Sabtu, Disember 22, 2012

Cerita Malaysia ke Olimpik 1980 (Moscow, Rusia).



TS Hamzah Abu Samah,
mantan Presiden FAM, Presiden AFC
dan Naib Presiden FIFA.
Al-Fatihah yang sekudusnya,
buat mantan Menteri Undang-Undang
dan Peguam Negara ini.
TS Hamzah dan Pegawai FAM meraikan
skuad negara yang layak ke Olimpik 1980. Kelihatan
Soh Chin Aun sedang memotong kek, sambil
diperhatikan oleh wira-wira negara.
Tengku Ahmad Rithauddin,
Sultan Ahmad Shah dan Soh Chin Aun.
Para wira negara bergambar kenangan,
usai menang ke atas Korea Selatan.
Cerita Malaysia ke Olimpik 1980 (Moscow, Rusia).
1.0. Kisah ranjau sepanjang peringkat kumpulan.
Seperti kita sedia maklum, Malaysia pernah berjaya menempah satu daripada tiga tiket untuk Asia ke Sukan Olimpik Moscow 1980. Anak buah Karl Heinz Weigang, dalam perjuangan ke Olimpik, telah menewaskan Korea Selatan 3-0; seri 1-1 dengan Jepun; mengalahkan Brunei 3-1; menumbangkan Indonesia 6-1; sebelum membenam Filipina 8-0 di peringkat kumpulan. Sewaktu menewaskan Korea Selatan di peringkat kumpulan, gol-gol Malaysia dijaringkan oleh “King” James Wong, Khalid Ali dan Abdullah Ali, sementara Cho Gwang-rae gagal menjaringkan sepakan penalti.

Namun, kita menarik diri kerana Kerajaan Malaysia memboikot Sukan Olimpik di Moscow kerana membantah serangan ke atas bumi Afghanistan. Sukan Olimpik 1976 pernah diboikot kurang lebih 12 buah negara atas isu dasar Apartheid di Afrika Selatan. Jumlah negara yang memboikot Sukan Olimpik 1980 adalah jauh lebih besar, dengan pemulauan tersebut diketuai oleh “Polis Dunia”, Amerika Syarikat. Negara-negara yang memboikot Olimpik Moscow 1980 ini sebaliknya menyertai Kejohanan “Liberty Bell Classic” yang juga dikenali sebagai “Sukan Pemulauan Olimpik” di Philadelphia, Amerika Syarikat.

James Wong, wira negara.
James Wong dan Jamal Nasir,
dipeluk erat oleh rakan seperjuangan.
James Wong dikerumuni oleh peminat
fanatik. Turut kelihatan, Karl Weigang.
Hassan Sani dan Peter Rajah.
Skuad Pestabola Merdeka 1979.
 
2.0. Seputar tentang USSR dan acara bola sepak Olimpik 1980.
“The Union of Soviet Socialist Republics (USSR)” atau “Kesatuan Soviet” merupakan sebuah republik sosialis (sesetengah menggelarkannya “negara komunis”) yang ditubuhkan sejak 1922 hingga 1991, dengan Parti Komunis memimpin dari pusat pentadbiran Kesatuan Soviet iaitu Moscow. Acara bola sepak untuk Sukan Olimpik 1980 di Moscow bermula dari 20hb Julai hingga 2hb Ogos 1980. Sebanyak 16 buah pasukan bertanding dan dibahagikan kepada 4 buah kumpulan, di mana Iraq menggantikan pasukan bola sepak Malaysia yang menyertai boikot oleh Amerika. Pasukan Iran pula digantikan oleh Syria. Negara-negara yang menyertai acara bola sepak untuk kejohanan tersebut adalah seperti berikut:
  • Kumpulan A (Cuba; Kesatuan Soviet(USSR); Venezuela; Zambia);
  • Kumpulan B (Colombia; Kuwait; Nigeria; Czechoslovakia);
  • Kumpulan C (Algeria; Sepanyol; Jerman Timur (GDR), Syria);
  • Kumpulan D (Costa Rica; Finland; Iraq; Yugoslavia).
Meskipun Kesatuan Soviet diletakkan sebagai pilihan utama, akhirnya Czechslovakia yang berjaya meraih emas, tatkala Jerman Timur meraih perak dan Soviet sekadar gangsa. Czechslovakia menewaskan Jerman Timur 1-0 dalam era baru bola sepak Olimpik yang disaksikan oleh kurang lebih daripada 2 juta orang penonton.


Towkay (Soh Chin Aun), lagenda.
Hassan Sani.
Bakri Ibni menjaringkan gol sulung negara.
Tony Wong-Bakri Ibni, gandingan
era 1970an yang digeruni.


