Jumaat, Oktober 07, 2011

Penyerang Terbilang: Azman Adnan.

Azman Adnan, antara penyerang terbaik dalam 
sejarah Liga Malaysia. Gambar ini dirakam ketika 
Kejohanan Futsal Liga Juara Hot FM-100 Plus.
Bergambar kenangan bersama Azman Adnan, usai perlawanan amal Veteran Selangor menentang Veteran Kelantan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Kenangan berfutsal bersama Bro Azman 
dan Sahabat Kelab Jersi Kita (KJK).
Di sebuah gim di Hulu Langat, yang menjadi antara
tempat Bro Azman meluangkan masa lapangnya.
Majlis kesyukuran di rumah Bro Azman Adnan.
Antara yang hadir ialah sahabat baik beliau seperti
Dollah Salleh, Mubin Mokhtar, Shahrin Majid
dan ramai lagi.


--------------------------------------------------------------------------------


1.0. Latar Belakang.
Azman Adnan (lahir pada 1 November, 1971) merupakan bekas penyerang sensasiMalaysia pada era 90an hingga 2000. Azman merupakan bekas pemain pasukan pra-Olimpik Malaysia dan juga pasukan kebangsaan Malaysia. Ayah beliau berasal dari Kajang, Selangor manakala ibunya dari Pedas, Negeri Sembilan. Azman merupakan bekas penuntut Sekolah Menengah Jalan Cochrane atau Cochrane Road School (kini dikenali sebagai (SMK Cochrane). Sekolah ini telah melahirkan ramai tokoh dalam pelbagai bidang seperti Tan Sri Dato' Sri Dr Lim Kok Wing (Presiden, Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing), R. Dhanaraj (bekas atlet dan jurulatih taekwondo Negara), Nor Effendy Rosli (pelumba basikal lagenda) dan Safee Sali. 

--------------------------------------------------------------------------------


2.0. Pernah dinobat sebagai pengganti Supermokh.
Sementelah, Azman juga merupakan salah seorang lagenda bola sepak Selangor, setelah menghabiskan masa yang lama dengan pasukan tersebut. Beliau telah banyak membantu pasukan Selangor untuk menjulang Piala Malaysia, Liga Malaysia, dan Piala FA sehingga pernah digelar sebagai ‘Supermokh’ yang kedua. Antara kemahiran Azman yang jarang dimiliki oleh pemain lain ialah, beliau mampu melakukan sepakan sambil berlari kiri dan kanan. Pergerakan badan beliau juga sering mengelirukan pertahanan lawan. 

--------------------------------------------------------------------------------


3.0. Perkahwinan.

Pada 27 Disember 1995, Azman telah mendirikan rumah tangganya buat kali pertama dengan penyanyi terkenal ketika itu, Haleeda atau nama sebenarnya Halida Mazlin Badaruddin. Hasil daripada perkahwinan tersebut, mereka berdua telah dikurniakan seorang cahaya mata, Amirah Amani Azman. Bagaimanapun, ikatan tersebut terlerai dengan penceraian pada 9 Oktober 2003. 

--------------------------------------------------------------------------------


Kemudian, Azman telah mendirikan rumahtangga dengan bekas penyanyi popular dari kumpulan Feminin, Asfarina Muhammad atau As, pada 14 Disember 2004. Selain Azman, rakan-rakannya yang pernah bermain bersama Skuad Selangor seperti Shahril Arsat, Azlisham Ibrahim, dan Asmawi Bakiri turut berkahwin dengan artis. 

--------------------------------------------------------------------------------


4.0. Aksi bersama Skuad Kebangsaan.
Azman mula mencipta nama bersama skuad Kelayakan Olimpik Barcelona negara, di bawah kendalian Chow Kwai Lam. Skuad 1992 yang dikenali sebagai ‘Barcelona Babes’ itu dibintangi oleh deretan pemain muda berbakat besar seperti Azman sendiri, Mubin Mokhtar, Salahuddin Che Rose, Yap Wai Loon dan Shahrin Majid. 

--------------------------------------------------------------------------------

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Chow Kwai Lam.

Skuad ‘Barcelona Babes’, di bawah kendalian jurulatih, Chow Kwai Lam, ditubuhkan selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengehadkan sukan bola sepak kepada pemain Bawah-23 tahun pada 1991. Antara skuad asal ‘Barcelona Babes 1992’ yang disenaraikan sejak 1990 ialah, Zambri Mat Arif, Nor Sabri Nordin, G. Kathekayen, Edres Selamat, Azmi Ahmad Sobri, Lim Seng Kong, Malek Rahman, Shahrin Majid, Adnan Ibrahim, Salahuddin Che Rose, Mubin Mokhtar, Yap Wai Loon, Chong Kim Boon, Ridwan Raffar, Saziman Ismail, Chee Wan Hoe, V.Thinagaran, Wong Kok Sum, Ong Kim Swee, Lee Thean Ewe, Azmi Mohamed, dan Azman Adnan. Pengurus skuad Projek Barcelona 1992 ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. Dilaporkan bahawa lebih daripada sejuta ringgit dibelanjakan untuk skuad ini. 

--------------------------------------------------------------------------------

Sebelum itu, Azman turut beraksi untuk pasukan kebangsaan sewaktu Sukan SEA 1991 di Manila, Filipina, yang berlangsung pada 25 November sehingga 4 Disember 1991. Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan B hanya mampu menduduki tangga kedua tercorot, iaitu di belakang Filipina dan pemenang pingat emas, Indonesia. Malaysia yang tewas kepada Indonesia dan hanya mencatatkan kemenangan ke atas Vietnam, dikejutkan dengan kekalahan mengaibkan kepada pasukan kerdil, Filipina. 

--------------------------------------------------------------------------------


Prestasi mengecewakan di Manila ’91, berjaya diubati dengan kemenangan Piala Kemerdekaan atau Jakartaraya di Indonesia pada tahun 1992. Antara pencapaian membanggakan sewaktu beraksi di Stadium Senayan ialah menewaskan skuad ‘Socceroos’ Australia yang dibintangi oleh Alistair Edwards dan Abbas Saad dengan jaringan 1-0. 

--------------------------------------------------------------------------------



Bersama Malaysia, Azman berjaya memenangi Pesta Bola Merdeka edisi 1993, setelah menumpaskan bekas musuh tradisi, Korea Selatan, di mana beliau menjaringkan dua gol pada perlawanan akhir. Tahun 92-93 menyaksikan skuad negara berjaya mempamerkan prestasi yang membanggakan; di samping barisan pemain muda dan senior yang digilai peminat tegar bola sepak Malaysia. 

--------------------------------------------------------------------------------


Selain itu, Azman beraksi pada Peringkat Pertama Kelayakan Piala Dunia 1994 (pada bulan Mei 1993). Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan E, sekadar menduduki tempat ketiga, di atas Macau dan di belakang Kuwait serta Arab Saudi. Malaysia yang diperkuatkan dengan pemain hebat seperti Azizol Abu Haniffah dan Azman Adnan, mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Kuwait, seri 1-1 dengan Arab Saudi, dan menang 9-0 ke atas Macau di Kuala Lumpur. Kemudian, di Taif, Malaysia tewas 0-2 kepada Kuwait, kalah 0-3 kepada Arab Saudi dan menang 5-0 ke atas Macau. Antara anggota skuad kendalian Ken Worden ini ialah: Khairul Azman; V. Murugan; See Seng Kim; Kin Hong Lee; K. Gunalan; Ahmad Yusof; Swee Hock Yeo; Shahrin Majid; Zaid Jamil; Malek Rahman, A. Elanggovan; P. Maniam; Azizol Abu Haniffah; Dollah Salleh; Zainal Abidin Hassan; Mubin Mokhtar; A. Jayakanthan dan Azman Adnan. 

