4hb Mei 2014: Terengganu ikat Gergasi
Merah, 0-0.
4hb Mei 2014: Alhamdulillah,
Sahabat Kelab
Jersi Kita (KJK) dan Retro Bola Sepak (RBS)
berkesempatan menyaksikan perlawanan Liga Super di antara Selangor FA dan
Terengganu FA di Stadium Shah Alam. Untuk rekod, Terengganu FA tidak pernah
berjaya mengutip 3 mata penuh di Stadium Shah Alam sejak tahun 2008.
Kesebelasan utama Selangor ialah: Farizal
Marlias, Bunyamin Umar, Shahrom Kalam, Rizal, Azmi Muslim, Shukur Jusoh, S.
Veenod, Andik Vermansah, S. Kunanlan, Thamil Arasu, dan Paulo Rangel. Pemain
simpanan pula ialah: Hamsani Ahmad, Hazwan Bakri, Hadi Yahya, Nazmi Faiz, Afiq
Azmi, Fittri Shazwan, dan P. Rajesh.
Selangor gagal memanfaatkan kelebihan
beraksi di laman sendiri apabila sekadar mencatat keputusan seri 0-0 ketika
menentang Terengganu pada aksi Liga Super tersebut. Keputusan tersebut
menyaksikan skuad Gergasi Merah kini kekal di tangga kedua liga dan berkongsi
28 mata dengan pendahulu, Pahang dan mereka hanya dipisahkan menerusi perbezaan
jaringan.
Dalam aksi di depan kira-kira 25,000
penyokong, kedua-dua pasukan mengamalkan corak permainan berhati-hati dan
permainan lebih banyak berlegar di kawasan tengah padang. Beraksi di hadapan penyokong
sendiri yang ramai ternyata gagal dimanfaatkan barisan pemain Selangor apabila
sekadar melakukan beberapa percubaan tepat pada separuh masa pertama. Antaranya,
menerusi rembatan kencang pemain import dari Indonesia, Andik Vermansyah yang
terus ke dakapan penjaga gol Terengganu, Mohd Syarmiza Yusoff.
Selangor menerusi kapten, Mohd. Bunyamin
Umar hampir berjaya mendahului perlawanan tetapi pemain kelahiran Kedah itu
gagal memanfaatkan hantaran A. Thamil Arasu apabila penjaga gol Terengganu,
Mohd. Sharmizal Yusof mudah menangkap percubaan tepat tersebut pada minit
ke-30.
Skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim
hampir berjaya membolosi gawang Selangor menerusi dua percubaan tepat daripada
Javier Estupinan namun percubaan itu masih gagal menembusi pintu gol skuad
Gergasi Merah pada minit ke-48 dan 53.
Bersambung babak kedua, pengendali
Selangor, Mehmet Durakovic yang menyedari kelemahan jentera tengah skuad itu
bertindak memasukkan kali pertama perancang tengah, Nazmi Faiz Mansor. Kemasukan
bekas pemain PKNS FC itu jelas membawa perubahan kepada tempo permainan
Selangor yang terus melakukan gerakan lebih berbahaya pada 25 minit terakhir
perlawanan.
Bagaimanapun, keampuhan benteng skuad
Sang Penyu yang diketuai Vincent Bikana nyata sukar ditembusi sehingga
menenggelamkan kelibat penyerang import, Paulo Rangel yang masih segar dengan
ledakan hatrik ketika menewaskan Maziya SRC pada perlawanan terakhir Piala AFC,
akhir bulan lalu.
Kedua-dua pasukan saling mengasak benteng
pertahanan masing-masing tetapi keputusan tanpa jaringan kekal sehingga tamat
perlawanan. Keputusan tersebut dilihat adil buat kedua-dua pasukan selepas
berehat selama dua minggu. Berikut merupakan baki perlawanan
Selangor untuk Liga Super 2014:
BULAN MEI DAN JUN 2014:
- 10hb Mei 2014: Selangor lawan Pahang (Stadium Darul Makmur);
- 17hb Mei 2014: Selangor lawan Sime Darby (Stadium Shah Alam);
- 24hb Mei 2014: Selangor lawan JDT (Stadium Shah Alam);
- 10hb Jun 2014: Selangor lawan Terengganu, (Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah);
- 13hb Jun 2014: Selangor lawan ATM (Stadium Shah Alam);
- 17hb Jun 2014: Selangor lawan Kelantan (Stadium Sultan Muhammad IV);
- 21hb Jun 2014: Selangor lawan Sarawak (Stadium Shah Alam);
- 25hb Jun 2014: Selangor lawan PKNS (Stadium Shah Alam).
-----------------------------------------------
Sumber:
- https://www.facebook.com/selangorfanatik;
- https://www.facebook.com/UltraSelCurva?fref=ts;
- https://www.facebook.com/groups/432310200203275/?fref=ts;
- https://www.facebook.com/selangorfc?fref=ts;
- https://www.facebook.com/asianadotmy?hc_location=timeline;
- https://www.facebook.com/UKOUTLAWMANIA;
- http://www.bharian.com.my/bharian/articles/LigaSuper_Selangorputihmatalagi/Article/;
- http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz30pt5Am4h.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan