Ahad, September 23, 2012

Seni untuk masyarakat.


Suman tegak mendongak ke langit dan mendepa tangan. Dia ingin menjerit sekuat tenaga supaya suara itu bergaung dan bergema memotong angin. Tapi suaranya tidak keluar lagi.” – Seluang Menodak Baung (SN Shahnon Ahmad).

*************

Embun sudah nampak kering. Daun-daun kayu di bukit Srengenge kadang-kadang turun ke bumi tak bersebab. Lotong dan kuang bersahut-sahutan.” – Srengenge (SN Shahnon Ahmad).

*************

Senjakala menghampiri Poseng dengan wajah yang muram. Ada tertujah kebisingan para motosikal dan lori-lori balak kepunyaan Merbau Holdings menghenyak jalan raya; mengaum dan bergemerencang tanpa menghirau kedatangan senjakala barang secebis pun.” – Tunggul-Tunggul Gerigis (SN Shahnon Ahmad).

*************

Kulemparkan pandanganku ke jendela, ke arah kamar mati.” – Bukan Pasar Malam (Pramoedya Ananta Toer).  

*************

“O Allah,” ratap Patimah. “Mereka membunuh kakakku. Dan mereka merampok lagi dua ratus rupiah dari kami. Aku kira – aku kira – aku kira, Belanda akan rubuh di sini, di tanahairku.” – Keluarga Gerilya (Pramoedya Ananta Toer).  

*************

Koperal Haris tertawa. Angin malam berhembus menyebabkan daun-daun getah itu bergemersik.” –Tulang-Tulang Berserakan (SN Usman Awang).

*************

Pemuda berbadan gempal itu mengucapkan kata-kata penuh semangat, keluar laksana semburan api, sebagaimana matanya yang memancarkan sinar keberanian dan ketegasan. Pemuda berbadan gempal itu diketahuinya bernama Ahmad Boestamam.” -- Tulang-Tulang Berserakan (SN Usman Awang).

*************

Beda-nya jauh sekali. Seni untok masharakat memandang masharakat sa-cara keselurohan-nya, sedang universal humanism memandang manusia dalam individu2-nya.” – Ahmad Boestamam (Ali Sastro).

*************

Ini tanda-nya masharakat kita sekarang ini pinchang. Kepinchangan masharakat ini-lah yang harus kita betulkan. Kita mesti melawan dan kita mesti menentang. Dengan kata2 dan dengan perbuatan sa-kali.” – Ahmad Boestamam (Ali Sastro).

*************

Khamis, September 20, 2012

Syair Asli Rajang Hari.



Tinggi gunung gilang-gemilang,
Air sungai tenang-tenangan;
Budi yang baik tiada yang hilang,
Laila menjadi kenang-kenangan.
-- (Syair Asli Rajang Hari).

Syair ini dimuatkan dalam karya “Penyair Diraja: Sultan Haji Omar Ali Saifuddien”, yang diterbitkan oleh Pusat Sejarah Brunei, 1987. Karya ini memaparkan kupasan idea dan pemikiran Almarhum Sultan yang pernah memerintah Brunei ini. Al-Fatihah yang sekudusnya buat Almarhum.

Selasa, September 18, 2012

Pak Borneo Menggugat.



15hb September 2012: Pak Borneo Menggugat sedang mengajukan soalan kepada ahli panel, sewaktu Seminar Bangsa Malaysia: Antara Aspirasi dan Realiti di Kolej Dar al-Hikmah, Sungai Ramal Dalam, Kajang. Pak Borneo tidak pernah gagal untuk terlibat secara aktif dalam seminar atau forum yang dihadirinya. Contoh yang baik buat anak muda. 

* Seminar ini dianjurkan sempena Muktamar Nasional keenam, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH). WADAH -- yang asalnya dikenali sebagai Forum Alumni ABIM (FAA) dan Wadah Pasca ABIM -- telah diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada 9hb November 2005. Ia merupakan wadah kesinambungan perjuangan kebenaran dan keadilan yang diasaskan oleh PKPIM dan ABIM.

