Rabu, Mei 28, 2014

‘Wacana Pemikiran Dakwah dan Perjuangan Buya Hamka’ di Kolej Dar Al-Hikmah (KDH), Kajang.


Logo Wadah Pencerdasan 
Umat (WADAH)
Dato' Dr Siddiq Fadzil, mantan 
Presiden ABIM, Presiden WADAH serta 
Presiden Kolej Dar al Hikmah (KDH).

Logo 
Presiden ABIM:
Cikgu Haji Amidi Abdul Manan

Juga mantan Presiden PKPIM.
Tuan Haji Md Fuad Bahari
Ketua Pengarah Eksekutif 
(CEO), KDH.
Ahli Lembaga Majlis 
Tertinggi KDH.
Logo KDH.
Kepala surat dan logo IPI. 
Kenangan.

KDH dahulunya dikenali sebagai 
Institut Pengajian Ilmu-Ilmu 
Islam (IPI).
Sekitar 
Kompleks Dar al-Hikmah.


Saudara Fazril Saleh
Timbalan Presiden 
PKPIM.
‘Wacana Pemikiran Dakwah dan Perjuangan Buya Hamka’ di Kolej Dar Al-Hikmah (KDH), Kajang.
I
Orang yang berbahagia ialah orang yang merintis kehidupannya menuju kampung halaman.” -- Almarhum Buya Hamka. 
Alhamdulillah, pada 28hb Mei 2014, ‘Wacana Pemikiran Dakwah dan Perjuangan Buya Hamka’ telah dianjurkan dengan topik menarik, “Dalam Kenangan: Pesanan Seorang Ayah (Buya Hamka)”. Program ini dianjurkan di Kolej Dar Al-Hikmah (KDH), Jalan ABIM, Sungai Ramal Dalam, Kajang. Selangor, secara bersama oleh Akademi Pendidikan Demokrasi dan Kewarganegaraan; Wadah Pencerdasan Umat (WADAH)Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM); dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
Wacana ini telah dipengerusikan oleh Saudara Saudara Fazril Saleh, Timbalan Presiden PKPIM. Dua tokoh yang dijemput untuk membuat perkongsian ialah anak kepada Almarhum Prof. Dr. Haji Abdul Malik Karim Amrullah (Hamka) sendiri, Pak Afif Hamka dan Pak Hanif Rasyid (anak kepada Buya Haji Ahmad Rasyid Sutan Mansur). Pak Afif Hamka merupakan putera ke-9 Almarhum Prof. Dr. Hamka.

II
Dato’ Dr Ustaz Siddiq Fadzil
Dalam ucapannya, Presiden WADAH, Dato’ Dr Ustaz Siddiq Fadzil dengan tegas menyatakan bahawa, “Hamka seorang manusia yang besar walaupun ada yang mengecilkannya. Hamka adalah tokoh ilmuan yang ensiklopedik: dengan ilmunya yang meliputi pelbagai bidang. Beliau adalah seorang tokoh yang sangat inspiring dan sebagai ikon dalam konteks keberanian intelektualnya.”
Ustaz Siddiq turut mengimbau bahawa Hamka mempunyai erti tersendiri buat beliau kerana pernah dianugerahkan ‘Anugerah Media Islam Negara (Indonesia)’ lantaran menulis sebuah makalah berkenaan Hamka.
Ketika ‘Seminar Pemikiran Hamka’ yang dianjurkan oleh dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 28hb April 2001, Ustaz Siddiq membentangkan bahawa, “Sebagai ulama, Hamka cukup memahami persoalan mengaplikasikan Islam dalam konteks sosiobudaya Melayu. tulisan-tulisannya tentang agama tidak sekadar pemaparan ajaran Islam dalam bentuk teks tanpa konteks. Beliau ternyata cukup peka dengan realiti zaman dan lingkungannya dan berusaha membuktikan bahawa Islam memang sesuai dengan setiap masa dan nusa.” 
Tambah beliau lagi, “Tafsir al-Azhar yang monumental itu banyak sekali mengandungi bahan-bahan tempatan baik berupa sejarah mahupun budaya serantau. Dalam kaitan ini, beliau membahas masalah-masalah seperti pusaka tinggi dalam Adat perpatih dan isu raja-raja perempuan dalam sejarah kesultanan Aceh. Mungkin inilah yang disebut sebagai fikah Indonesia seperti yang digagaskan oleh rakan seangkatannya. Hasbi al-Siddiqi. Hamka tampaknya kecewa kebudayaan Islam rantau ini kurang diperkenalkan ke dunia luar.”
Nyatalah Hamka memang tokoh istimewa yang bersifat multidimensi; sasterawan-sejarawan, ilmuwan-budayawan dan ulama pemikir yang terkenal sebagai singa podium dan pahlawan pena. Memang Hamka orang Indonesia, tetapi lebih daripada itu dia adalah seorang Muslim dan seorang Melayu yang sepanjang hayatnya berjuang demi memartabatkan umat yang serumpun seagama, serantau sebudaya. Cinta dan kebaktiannya tidak pernah mengenal persempadanan, baik politik mahupun geografi.”

