Rabu, April 23, 2014

ABIM dan PKPIM hantar wakil ke Seminar Filem Islam di FINAS.

Presiden PKPIM:
Saudara Aliemran Norasid.
Imam Muda Asyraf, antara panel
dalam Seminar Filem Islam.
TS Dr Rais Yatim
ketika ucap tamanya.
IM Asyraf ketika melontarkan
pandangannya sewaktu seminar berlangsung.
Sebahagian daripada hadirin
yang datang ketika seminar
dijalankan di FINAS. 
ABIM dan PKPIM hantar wakil ke Seminar Filem Islam di FINAS.
Pada 22hb April 2014 (Selasa), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM); dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah menghantar wakil ke Seminar Filem Islam bertajuk ‘Sinema Islam: Falsafah, Nilai dan Cabaran’. Seminar ini telah dianjurkan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di Hulu Kelang, Ampang. Seminar yang dianjurkan Finas dan Pusat Aktiviti Kebudayaan Islam (CiTRA) UIAM itu disertai oleh 200 pelajar kursus perfileman beberapa institusi pengajian tinggi dan penggiat industri filem tempatan. 
Antara anggota panel yang mengambil bahagian ialah Pensyarah Fakulti Filem, Teater dan Animasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Norman Yusoff dan Imam Muda Asyraf Mohd Ridzuan. Seminar bertujuan membincangkan perkara-perkara utama yang berkaitan dengan definisi, konsep, bentuk dan kandungan sinema Islam, khususnya di Malaysia. Dalam seminar itu, Pensyarah Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Norman Yusoff turut membentangkan kertas kerja yang membincangkan hubungan sinema dan Islam, khususnya di negara ini.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengarah Pusat Antarabangsa Kebudayaan Islam (CiTRA) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Mahadi J. Murat dan Timbalan Pengarah Finas, Fatimah Ahmad.
Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim dalam ucapannya, menyeru penerbit filem tempatan supaya menghasilkan lebih banyak filem yang menonjolkan cara hidup dan budaya masyarakat Islam negara ini. Penerbit dan pengarah filem Islam di negara ini, menurut beliau, perlu berganding bahu dan berani menghasilkan karya yang menghurai kisah realiti masyarakat dan juga konflik berbentuk keislaman.
Katanya, pemikiran asas sesebuah filem Islam itu tidak semestinya menceritakan secara terus mengenai kandungan al-Quran dan hadith tetapi pengarah boleh menerapkan nilai-nilai murni sebagai naratif atau jalan cerita bagi menyampaikan mesej keagamaan. Sebagai contoh, insiden pencerobohan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah pada Mac tahun lalu boleh dijadikan filem kerana banyak kisah yang boleh dihuraikan seperti perpaduan ummah dan hubungan kekeluargaan daripada perspektif Islam.
Penghasilan filem Islam bukan sahaja daripada aspek tingkah laku dan pemakaian, ia perlulah disuntik idea berbentuk hiburan dengan mencetuskan komedi dan menyemai kebaikan. Perkara ini antara salah satu kekurangan yang perlu diatasi dalam industri perfileman tanah air," katanya selepas merasmikan seminar tersebut.
Beliau berkata, pembikin filem atau drama perlu kreatif mengeluarkan idea baharu yang dekat dengan masyarakat, selain menampilkan persengketaan kehidupan yang kemudiannya memaparkan jalan penyelesaian. Katanya, filem kebudayaan Melayu dan Islamik tidak semestinya memaparkan ciri-ciri yang berat, cukup sekadar menonjolkan ajaran mudah serta cara-cara hidup Islam disertai dengan teknik-teknik menarik yang boleh mengundang penonton ke pawagam. 
Mengambil contoh filem kantonis ‘box office’ tempatan ‘The Journey’ yang berjaya mengutip RM17 juta, tema kebudayaan dan agama ternyata boleh diterima dan mendapat sambutan jika kena dengan cara ia dihasilkan,” katanya dalam ucap tama ketika merasmikan seminar tersebut.
Rais yang juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata pembikin industri perfileman masa kini juga perlu meminimum serta mengikis penerbitan cerita genre berunsur keganasan, tahyul dan seram yang didapati banyak membanjiri pasaran filem tempatan negara ini. “Tidak dinafikan tema seperti ini menjadi tarikan penonton ke pawagam, namun ia seolah-olah ‘reflects’ masyarakat kita ini menyukai elemen ganas dan mengarut,” katanya. 
Lambakan filem mengisahkan hantu dalam industri perfileman tanah air perlu dikurangkan kerana cerita ini sememangnya berlaku dalam setiap lipatan tradisi kehidupan setiap manusia. Orang Islam dan Melayu perlu bijak mencari khazanah tersendiri dalam menghasilkan sesebuah karya berkualiti, selain pulangan yang bagus walaupun kita tidak mempunyai peruntukan untuk menerbitkan filem berbentuk sinema Islam,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata industri filem tempatan kini menyaksikan perkembangan positif terutama dari segi bilangan pawagam dan penonton sejak 2006 hingga tahun lalu. Katanya, dari segi bilangan pawagam, pada tahun lalu terdapat 23 syarikat pawagam, 134 pawagam, 797 dewan dengan 157,271 kerusi yang didaftarkan di bawah Finas untuk skim Wajib Tayang. Dari segi penonton pula, pada tahun lalu jumlah tontonan filem di negara ini meningkat kepada 61 juta daripada 27 juta pada 2006. 
Ini menunjukkan filem di negara ini ada pasaran, terpulang kepada penggiat filem untuk buat filem apa dan yang bagaimana bagi menarik mereka ke pawagam untuk menonton filem kita,” katanya.  Rais berkata kerajaan melalui agensi seperti Finas telah menyediakan pelbagai kemudahan termasuk pinjaman untuk penggiat industri menghasilkan lebih banyak filem bermutu. Tetapi jangan hanya bergantung pada bantuan kerajaan semata-mata, inisiatif daripada syarikat-syarikat aktif misalnya Skop Production yang banyak menghasilkan filem yang ditonton ramai,” katanya. 
Seperti yang kita sedia maklum, harus diingat bahawa tanggungjawab kita sebagai umat Islam bukan setakat untuk membina sebuah keluarga bahagia sahaja, tetapi hakikat perjuangan kita untuk menegakkan kalimah ‘Lailahaillallah Muhammadur Rasulullah’ maha luas dan banyak cabangnya. Filem merupakan salah-satu kaedah menyuburkan kefahaman ramai terhadap keindahan Islam dengan baik.
Hal yang demikian, marilah kita mempersiapkan diri dengan kemahiran-kemahiran yang mampu menyumbang kepada kebaikan Islam dan kemaslahatan bersama. Mana-mana yang baik jadikan teladan, mana-mana yang tidak baik kita jadikan sempadan. Bersama mengejar redha Ilahi. Padu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...