Sabtu, November 19, 2011

Perjuangan dan Pencapaian masyarakat kulit hitam: Daripada Ota Benga kepada Obama.

Charles Darwin, menerusi teori evolusi hina dan kejamnya -- yang menyatakan manusia berevolusi daripada beruk, dan bangsa kulit putih adalah bangsa paling mulia -- telah mendatangkan malapetaka yang dahsyat terhadap sejarah kemanusiaan. Berdasarkan teori dangkal inilah, gerakan Nazisme, Marxisme, Komunisme dan Zionisme bermaharajalela di seluruh dunia.

Untuk entri kali ini, saya tergerak untuk berkongsi berkenaan sejarah ringkas masyarakat kulit hitam Amerika Syarikat (AS) -- yang juga dikenali sebagai masyarakat Arika-Amerika. Sekadar berkongsi, populasi masyarakat kulit hitam di AS pada tahun 1870 ialah seramai 4.8 juta orang. Namun, pada tahun 2007, jumlah ini bertambah kepada 40.7 juta orang.

___________________________________________________________


Sejarah
Sejarah penghijrahan masyarakat kulit hitam Afrika ke AS dikatakan bermula sekitar Kurun ke-16 apabila mereka dibawa sebagai hamba dari beberapa buah negara di Tanah Afrika. Masyarakat kulit putih telah melayan masyarakat kulit hitam dengan kejam.

Undang-undang seperti Jim Crow Laws digunakan bagi mengasingkan masyarakat kulit putih dengan masyarakat minoriti di AS, di dalam pengangkutan seperti keretapi dan trem.

Papan tanda ‘untuk orang kulit putih sahaja’ dan ‘untuk orang kulit hitam sahaja’ digantung di mana-mana, bagi mewujudkan pengasingan di hospital, penjara, kubur, hotel, teater, perpustakaan, lif dan gereja.

Sekitar 1890 hingga 1901, kira-kira 1,300 orang kulit hitam telah dibunuh tanpa bicara. Hal yang demikian, masyarakat kulit hitam telah mula memberontak di beberapa buah negeri di AS.

___________________________________________________________


1854:
John Mercer Langston menjadi peguam berkulit hitam pertama di Ohio apabila beliau lulus peperiksaan undang-undang pada 1854. Beliau menjadi warga kulit hitam pertama yang bertugas di pejabat kerajaan iaitu sebagai ‘Town Clerk’ untuk Brownhelm, Ohio pada 1855.

___________________________________________________________


1904:
Ota Benga, seorang rakyat pribumi Afrika daripada puak Batwa, telah diperangkap seperti haiwan oleh penyelidik-penyelidik kejam berkulit putih yang terpengaruh dengan teori evolusi Darwinisme. Beliau telah ditangkap di Congo, dimasukkan dalam sangkar dan dipamerkan di dalam sebuah zoo bersama-sama dengan beberapa ekor cimpanzi, monyet, gorila dan orang utan.

Beliau yang merupakan seorang ayah kepada dua orang anak, telah ‘dipamerkan’ seperti haiwan di St. Louis World Fair dan Zoo Bronx di New York. Beliau digelar sebagai ‘Manusia Liar’, dan dikunjungi oleh hampir 40,000 orang pengunjung yang mengejek, mencemuh, mencucuk rusuknya dan mentertawakannya seperti haiwan.

Ota Benga telah dianggap sebagai ‘rantaian manusia yang paling hampir yang telah lama hilang’, kerana beliau dianggap sebagai manusia yang ‘masih belum berevolusi’ (separuh monyet-separuh beruk).

Selepas mendapat bantahan ramai, khususnya daripada New York Journal, New York Daily Tribune, pihak gereja dan masyarakat kulit hitam sendiri, akhirnya Ota Benga dihantar ke sebuah rumah anak-anak yatim, di mana beliau bekerja di sebuah kilang tembakau.

Selepas mempelajari bahasa Inggeris dan mendapati bahawa adalah sangat sukar (baca: mustahil) untuk beliau pulang ke kampung halamannya, beliau telah meminjam sepucuk Revolver dan menembak dirinya sendiri sehingga mati. Peluru yang menembusi jantungnya, telah mengorbankan Ota bersama kisah tragik, penindasan kaum minoriti oleh bangsa yang sombong dan hina.

