Rabu, April 30, 2014

Selangor Juara Liga Perdana 2005.


Perlawanan Akhir Liga Perdana 2005: 
Selangor, 4-2, Negeri Sembilan.
Pengalaman menjadi jarak pemisah buat Selangor dinobatkan selaku juara Piala Liga Perdana musim 2005 selepas menewaskan Negeri Sembilan 4-2 dalam perlawanan akhir yang diheret hingga ke masa tambahan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Pemain pertahanan, D. Surendran dan Bambang Pamungkas muncul hero, masing-masing menjaringkan satu gol bagi membantu Selangor mendakap gelaran pertama kejuaraan Liga Perdana musim 2005.
Selangor bermula garang apabila seawal minit pertama, Bambang Pamungkas meledakkan sepakan kencang tetapi penjaga gol tuan rumah, Azizon Abd. Kadir tangkas menolak bola keluar. Selepas itu, benteng pertahanan Merah Kuning tenggelam punca dengan kelincahan Adewale Abdulateef dan Christian Bekamenga yang sering membolosi kawalan namun kecekapan penjaga gol, Jamsari Sabian menyelamatkan Selangor.
Peluang yang dicari Negeri Sembilan untuk memecah kebuntuan jaringan gol menjadi kenyataan pada minit ke-15. Gara-gara kesilapan pemain pertahanan, D. Surendran mengkasari pemain tuan rumah memaksa Ahamad Khalidi Supian dari Kedah memberikan sepakan percuma. Muhammad Anuar yang diberi kepercayaan mengambil sepakan tersebut tidak mensia-siakan peluang dengan sepakan lencong dari luar kotak penalti terlepas daripada tangkapan Jamsari yang terus menerjah jaring.
Pada minit ke-53, Negeri Sembilan mengukuhkan kedudukan apabila pemain veteran Idris Karim mudah menanduk masuk gol kedua hasil daripada sepakan percuma menewaskan Jamsari.
Selangor yang ketinggalan 0-2 ketika baki 12 minit perlawanan hendak ditamatkan selepas dua gol awal tuan rumah dijaringkan oleh ketua pasukan, Muhammad Anuar Jusoh (m-15) dan Idris Karim (m-53) seakan peluang sudah tertutup rapat.
Tetapi, segalanya berubah dalam tempoh 12 minit dengan pengalaman Selangor selain semangat kental bangkit mengikat kedudukan 2-2 menerusi jaringan Brian Fuentes (m-79) dan K. Sanbagamaran (m-90). Terikat dengan kedudukan 2-2 memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan tetapi pengalaman milik Selangor jelas tidak mampu ditandingi oleh Negeri Sembilan yang rebah menerusi dua gol pada minit ke-118 dan 119.
Kemenangan tersebut membolehkan Selangor menerima hadiah wang tunai RM200,000 manakala Negeri Sembilan menerima RM100,000.
Selangor berjaya merapatkan jurang pada minit ke-79 menerusi tolakan mudah Brian Fuentes menewaskan Azizon. Pada minit ke-90, Selangor berjaya mengikat kedudukan 2-2 apabila K. Sanbagamaran mudah menanduk masuk daripada sepakan sudut.
  • Negeri Sembilan: Azizon Abdul Kadir, Abdul Lateef Seriki, B.Rajanikandh, Idris Karim (Chik Hishamuddin Hassan), Christian Beckamengo, Anuar Jusoh, Ching Hong Aik, K. Rajan, Shahrizam Mohamed, Rezal Zambery Yahya, P. Sivananthan 
  • Selangor: Jamsari Sabian, Ahmad Tharmini Saiban, Nazrulerwan Makmor, Mohd Saifu Nizam Husin (Nazzab Hidzan), Elie Aiboi (Mohd Amri Yahya), Brian Fuentes, K. Sanbagamaran, D. Surendran, Bambang Pamungkas, Mohd Khalid Jamlus (Harris Safwan), Mohd Shukor Adan. 


ANUGERAH LIGA MALAYSIA 2005
  • Piala Malaysia: Selangor;
  • Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Bambang Pamungkas;
  • Piala Sultan Ahmad Shah: Perak;
  • Liga Super: Perlis (RM500,000);
  • Liga Perdana: Selangor (RM200,000);
  • Piala FA: Selangor;
  • Permainan Bersih: PKNS;
  • Kasut Emas Liga Super: Zachariah Simikonda (18 gol);
  • Kasut Emas Liga Perdana: Marlon Alex James (23 gol);
  • Piala FAM: Kelantan (RM50,000);
  • Piala Presiden: Kelantan (RM100,000);
  • Pasukan yang naik ke Liga Super 2006: Selangor dan Negeri Sembilan;
  • Pasukan yang naik ke Liga Premier 2006: Kelantan dan Shahzan Muda.

-----------------------------------------
Sumber:
  1. Akhbar Berita Harian;
  2. Akhbar Utusan Malaysia;
  3. Akhbar The Star;
  4. Akhbar NST;
  5. Majalah Football;
  6. Majalah Arena Bola Sepak;
  7. https://www.facebook.com/ahmadjohari.yeopaziz?fref=ts;
  8. https://www.facebook.com/pages/Kelab-Jersi-Kita/102781643230951?fref=ts;
  9. http://www.rsssf.com/tablesm/malay79.html#cup;
  10. https://www.facebook.com/king.kheiriel?ref=ts&fref=ts;
  11. https://www.facebook.com/hangpcdua.malaya?fref=ts.

Selangor Juara Piala FA 2005.