--------------------------------------------------------------------------------


Seiring dengan kejayaannya bersama skuad kebangsaan, Azman mula diintai oleh pasukan-pasukan negeri. Khabar angin bertiup kencang, sewaktu beliau sedang menjalani latihan bersama skuad negara pada Kejohanan Piala Merlion, Singapura, bahawa beliau akan menyertai pasukan Selangor. 

--------------------------------------------------------------------------------




Azman turut menganggotai skuad Sukan Asia Hiroshima 1994 di bawah bimbingan Jurulatih, Claude Le Roy dan penolong jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan. Malaysia menang 4-3 ke atas Hong Kong, tewas 0-5 dan 1-2 kepada Uzbekistan dan Arab Saudi, dan seri 1-1 dengan Thailand. Azman menjaringkan satu gol sewaktu menang ke atas Hong Kong. Skuad ini diperkuatkan dengan bintang lagenda seperti Dollah Salleh dan Azizol Abu Haniffah. Anggota skuad kebangsaan ketika itu ialah: Mazlan Wahid, Khairul Azman, Roslan Ahmad, Maniam Pachiappan, Faizal Zainal, Mohd Azaruddin Aziz, Ong Kim Swee, Chong King Kong, Asroff Mohd Hanafiah, Sanbagamaran Kalasigaram, Azizol Abu Haniffah, Yap Wai Loon, Jawahir Saliman, Thanasegar Sinniah, Azman Adnan, Dollah Salleh, Hashim Mustapha, Faridzuan Che Hamid, Shahrin Majid, dan Khairul Anuar Baharom. 

--------------------------------------------------------------------------------



Pada 1-15 September 1996, Azman bersama bintang Selangor yang lain seperti M. Chandran, Anuar Abu Bakar dan K. Sanbagamaran, berjaya membawa pasukan negara menjadi Naib Johan kejohanan sulung Piala Tiger (kini dikenali sebagai Piala AFF Suzuki). Zainal Abidin Hassan telah menerima anugerah sebagai pemain paling berharga pada kejohanan tersebut. Dalam perlawanan akhir yang sengit lagi menghiburkan itu, penyerang terbaik Asia Tenggara, Kiatisuk Senamuang, berjaya meledakkan satu gol cantik selepas berjaya mengelak terpaan Zainal Abidin Hassan. 

--------------------------------------------------------------------------------


Sewaktu sukan futsal belum begitu dikenali di negara kita, Azman telah pun mewakili skuad Malaysia di Kejohanan Piala Dunia Futsal FIFA Ketiga di Sepanyol pada 24 November 1996 hingga 8 Disember 1996. Bagaimanapun, skuad negara gagal menyaingi pasukan-pasukan hebat dan tersingkir awal. Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan C, sekadar mampu menduduki tangga tercorot selepas kecundang 1-10 kepada Itali, 1-4 kepada Uruguay, dan 2-10 kepada Amerika Syarikat. Kejohanan Piala Dunia Futsal 5-Sebelah Ketiga di Segovia, Sepanyol ini, berlangsung sewaktu Piala Malaysia edisi 1996 sedang rancak berjalan. Pasukan-pasukan negeri ketika itu sedang bersaing hebat untuk merebut tiket ke perlawanan Separuh Akhir. Ketika ditemubual oleh wartawan berkenaan fokus pemain futsal negara, Azman menyatakan bahawa, “Kami sedar berkenaan tanggungjawab kami dan kenapa kami ada di sini. Tetapi, sejujurnya, kami telah berada di perantauan selama hampir sebulan. Jadi, adalah menjadi sesuatu yang normal untuk kami mahu mengetahui apa yang berlaku di tanah air.” Skuad futsal Malaysia dilatih oleh Vic Hermans yang berasal dari Belanda, pada asalnya dilihat akan membuat kejutan apabila Azman menjaringkan gol tunggal negara pada minit keempat sewaktu bertemu Itali. Jurulatih Itali, Carlo Facchin, selepas skuadnya berjaya mengaibkan Malaysia 10-1, menyatakan bahawa Malaysia kekurangan pengalaman, memandangkan skuad Malaysia hanya berlatih 10 hari sahaja di Belanda, manakala skuad Itali yang berpengalaman berlatih selama setahun. Namun, beliau memuji Azman yang dikatakan mempunyai kemahiran yang sesuai dengan permainan futsal-lima-sebelah. Selain Azman, pemain yang beraksi cemerlang ialah Lim Seng Kong, Nazri Yunus dan Zainal Abidin Hassan. Azrul Amri Borhan dan Raizuwah Idris telah mengalami kecederaan sewaktu kejohanan tersebut. Antara anggota skuad Piala Dunia Futsal ’96 negara ialah: Khairul Azman Mohamed; Mudzar Muhammad; Mohd Nazri Yunus; Mohd Raizuwah Idris; Lim Seng Kong; Rosdee Sulong; Zainal Abidin Hassan; Zami Mohamed Nor; Md Noor Md Derus; Anuar Jusoh; Dollah Salleh; Azrul Amri Burhan; dan Azman Adnan. 

--------------------------------------------------------------------------------

Pada bulan Mac 1997, sewaktu Peringkat Pertama Kelayakan Piala Dunia 1998, Malaysia menduduki tempat kedua dalam Kumpulan 1, iaitu di belakang Arab Saudi dan di atas Chinese Taipei dan Bangladesh.  Malaysia menewaskan Bangladesh 2-0, seri 0-0 dengan Arab Saudi, menang 2-0 ke atas Chinese Taipei di Shah Alam. Di Jeddah, Malaysia seri 0-0 dengan Chinese Taipei, tewas 0-3 kepada Arab Saudi, dan menang 1-0 ke atas Bangladesh. Anggota skuad Kelayakan Piala Dunia 1998 – yang dikendalikan oleh Wan Jamak Wan Hassan -- ialah: 1. Khairul Azman Mohamed; 22. Mudzar Muhamad; 4. Rizal B. Sukiman; 6. M. Chandran; 15. Azmil Azali; 20. Che Zambil Ahmad; 14. Rosdee Sulong; 18. Yap Wai Loon; 17. Zainal Abidin Hassan; 9. Ahmad Shahrul Azahar; 16. Idris Abd Karim; 11. Suharmin Yusuf; 13. Zami Mohd Noor; 7. Mohd Nazri Yunus; 5. B. Rajanikhand; 12. K.Sanbagaraman; 10. Khairil Zainal; dan 19. Azman Adnan. 

--------------------------------------------------------------------------------



4.1. Tragedi Laos di Jakarta.

Pada 14 Oktober 1997, peminat sukan bola sepak negara tergamam seketika, selepas pasukan kebangsaan tewas 0-1 kepada skuad kerdil, Laos. Kekalahan yang dianggap paling memalukan ini amat mengejutkan, lebih-lebih lagi, skuad negara diwakili pemain-pemain terbaik Liga Malaysia ketika itu, seperti Azman Adnan, Azmi Mohamed, Yap Wai Loon, Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan, K.Sanbagamaran, Che Zambil Ahmad dan Khairul Azman Mohamed. Gol bersejarah Laos itu disumbangkan oleh penyerang, Keolakhone Channiphone pada minit ke-52 apabila sepakan lambungnya yang padu dari jarak 30 meter berjaya menewaskan penjaga gawang no.1 negara, Khairul Azman. Ketua Jurulatih Laos ketika itu, Somphou Phongsa, menggunakan taktiknya yang tersendiri. Pertama, beliau mengarahkan pemainnya memastikan agar pemain Malaysia tidak dapat membuat hantaran silang dari bahagian sayap. Kedua, pemain utama Malaysia yang mencapai prestasi kemuncak ketika itu, K. Sanbagamaran, dikawal ketat sehingga sukar untuk Malaysia mengatasi Laos. Selepas gol dari jarak jauh tersebut disumbat masuk, Laos menggunakan taktik bertahan bermati-matian, sehingga wisel penamat dibunyikan. Hal ini membawa kepada satu keputusan yang mengaibkan Malaysia, sebagai sebuah negara yang mempunyai liga professional dan stadium berharga ratusan juta, yang tumbang kepada sebuah negara berpendapatan rendah, bernama Laos. Untuk rekod, ketika itu, Laos hanya mempunyai liga amatur, dan para pemainnya mempunyai pendedahan antarabangsa yang sangat sedikit. Skuad Sukan SEA ’97 negara itu dikendalikan oleh jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan bersama pengurus, Datuk Dell Akbar Khan. Kekalahan tersebut, yang digelar ‘Hari Hitam’ skuad negara - selepas kekalahan memalukan kepada lawan kerdil, Filipina pada 1991 – menutup pintu ke separuh akhir pasukan kebangsaan dan menghancurkan impian menggenggam sekurang-kurangnya satu pingat. Media negara mula menghentam pengurusan skuad kebangsaan, membawa kepada perletakan jawatan oleh Wan Jamak, yang telah membawa negara menjadi naib johan Kejohanan Piala Tiger 1996, hanya setahun sebelum tragedi tersebut.  Kempen skuad bola sepak, Sukan SEA Jakarta 1997 negara berakhir, dengan mencatat kemenangan 1-0 ke atas Vietnam, mengalahkan Filipina 4-0 dan kalah kepada Indonesia 0-4. Akibat prestasi buruk tersebut, FAM mengambil langkah drastik, dengan membubar dan ‘menggantung’ skuad kebangsaan daripada sebarang kejohanan buat beberapa ketika. 

--------------------------------------------------------------------------------




Pada 19 Mei 1999, Azman mengetuai bahagian serangan skuad kebangsaan yang tewas kepada skuad Arsenal di Stadium Nasional Bukit Jalil. The Gunners yang diperkuatkan dengan gandingan pemain terbaik Eropah ketika itu seperti Nicolas Anelka, Nwankwo Kanu, Tony Adams, Patrick Vieira, Marc Overmars, David Seamans, Emmanuel Petit dan rakan-rakan, disokong dengan kehadiran kurang lebih 80, 000 orang penyokong yang memenuhi Stadium Bukit Jalil. Pemain berpengalaman negara, Zami Mohd Noor mencuri perhatian apabila mempamerkan skil serta aksi yang memberangsangkan pada malam tersebut. Namun, pengurus Arsenal, Arsene Wenger secara peribadi memuji corak permainan Azman, Yap Wai Loon dan Azmin Azram Abd Aziz. Untuk rekod, pada kunjungan pertama mereka (Arsenal) ke negara ini, Malaysia di bawah bimbingan jurulatih Datuk M. Chandran mengalahkan Gunners 2-0 menerusi jaringan Allahyarham Supermokh pada 13 Mei, 1975 dan dua hari kemudian, Isa Bakar menyumbangkan gol untuk mengikat Gunners 1-1. Pada kunjungan kedua mereka pada 19 Mei, 1999, Gunners berjaya membalas dendam apabila menumpaskan Malaysia 2-0 menerusi jaringan Nicolas Anelka dan Emmanuel Petit – selepas berjaya memperdaya penjaga gawang utama negara, Azmin Azram Abdul Aziz - di Stadium Nasional di Bukit Jalil. 

--------------------------------------------------------------------------------


Cikgu Abdul Rahman Ibrahim,
jurulatih Malaysia yang berpengalaman.

Dari kiri: Hai-O, Ahmad Shahrul Azhar,
Rusdi Suparman, Azman dan Bobby Pian.
Azman, Rusdi Suparman dan Hai-O, gandingan mantap.
Skuad kebangsaan berjaya menduduki tempat ketiga
Kejohanan Piala Tiger 2000.
4.2. Penampilan terakhir bersama skuad kebangsaan.

Kali terakhir Azman menyarung jersi Malaysia ialah pada kejohanan Piala Tiger 2000 di Bangkok, Thailand, di mana beliau berjaya menjaringkan tiga gol, seterusnya berkongsi gelaran penjaring ketiga terbanyak kejohanan, bersama-sama Hok Sochetra (Kemboja), Kurniawan Dwi Yulianto (Indonesia) dan Le Huynh Duc (Vietnam). Piala Tiger Tahun 2000 telah dianjurkan di Thailand dari 5 November hingga 18 November 2000. Di Songkhla/Bangkok pada 2000, Haji Abdul Rahman Ibrahim menggandingkan rangkaian penggempur terbaik - Rusdi Suparman, Azman Adnan, Hairudin Omar dan Nizaruddin Yusof - sambil dibantu kapten, Ahmad Shahrul Azhar Sofian. Namun, kesudahannya, Malaysia tewas kepada Thailand pada separuh akhir sebelum menewaskan Vietnam untuk menduduki tangga ketiga. Azman menjaringkan gol sewaktu Malaysia menewaskan Singapura (1-0), Kemboja (3-2), dan Laos (5-0), di Stadium Tinsulanon, Songkhla, Thailand. Berikut adalah anggota skuad Piala Tiger 2000 negara di bawah bimbingan Haji Abdul Rahman Ibrahim: Kamarulzaman Hassan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, Azmin Azram Abdul Aziz, Mohd Hamsani Ahmad, Ahmad Shaharuddin Ahmad Rosdi, B. Rajanikandh, Mohammad Ali Tahar, Rosdi Talib, Leong Hong Seng, Abdul Ghani Malik, Bahtiar Othman, Suthesh Nair, Bobby Pian, R. Suresh Kumar, Muhammad Shukor Adan, Mohammad Anuar Jusoh, Khairil Zainal, Jaafar Salleh, Yakob Aris, Mohd Nizaruddin Yusof, Hairuddin Omar, Ramos Sari, Rusdi Suparman dan Azman Adnan. 

-------------------------------------------------------------------------------- 

Azman Adnan, merenung jauh, usai menjalani latihan
bersama skuad The Red Giants, sekitar 1990an.
5. Garis-Garis Kerjaya: Azman Adnan.

