’. Selain berlakon, Pak Jamal juga berbakat dalam bidang nyanyian dan bersama Datuk Ahmad Jais dan Idrus Daud pernah menyertai pertandingan menyanyi dan mendapat tempat ketiga dengan menyanyikan lagu ‘Gunung Banang’.
Kebahagiaan hidup beliau turut ditambah dengan kehadiran tiga orang anak, serta lapan orang cucu.
Beliau disahkan mengidap penyakit ankylosing spondylitis yang menyebabkan tulangnya semakin membengkok sejak berusia 61 tahun. Pak Jamal, anak jati Kampung Baru dan dilahirkan di Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur lebih banyak menghabiskan usianya di atas katil kerana tidak boleh bergerak secara bebas. Di samping itu, Pak Jamal yang pernah menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara pada tahun 1997 juga menjalani rawatan lanjutan di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Putrajaya untuk penyakit tulang belakangnya.
Allahyarhamhu Jamal Muhamad akhirnya meninggal dunia di wad unit rawatan rapi (ICU), Hospital Putrajaya pada kira-kira pukul 11 pagi ketika berusia 75 tahun, selepas mengadu sesak nafas. Beliau sebelum itu dilaporkan beberapa kali dimasukkan ke hospital kerana mengalami komplikasi jantung dan paru-paru serta sakit tulang belakang.
Jenazah beliau dibawa ke Masjid Jameatussolehah di pekan Dengkil untuk urusan pengebumian. Al-Fatihah sekudusnya, buat Allahyarhamhu Pak Jamal.
------------------------------------------
Sumber:
  1. http://www.pmo.gov.my/ucapan/?m=p&p=sitihasmah&id=1881;
  2. http://motivasiminda.wordpress.com/2009/11/13/mini-parlimen-menjadi-wakil-rakyat-23-tahun-lalu/;
  3. http://www.astroawani.com/news/show/pak-cik-jamal-mini-parlimen-meninggal-dunia-35358;
  4. http://www.sinarharian.com.my/ahmad-shabery-ziarah-speaker-mini-parlimen-1.236193;
  5. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?dt=1130&pg=hi_02.htm&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&y=2009.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...