III
Almarhum Prof. Dr. Haji Abdul Malik Karim Amrullah (Buya Hamka)
Hamka mendapat pendidikan awal agama dari Madrasah Tawalib yang didirikan oleh bapanya. Selepas itu, beliau berguru pula kepada Sheikh Ibrahim Musa di Bukit Tinggi. Dalam tahun 1924, Hamka yang berhijrah ke Jawa sempat menuntut pula kepada pemimpin gerakan Islam Indonesia seperti Haji Omar Said Chakraminoto. Lain-lain gurunya ialah Haji Fakharudin, Ki Bagus, Hadi Kesumo dan iparnya sendiri, iaitu Rashid Sultan Mansur.
Hamka telah menyertai Gerakan Muhamadiyah dan menerajui kepimpinan pertubuhan itu di Padang Panjang tahun 1928. Hamka bergiat aktif bagi menentang gejala khurafat, bidaah dan kebatinan sesat di sana. Beliau menubuhkan Madrasah Mubalighin pada 1929 dan dua tahun berikutnya, Pak Hamka berpindah pula ke Kota Makasar, Sulawesi untuk menjadi pimpinan Muhamadiyah.
Keistimewaan Pak Hamka ialah kebolehannya menulis novel dan menghasilkan kitab-kitab agama yang terkenal. Berikut ialah beberapa buah buku karangan tersebut: ‘Kitab Agama dan Falsafah’; ‘Tafsir Al Azhar (30 Juz)’; ‘Khatib Ul Ummah’ (1925); ‘Tarikh Abu Bakar As Sidiq’; ‘Tenggelamnya Kapal Vanderwick’; ‘Dalam Lembah kehidupan’; ‘Di Bawah Lindungan Kaabah’; ‘Ringkasan Tarikh Umat Islam’; ‘Islam dan Adat Minangkabau’; ‘Tasawuf Moden’; Majalah ‘Kemahuan Zaman’ (1929); ‘Al Mahdi’ (1933); dan ‘Panji Masyarakat’ (1959).
Keilmuan dan ketokohan yang ada pada beliau mendorong beberapa buah universiti mengambilnya sebagai pensyarah dalam bidang agama dan falsafah. Antara universiti itu ialah Universiti Islam Jakarta, Universiti Mohamadiah Sumatera Barat, Universiti Islam Pemerintah di Jogjakarta dan Universiti Islam Makasar. Bagi mengiktiraf keilmuannya, Universiti Al Azhar, Mesir telah menganugerahkan Doktor Kehormat dalam tahun 1958 dan beliau turut menerima ijazah Doktor Persuratan UKM pada 7hb Jun 1974. Ulama’ istimewa ini kembali menemui Al-Khaliqnya sewaktu berusia 72 tahun pada 24hb Julai 1981, pada jam 11.10 pagi waktu Malaysia. 