Jumaat, September 14, 2012

ABIM LANCAR KEMPEN ‘CITIZENSHIP FOR ROHINGYA’.

Puan Fadhlina Siddiq, Naib Presiden ABIM dan sahabat Grup Peguam ABIM (GPA).
Puan Fadhlina dan Saudara Adli Zakuan, sewaktu pelancaran
Kempen Citizenship for Rohingya.
Saudara Adli Zakuan Zairakithnaini sewaktu ditemubual dalam rancangan Global@1, di TV1. Beliau mengulas berkenaan kesengsaraan yang dialami masyarakat Islam Rohingya yang dizalimi, di samping mempersoalkan ‘diamnya’ tokoh pejuang kebebasan dan keamanan, Aung San Suu Kyi, terhadap isu tersebut.
* Saudara Adli merupakan Koordinator, Kempen Rohingya, Global Peace Mission (GPM) dan sahabat Grup Peguam Angkatan Belia Islam Malaysia (GPA).


Isu penindasan umat Islam Rohingya disiarkan dalam majalah Risalah terbitan Abim Pusat, pada tahun 1983.
Kembalikan hak kami di Arakan!” Tegas Presiden Rohingya Patriotic Front ketika itu, Saudara Mohammad Jaafar Habib, berkenaan penindasan umat Islam Rohingya di Myanmar (ketika itu dikenali sebagai Burma). Wawancara ini disiarkan dalam majalah Risalah terbitan Abim Pusat pada 1982.
Pelancaran Tabung Pelarian Islam Rohingya oleh ABIM pada tahun 1992.
Usaha ABIM di peringkat awal pada tahun 90-an dengan penubuhan Pusat Informasi Rohingya. 
Kezaliman yang dilakukan Kerajaan Tentera Myanmar terhadap umat Islam Rohingnya sudah diceritakan dalam Risalah Abim Edisi Mac 1992, sebagai bukti bahawa kekejaman tersebut bukan perkara baru.

******

“ABIM Desak Kerajaan Myanmar Iktiraf Etnik Rohingya Sebagai Warganegara”


Oleh: Puan Fadhlina Siddiq,
[Naib Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)]


14hb September 2012 (Jumaat): 
Sehingga hari ini, kerja-kerja pembersihan etnik Rohingya di Myanmar telah mencatatkan kehancuran jiwa dan prasarana yang besar. Sejumlah 43 kampung penduduk telah diserang dengan 5,915 rumah dibakar, ribuan orang mati dibakar, dibunuh tidak terkecuali mereka yang mati kelaparan, 300 orang cedera parah, 34 masjid dibakar, 4 universiti dan 24 sekolah rosak, 300 penduduk telah ditangkap, 90 ribu orang menjadi pelarian, 500 ribu menderita kelaparan, dan 20 ribu orang mendiami pinggiran sungai dan hutan untuk menyelamatkan diri.

Antara modus operandi pembersihan etnik yang dilakukan keatas etnik Rohingya ini adalah:-
  1. Penafian kerakyatan, sijil kelahiran dan sijil perkahwinan mereka;
  2. Penyembelihan beramai-ramai sepertimana pada tahun 1942 dengan kematian lebih daripada 100, 000 akibat dibunuh;
  3. Perampasan tanah-tanah milik mereka bagi meneruskan projek pembinaan saluran paip gas dan minyak yang merentasi Wilayah Arakan;
  4. Sekatan makanan sehingga menyebabkan mereka hidup dalam keadaan kebuluran;
  5. Menghalau serta merta seramai lebih 300, 000 di kalangan mereka ke Bangladesh pada tahun 1978. Malangnya Kerajaan;
  6. Bangladesh enggan untuk menyediakan makanan dan keperluan lain menyebabkan ramai yang mati akibat kebuluran dan penyakit;
  7. Menjadi mangsa perhambaan moden sebagi buruh paksa tanpa dibayar gaji di tapak pembinaan jalan raya, kereta api dan bangunan berek tentera;
Pada tahun 1991 sahaja, seramai 268,000 dari etnik ini melarikan diri kerana Myanmar tidak lagi selamat untuk didiami akibat pembersihan entik berkala oleh tentera Myanmar. Selain daripada itu, etnik Rohingya juga berterusan berhadapan dengan penangkapan arbitrari oleh pihak berkuasa. Penangkapan yang berleluasa ini langsung tidak mempunyai asas dan merupakan satu lagi bentuk penyiksaan yang membuktikan bahawa satu proses penghapusan etnik sememangnya sedang berlaku di Arakan.