Sepanjang kerjaya bola sepaknya yang penuh warna-warni, Azman pernah mewakili beberapa pasukan seperti Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan. Kendatipun, bintangnya lebih dilihat menyinar sewaktu mewakili Selangor. 

--------------------------------------------------------------------------------








5.1. Kuala Lumpur.

Azman mula beraksi untuk Kuala Lumpur sewaktu Pertandingan Piala Razak dan Piala Presiden (1987-1989). Pada musim 1991-1993, Azman Adnan yang merupakan pemain muda sensasi ketika itu, pernah dinobat dan dimartabatkan calon pengganti penyerang lagenda, Allahyarham Mokhtar Dahari (Supermokh).  Beliau pernah ditaksir bernilai RM1 juta apabila pasukan Selangor menagih kudratnya dari Kuala Lumpur.  Azman mula mencipta nama bersama skuad Olimpik Barcelona negara, di bawah kendalian Chow Kwai Lam. Namun, kejayaannya menjaringkan 22 gol untuk Kuala Lumpur dalam saingan musim 1991 ketika hanya berusia 21 tahun, telah menarik minat Selangor untuk mendapatkan khidmat beliau. Spekulasi perpindahan Azman semakin bertiup kencang sewaktu beliau dan rakan-rakannya menjalani latihan bagi menghadapi Piala Medallion di Singapura. Selain Selangor, Pahang dan Kedah turut menyatakan minat untuk mendapatkan penyerang muda sensasi ini. Meskipun masih mempunyai baki kontrak selama setahun, Kuala Lumpur dikatakan sanggup membayar elaun berjumlah belasan ribu sebulan demi mengekalkan Azman. Walaubagaimana pun, Setiausaha Persatuan Bolasepak KL (KLFA) ketika itu, K. Rasalingam menyatakan bahawa adalah ‘kurang bijak untuk mengekalkan pemain yang mahu meninggalkan pasukannya.’ Beliau juga meminta mana-mana pasukan negeri yang berminat dengan Azman agar berbincang dengan KLFA, dan bukannya secara peribadi dengan Azman. Hal ini demikian kerana, sebagai pemain yang sangat muda (ketika itu), Azman mungkin ‘mudah hilang fokus’ dan ini mungkin menyebabkan pasukan negara kehilangan seorang pemain yang baik.’ Sewaktu mengulas mengenai perpindahan Azman ke Selangor, ayah beliau, Adnan Ahmad, menyatakan bahawa, “Azman tidak suka bermain terlalu jauh (dari Lembah Klang) dan beliau tidak kisah untuk bermain di Divisyen Dua (bersama Selangor).” Adnan menyatakan bahawa beliau sangat gembira kerana Azman menyertai pasukan yang sangat disayangi oleh beliau dan Azman: Selangor Darul Ehsan. Azman pula menyatakan bahawa beliau sangat ‘terhutang budi dengan skuad Kuala Lumpur’, tetapi sebagai ‘seorang pemain professional’, beliau seharusnya ‘dibenarkan menyertai pasukan lain.’ Kuala Lumpur dalam usaha mereka untuk memastikan ayam tambatan mereka tidak terlepas, tidak teragak-agak untuk meletakkan harga RM1 juta kepada mana-mana pasukan yang ingin mendapatkan khidmat Azman.  Namun, hasil perbincangan lanjut, Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Tan Sri Elyas Omar bersetuju melepaskan Azman dengan yuran perpindahan dalam lingkungan RM250,000 - RM300,000, satu jumlah yang kekal tertinggi dalam kalangan pemain tempatan sehingga ke hari ini. 

-------------------------------------------------------------------------------- 


5.2. Selangor.

Anak kelahiran Rembau ini akhirnya memilih Selangor yang akan beraksi di Divisyen 2 pada musim itu sebagai destinasi perpindahan -- pastinya tertarik dengan tawaran kontrak 5 tahun dengan gaji bulanan RM5,000 beserta kereta dan apartmen yang ditawarkan pengurus baru Merah Kuning ketika itu, Dato’ Aini Taib. Antara orang yang bertanggungjawab membawa Azman ke Salngor ialah Daim Abu Samah, seorang ahli perniagaan dan sepupu kepada ayah Azman, Adnan Ahmad. 

--------------------------------------------------------------------------------


Pada 2 Januari 1993, Azman – yang ketika itu berusia 21 tahun -- menandatangani kontrak selama 5 tahun, bersama-sama dengan 15 orang pemain Selangor yang lain, di Kelab Alam Shah, Shah Alam. Majlis gilang-gemilang yang turut diserikan dengan bacaan sajak itu, turut dihadiri pimpinan FAS ketika itu, seperti Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan Dato’ Aini Taib. Seramai 50 orang penyokong Selangor turut hadir pada majlis tersebut. 

--------------------------------------------------------------------------------


Pelaburan Selangor ternyata berbaloi apabila Azman menjaringkan 106 gol (82 Liga, 3 Piala FA, 21 Piala Malaysia) sepanjang kariernya dengan skuad Gergasi Merah dalam tiga tempoh berlainan. Azman mula menjaringkan gol untuk Selangor pada 8 Julai 1993, bilamana Selangor menumpaskan Polis 10-1. Gol tersebut dijaringkan apda minit ke-26. Azman menjaringkan empat gol dalam perlawanan tersebut, menewaskan penjaga gol lagenda, Ong Yu Tiang (mendiang), yang sebelum itu beraksi bersama Selangor.  Kemenangan ini adalah yang terbesar sejak Liga Semi-Pro dilancarkan pada 1989. Pada tahun 1989, Selangor pernah menewaskan Sarawak 8-1, sewaktu mereka mereka masih berada dalam Divisyen Satu. Antara anggota skuad Selangor pada tahun 1994 ialah: Peter Distzl; Lim Hong Guan; Ismail Ibrahim; K. Ravichandran; K. Gunalan; A. Jayakanthan; Zolst Bucs; Malek Rahman; K. Sanbagamaran; Zainal Nordin; Anuar Abu Bakar; Alistair Edwards; Zaid Jamil; dan Azman Adnan. 

--------------------------------------------------------------------------------

 
 


 
Pada tahun 1994, Skuad Selangor telah layak ke Separuh Akhir Piala Malaysia, tetapi tewas kepada Singapura. Azman menjaringkan satu gol dalam perlawanan tersebut. 

--------------------------------------------------------------------------------


Sekitar bulan April-Jun 1994, terdapat dua peristiwa penting yang berlaku kepada Azman. Pertama, sahabat beliau yang juga pemain handalan Selangor dan kebangsaan, Zaid Jamil, meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya. Kedua, Azman mengalami penyakit misteri yang menyebabkan beliau gagal beraksi dengan baik di atas padang. Azman telah berikhtiar bersama bapanya, Adnan Ahmad, untuk berjumpa pakar perubatan tradisional di Negeri Sembilan bagi mengubati penyakit misterinya. Sebelum itu, Azman dilaporkan kelihatan lesu dan pucat, selain muntah darah. Selepas beransur sembuh, Azman menyatakan bahawa beliau mungkin telah terkena serangan ‘ilmu hitam’. 

--------------------------------------------------------------------------------


5.2.1. Isu Mengatur Perlawanan (Skandal Rasuah).

Pada tahun tersebut juga, sukan bola sepak negara gempar dengan isu rasuah, di mana seramai 126 pemain dan jurulatih dipanggil untuk membantu siasatan. Akibatnya, sebanyak 58 daripada mereka dikenakan hukuman gantung selama satu hingga empat tahun oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Seramai 21 pemain dan jurulatih diberhentikan manakala beberapa pemain dibuang daerah dan seumur hidup tidak dibenarkan menyertai pertandingan bola sepak kelolaan FAM. Kesannya, Malaysia kehilangan pemain handalan yang ramai. Kelompok pemain yang didakwa pada tahun itu adalah antara yang terbaik pernah dilahirkan oleh negara. Kemerosotan pasukan kebangsaan Malaysia datang bersama-sama dengan kemerosotan liga tempatan. Ramai peminat Malaysia menyalahkan skandal rasuah pada tahun 1994 sebagai satu pemangkin, tetapi populariti langganan TV juga mengalih minat kebanyakan peminat bola sepak Malaysia, daripada siaran langsung perlawanan tempatan, ke perlawanan Eropah yang berprofil tinggi. Skandal rasuah juga menyebabkan negara kehilangan bintang-bintang berbakat seperti Karim Pin, Matlan Marjan (Sabah), Azizol Abu Hanifah (Perak), Abbas Saad (Singapura), Hassan Miskam (Johor), Faridzuan Che Hamid, S. Thanasegar dan Norazam Ishak (Kedah). Dengan kekurangan minat dan dana, bola sepak kebangsaan Malaysia sekarang ini masih berbatu jauhnya jika dibandingkan dengan zaman kegemilangan bola sepak pada 1970-an dan 1980-an. 

--------------------------------------------------------------------------------


Sewaktu penentuan ‘sudden deathperlawanan akhir Piala Malaysia 1995, 1 minit selepas permainan bermula, David Mitchell menjaringkan gol hasil sepakan sudut Josip Biskic yang di dada oleh Mehmet Durakovic. Kendatipun, Azman tidak dapat beraksi pada perlawanan akhir Piala Malaysia tersebut, kerana digantung oleh FAM. Hal ini terjadi selepas beliau didapati mengingkari perintah berkurung skuad kebangsaan di kem latihan skuad Pesta Bola Merdeka, untuk keluar berseronok di disko bersama lima pemain lain. 

--------------------------------------------------------------------------------


5.2.2. Kes 6 Budak Disko.

Pada hari bulan Julai 1995, keseronokan seketika pada awal pagi Ahad, membawa padah kepada enam pemain kebangsaan, termasuk wira Pestabola Merdeka 1993, Azman Adnan. Azman bersama lima pemain lain bukan sahaja digugurkan daripada skuad Pestabola Merdeka ke-35, malah kes mereka akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Azman dan rakan-rakannya didakwa -- secara senyap-senyap – telah keluar dari Wisma FAM ke Disko Baze 2 di Ampang sehingga pukul 3.40 pagi. Mereka sepatutnya berada di bilik mereka di Wisma FAM pada jam 10.30 malam.  Penggantungan enam pemain utama negara ini – termasuklah dua penyerang utamanya, Azman dan Shamsurin – telah merencatkan persiapan Skuad Pestabola Merdeka 1995 negara, yang akhirnya dimenangi oleh skuad Iraq. Selepas jawatankuasa pengurusan pasukan negara mengadakan soal siasat, Azman bersama rakannya dalam skuad Selangor, Asroff Hanapiah, Shamsurin Abdul Rahman (Sarawak),Rizal Sukiman (Johor), L.Suresh (Kuala Lumpur), dan Zami Mohamed Nor (Negeri Sembilan), mengaku bersalah melanggar perintah berkurung di Wisma FAM. Pada 20 Julai 1995, Azman menerima bahana paling berat apabila digantung setahun akibat mengingkari perintah berkurung skuad kebangsaan. Azman didapati tidak bercakap benar, sementara lima yang lain, selepas disoal-siasat, mengaku bertemu beberapa orang di disko. Hanya selepas disoal-siasat dengan panjang lebar, beliau mengaku. Walaubagaimanapun, pada 15 Ogos 1995, setelah rayuan dibuat kepada Lembaga Rayuan FAM oleh Dato’ Aini Taib (pengurus Selangor ketika itu), jawatankuasa tersebut mengurangkan penggantungan Azman kepada enam bulan sahaja. Pada 2 Oktober 1995, rayuan Dato’ Aini agar tempoh tersebut dikurangkan lagi, ditolak. 

--------------------------------------------------------------------------------



5.2.3. Menentang The Red Devils.

Azman juga terlepas peluang untuk bersama skuad Pilihan Selangor yang menentang Manchester United (MU) sebanyak dua kali, iaitu di Stadium Shah Alam, pada 31 Julai dan 2 Ogos 1995. Dalam kedua-dua perlawanan tersebut, Selangor tewas 1-4 dan 0-2. Gol tunggal Pilihan Selangor dijaringkan pemain import jemputan, Scott Ollerenshaw dalam perlawanan sulung (31 Julai 1995) yang menewaskan penjaga gol lagenda MU dari Denmark, Peter Schmeichel pada minit ke-79. Perlawanan persahabatan ini adalah untuk merebut ‘Glamoir Invitational Cup’. Untuk perlawanan pertama (31 Julai), penganjur mengenakan tiket berharga RM20, di mana ianya dianggap mahal berbanding harga biasa tiket Liga Perdana Malaysia ketika itu (RM6 ke RM10). Bagaimanapun, tiket untuk perlawanan kedua (pada 2 Ogos) dikurangkan harganya kepada RM10 sahaja. Kedua-dua perlawanan tersebut kurang mendapat sambutan kerana selain harga tiket yang agak mahal, nama-nama besar seperti Eric Cantona, Ryan Giggs dan Andy Cole tidak menyertai kunjungan MU ke Malaysia. Kendatipun, pemain-pemain berbakat seperti Peter Schmeichel, Roy Keane, Denis Irwin dan Steve Irwin turun beraksi dan memeriahkan perlawanan tersebut.

--------------------------------------------------------------------------------


5.2.2.1. ‘Fergie Fledging’.
Beberapa bulan selepas perlawanan tersebut, anak-anak didik Alex Ferguson yang kelihatan begitu asing pada pengetahuan dan mata rakyat Malaysia, menggemparkan Liga Perdana Inggeris, selepas berjaya memenangi kejuaraan liga dan mencipta rekod, memenangi tiga kejuaraan pada musim 1998/99. MU telah menjuarai Piala FA, Kejuaraan Liga Domestik dan Piala Liga Juara-Juara Eropah (setelah mengalahkan Bayern Munich pada perlawanan akhir). Mereka ialah Gary Neville, Phill Neville, Paul Scholes, David Beckham dan Nicky Butt. Pemain-pemain muda dari skuad remaja MU ini dikenali sebagai ‘Fergie Fledging’.
_____________________________________________________


Fergie Fledging tersebut dibawa masuk oleh Ferguson ke dalam kesebelasan utama MU, selepas kejuaraan liga 1994/95 terlepas ke tangan Blackburn, yang ditunjangi oleh penyerangnya, Alan Shearer. Mereka dimasukkan selepas pemain ikon MU dari Perancis, ‘King’ Eric Cantona, digantung akibat insiden terjahan ala kung-fu ke atas seorang penyokong Crystal Palace, Matthew Simmons.
_________________________________________________


Pada 9 Mei 2011, Matthew yang ditendang serta ditumbuk oleh Cantona lebih 15 tahun lalu itu, telah didenda dan dikenakan hukuman penjara, selepas menyerang Stuart Cooper, seorang bekas pengurus pasukan bola sepak anak lelakinya). Pemain-pemain muda tersebut mengangkat imej Ferguson dan MU, sekaligus menyangkal dakwaan pengulas sukan, Alan Hansen, yang menyatakan bahawa ‘you couldn’t win anything with kids’.

--------------------------------------------------------------------------------

5.2.2.2. Berkenaan ‘Manchester United Asia Tour’ 1995:
i. Tarikh: 31 Julai 1995 (Stadium Shah Alam):
Kehadiran penonton: 51, 286 orang.
Manchester United -- 4 (Steve Bruce 48, Nicky Butt 55, Gary Pallister 64, Lee Sharpe 76)
Pilihan Selangor – 1 (Scott Ollerenshaw 79)

Barisan pemain Pilihan Selangor:
23. V. Murugan, 2. Alan Davidson, 4. Mehmet Durakovic, 5. K.Gunalan, 6. P.Maniam, 16. Ismail Ibrahim, 7. Shahril Arsat, 8. Josip Biskic, 12. K.Sanbagamaran, 10. David Mitchell, 20. Scott Ollerenshaw (3. Abu Talib Sulaiman, 9. Rusdi Suparman, 18. V. Yogeswaran).


Barisan pemain Manchester United:
1. Peter Schmeichel, 2. Paul Parker, 3. Denis Irwin, 4. Steve Bruce, 20. Gary Neville, 6. Gary Pallister, 22. Paul Scholes, 19. Nicky Butt, 9. Brian McClair, 16. Roy Keane, 5. Lee Sharpe, 24. David Beckham (Paul Scholes), 23. Phil Neville (Paul Parker).

--------------------------------------------------------------------------------

ii. Tarikh: 2 Ogos 1995 (Stadium Shah Alam):
Kehadiran penonton: 22, 612 orang.
Manchester United -- 2 (Steve Bruce 18, Paul Scholes 29)
Pilihan Selangor – 0

Barisan pemain Pilihan Selangor:
23. V. Murugan, 2. Alan Davidson, 4. Mehmet Durakovic, 5. K.Gunalan, 6. P.Maniam, 16. Ismail Ibrahim, 7. Shahril Arsat, 8. Josip Biskic, 12. K.Sanbagamaran, 10. David Mitchell, 20. Scott Ollerenshaw, Jan Janostak (3. Abu Talib Sulaiman, 9. Rusdi Suparman, 18. V. Yogeswaran).

Barisan pemain Manchester United:
1. Peter Schmeichel, 2. Paul Parker, 3. Denis Irwin, 4. Steve Bruce, 23. Phil Neville, 6. Gary Pallister, 22. Paul Scholes, 19. Nicky Butt, 9. Brian McClair, 16. Roy Keane, 29. Ben Thornley, 25. Kevin Pilkington, 27. Terry Cooke (Paul Scholes), 20. Gary Neville (Paul Parker), 24. David Beckham (Brian McClair).

--------------------------------------------------------------------------------




Pada tahun 1996, Azman kembali daripada penggantungan akibat kes ‘6 Budak Disko’ tersebut, dan membantu Selangor menjulang Piala Malaysia selepas menewakan Sabah. Perlawanan akhir tersebut berlangsung penuh sengit, memandangkan Sabah turut dianggotai pemain-pemain hebat seperti Khairul Azman Mohamed, Scott Ollerenshaw, Harun Laban dan Jelius Ating. Tahun 1996 menyaksikan negara dilanda kesedihan selepas Ribut Greg melanda Sabah dan mengorbankan banyak nyawa. Justeru itu, sewaktu final Selangor-Sabah tersebut, para pemain dan penyokong di Stadium Shah Alam bertafakur dan membaca Al-Fatihah sebagai tanda simpati terhadap tragedi tersebut. Selangor menewaskan Sabah menerusi penentuan sepakan penalti, di mana Abu Talib Sulaiman berjaya menyempurnakan sepakan terakhir, sekaligus membolehkan Skuad The Red Giants menjulang Piala Malaysia buat kesekian kalinya. Selangor menang, 5-4. Pada tahun tersebut, Skuad Selangor telah memenangi gelaran Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih.

--------------------------------------------------------------------------------


 



Pada tahun 1997, Skuad The Red Giants telah menjuarai Piala Malaysia, Piala Emas Raja-Raja, Piala FA dan Piala Sumbangsih. Sewaktu penentuan ‘sudden death’ pada aksi akhir Piala Malaysia 1997, Chris Kiwomya menjaringkan gol seminit selepas wisel masa tambahan dibunyikan, hasil hantaran Aizal Lamin. Untuk rekod, Azman cuma berjaya menjaringkan gol ketika perlawanan akhir membabitkan Selangor, cuma pada Piala FA 1997, iaitu ketika melawan Pulau Pinang di Stadium Ipoh, Perak. Tahun tersebut juga menyaksikan Christoper Zwane Mandla (pemain yang digelar Black Maradona dan pernah bermain untuk Porto FC) dan Tony Cottee (pernah mewakili England, West Ham dan Leceister City) beraksi untuk Selangor.

--------------------------------------------------------------------------------



Tahun 1998 menyaksikan prestasi Selangor jatuh merudum. Musim tersebut dimulakan dengan kontroversi yang tercetus antara Azman dan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan. Azman dikatakan sudah menyatakan persetujuan untuk menyertai pasukan Hoben Jang Hoben tersebut. Namun, selepas berita tersebut dipaparkan di dada-dada media, akhirnya satu sidang media dianjurkan pihak pengurusan Selangor yang baru, diketuai pengurusnya, Dato’ Mokhtar Ahmad yang menggantikan Dato’ Aini Taib. Sewaktu sidang akhbar tersebut, Azman yang kemudiannya mula menyimpan jambang, kelihatan sangat sugul dan muram. Pengumuman berkenaan kekalnya Azman dalam pasukan Selangor bagi musim 1998 dibuat. Selangor yang menjulang beberapa piala pada musim 1997, memulakan langkah sumbang apabila tewas 1-3 kepada Sarawak. Gol saguhati Selangor dijaringkan oleh Azman Adnan. Meskipun Selangor dibarisi oleh pemain bintang seperti Zainal Abidin Hassan, Alexander Freeman, Hopkins, Abdul Hadi Tahir dan Shahril Arsat, Selangor gagal mengulangi era gemilang 1995-1997. Akhirnya, Azman membuat kejutan apabila menyertai Pulau Pinang pada tahun 1999.

--------------------------------------------------------------------------------


Haria Penang Haria: Pulau Pinang
Pada tahun 1999, Azman keluar dari Selangor dan bermain dengan Pasukan Pulau Pinang. Bersama Skuad ‘Harimau Bintang’, Azman telah berjaya memenangi kasut emas Liga Perdana 1 Malaysia pada tahun 1999 apabila menjaringkan 13 gol buat pasukan Pulau Pinang.
____________________________________________________






Sewaktu di Pulau Pinang, Azman turut diberi penghormatan: memegang jawatan selaku kapten pasukan tersebut. Musim 1999 juga menyaksikan Azman dilayangkan kad merah buat kali pertama, sewaktu mewakili Pulau Pinang. Sementelahan, Azman menjadi penjaring terbanyak Liga Perdana 1 dengan 13 gol, manakala penyerang ‘kembar’nya di Selangor dan skuad kebangsaan, Rusdi Suparman, menjadi penjaring terbanyak Liga Perdana 2 (juga dengan 13 gol).

--------------------------------------------------------------------------------


Hoben Jang Hoben: Negeri Sembilan.
Azman juga pernah beraksi dengan Negeri Sembilan pada tahun 2000-2001. Skuad ini dianggotai antara lain oleh Azmi Mohamed, Khairul Anuar Baharom, Leong Hong Seng, Shukor Adan, Khairun Khaled Masrom, Efendi Malek, Wong Sai Kong dan Chow Chee Weng.
_________________________________________________________






Meskipun pasukan ini pada asalnya tidak meletakkan sebarang sasaran dan menyatakan bahawa musim tersebut adalah musim mendewasakan pemain muda, Azman dan rakan-rakannya berjaya melangkah ke final Piala Malaysia 2000. Namun, mereka tewas kepada pasukan Perak, 0-2 di Stadium Shah Alam. Piala Malaysia 2000 merupakan edisi ke-74 Piala Malaysia. Kejohanan ini bermula pada 22 Ogos 2000. Azman menjaringkan gol sewaktu Negeri Sembilan menewaskan Kedah (4-0 dan kemudian 3-1) dan Perak (3-0). Pencapaian cemerlang musim 2000 menyaksikan Azman, Khairol Anuar Baharom, Hamsani Ahmad dan Effendi Malek menerima ganjaran RM20,000 setiap seorang daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS). Kendati pun, tahun 2001 menyaksikan pasukan Negeri Sembilan hanya berjaya melayakkan diri ke saingan suku akhir Piala Malaysia.

--------------------------------------------------------------------------------


Kembali bersama The Red Giants (Selangor).
Pada tahun 2002, Azman kembali mewakili Selangor yang kemudiannya berjaya menjuarai Piala Malaysia buat pasukan tersebut untuk kali ke-31. Gol kemenangan dalam perlawanan akhir penuh dramatik tersebut dijaringkan oleh Amri Yahya, pemain muda yang kemudiannya menjadi pemain Selangor yang sangat berpengaruh untuk skuad Selangor pada hari ini. Amri menjaringkan gol selepas gerakan cantik Jaafar Salleh dikuis pemain import, Mass Sarr Jr. dan melantun kepada Amri.
________________________________________________________








Pada musim 2002, Azman telah membantu Selangor untuk muncul juara Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih. Ini merupakan Piala Malaysia terakhir yang dijulang oleh Azman Adnan.

--------------------------------------------------------------------------------


Musim 2003 menyaksikan Azman digugurkan skuad Selangor, dan kemudiannya, beliau memilih untuk menyarung jersi skuad Negeri Sembilan sekali lagi. Pada tahun tersebut, Azman Adnan dan Khalid Jamlus menguasai senarai penjaring terbanyak ketika saingan awal liga. Tahun ini juga menyaksikan kehadiran bintang baru bola sepak negara, Safee Salee, yang menjaringkan 11 gol sewaktu mewakili Kuala Lumpur. Safee baru berusia 19 tahun ketika itu. Ketika pusingan pertama liga, Azman berkongsi jumlah jaringan terbanyak (15 gol) dengan bintang MPPJ FC dari Argentina, Juan Manuel Arostegui. Azman yang berkemampuan menjaringkan gol dalam lingkungan jarak 18 ela kotak penalti, beraksi cemerlang, dengan menjaringkan hat-trick dalam tiga perlawanan menentang Perak TKN (6-0), Kelantan JPS (8-0) dan MPPJ Selangor (7-2). Beliau bergandingan dengan penyerang tempatan Skuad Rusa seperti Effendi Malik, Azrine Efendi and Suharmin Yusof. Negeri Sembilan gagal melayakkan diri ke pusingan suku akhir Piala Malaysia 2003. Mereka kecundang di Peringkat Kumpulan. Namun, musim tersebut juga menyaksikan Negeri Sembilan berjaya menjulang Piala FA buat kali pertama, setelah menewaskan Perlis, 2-1, di Stadium Perak, Ipoh. Negeri Sembilan yang dipimpin oleh K. Devan ketika itu, berjaya merangkul Piala FA selepas jaringan emas pemain import dari Brazil, Everson Martinelli pada minit ke-95 dalam aksi sudden-death, memastikan skuad itu mencatat sejarah apabila menjulang Piala FA 2003 buat pertama kali. Selain Azman, antara pemain yang beraksi ialah B. Rajinikandh, Norhafiz Zamani Misbah, Azlisham Ibrahim, Effendi Malek, Syaiful Sabtu, Mohd. Aiman Wong, Luciano Osmar Gonzales dan K. Rajan. Antara pemain yang beraksi untuk pasukan Singa Utara pula ialah Amran Omar, Mohd Khairunnisam Shahbuddin Hussai, Tengku Hazman Raja Hassan, Anuar Jusoh, Phillemon Chipeta, Lamin (Conteh Jr) dan Rosle Md. Derus. Pasukan ini ketika itu dibimbing oleh Cikgu Jan (Norizan Bakar). Hadiah kemenangan disampaikan oleh Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah. 

--------------------------------------------------------------------------------


Azman kemudiannya menyarung jersi Merah-Kuning buat kali terakhir pada musim 2004 sebelum memutuskan untuk menggantung butnya. Pada musim tersebut, skuad Selangor dibarisi ramai pemain veteran, di samping turut disertai oleh pemain-pemain muda. Antara anggota skuad 2004 Selangor FA ialah Azlisham Ibrahim, Fairuz Montana Zainal Abidin, Azrul Amri Borhan dan Reza Mokhtar. Meskipun musim 2004 dianggap sebagai antara musim suram skuad Merah-Kuning, muncul seorang bintang import dari Argentina, Brian Fuentes, yang bukan saja disenangi oleh penyokong Selangor, tetapi corak permainannya diminati oleh penyokong lawan.

--------------------------------------------------------------------------------



6. Era Dato’ Aini Taib-Ken Worden-Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Pada era 1990an, Dato’ Aini Taib yang mula diberi kepercayaan sebagai pengurus pada 1993, mula melakukan pembaharuan dengan cara pendekatannya tersendiri. Skuad Selangor ketika itu bukan saja dibarisi pemain import dan tempatan terbaik, malah juga terdiri daripada pemain anak jati negeri Selangor yang dihasilkan menerusi program pembangunan yang berkesan.
_____________________________________________




Tatkala skuad Selangor ketika itu dibarisi pemain hebat dalam kalangan pemain tempatan (seperti Azman Adnan, Anuar Abu Bakar, Shahrin Majid, Ismail Ibrahim, Asroff Hanafiah, Yap Kam Choon, V. Murugan, Abdul Hadi Tahir, P. Maniam, K. Sanbagamaran, Paul Raj, Mubin Mokhtar dan K. Gunalan) dan pemain import (seperti Tony Cottee, Christopher Kiwomya, Christopher Zwane Mandla, Mustaca Christian, David Mitchell, Josip Biskic, John Hopkins, dan Mehmet Durakovic), beberapa pemain kelahiran Selangor seperti Asmawi Bakiri, Shahril Arsat, Rusdi Suparman dan Azlisham Ibrahim turut diketengahkan.
_____________________________________________________________




Worden yang terkenal sebagai seorang pemberi motivasi yang cemerlang, gemar menggunakan formasi 5-3-2. Gandingan Azman Adnan dan Anuar Abu bakar pernah digelar ‘Penyerang 2A’ yang konsisten. Kemasukan Alistair Edwards menjadikan gelaran tersebut kepada ‘3A’. Ken Worden, jurulatih Azman sewaktu bersama Selangor dan Malaysia, merupakan satu-satunya jurulatih import yang meraih pingat Piala Malaysia sebanyak tiga kali iaitu pada 1995, 1996 dan 2002. Gandingan Aini bersama jurulatih Ken Worden dan kemudiannya Steve Wicks, dengan dokongan padu Kerajaan Selangor (ketika itu diterajui oleh Tan Sri Muhammad Muhd Taib), Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Raja Muda Selangor ketika itu, Tengku Idris Shah (kini Sultan Sharafuddin Idris Shah), turut membolehkan Selangor merangkul tiga kejuaraan Piala Malaysia berturut-turut dari 1995 hingga 1997. Tuntasnya, gandingan Dato’ Aini, Ken Worden dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib, bolehlah dianggap sebagai arkitek kejayaan Selangor sekitar era 90an.

--------------------------------------------------------------------------------

7. Penutup.
Azman Adnan merupakan satu nama besar dalam lipatan bola sepak Selangor khususnya, dan Malaysia amnya. Meskipun sering dilanda kontroversi, beliau akan terus dikenang sebagai penyerang sensasi negara yang mempunyai kemahiran yang tinggi dan terpuji. Terima kasih Azman, atas segala jasa dan sumbanganmu. Julang semangat zaman.

--------------------------------------------------------------------------------

Rujukan dan pautan:
  1. http://www.facebook.com/jabal.noor.9;
  2. http://www.facebook.com/norazmi.mahmood;
  3. http://www.facebook.com/azizol.abuhaniffah;
  4. http://matakubu.blogspot.com;
  5. http://www.facebook.com/media/set/?set=a.453980207964703.115484.360654577297267&type=3;
  6. http://azfar9897.blogspot.com/2011/07/keputusan-malaysia-vs-arsenal.html;
  7. http://extratime.posterous.com/my-best-live-football-experience-malaysia-cup;
  8. http://hariapenang.blogspot.com/2010/04/azman-adnan.html;
  9. http://kickbola.blogspot.com/2011/05/sabah-fa-nostalgic-hall-of-fame_17.html;
  10. http://mforum.cari.com.my/viewthread.php?action=printable&tid=202727;
  11. http://n7.tripod.com/kojar4.jpg;
  12. http://rizalhashim.blogspot.com/2009/07/things-you-may-want-to-know-about.html;
  13. http://simistri.multiply.com/photos/album/19;
  14. http://www.guardian.co.uk/football/2011/may/09/eric-cantona-kung-fu-victim-assault?INTCMP=ILCNETTXT3487;
  15. http://www.kujie2.com/anak/macam-mana-nak-kira.html;
  16. http://www.mullocksauctions.co.uk/lot-3989-1999_malaysia_v_arsenal_fc_football_programme_et.html;
  17. http://www.placesandfoods.com/2010/03/footballmoments.html/2;
  18. http://www.selangorfc.com/ms/kolumnis/editorial/sang-helang-di-dadaku.html;
  19. http://www.switchimageproject.com/2008/09/selangor-fa-1994-and-1995-football.html;
  20. http://www.themanutdfan.com/2009/06/malaysia-vs-manchester-united-memory-of-1995/.

10 ulasan:

  1. Bila jelmaan akan muncul. Anyway thanks AZMAN

    BalasPadam
  2. Ya, mungkin saja satu hari nanti, muncul juga, in sya ALLAH.

    Supermokh hadir sewaktu peminat bola sepak tempatan menanti pengganti Raja Bola Ghani Minhat. Kemudian, ‘lahir’ James Wong dan Hasan Sani, sebelum Zainal Abidin Hassan dan Dollah Salleh, bangkit.

    Era 90an menyaksikan ramai pemain berbakat hebat, tetapi tidak bernasib baik seperti:

    i) Matlan Marjan, Karim Pin dan Azizol Abu Hanifah (skandal rasuah); dan

    ii) Allahyarham Shahdan Zahari, Akhmal Rizal dan Azrul Amri Borhan (kemalangan jalan raya dan kecederaan serius).

    Justeru, kelahiran generasi selepas Azman seperti Super Safee, Ashaari Shamsuddin, Hadi Yahya dan Nor Shahrul Idlan Talaha, diharap dapat mengembalikan maruah gemilang bola sepak negara.

    Sama-samalah kita doa dan nantikan. In sya ALLAH. :)

    BalasPadam
  3. menanti kemunculan azman adnan yang baru~!!

    BalasPadam
    Balasan
    1. In sya ALLAH, asalkan ada usaha keras daripada Kerajaan Negeri, rakyat, ibu bapa dan guru serta FAM. Doakan!

      Padam
  4. Balasan
    1. Salam alaik. Terima kasih kerana sudi baca. Saya memang peminat Azman Adnan. Dulu tak pernah miss turun Stadium Shah Alam. Siap kumpul duit tabung, untuk beli jersi Selangor no.19. heh heh.

      Bersamalah kita hargai jasa dan pengorbanan ahli sukan negara. Padu!

      Padam
  5. Tahniah kepada tuan punya blog kerana memberikan maklumat yg penuh informasi dan bersejarah berkaitan sukan bola sepak Malaysia.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih, kerana sudi melawat blog yang sederhana ini. Semoga kegemilangan lalu, menjadi pemangkin kecemerlangan masa depan. Hidup liga kita. Julang semangat zaman. :)

      Padam
  6. salam..thanz byk sgt info..sy peminat pasukan selangor..boleh x admin post berkenaan era kegemilangan selangor pada era 90-an... or profile setiap pemain masa tu ke..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam. Terima kasih kembali, kerana sudi baca blog yang sederhana ini.

      Saya ada tulis beberapa entri berkenaan pemain import Selangor FA era 90an, seperti Mehmet Durakovic, David Mitchell, Niall Quinn, Christopher "The Black Maradona" Zwane Mandla dan Josip Biskic.

      * Saudari boleh taip nama pemain Selangor era 90an pada kotak carian di sebelah kanan bahagian atas blog ini, kemudian klik 'enter'. :)

      Padam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...