IV
Almarhum Buya Haji Ahmad Rasyid (AR) Sutan Mansur
Sutan Mansur terkenal sebagai penulis yang produktif. Daripada beberapa tulisannya antara lain berjudul: ‘Jihad’; ‘Seruan Kepada Kehidupan Baru’; ‘Tauhid Membentuk Kepribadian Muslim’; dan ‘Roh Islam’. Dalam tulisannya, jelas bahawa beliau ingin mencari dan menyampaikan mesej Islam yang sebenar yang tercakup dalam fahaman yang murni dan luhur.
M. Yunus Anis, dalam salah-satu kongres gerakan Muhammadiyah mengatakan bahawa di dalam Muhammadiyah ada dua bintang: ‘Bintang Timur’ adalah Kiyai Haji Mas Mansur dari Surabaya, Ketua Pimpinan Pusat Muhammadiyah 1937-1943. ‘Bintang Barat’ pula adalah adalah Sutan Mansur dari Minangkabau, ketua Pimpinan Pusat Muhammadiyah 1953-1959.
Sutan Mansur menghembuskan nafas terakhir pada hari Isnin, 25hb Mac 1985 yang bertepatan dengan 3hb Rejab 1405H, di Hospital Islam Jakarta dalam usia 90 tahun. Seorang ulama’, pendakwah, pendidik, dan pejuang kemerdekaan ini setiap pagi Ahad sehingga akhir hayatnya, senantiasa menyampaikan kuliah agama, terutama tentang Tauhid di ruang pertemuan Gedung Muhammadiyah, Jalan Menteng Raya 62, Jakarta.

Naib Presiden ABIM dan Pengerusi
Malaysia Life Line For Syira (MLL4S), Saudara Jufitri Joha,
bergambar kenangan bersama Pak Afif Hamka. Saudara
Jufitri juga merupakan Penerima Anugerah Perdana
Belia Negara (Kategori Lelaki) 2014.
V
Pak Afif Hamka
Sementara itu, Pak Afif Hamka tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya di atas penganjuran program tersebut. Menurut beliau, “…Ini merupakan kali ketiga saya berkunjung ke Malaysia bagi tahun ini (2014). Bagi kali ini, dalam program yang diaturkan, saya menanti-nanti acara kita pagi ini.”
Selanjutnya, Pak Afif menerangkan betapa Buya Hamka sangat mementingkan perihal solat, di mana tokoh besar tersebut sangat prihatin dengan waktu solat meskipun ketika berada dalam keadaan gering. Malahan, menurut beliau, Hamka koma selepas menunaikan Solat Subuh. Ketika Buya Hamka terlantar koma, ramai yang hadir bagi membacakan talkin untuknya, termasuklah ulama’ besar Nusantara, Pak Muhammad Natsir (Almarhum).
Buya, apakah bapak bisa mendengar talkin yang kita bacakan ini?” Tanya Pak Afif Hamka kepada Buya Muhammad Natsir, pada saat-saat akhir sebelum pemergian Buya Hamka. Jawab Pak Natsir, “…walau telinganya tidak mendengar, hatinya mendengar.”
Seterusnya, Pak Afif mengimbau, dalam keadaan sebak, betapa wajah Buya Hamka kelihatan sangat bersih dan tersenyum ketika menghembuskan nafas terakhir, meskipun ketika gering, wajahnya agak menyedihkan. Beliau juga melahirkan rasa bersyukur kerana meskipun ramai pihak yang tidak pernah bertemu atau mengenali Hamka secara peribadi, ilmu yang disampaikan oleh beliau mekar di dalam hati dan sanubari masyarakat terbanyak. Malahan, sehingga ke hari ini, masih ramai yang membuat diskusi  berkenaan pemikiran Hamka.
Mengulas berkenaan dua buah karya terkenal Hamka yang diangkat ke layar perak, Pak Afif menghargai usaha yang dilakukan oleh penggiat filem tersebut, tetapi menyatakan bahawa jalan ceritanya ‘kehilangan jiwa Hamka’. Dua buah karya tersebut ialah ‘Tenggelamnya Kapal Van der Wijck’ dan ‘Di Bawah Lindungan Kaabah’.