ABIM LANCAR KEMPEN ‘CITIZENSHIP FOR ROHINGYA’
Ekoran dari pembersihan etnik yang tidak berperikemanusiaan ke atas etnik Rohingya berabad lamanya, ABIM komited membela nasib etnik Muslim Rohingya dengan melancarkan kempen ‘Citizenship For Rohingya’. ABIM mendesak agar :-
  1. Kerajaan Myanmar bertindak lebih adil dengan mengiktiraf kerakyatan etnik Rohingya dengan jaminan hak asasi yang terpelihara selaras dengan Artikel 15 Deklarasi Hak Asasi Kemanusiaan PBB;
  2. Membebaskan Dr. Tun Aung serta anak perempuan dan menantunya daripada penjara dan menggugurkan segala pertuduhan tanpa bukti yang dikenakan ke atas mereka;
  3. ABIM juga menyeru untuk semua rakyat Malaysia terlibat dalam kempen ‘Citizenship For Rohingya’ supaya keadilan dapat ditegakkan demi kemaslahatan etnik Rohingya yang juga dikenali sebagai ‘Palestine’ di Asia dan manusia perahu.

“MEMARTABATKAN KARAMAH INSANIAH, MEMIMPIN KEBANGKITAN UMMAH”
  
******
* Makluman: Kepada semua pembaca budiman yang mempunyai akaun Fb, kalian digalakkan untuk menekan “suka” (like) pada laman:

Hal ini sebagai sokongan terhadap usaha untuk mendesak Kerajaan Myanmar mengiktiraf masyarakat Islam Rohingya sebagai warganegara di negara mereka sendiri (Myanmar). Terima kasih.

******

Sumber:
  1. http://www.facebook.com/fadhlinasidek.sidek;
  2. http://www.facebook.com/photo.php?fbid=10151170396337360&set=t.1102831021&type=3;
  3. http://www.facebook.com/photo.php?fbid=441240255928078&set=a.422449774473793.127913.100001263232454&type=1&relevant_count=1; dan
  4. http://www.abim.org.my/v1/index.php/arkib-abim/36-entertaiment/282-demi-karamah-insaniah-abim-lancar-kempen-citizenship-for-rohingya.

Sumbangan Raya buat ribuan etnik Rohingya.


Sumbangan Raya buat ribuan etnik Rohingya”, disiarkan dalam akhbar Sinar Harian, Jumaat, 14hb September 2012. Kelihatan dalam gambar ialah Pengerusi Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Saudara P. Aizan Tukirin yang sedang menyampaikan sumbangan.


* Makluman: Kepada semua pembaca budiman yang mempunyai akaun Fb, kalian digalakkan untuk menekan “suka” (like) pada laman:

Hal ini demikian sebagai sokongan terhadap usaha untuk mendesak Kerajaan Myanmar mengiktiraf masyarakat Islam Rohingya sebagai warganegara di negara mereka sendiri (Myanmar). Terima kasih.

Selasa, September 11, 2012

Malaysia 0-2 Vietnam. Aduh.

Kain pemidang "Save Rohingya" sewaktu Harimau Malaya menentang Vietnam,
tetapi hanya sempat dikibarkan untuk beberapa ketika. sebelum dirampas.
Safee, Aidil Zafuan dan Kunanlan, kelihatan sugul selepas perlawanan.
Kemasukkan Super Safee, berjaya menyuntik bahagian serangan negara. 
Christie Jayaseelan, pemain muda ATM yang berbakat,
tetapi kurang menyerlah sewaktu beraksi menentang Vietnam.
Vietnam menguasai bola, khususnya sewaktu babak pertama perlawanan.
Alex beraksi untuk pasukan Tok Gajah.
Alex juga pernah dipinjamkan ke skuad The Red Warriors.
Alex menjadi penjaring gol tunggal negara sewaktu kunjungan
Manchester City ke Stadium Bukit Jalil baru-baru ini.
Alex cuba diasak oleh pemain Singapura.
11hb September 2012 (Selasa), Stadium Shah Alam.
Keputusan: Harimau Malaya 0-2 Vietnam. 