Ketika meninggal dunia pada tahun 1916, Ota berusia 35 tahun.

___________________________________________________________


1908:
Jack Johnson menjadi peninju berkulit hitam pertama yang memegang Kejuaraan Heavywight Dunia pada tahun 1908 sehingga 1915.

___________________________________________________________

1936:
Jesse Owens mengejutkan stereotaip perkauman sarwajagat, apabila memenangi pingat emas untuk AS sewaktu Sukan Olimpik Berlin, 1936. Pemimpin Nazi ketika itu, Adolf Hitler yang terkejut dan merasa aib, enggan mengalungkan pingat kepada Owens. Kemenangan ini membuka mata banyak pihak, khususnya terhadap dasar pengasingan kaum oleh Rejim Nazi dan kaum kulit putih, yang terlalu mengangkat konsep ‘bangsa Aryan yang agung.’

___________________________________________________________


1955:
• Rosa Parks ditangkap kerana enggan membenarkan tempat duduknya diberikan kepada seorang penumpang berkulit putih -- sewaktu menaiki bas yang memisahkan antara penumpang kulit putih dan kulit hitam – di Montgomery, Alabama.

• Penahanan beliau membawa kepada pemulauan (boikot) penggunaan bas yang berlarutan selama bertahun-tahun. Boikot ini diketuai oleh Martin Luther King (King), yang kemudiannya mencetuskan gerakan memperjuangkan hak kaum minoriti oleh King.

___________________________________________________________


1960:
Pada 1960, Cassius Marcellus Clay, Jr (kemudiannya dikenali dengan nama Muhammad Ali) memenangi pingat emas Olimpik. Beliau kemudiannya dikenali sebagai ikon sukan dunia sepanjang zaman, kerana kehebatannya di atas gelanggang tinju dan di atas pentas rakyat, memperjuangkan berkenaan isu hak-hak sivil.

___________________________________________________________


1963:
• King dipenjarakan sewaktu protes hak sivil (civil rights).

• King telah menulis surat terbuka bertajuk ‘Letter from Birmingham Jail’ atau ‘Letter from Birmingham City Jail’ atau ‘The Negro Is Your Brother’, menyeru keadilan diberikan tanpa mengira warna kulit. Surat ini mengandungi kata-kata yang dikenang ramai seperti, “Injustice anywhere is a threat to justice everywhere,” dan petikan kata-kata William Ewart Gladstone iaitu: “Justice too long delayed is justice denied.”

___________________________________________________________


• Kurang lebih 250,000 orang berhimpun di Washington DC untuk mendengar pidato keramat yang diingati sepanjang sejarah manusia, “I have a Dream” oleh King. Kendati pun, perhimpunan ini ditentang hebat oleh Nation of Islam (NOI - juga dikenali sebagai Black Muslims) kerana membabitkan masyarakat kulit putih.

Pertubuhan ini dipimpin oleh pemimpin radikal, Elijah Muhammad. Meskipun pertubuhan ini menggunakan Islam pada namanya, ia sebenarnya adalah satu ajaran yang salah, dengan mengangkat ketinggian bangsa kulit hitam melebihi bangsa lain, dan menghina bangsa kulit putih sebagai bangsa yang kejam dan jahat. Justeru itu, pertubuhan ini menggalakkan pengasingan dan permusuhan antara kaum kulit putih dan kaum kulit hitam.

___________________________________________________________


1964:
• Presiden Lyndon Johnson menandatangani Akta Hak Sivil (Civil Rights Act), yang menegah diskriminasi atau penindasan berdasarkan kaum, warna kulit, agama atau negara asal.

___________________________________________________________


Pada 1964, Ali dipelawa untuk menyertai Nation of Islam oleh sahabat karibnya yang juga seorang pemimpin NOI yang terkenal dan berpengaruh, Malcolm X. Bagaimanapun, Ali memutuskan hubungan persahabatannya dengan Malcolm, selepas Malcolm bertindak meninggalkan NOI.

Sewaktu mengulas mengenai kemasukan Ali ke dalam NOI, King menyatakan bahawa, “Apabila Ali menyertai Black Muslims, beliau telah menjadi juara kepada pengasingan kaum yang mana perkara inilah (pengasingan kaum) yang kami tentang.”