Piala FA 2005: Selangor, 4-2, Perak.
Sentuhan jaringan pemain import dari Indonesia dan Argentina memastikan Selangor mendakap Piala FA selepas menewaskan penyandang juara, Perak 4-2 pada perlawanan akhir paling hebat di Stadium Shah Alam. Dua gol Bambang Pamungkas pada minit kelapan dan 87, Elie Aiboy (43) dan Brian Fuentes (68) itu pasti dikenang oleh penyokong Merah Kuning yang menyaksikan Red Giants menjulang Piala FA kali keempat selepas tahun 1991, 1997 dan 2001.
Kejayaan Selangor ini merupakan yang kedua pada musim 2005 selepas menjulang Piala Liga Perdana, Julai lalu dan bakal bertambah menjadi treble apabila menentang Perlis dalam perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu ini. Sejurus selepas tiupan wisel penamat oleh pengadil, Ibrahim Muhammad, kesemua pemain Selangor termasuk jurulatih, Dollah Salleh dan pengurus pasukan, Datuk Satim Diman serta pemain simpanan berpelukan sesama sendiri sambil menangis kegembiraan ketika meraikannya.
Kejayaan Selangor dalam edisi ke-16 ini turut disambut oleh sorakan bingit puluhan ribu penyokong Merah Kuning selain paluan kompang dan percikan bunga api. Buat Perak yang turun dengan gelaran yang disandang musim lalu hampa untuk mengekalkan kejuaraan yang dimiliki mengakui akan kekentalan Selangor.
Seawal minit pertama, Selangor menguji kehebatan penjaga gol Perak, Mohd. Hamsani Ahmad menerusi sepakan percuma D. Surendran dari jarak 25 meter tepat ke dakapan penjaga gol itu. Dua minit selepas itu, Perak nyaris-nyaris meledakkan jaringan apabila tandukan kencang Keita Mandjou ditepis keluar oleh Jamsari Sabian.
Permainan kedua-dua pasukan bertambah rancak dengan sorakan kira-kira 80,000 penyokong yang memenuhi setiap ruang di Stadium Shah Alam. Buruan mencari gol jelas memihak kepada Selangor apabila Bambang Pamungkas meledakkan sepakan percuma dari luar kotak penalti Perak yang terus menerjah jaring gagal diselamatkan oleh Hamsani pada minit kelapan.
Gol tersebut disambut dengan pekik sorak kira-kira 60,000 penyokong Merah Kuning menggamamkan seketika penyokong Perak yang dianggarkan kira-kira 20,000. Pada minit ke-23 Perak berjaya menyamakan kedudukan 1-1 apabila Abdoulaye Traore yang tidak dikawal mudah menolak masuk hantaran Shahrulnizam Mustafa menewaskan Jamsari.
Bagaimanapun, seminit selepas itu gol kedua Selangor jaringan Brian Fuentes dibatalkan oleh Ibrahim kerana berlaku kekasaran di kawasan kotak penalti Perak. Dua minit sebelum rehat Stadium Shah Alam kembali bergema dengan pekik sorak apabila pemain lincah, Elie Aiboy meletakkan Selangor kembali mendahului 2-1.
Dari jarak 25 meter Aiboy sambil berlari melepaskan rembatan dari jarak 25 meter terus menerjah jaring gagal diselamatkan oleh Mohd. Hamsani. Selangor mengukuhkan kedudukan apabila Fuentes menjaringkan gol ketiga pada minit ke-68 hasil sepakan lambung tinggi dan Bambang menambah gol dengan tandukan ke penjuru gawang Perak, tiga minit sebelum tamat. Perak pula merapatkan jurang dengan gol kedua menerusi tandukan pemain gantian, Mohd. Nor Ismail, dua minit sebelum permainan berakhir.
  • PERAK: Mohd. Hamsani Ahmad, Marian Juhas, Syamsul Mohd. Saad, Shahrulnizam Mustafa, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, Chan Wing Hoong, Keita Mandjou, Abdoulaye Troare, Wirat Nom, V. Thirumurugan, K. Yoganathan.
  • SELANGOR: Jamsari Sabian, Ahmad Tarmini Saiban, Nazrulerwan Makmor, Elie Aiboy, Brian Fuentes, K. Sanbagamaran, P. Gunalan, Mohd. Amri Yahyah, D. Surendran, Bambang Pamungkas, Muhammad Shukor Adan.

ANUGERAH LIGA MALAYSIA 2005
  • Piala Malaysia: Selangor;
  • Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Bambang Pamungkas;
  • Piala Sultan Ahmad Shah: Perak;
  • Liga Super: Perlis (RM500,000);
  • Liga Perdana: Selangor (RM200,000);
  • Piala FA: Selangor;
  • Permainan Bersih: PKNS;
  • Kasut Emas Liga Super: Zachariah Simikonda (18 gol);
  • Kasut Emas Liga Perdana: Marlon Alex James (23 gol);
  • Piala FAM: Kelantan (RM50,000);
  • Piala Presiden: Kelantan (RM100,000);
  • Pasukan yang naik ke Liga Super 2006: Selangor dan Negeri Sembilan;
  • Pasukan yang naik ke Liga Premier 2006: Kelantan dan Shahzan Muda.

-----------------------------------------
Sumber:

  1. Akhbar Berita Harian;
  2. Akhbar Utusan Malaysia;
  3. Akhbar The Star;
  4. Akhbar NST;
  5. Majalah Football;
  6. Majalah Arena Bola Sepak;
  7. http://shw.eddy98.fotopages.com/7711634.html;
  8. https://www.facebook.com/ahmadjohari.yeopaziz?fref=ts;
  9. https://www.facebook.com/pages/Kelab-Jersi-Kita/102781643230951?fref=ts;
  10. http://www.rsssf.com/tablesm/malay79.html#cup;
  11. https://www.facebook.com/king.kheiriel?ref=ts&fref=ts;
  12. https://www.facebook.com/hangpcdua.malaya?fref=ts.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...