Syabas buat Azamudin Akil (Alex) yang mempamerkan permainan bersungguh-sungguh menentang Vietnam. Kemampuan skuad Vietnam menggunapakai taktik ala-tiki-taka memang agak sedikit mengejutkan. Kita seharusnya belajar daripada mereka, dengan lebih banyak melakukan hantaran pendek agar tidak terlalu mudah kehilangan bola.  

Kecewa dengan pemilihan pemain yang dibuat oleh jurulatih. Kenapa barisan utama – yang kebiasaannya – dibarisi oleh penyerang berpengalaman seperti Safee tidak diturunkan sedari separuh masa pertama? Malah, berdasarkan prestasi semasa, kita masih mempunyai Amri Yahyah, Hairudin Omar, Indra Putra dan Farhan yang seharusnya dipilih mewakili negara. Gabungan pengalaman pemain ini dengan pemain muda pastinya membuahkan hasil gandingan yang mantap.

Tewas di gelanggang sendiri itu isu lain: isu utamanya ialah corak permainan dan pemilihan pemain skuad Harimau Malaya. Soal perancangan pasukan memang sentiasa jadi perkara pokok, khususnya untuk menghadapi pertandingan yang lebih besar. Berwaspadalah dalam bereksperimen. Apa pun, hidup Malaysia kita. Selamanya Harimau Malaya.

**************
Sumber:

  1. http://www.facebook.com/UltrasMalaya07;
  2. http://www.hmetro.com.my/articles/Bunturobeklawan/Article;
  3. http://www.sinarharian.com.my/arena-bolasepak/harimau-malaya/keputusan-penuh-vietnam-benam-malaysia-2-0-1.84160;
  4. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kitamasihdilandasan/Article/index_html;
  5. http://redsfcnews.blogspot.com/;
  6. http://missyaniabdullah.blogspot.com/;
  7. http://football.thestar.com.my; dan
  8. http://www.utusan.com.my/pix/2012/0614/Utusan_Malaysia/Sukan/su_01.1.jpg.

Entri-entri berkaitan:
***************************************************

Isnin, September 10, 2012

Hadiah Bahasa PLM-Public Bank 1985



Akhbar New Straits Times, 30 April 1986: Pemenang Bersama, Hadiah Bahasa PLM-Public Bank 1985, Encik Awang Sariyan (Pensyarah Jabatan Bahasa, Universiti Pertanian Malaysia), 32 tahun, dan Profesor Madya Hashim Awang (Pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya), 48 tahun, menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed. Encik Awang Sariyan menulis “Isu-isu Bahasa Malaysia” manakala Profesor Madya Hashim mengarang “Kesusasteraan Melayu Dalam Kritikan dan Sejarah”.

* Fb Prof Dr Awang Sariyan: Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa

Tersirat.

 

Ahli Mesyuarat Tingkap (Do-Re-Mi).
Bagus, terima kasih. Aku suka. Bini aku pun suka. Kaulah sahabat aku dunia akhirat. Tapi… dia tak nak kipas lipas, b*d*h. Dia nak kipas!


***********


Demokrasi (Tiga Abdul).

“Hah, itu baru demokrasi…”
“Demokrasi apa?”
“Demokrasi terpimpin…”
“Terpimpin k*p*l* h*t*k kau!”

***********

Nyonya Kemari (Do-Re-Mi).

Isteri: Re, bawak api ke mari.
Re: Belum sampai, nyonya kemari dari India…
Isteri: Orang cakap bawak api ke mari, dia kata nyonya kemari pulak... Aku mintak apilah b*d*h!
Re: Hai api, ku sangka kau api pandai… rupa-rupanya kau api 
b*d*h...
Isteri: Heyyyyyyy, aku mintak mancis!
Re: Man ker Mat?
Isteri: Mancis, Mancis!!!...

Isnin, September 03, 2012

“Megatruh” (W.S. Rendra).



O, akal sihat zaman ini!
Bagaimana untuk kusebut namamu?
Kalau lelaki kenapa seperti kuih lapis?
Kalau perempuan kenapa tidak keibuan?
Dan kalau benci kenapa tidak punya keuletan?

*****

O, akal sihat zaman ini!
karena menolak menjadi edan
aku melawan kamu.

-- “Megatruh” (W.S. Rendra).

Sabtu, September 01, 2012

Bertahan (Usman Awang).



Apa bicara sudah sekata
Sudah bermula sudah bertanda
Kepalang rasa kepalang derita
Ke tulang kita ke tulang bangsa

***

Apa bicara sudah melangkah
Surut kembali bererti patah
Sekali berani bertahan diri
Sekali rela menembus bumi!

-- “Bertahan” (Usman Awang).

“Demi Orang-Orang Rangkas Bitung” (W.S. Rendra).



Tuan-tuan dan nyonya-nyonya
yang hadir di sini,
setelah memahami sejarah,
saya betul tidak lagi merasa sepi.
Dan memang tidak relevan lagi bagi saya untuk merasa sia-sia atau tidak sia-sia,
sebab jelaslah sudah kewajipan saya.
Ialah: hadir dan mengalir.

Tuan-tuan dan nyonya-nyonya,
terima kasih.

-- “Demi Orang-Orang Rangkas Bitung” (W.S. Rendra).

Memaknai Erti Sebuah Kemerdekaan: Mengangkat Karamah Insaniyyah, Memberdaya Ummah.

 

Memaknai Erti Sebuah Kemerdekaan:
Mengangkat Karamah Insaniyyah, Memberdaya Ummah

Oleh: Puan Fadhlina Dato' Dr Siddiq,
Ketua Hal Ehwal Wanita (HELWA) ABIM dan sahabat Grup Peguam ABIM (GPA).

Bertahun-tahun saya mengikuti amanat kemerdekaan dan tema kemerdekaan yang berselang seli. Bertahun-tahun juga saya dungu mengikut laungan merdeka tanpa menyedari apa yg dimerdekakan? Seiring dengan kedewasaan saya, makin kuat persoalan di benak,apa merdeka ini hanya ada tema dan perbarisan? Mengisi kemerdekaan bukan dengan tema, logo dan perarakan. Islam telah lama memerdekakan ummatnya dengan kalimah tauhid. Tidak sedikit sejarah perjuangan Musa AS yang berdakwah untuk mengeluarkan kaumnya dari jiwa hamba setelah ditindas oleh Firaun berdekad lamanya. Bilal Bin Rabah menjadi manusia terhormat dan mencapai tahap kemuliaan insan dengan syahadah. Umar Al-Khattab dan Saidina Hamzah RA mengetuai demonstrasi pertama dalam Islam ketika meingiklankan pengislaman mereka. Luar biasa kalimah tawhid ini dengan makna memerdekaan manusia dari sifat kehambaan manusia kepada manusia reformis yang melalui proses transformasi aqidah sehingga punya keberanian untuk hidup dengan lebih bermaruah dan keyakinan sebagai manusia yang dijanjikan segala karamah insaniyyah.

Bicara kemerdekaan tidak tertumpu kepada laungannya tetapi pengisian maknanya yang membawa mesej liberatif-emansipasif~tahriry dan tanwiriy. Tahriry yang membawa maksud pembebasan dan tanwiriy yang hadir dengan semangat pencerahan. Aspirasi pembebasan dan pencerahan ini sangat terkait rapat dengan proses pendidikan dan hanya akan terlaksana di kala ummat benar-benar memiliki citra tentang harga diri, maruah dan kehormatan. Maka sekali lagi yang memaknai karamah insaniyyah itu apabila citra maqasid syariyyahnya ditunjangi dengan penuh adab dan hormat.

Ada rasa cemas yang menikam di balik kibaran Jalur Gemilang andai ummat yang kita lahirkan pasca kemerdekaan hanya bermentaliti Labu dan Labi. Hidup dalam ketakutan kerana ugutan dan hukuman. Mereka hanya berani menentang Haji Bakhil yang zalim di dalam mimpi! Dikerjakannya Haji Bakhil cukup-cukup di dalam mimpi! Setakat itu sahajalah keberanian yang ada kepada mereka, sekadar mampu bermimpi. Amat malang sekali andai kita terus membiarkan manusia yang sisinya terpancar sebaik-baik kejadian Tuhan terus dihina dan diperkuli ibarat nasib sepatu yang malang, “dari atas diinjak kaki, dari bawah ditusuk duri, sudah usang dibuang orang”.

Mengapa saya begitu kritikal dengan pengisian kemerdekaan? Kerana saya belum benar-benar memaknai kemerdekaannya. Saya mahu ia diisi dengan objektif yang jelas bukan dengan pesta iklan serta lagu patriotik dan konsert para artis. Atau diulang tayang filem Bukit Kepong, Leftenan Adnan dan Hati Malaya sebagai hidangan kemerdekaan. Pendita Zaaba pernah dengan kritis merumuskan kemelut ummat Melayu dengan perkataan “miskin”. Kemiskinan yang bukan sedikit tetapi kemiskinan yang mencakupi kemiskinan moral, ilmu, material, intelektual dan spiritual. Menurut Zaaba, kemelut ini hanya akan reda dengan reformasi pendidikan, pemurnian dan penyegaran agama serta pembinaan budaya dan watak bangsa yang sihat. Inilah jiwa merdeka yang dimaknai dalam sentuhan keramat Dr Burhanuddin Al Helmi lewat seruannya,” Di atas runtuhan Kota Melaka, Kita bangunkan jiwa merdeka.”

Mutakhir ini, kisah korupsi, kezaliman, pembunuhan, pemerkosaan, pencabulan hak dan penindasan kian menjadi-jadi. Indeks jenayah dan gejala sosial tidak pernah gagal mendatangkan rasa tidak tenteram dan kebimbangan hilang nyawa. Paling kurang kita hanya mampu bersimpati, paling tidak kita berdoa mengikut tahap iman masing-masing, paling kerdil pun kita hanya mengikuti bicaranya di layar kaca atau media cetak. Nah,selepas kita jelas dengan pengisian kemerdekaan, maka kemuncaknya adalah pemberdayaan! Institusi-institsi rakyat mesti dipulangkan pemilikannya kepada rakyat. Rakyat hampir tidak punya apa-apa di saat haknya boleh diambil, dikurangi, dihapus dan dicabul sesuka hati.

Melahirkan masyarakat madani adalah sebahagian pakej pemberdayaan selain pendidikan demokrasi dan pelestarian ekonomi yang adil bagi menghapuskan kesenjangan ekonomi rakyat. Rakyat mesti didik dengan kesedaran hak agar suara rakyat disampaikan dengan lebih efektif dan diambil perhatian.Penting untuk mendidik rakyat agar mengurangkan kebergantungan kepada pimpinan mereka kerana sikap terlalu bergantung adalah penyakit orang lemah dan kerdil. Jauh sekali dari citra jiwa merdeka!

Sejarah kemerdekaan akan terus diulang cetak sehingga adakalanya ia hanya terfokus kepada Tunku Abdul Rahman dan laungannya. Sedang wira kemerdekaan itu bukan hanya Tunku seorang, moga-moga dengan pengisian kemerdekaan yang lebih bertanggungjawab akan mendamaikan seluruh wira bangsa yang sedang dalam peristirehatan mereka apabila pengorbanan dan perjuangan mereka telah menghasilkan ummat yang benar-benar merdeka. Selamat menyambut kemerdekaan dengan citra jiwa merdeka, moga-moga kita akan memaknai kemerdekaan kali ini dengan komitmen untuk mengangkat karamah insaniyyah, memberdaya ummah!


** Untuk sejarah ringkas ABIM, boleh rujuk pautan ini:
****************************

Sumber:
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...