The Spiderman, dalam kenangan.
Supermokh, dalam kenangan.
3.0. Detik bersejarah itu.
Lagenda negara, Supermokh yang tidak terpilih ke Sukan Olimpik 1972 di Munich --kerana dikatakan masih mentah (19 tahun) -- turut tidak beraksi sewaktu Kelayakan Sukan Olimpik 1980, kerana bersara atas beberapa faktor (yang enggan diulas lanjut oleh Supermokh). Dalam temubualnya dengan Majalah Arena Bola Sepak pada 1986, Supermokh mengakui bahawa beliau merasa terkilan kerana tidak dapat bermain dengan pasukan kebangsaan sewaktu Kelayakan Olimpik 1980. Supermokh akhirnya kembali daripada persaraannya dan membantu skuad kebangsaan sewaktu Kelayakan Piala Dunia 1986 dalam perlawanan menentang Korea Selatan pada tahun 1985. Supermokh menyatakan bahawa beliau kembali atas kesedaran untuk membantu skuad Malaysia ketika itu, yang dilanda masalah kecederaan.    

Dengan ketiadaan Supermokh, jurulatih kebangsaan, karl Heinz Weigang bergantung kepada gabungan pemain muda dan berpengalaman ketika itu seperti Soh Chin Aun, Santokh Singh, Khalid Ali, Bakri Ibni, Hassan Sani dan James Wong. Di Stadium Merdeka, Malaysia mendahului 1-0 pada separuh masa pertama, apabila Bakri Ibni membuka jaringan menerusi satu percubaan cantik pada minit ke-13, sebelum disamakan oleh pemain Korea Selatan, Gang-nam pada minit ke-58. Sebelum itu, pada minit ke-21, Hassan Sani telah dikasari oleh Kim Hong-joo dalam kotak penalti Korea. Meskipun penjaga garisan dari Burma (Myanmar), Maung Maung telahpun mengangkat bendera, pengadil telah meneruskan permainan dan menafikan penalti untuk Malaysia.

Sewaktu perlawanan hanya berbaki lima minit, Khalid Ali membuat tandukan ‘clearance’ daripada satu sepakan percuma dan membuat hantaran ke arah Hassan Sani yang berada di kawasan tengah padang. “Hurricane” Hassan Sani memecah tembok kebal Korea Selatan dari tengah padang dan membuat hantaran lintang yang cantik kepada “King” James Wong yang tidak dikawal. Bersama sorakan 35,000 penyokong tempatan yang memenuhi Stadium Merdeka, “King” James berjaya mengelirukan Lee Jang-soo, sebelum tenang merembat bola melepasi kawalan Kim Hwang-ho pada minit ke-86 yang epik. Jaringan ini juga dikatakan bertaraf antarabangsa, memandangkan hanya penyerang yang tenang dan fokus sahaja mampu mempamerkan ketenangan sedemikian rupa, dalam situasi yang sangat tertekan. Dalam Perlawanan akhir kelayakan Sukan Olimpik Moscow 1980 untuk Kumpulan 2 Asia itu, Malaysia menang ke atas jaguh Asia, Korea Selatan, 2-1.
  • Barisan lagenda Malaysia: R. Arumugam, Jamal Nasir, Soh Chin Aun, Santokh Singh, Kamaruddin Abdullah, Bakri Ibni, Shukor Salleh, Khalid Ali, Abdullah Ali, Abdah Alif, Hassan Sani, dan James Wong.
  • Para pemain Korea Selatan: Kim Hwang-ho, Choi Jong-duk, Cho Young-jeung, Lee Jang-soo, Kim Hong-joo, Park Sang-in, Kim Gang-nam, Cho Gwang-rae, Shin Hyun-ho, Chung Hae-won, Lee Young Moo, dan Huh Jung-moo.
  • Pengadil: Abdul Wahab Al-Banni (Kuwait).
 



 
Bilakah lagi dapat diulangi sejarah ini?
4.0. Kenangan, hari ini dan masa depan Harimau Malaya.
Bercerita tentang sejarah dan kenangan bola sepak Malaysia sekitar 1950an hingga 1980an memang membahagiakan. Barisan lagenda daripada skuad amatur Malaysia telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik 1972 di Munich dan 1980 di Moscow, di mana mereka turut menang dua butir pingat gangsa: iaitu pada Sukan Asia 1962 di Jakarta dan 1974 di Tehran. Kendatipun, tatkala kita mendabik dada dengan liga tempatan yang dikatakan bertaraf profesional, kita tampak semakin melangkah berundur ke belakang. Beberapa tahun dahulu, terdengar sasaran skuad kebangsaan untuk layak ke Piala Dunia dalam masa terdekat. Namun, berdasarkan kedudukan kita dalam ranking FIFA dan prestasi semasa, perjalanan dilihat semakin mencabar dan sukar.

Kegagalan mengekalkan Piala AFF Suzuki 2012, selepas gagal ke Sukan Olimpik 2012 di London dan Piala Dunia 2014 di Brazil, seharusnya menjadi penggera kebangkitan yang berdesing kuat di gegendang telinga kita. Perjalanan kita masih jauh. Setiap pihak perlu mainkan peranan. Sebagai penyokong sejati, jika ada ruang dan wang, turunlah ke stadium, menyokong pasukan dan kelab tempatan yang berentap. Jika ada perlawanan membabitkan Harimau Malaya, turunlah juga ke stadium, untuk memberi sokongan kepada skuad kebangsaan. Mengkritik itu tidak salah, andai saja bersifat membina. Sokong, waktu gagah dan rebah. Dan, sebelum terlupa, semoga jurulatih kita lebih berhati-hati dan peka, dalam memilih kesebelasan utama dan simpanan untuk Harimau Malaya. Hidup Malaysia kita. Padu.    

**********************
Sumber dan Entri Berkaitan:
  1. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/piala-aff-suzuki-2012-sebuah-gambus-luka.html;
  2. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/11/piala-aff-suzuki-2012-quo-vadis-harimau.html;
  3. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/11/piala-suzuki-aff-2012.html;
  4. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/piala-suzuki-aff-2012-tahniah-buat.html;
  5. http://chedinsphere.blogspot.com/2012/12/cerita-malaysia-ke-olimpik-1972-munich.html;
  6. http://rizalhashim.blogspot.com/2010/05/1980hassan-cucuk-hassan.html;
  7. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Hamzahdikenangpeminatsukan/Article/index_html;
  8. http://farm4.static.flickr.com/3391/4619114938_ee1f10b262_o.png;
  9. http://www.ckliio9.com/2010/05/committed-to-game.html;
  10. http://besteleven.com/UpFile/PressBoard/82/20110125160502976.jpg;
  11. http://www.kfa.or.kr/news/news_view.asp?tb_name=interview_gisa&g_gubun=4&g_idx=1029.

23 ulasan:

  1. Baru tonton Ola Bola kat panggung wayang. Mantap cerita tu, rupanya based on true story la.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam. Ya, diinspirasikan daripada kisah sebenar. Tapi, ditambah dengan sedikit fiksyen.

      * Untuk makluman, entri ini merupakan antara rujukan untuk Ola Bola.

      Ada nama saya dan page Retro Bola Sepak (RBS) pada kredit akhir filem tu.

      :)

      Padam
    2. Tahniah, entri ini merupakan antara rujukan ola bola..barangkali gambar2 juga ya.

      Padam
    3. Dating for everyone is here: ❤❤❤ Link 1 ❤❤❤


      Direct sexchat: ❤❤❤ Link 2 ❤❤❤

      zi .

      Padam
  2. Ola bola terbaikkk..harap pasukan bola malaysia lebih mantap lg seperti dulu..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam.

      Benar, memang filem yang ada jiwa. Semoga lebih banyak karya yang bermutu dapat kita terbitkan.

      Serta, moga bola kita gah semula -- bersama semangat Ghani Minhat, SuperMokh, Taukey, Sarbegeth Singh, Aru The Spiderman dan lain-lain.

      :)

      Padam
  3. Baru lepas tgk filem ola bola.Mmg terbaik.Bila agaknya suasana dlm filem spt dpt diterjemahkan dlm realiti skrg ni.Rupanya cerita betul pasal Malaysia boikot sukan olimpik.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam.

      Ya, separa fiksyen dan fakta. Diinspirasikan daripada kisah benar Kelayakan ke Sukan Olimpik 1980.

      Kita doakan yang baik-baik - agar politiking dapat dikurangkan dalam bola kita.

      Serta sistem yang lebih telus dan profesional dapat dilaksanakan pada setiap peringkat -- tunas sehingga peringkat kebangsaan.

      :)

      Padam
    2. negara oic yg cadang boikot olympic tu akhirnya main juga olympic di moscow tu. ni kekecewaan yg sgt dirasakan. sebenarnya malaysia dah anounce boikot 2 bulan sebelum game dgn korea ni,tapi ketika itu berita ni tak terlalu viral. kesian athletic & sportsman yg train 4 tahun sblm olympic. player harimau malaya 80 an ni lah yg paling sedih..bukan mudah nk masuk olympic

      Padam
  4. saya baru tengok ola bola.. cerita yg best dan sedih.. filem ni mmg terbaik dan berjaya mengubah mindset sy terhadap negara dan bolasepak Malaysia sebelum ni.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam.

      Ya, moga banyak manfaatnya filem ini.

      Kita kekurangan karya seni yang mendidik masyarakat.

      :)

      Padam
  5. Saya dah tgk ola bola. Saya bace juga sejarahnya. Mmg cerita benar. Cuma ditambah sikit dgn lawak jenaka supaya lebih hidup. Cuma penggunaan nama pemain tu tepat ke? Seperti muthu eric surjeet n dll?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam.

      Ola Bola sekadar menggunakan kisah benar Kelayakan Olimpik 1980 sebagai inspirasi.

      Dalam erti kata lain, selain lawak jenaka, ditambah juga fiksyen pada latar belakang watak.

      Sebagai contoh, nama-nama watak selain Tauke, adalah rekaan semata-mata. Begitu juga keputusan perlawanan menentang Korea serta lain-lain fakta lagi.

      :)

      Padam
    2. Asallam che din.. saya rasa watak tauke itu adalah betul. Tauke aka soh chin aun. Boleh rujuk kepada cerita sebenar diatas. Cuma watak Muthu, Eric adalah rekaan semata2.

      Padam
    3. Salam. Hehe. Terserah kepada penerimaan masing-masing, saya OK saja.

      Watak utama filem ini mengambil inspirasi daripada Tauke (Dato' Soh Chin Aun). Tetapi, bukan berdasarkan kisah benar beliau.

      :)

      Padam
  6. Salam che din,

    I baca entri yg dikongsi kawan2 semua, sekadar kongsi my 2 cents:

    - Ola Bola sebagai filem rujukan achievement sebenar Pasukan 1980
    Is a failure. Bila u boleh research kenapa Malaysia boikot Moscow Olympics, sudah tentu u boleh research dan sahih kan final score line bukan? Dan kenapa gunakan nama fiction? Where is the appreciation for the true heroes of Team 1980? Bagaimana mereka akan dikenang oleh generasi baru?

    - Bukan isu politicking, isu persetujuan bersama negara lain, bersama dalam erti sebenar manusia sejagat, membantah invasion of afghanistan by russia..

    Harap Chedin dapat kongsi intel berkenaan persoalan tanda tanya ini hehe..terima kadih ��������

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam.

      Soalan berkenaan sama ada kenapa tak diberikan tokken, royalti mahupun nama sebenar -- itu kena tanya produser, penerbit dan pengarah.

      Saya terlibat beri sedikit rujukan saja.

      Ola Bola sekadar menggunakan kisah benar Kelayakan Olimpik 1980 sebagai inspirasi.

      Dalam erti kata lain, selain lawak jenaka, ditambah juga fiksyen pada latar belakang watak.

      Sebagai contoh, nama-nama watak selain Tauke, adalah rekaan semata-mata.

      Begitu juga keputusan perlawanan menentang Korea serta lain-lain fakta lagi. :)

      Padam
  7. Filem ni diinspirasi dari kelayakan olimpik moscow, bukan menceritakan tentang peristiwa tu. So fakta tidak perlu tepat

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam. Ya, begitulah.

      Saya faham concern sesetengah pihak berkenaan fakta sejarah.

      Namun, saya melihat filem ini sebagai pemula untuk filem sukan yang lebih bagus pada masa depan.

      Mungkin satu hari nanti, berita-berita angin berkenaan filem autobiografi SuperMokh yang sudah didegarkan bertahun-tahun, akan jadi kenyataan.

      .

      Padam
  8. filem yg berpandukan pd fakta sejarah sepattnye gunakan nama sebnar pemain2 dan pengendali2 tersebut... bru lah rakyat akan sedar sumbangan mereka kpd negara...

    BalasPadam
  9. che din, betul ker masa pemboikotan Olimpik Moscow, negara negara Arab tak pula follow through dengan memboikot Olimpik Moscow, sebaliknya mereka menyertai sukan olimpik di Moscow ni?

    BalasPadam
  10. Nama2 sebenar x perlu pn x pa. jika guna nama sebenar bakal timbul isu yang lain pula. yelah, nama dah sama tp jalan cerita lain, kan masalah. tujuan lain yang saya nampak apabila tidak menggunakan nama sebenar adalah baik kerana ia akan memupuk sifat mengkaji dan mendalami sejerah sebenar. untuk kite yang minat untuk ambil tahu perkara sebenar dan siapa watak-watak sebenar di dalam filem tersebut sudah pasti akan membuat sekurang2nya sedikit research. ape nak runsing, encik google kan ade....hehe

    BalasPadam
  11. Dating for everyone is here: ❤❤❤ Link 1 ❤❤❤


    Direct sexchat: ❤❤❤ Link 2 ❤❤❤

    Jc .

    BalasPadam

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...