___________________________________________________________


Pada 26 Mac 1964, King bertemu dengan pejuang Islam, Malcolm X (El-Hajj Malik El-Shabazz) di Washington D.C, buat kali pertama, selepas satu sidang akhbar yang diadakan apabila kedua-duanya menghadiri Dewan Senat untuk mendengar perbahasan berkenaan Rang Undang-Undang Sivil. Ini adalah satu-satunya pertemuan antara mereka berdua, dan pertemuan ini hanya berlangsung selama satu minit.

Meskipun hubungan antara kedua-dua pemimpin ini dianggap kurang baik, memandangkan kedua-duanya sering mengeluarkan kenyataan mengkritik antara satu sama lain, dipercayai Malcolm X mempunyai matlamat yang hampir sama berkenaan perjuangan hak-hak sivil.

(Ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan beliau selepas keluar dari NOI, yang menyatakan beliau terpaksa akur dengan pendirian keras dan halangan daripada pemimpin radikal NOI, Elijah Muhammad).

___________________________________________________________


Pada April 1964, Malcolm X menyampaikan pidato terkenal bertajuk ‘The Ballot or the Bullet’, di mana beliau menasihati warga Afrika-Amerika untuk mengamalkan hak mereka sebagai pengundi sebijak yang mungkin. Selepas itu, beberapa pemimpin Islam Sunni mempelawa Malcolm X untuk mempelajari Islam. Beliau kemudiannya memeluk Islam Sunni, dan memutuskan untuk menunaikan haji ke Mekah.

___________________________________________________________


Semasa menunaikan haji di Mekah pada 13 April 1964, Malcolm X melihat dan memahami erti sebenar ‘persaudaraan’, apabila beliau melihat ramai masyarakat Islam, tanpa mengira warna kulit, berpadu menyembah TUHAN yang satu, ALLAH SWT. Akhirnya, pada 8 Mac 1964, Malcolm memilih untuk meninggalkan NOI dan memeluk ajaran Islam Sunni, yang menganjurkan keamanan dan persaudaraan tanpa mengira warna kulit.

Sewaktu musim bunga pada 1964, Ali kebetulan terjumpa dengan Malcolm X di lobi sebuah hotel di Ghana. Malcolm menyatakan kepada Ali, “Saudaraku, saya masih menyayangi kamu, dan saya percaya bahawa kamu masih yang terhebat.” Ketika itu, Malcolm X memakai jubah putih dan memegang tongkat.

Namun, Ali memalingkan mukanya selepas berkata, “Kamu telah meninggalkan Elijah Muhammad yang mulia. Ini adalah satu tindakan yang salah.” Sewaktu ditanya oleh wartawan, Ali menyatakan, “Dengan jubah putih yang lucu, jambang dan tongkat seperti tongkat Nabi. Ah, dia sudah tidak seperti dulu lagi. Tidak ada orang yang mendengar apa yang Malcolm cakapkan lagi.”

(40 tahun kemudian, Ali menyatakan bahawa beliau menyesal kerana menghina dan ‘membuang’ Malcolm X – sahabat beliau yang paling baik dna rapat -- yang sebenarnya membawa beliau kepada ajaran Islam sebenar. Menerusi Malcolm, Ali memahami bahawa, bukan warna kulit yang menjadikan kita jahat. Sebaliknya, hati, jiwa dan pemikiranlah yang mencerminkan diri seseorang).

___________________________________________________________


Keluarnya Malcolm X dari NOI, mendatangkan kemarahan para pemimpin pertubuhan tersebut. Elijah menyatakan bahawa Malcolm adalah seorang ‘pesakit mental’ dan ‘terdapat individu yang dibayar ganjaran oleh masyarakat kulit untuk menceritakan perkara dusta berkenaan Pesuruh ALLAH.’ Pada Jun 1964, beliau menyatakan bahawa, ‘si hipokrit ini seharusnya dihapuskan dari muka bumi ini.’

___________________________________________________________


• Tahun ini menyaksikan King dianugerahkan Anugerah Keamanan Nobel.

___________________________________________________________


• Selain itu, pada tahun tersebut juga, tiga orang pejuang hak sivil dibunuh oleh kumpulan pelampau kulit putih yang digelar ‘Ku Klux Klan.’

___________________________________________________________


• Sidney Poitier menjadi warga Afrika-Amerika pertama memenangi Anugerah Academy bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik.

___________________________________________________________


1965:
• Pemimpin kulit hitam beragama Islam, Malcolm X, yang memperjuangkan semangat nasionalisme, kebanggaan warga kulit hitam dan menghubungkaitkan sejarah Afrika dengan bangsa kulit hitam, telah dibunuh dengan kejam, sewaktu menyampaikan pidato. Beliau berusia 39 tahun sewaktu akhir hayatnya.

___________________________________________________________


• Akta Hak untuk Mengundi (Voting Rights Act) telah diluluskan bagi memudahkan warga kulit hitam di kawasan Selatan mendaftar untuk sesi pengundian. Ini adalah rentetan daripada keganasan pihak polis terhadap penunjuk perasaan sewaktu perarakan bersejarah daripada Selma ke Montgomery.

___________________________________________________________


• Rusuhan kaum telah terjadi selama enam hari di Watts, satu kawasan di Los Angeles, mengakibatkan 34 orang terbunuh.

__________________________________________________________


1966:
• Pemimpin Student Non-Violent Coordinating Committee, Stokely Carmichael, mencetuskan idea “Black Power”, yang memperjuangkan pendirian yang lebih keras berkenaan hak sivil.

___________________________________________________________


• Huey Newton dan Bobby Seale mengasaskan Black Panther Party, dengan matlamat asal untuk melindungi masyarakat kulit hitam daripada ‘keganasan polis.’

___________________________________________________________


• Pada 1964, Ali gagal dalam ujian kelayakan Tentera AS kerana tulisan dan kemahiran mengejanya dikatakan lemah. Bagaimanapun, pada awal 1966, keputusan ujian tersebut telah disemak semula dan diberikan markah 1A. Ali mengejutkan dunia apabila menentang secara lantang Perang di Vietnam dan enggan menyertai perang tersebut. Ini mengakibatkan lesen bertinju bertinju beliau digantung.

Ali menegaskan bahawa, pemimpin NOI melarang beliau daripada menyertai Perang Vietnam. Beliau juga mengatakan bahawa beliau enggan menyertai perang tersebut kerana ianya ‘bertentangan dengan Islam’ dan ‘tidak wajar untuk beliau memakai uniform dan berada 10,000 batu jauh dari rumah dan menjatuhkan bom serta menembak peluru ke atas masyarakat kulit coklat (orang Vietnam), sedangkan Kerajaan Pusat AS melayan masyarakat kulit hitam di Louisville seperti anjing’. Bagaimanapun, pada 1970, Ali berjaya mendapatkan semula lessen untuk bertinju.

___________________________________________________________


• Edward Brooke dari Massachusetts menjadi warga kulit hitam pertama dipilih ke Dewan Senat Amerika Syarikat (AS) menerusi undi popular.

___________________________________________________________


1967:
• Thurgood Marshall dilantik sebagai Hakim Mahkamah Agung (Supreme Court) berkulit hitam yang pertama.

• Tidak berapa lama kemudian, Supreme Court memutuskan bahawa ‘pengharaman perkahwinan antara kaum yang bebeda’ adalah bertentangan dengan perlembagaan AS.

___________________________________________________________


1968:
• King dibunuh di Memphis, Tennessee.

___________________________________________________________


• Dua orang atlet kulit hitam AS, Tommie Smith dan John Carlos -- yang memenangi pingat emas dan gangsa acara lumba lari 200m -- memberikan tabik hormat ‘Black Power’ sewaktu Sukan Olimpik di Mexico City.

___________________________________________________________


1971:
Ali dan Frazier bertarung pada 8 Mac 1971 di Madison Square Garden, New York. Pertarungan ini digelar sebagai “Pertarungan Abad Ini.”

___________________________________________________________


1972:
Pada tahun 1972, lagu ‘Ben’ menjadi lagu ‘hit’ pertama Michael Jackson (MJ) yang sebelum itu terkenal dengan Kumpulan The Jackson 5 (yang dianggotai ahli keluarganya). Bersama Jackson 5, MJ meraih kejayaan bersama saudara-saudara kandungnya selaku kumpulan pertama mempunyai ‘single’ No.1 sebanyak empat kali berturut-turut.

___________________________________________________________


MJ kemudiannya mencipta kejayaan besar dalam dunia hiburan apabila memegang rekod selaku penyanyi yang mempunyai album paling laris sepanjang sejarah menerusi Album ‘Thriller’. MJ telah menjual kurang lebih 100 juta ‘single’ dan album di luar AS. Sewaktu akhir dekad 1980an, MJ mempunyai lagu ‘hits’ No.1 paling banyak sepanjang dekad tersebut.

MJ juga memegang rekod dunia, apabila persembahannya sewaktu siaran Super Bowl XXVII pada 31 Jun 1993, ditonton oleh lebih 133.4 juta penonton. Sewaktu program jelajah seluruh dunianya pada September 1987 sehingga Disember 1988, MJ memperoleh keuntungan kasar paling banyak iaitu US$124 juta.

___________________________________________________________


1972:
• Shirley Chisholm menjadi Ahli Kongres berbangsa kulit hitam pertama yang membida untuk jawatan Presiden AS.

___________________________________________________________


• Akta Peluang Pekerjaan yang sama rata (Equal Employment Opportunity Act) memberikan asas undang-undang kepada tindakan tegas terhadap diskriminasi berasaskan kaum di tempat kerja.

___________________________________________________________

1975:
Pada 1975, Wallace D. Muhammad, pemimpin NOI yang menggantikan bapanya, Elijah Muhammad, membawa Muhammad Ali kepada ajaran Islam Sunni yang dianuti oleh Malcolm X. Wallace menukarkan nama NOI kepada ‘World Community of Al-Islam in the West’ yang kemudiannya dikenali sebagai ‘American Society of Muslims’.

Louis Farakkhan, seorang pemimpin radikal dan rasis -- yang tidak bersetuju dengan tindakan Wallace -- bertindak keluar dari NOI, dan menubuhkan NOI yang baru, dengan nama yang sama.

___________________________________________________________


1976:
• ‘Minggu Sejarah Negro’, yang kemudiannya dikenali sebagai ‘Bulan Sejarah Masyarakat Kulit Hitam’, disambut dengan meriah sepanjang sebulan pada 1976. Bulan Februari telah dipilih kerana ia merupakan bulan kelahiran Frederick Douglass dan Abraham Lincoln. Sambutan ini diasaskan pada 1926 oleh Carter G. Woodson, seorang sejarawan, cendiakawan, pendidik dan penerbit berkulit hitam yang terkemuka.

___________________________________________________________


1983:
• Gulon Bluford, salah seorang kru di dalam kapal angkasa ‘Challenger’, menjadi rakyat AS berkulit hitam pertama yang berada di angkasa lepas.

___________________________________________________________


1984:
• Pemimpin dan pejuang hak-hak sivil, Jesse Jackson, memperolehi 1,218 undi sewaktu Persidangan Parti Demokrat, tetapi gagal untuk memenangi pencalonan parti.

___________________________________________________________


1989:
• Jeneral Colin Powell menjadi rakyat berketurunan Afrika-Amerika pertama dinamakan sebagai ketua Tentera AS.

___________________________________________________________


• Oprah Winfrey dinamakan sebagai Penghibur Terbaik bagi tahun 1989. Beliau kini dikatakan bernilai lebih US$2 bilion. Beliau diiktiraf sebagai warga Arika-Amerika paling kaya pada abad ke-20.

___________________________________________________________


1990:
• Di Virginia, Douglas Wilder dipilih sebagai Gabenor berkulit hitam pertama dalam sejarah AS.

___________________________________________________________


1992:
• 65 orang dipercayai terbunuh sewaktu rusuhan kaum di Los Angeles selepas juri melepaskan empat orang polis berbangsa kulit putih yang didakwa memukul penunggang motosikal berkulit hitam, Rodney King.

___________________________________________________________


• Pada tahun 1992, Dr. Mae Jemison menjadi wanita berkulit hitam pertama pergi ke angkasa lepas dengan menaiki kapal angkasa ‘Endeavor.’

___________________________________________________________


1997:
• Tiger Woods menjadi atlet kulit hitam pertama memenangi kejohanan golf Masters.

___________________________________________________________


2001:
• Colin Powell dilantik sebagai Setiausaha Negara AS. Ahli kabinet Presiden AS ketika itu, George Bush Jr, dianggotai oleh pemimpin berkulit hitam paling ramai dalam sejarah AS.

___________________________________________________________


2002:
• Halle Barry menjadi pelakon wanita berkulit hitam pertama memenangi Anugerah Oscar untuk Pelakon Wanita Terbaik.

___________________________________________________________


2005:
• Condoleezza Rice dipilih menjadi wanita berkulit hitam pertama untuk jawatan Setiausaha Negara AS.

___________________________________________________________


• Taufan Katrina mengorbankan hampir 1,800 orang. Kawasan New Orleans yang dihuni oleh majoriti kaum kulit hitam menanggung dugaan yang hebat dan Kerajaan Persekutuan AS didakwa lambat bertindak dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan.

___________________________________________________________


2008:
• Barack Obama, yang lahir di Hawaai dan dibesarkan di Indonesia, memenangi pencalonan Presiden Parti Democrat, seterusnya menjadi rakyat Afrika-Amerika pertama dipilih sebagai Presiden AS. Isteri beliau, Michelle Robinson Obama, menjadi Wanita Pertama AS yang berkulit hitam.

___________________________________________________________


Khatimah
Pencapaian kaum kulit hitam yang sering dipandang hina suatu masa dahulu seharusnya kita jadikan tauladan. Meskipun masih terdapat banyak diskriminasi dan penindasan berlaku di AS dan seluruh dunia, kejayaan mereka seharusnya menjadi tamsilan yang baik.

Pencapaian mereka membuktikan bahawa bukan warna kulit atau darah keturunan yang menentukan kegemilangan, sebaliknya, ilmu yang bermanfaat yang diamalkan dengan betul adalah kunci untuk menjadi manusia terbilang.

Sementelahan, dalam Islam, kita dituntut untuk berusaha dalam apa jua keadaan. Kekurangan diri bukanlah faktor penghalang untuk berjaya. Usaha yang bersungguh-sungguh, diringi dengan doa dan harap kepada ALLAH SWT akan menghasilkan kejayaan yang cemerlang, in sya ALLAH.

Kita tidak seharusnya terlalu bergantung kepada bantuan semata-mata. Ikhtiarlah sedaya mungkin, sebelum bertawakkal, demi mencapai kejayaan yang hakiki.

Sebagaimana Firman ALLAH SWT:
Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri yang mengubahnya.” (Ar-Ra’ad: 11).



___________________________________________________________


Sumber dan rujukan:
i. Anonymous. Kisah Hidup Martin Luther King, 1998. Johor Bahru: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.;

ii. Harun Yahya. Malapetaka Darwinisme Terhadap Kemanusiaan, 2003. Kuala Lumpur: Saba Islamic Media;

iii. Harun Yahya. Penipuan Evolusi: Keruntuhan Sains Darwinisme dan Latarbelakang Ideologinya, 2003. Kuala Lumpur: Saba Islamic Media;

iv. Michael Moore. Stupid White Man (... and other sorry excuses for the state of the nation), 2001. New York: HarperCollins;

v. Phillips Verner Bradford dan Harvey Blume. Ota Benga: The Pygmy In The Zoo, 1992. New York: St. Martin’s Press;

vi. Shakila Yacob. Amerika Syarikat: Pembentukan Negara Bangsa, 2005. Kuala Lumpur: DBP;

vii. Valrie Schloredt dan Pam Brown. Mereka Yang Berjasa Bagi Dunia: Martin Luther King, 1994. Jakarta: Gramedia Pustaka Utama;

viii. http://www.isreview.org/issues/33/muhammadali.shtml;

ix. http://www.gale.cengage.com/free_resources/bhm/bio/ali_m.htm;

x. http://www.americanrhetoric.com/speeches/mlkihaveadream.htm;

xi. http://otabenga.org/node/2;

xii. http://www.gorillaland.net/Origins/Ota_Benga.html;

xiii. http://en.wikipedia.org/wiki/1968_Olympics_Black_Power_salute;

xiv. http://en.wikipedia.org/wiki/African_American; dan

xv. http://www.blackpast.org/?q=aah/langston-john-mercer-1829-1897.

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...