VI
Novel ‘Tenggelamnya Kapal Van der Wijck’
Karya ‘Tenggelamnya Kapal Van der Wijck’ melukiskan suatu kisah cinta yang tak kesampaian antara dua muda-mudi, dan berakhir dengan kematian. Suatu cerita fiksyen romantik, yang digubah demikian menarik, dijalin dengan bahasa sastera yang indah. Jalan ceritanya dilatar-belakangi dengan peraturan-peraturan adat pustaka yang kukuh-kuat Minangkabau, dalam suatu negeri yang bersuku dan berlembaga, berkaum kerabat dan berninik-mamak.
Suatu kisah cinta yang murni, yang dilandasi keikhlasan dan kesucian jiwa, yang patut dijadikan pedoman, kerana kerap terjadi di dalam masyarakat. Novel itu berkisah tentang ‘Zainuddin’, yang gagal mempersunting Hayati karena perbedaan suku dan strata sosial. Zainuddin, yang berdarah campuran Minang-Bugis, dianggap tidak sesuai mengahwini ‘Hayati’, orang Minang tulen keturunan pemuka suku di Batipuh, Padangpanjang, di negeri Minangkabau. Zainuddin berusaha menongkah arus feudal ketika itu.

VII
Novel ‘Di Bawah Lindungan Kaabah
Di Bawah Lindungan Kaabah’ pula menceritakan tentang kisah percintaan antara ‘Hamid’ dan ‘Zainab’, yang sama-sama jatuh cinta tetapi terpisah kerana perbezaan darjat, hingga Zainab yang dihadapkan oleh permintaan ibunya agar menikah dengan laki-laki yang telah dipilihkan. Pada akhir cerita, Hamid memutuskan pergi ke Mekah, kemudian terus beribadah hingga akhirnya meninggal di hadapan Kaabah setelah mengetahui Zainab meninggal dunia.

VIII
Pak Hanif Rasyid
Pak Hanif merupakan anak saudara Buya Hamka yang juga merupakan anak kepada ideolog gerakan Islam Indonesia, Buya Ahmad Rasyid (AR) Sutan Mansur. Beliau mengimbau bagaimana Hamka seringkali menghurai ayat ‘inna salati wa nusuki wa mahyaya wa mamati lillahi rabbil aalamin’; di mana setiap gerak hidup dan perasaan kita seharusnya menjadi ibadah kepada ALLAH SWT.
Beliau juga menyatakan bahawa Buya Hamka menekankan berkenaan kepentingan ilmu dna iman dalam jiwa dan pemikiran umat. Tubuh kita pula hanyalah pinjaman. Justeru, memandangkan kita dicipta dengan sebaik-baik kejadian menerusi kesucian dan kasih sayang ALLAH SWT, kita mesti ‘memulangkan’ tubuh dan jiwa kita dalam keadaan suci.
Kamu dilahirkan ibumu dengan menangis; orang disekelilingmu merasa bahagia mendengarkan tangismu. Jagalah hidupmu dengan amal-buatmu; agar ketika saat matimu nanti, orang-orang disekelilingmu menangis. Saat itu engkau berbaring menjadi jenazah tampil senyum gembira wajahmu. Sanggupkah engkau?
Sepertimana yang kita sedia maklum, Almarhum Buya Hamka mengajarkan orang untuk beragama dengan cinta kepada ALLAH SWT. Antara pesanan beliau yang sering menjadi sebutan; “Orang pintar ialah orang yang merasa bodoh, yang tidak berhenti membaca dan belajar.” 

IX
Khatimah
Sebelum wacana di KDH, telah berlangsung program santai ‘Sepagi bersama Waris Buya Hamka’ di Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi, di mana para peserta dapat mendengar pesan-pesan dan ‘tausiyah’ Pak Afif Hamka, Pak Hanif Rasyid dan Pak Nasrul dari Indonesia. Menurut Pak Afif, “…kami anak-anak Buya Hamka ada sepuluh orang. Tapi Buya Hamka punya anak kesebelas, malah ratusan orang menjadi anaknya. Anak Buya Hamka yang kesebelas, memanggil beliau ‘Ayah’.” 
Semoga program yang dijalankan ini membolehkan kita semua mengenali dengan lebih dekat tokoh besar ini: Buya Hamka. Sesungguhnya, Hamka adalah ilmuwan-pemikir Melayu yang menyaksikan gelora kebangkitan umat menentang penjajahan, merebut kemerdekaan dan membangun kemajuan. Hamka jelas ikut terhimbau lalu berusaha menanganinya dalam konteks umat Melayu. Al-Fatihah sekudusnya.
Bersama menegakkan kebenaran dan keadilan. Hidup biar berjasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...