Terengganu FA, Juara Piala Malaysia 2001.
Dalam pertandingan Suku Akhir yang
berlangsung pada 16hb dan 20hb Oktober, Perak menewaskan Negeri Sembilan dengan
agregat 5-2; Pahang menewaskan Perlis 4-3; Terengganu mengalahkan Selangor 5-3;
dan Kelantan seri 2-2 dengan Pulau Pinang (dan menang penalti 5-4). Di Kuala
Terengganu dan Terengganu dan Selangor terikat dengan jaringan 2-2 hasil 2
jaringan Sapian Wahid dan 2 gol Yusri Che Lah. Pada perlawanan perlawanan kedua
di Shah Alam, Terengganu dengan mudah menundukkan Selangor 3-1 hasil jaringan
Rosdi Talib, Wan Rohaimi, dan Subri Sulong. Terengganu layak ke separuh akhir
dengan aggregat 5-3.
Sementara itu, pada peringkat Separuh
Akhir yang berlangsung pada 23hb Oktober dan 27hb Oktober, Perak mengalahkan
Pahang dengan agregat 3-1; manakala Terengganu menang ke atas seteru Pantai
Timur, Kelantan 3-1. Terengganu mengecewakan Kelantan 2-0 di Kuala Terengganu
hasil jaringan Sapian Wahid dan Nafuzi Zain. Hasrat Kelantan untuk bangkit di
Kota Bharu tidak kesampaian apabila Terengganu berjaya mengikat Kelantan 1-1
hasil jaringan Sapian Wahid. Terengganu meneruskan langkah cemerlang mereka
dengan melayakkan diri ke final Piala Malaysia 2001.
Lawan yang akan ditentang di pentas final
oleh Terengganu adalah juara bertahan Perak. Mereka telah pun bertemu pada
peringkat kumpulan di mana Terengganu menundukkan Perak 2-1 di Kuala Terengganu
dan tumpas 0-3 di Ipoh. Raja Muda Perak, Tengku Nazrin telah mengucapkan
tahniah kepada pemain Perak selepas pasukan itu berjaya melayakkan diri ke
perlawanan akhir Piala Malaysia dengan menewaskan Pahang, 3-0 di Kuantan. Perak
mara dengan agregat 3-1.
Kehangatan perlawanan akhir bola sepak
Piala Malaysia antara Perak dengan Terengganu hampir sampai ke kemuncaknya
apabila 80,000 tiket perlawanan itu habis dijual sejak 2hb November 2001.
Perlawanan ‘menebus maruah dan edisi balas dendam’ di Stadium Nasional, Bukit
Jalil itu bermula pukul 8.45 malam, 3hb November 2001. Pertemuan kedua-dua
pasukan kali ini ialah ulangan perlawanan akhir pada 1998 di mana Perak menang
dengan keputusan 5-3.
Perak yang merupakan juara bertahan
menjadi pasukan pertama tiba di Kuala Lumpur dan menjalani latihan sejam di
Stadium Nasional untuk menyesuaikan diri dengan keadaan padang. Terengganu pula
tiba keesokna harinya.
Ribuan peminat masih mengerumuni kaunter
tiket tetapi hampa apabila diberitahu tiket sudah habis. Kehabisan tiket itu
mengakibatkan peminat mula naik berang apabila salah seorang daripadanya
didakwa cuba menjual tiket pasaran gelap dengan harga yang mahal di pekarangan
stadium berkenaan. Mereka bertindak menahan seorang lelaki yang dipercayai
menjual tiket berkenaan di Stadium Nasional manakala dua lelaki lain yang
dipercayai rakan lelaki terbabit bagaimanapun melarikan diri dengan sebuah
kereta.
Lelaki berusia lewat 30-an itu kemudian
diserahkan kepada polis untuk siasatan. Difahamkan lelaki berkenaan menjual
tiket pada harga antara RM35 hingga RM40 bagi tiket berharga RM20 kepada
penyokong yang gagal memperoleh tiket daripada kaunter. Sementara itu, beberapa
buah bas yang membawa penyokong kedua-dua pasukan juga sudah mula kelihatan di
ibu kota pada 2hb November 2001.
Dalam pada itu, Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) merayu peminat Perak dan Terengganu agar tidak menimbulkan
kekecohan sewaktu perlawanan berlangsung. Setiausaha Agungnya, Datuk Dell
Akhbar Khan berkata, penonton diharap tidak mempamerkan bendera mewakili
ideologi politik masing-masing, selain daripada bendera negeri masing-masing
atau Jalur Gemilang. Beliau yang juga Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur
berkata, penyokong Terengganu akan ditempatkan di sebelah kiri pintu masuk
utama (berdekatan stesen LRT) manakala Perak di sebelah kanan (berhampiran
pejabat MSN).
Seramai 550 anggota polis pelbagai unit ditugaskan
untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.
Ketika itu, timbul kontroversi terhadap
FAM yang didakwa bersikap sambil lewa ketika menyempurnakan anugerah Kasut Emas
kepada penyerang Skuad Seladang, Norizam Ali Hassan.
Dalam aksi final tersebut, Terengganu
mencipta sejarah baru dalam kancah bola sepak Piala Malaysia apabila menjulang
trofi paling berprestij itu buat pertama kali dalam tempoh 80 tahun, selepas
menewaskan Perak 2-1 pada perlawanan akhir yang mendebarkan di Stadium
Nasional, Bukit Jalil.
Perlawanan itu adalah percubaan kali
keempat Terengganu sepanjang tempoh kempen Piala HMS Malaya yang bermula pada
1921 dan Piala Malaysia pada 1967. Sebelum itu, skuad yang dikenali dengan
gelaran Penyu tewas dalam tiga perlawanan akhir. Mereka tewas kepada Selangor
pada 1973 dan 1982 dan kalah kepada Perak pada 1998. Tahun 2001, penyu tidak
menangis lagi.
Kejayaan itu juga berjaya menebus dendam
kekalahan kepada Perak pada aksi akhir kali ke-32 di Stadium Nasional pada
1998. Kerajaan Negeri turut mengisytiharkan cuti umum pada 4hb November 2001
sebagai meraikan kejayaan bersejarah itu.
Pada perlawanan tersebut, pemain tengah
Terengganu, Hairuddin Omar yang juga ketua pasukan Bawah-23 mendapat hadiah
bonus apabila terpilih sebagai pemain terbaik perlawanan. Pemain itu turut
muncul sebagai penjaring terbanyak pasukannya dalam kempen Piala Malaysia
dengan jumlah enam gol.
Dalam Final 2001, pasukan Mat Zan Mat
Aris dikejutkan pada minit 16 oleh rembatan leret Rafdi Rashid pada minit ke-17
dari luar kotak penalti yang menerjah jaring gol Terengganu. Tersentap dengan jaringan
itu, Terengganu meningkatkan tempo serangan mereka yang diketuai oleh Hairuddin
Omar dan Sapian Wahid untuk mencari gol kemenangan.
Beraksi di hadapan kira-kira 90,000
penonton, kedua-dua pasukan bermain agak gugup pada babak awal permainan
sebelum mendapat rentak selepas memasuki suku jam. Pada separuh masa kedua, Wan
Rohaimi ditarik di dalam kotak dan pengadil menghadiahkan sepakan penalti untuk
Terengganu dan dengan mudah disempurnakan oleh Rosdi Talib pada minit ke-56 untuk
gol penyamaan.
Sapian Wahid menjadi wira skuad penyu
dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-59, hasil hantaran lambung Wan
Rohaimi dan Sapian Wahid yang hanya mempunyai sedikit ruang dari tepi gol berjaya
menolak masuk bola menewaskan penjaga gol Perak. Dengan kemenangan itu, pasukan
Terengganu akhirnya berjaya memahat nama mereka selaku pasukan yang pernah
menjuarai Piala Malaysia selepas 3 kali hanya mampu bergelar naib juara.
Akhirnya, Terengganu berjaya bergelar
juara Piala Malaysia pada tahun 2001. Tarikh keramat 3 November 2001 pasti
diingati oleh semua penyokong skuad penyu yang menyaksikan mereka menewaskan
Perak 2-1 di Stadium Bukit Jalil untuk membawa pulang Piala Malaysia buat
pertama kalinya ke bumi Terengganu.
Bagi Perak, mereka gagal mempertahankan
kejuaraan yang disandang musim 2000. Piala Malaysia 2000 merupakan edisi
ke-74 Piala Malaysia. Kejohanan ini bermula pada 22hb Ogos 2000. Sebanyak
14 buah pasukan negeri dan sebuah pasukan kelab terbaik menyertai edisi pada
kali ini. PDRM FA dan ATM FA tidak menyertai edisi kali ini.
Perak yang memiliki lebih pengalaman pada
pentas akhir berbanding Terengganu, nyata gagal mengulangi kejayaan mereka
musim 2000; ketika Terengganu jelas lebih konsisten sepanjang kempen Liga Perdana
dan Piala Malaysia, musim 2001. Aksi di padang nyata menggambarkan kekecewaan
Perak biarpun Rafdi, penyerang berusia 23 tahun yang beraksi untuk Kedah musim
ini, tetapi dipinjam Perak untuk kempen Piala Malaysia, menceriakan penyokong
Seladang dengan gol pembukaannya.
Pada edisi 2000, format empat kumpulan
dengan empat pasukan setiap kumpulan digunakan. Juara kumpulan akan mara ke
suku akhir manakala naib juara terbaik akan mengiringi juara kumpulan ke suku
akhir. Pada 15hb Oktober 2000, Perak menewaskan Negeri Sembilan, 2-0 di Stadium
Shah Alam untuk menjulang trofi Piala Malaysia.
- PERAK: Azlishan Ibrahim, A. Victor, Chan Kok Heng, Ahmad Shahrul Azhar, Chan Wing Hoong, Azrul Amri Burhan (Norizam Ali Hassan), Indraz Putra Mahayudin, Syamsul Saad (Faizal Zainal), K. Nanthakumar, Mohd. Rafdi Rashid, Khalid Jamlus.
- TERENGGANU: Zubir Ibrahim, Subri Sulong, Abd. Ghani Malek, Mohd. Nafuzi Zain (Nor Fazly Alias), Sapian Wahid (Alfian Aziz), Rosdi Talib, Wan Rohaimi Ismail, Zulharisam Awang, Marzuki Yusof, Faziallah Mamat, Hairuddin Omar (Shahrulnizam Sahat).
Sumber:
- Majalah Arena Bola Sepak;
- https://www.facebook.com/almie.mohd?fref=ts;
- http://www.utusan.com.my;
- http://hangbola.blogspot.com/2011/10/retro-terengganu-juara-piala-malaysia.html;
- http://myfcf.blogspot.com/2011/10/terengganu-2001-mizuno-home-jersey.html;
- https://www.facebook.com/shahrul.solskjaer;
- http://www.rsssf.com/tablesm/malay01.html;
- http://myfcf.blogspot.com/2011/11/perak-2001-umbro-home-jersey.html.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan