1997: Detik bersejarah; gol emas dijaringkan oleh Masayuki Okano, Jepun layak buat kali pertama ke Piala Dunia. |
Papan elektronik di Stadium Larkin menunjukkan kedudukan akhir Jepun-Iran. |
Pemain naturalisasi Jepun, Wagner Lopes meraikan kejayaan Jepun bersama penyokong Jepun di Stadium Larkin. |
Para penyokong setia Jepun datang sejauh Fukuoka untuk ke Stadium Larkin. |
Masayuki Okano, meraikan gol emas di Stadium Larkin, yang membolehkan Jepun layak ke Piala Dunia untuk kali pertama. |
1997: Skuad Jepun di Stadium Larkin, sebelum sepak mula. Penuh bersemangat dan yakin. |
Logo Piala Dunia 1998. |
Jersi Jepun 1998. |
Seluar dan stokin Jepun, 1998. |
'Tragedi Doha': Jepun gagal ke Piala Dunia 1994 selepas hanya seri kepada Iraq. Sekali gagal, tidak bererti gagal selamanya. |
Skuad Jepun meraikan kejayaan mereka di Stadium Larkin, Johor Bahru. |
Ketua Jurulatih Jepun, Takeshi Okada, meraikan gol Okano (no. 14) selepas pemain tersebut menjaringkan gol kemenangan Jepun. |
| ||
Ali Daei, lagenda Iran yang pernah beraksi untuk Bayern Munich FC. |
Meskipun tewas kepada Jepun di Larkin, Iran tetap layak ke Perancis, selepas menewaskan Australia dalam penentuan 'play-off'. |
Skuad Piala Dunia 1998 Iran. |
Jepun lawan Brazil. |
Hidetoshi Nakata, lagenda Jepun yang mencipta nama di Eropah. Beliau kelihatan memakai kasut bola berjenama Fila. |
Nakata cuba disaingi oleh pemain Argentina pada Piala Dunia 1998. |
Aksi Nakata di Piala Dunia 1998. |
Nakata dan rakan-rakan, 1998. |
Skuad Piala Dunia 1998 Jepun. |
Masami Ihara, Pemain Terbaik Asia 1995. Digelar sebagai Wall of Asia, Ihara pernah beraksi menentang Johor FC pada tahun 1996, sewaktu mewakili Yokohama Marinos FC. |
1996: Wakil FAM, Datuk Bakar Daud, bersalaman dengan para pemain Johor FC. |
Jepun dan Korea Selatan, pernah menjadi pesaing utama Malaysia satu masa dulu. Kedua-duanya telah sering menyertai Piala Dunia dan Sukan Olimpik. Kita bagaimana? |
Wagner Lopes, pemain naturalisasi Jepun dari Brazil. Gandingan beliau bersama Nakata cukup dikenang oleh peminat Jepun. Perlukah Malaysia menggunakan pemain naturalisasi untuk layak ke Piala Dunia? |
16hb November 1997 (Sabtu).
Satu perlawanan bersejarah antara Jepun dan
Iran telah dijalankan di Malaysia pada tahun 1997. Perlawanan ini dilangsungkan
di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos Johor Bahru (lebih dikenali sebagai
Stadium Larkin), Malaysia, untuk menentukan wakil ketiga dari Asia untuk ke
Piala Dunia 1998. Pasukan Jepun yang belum pernah layak ke Piala Dunia, agak
terdesak untuk menjadi antara 32 buah pasukan yang layak ke Perancis,
memandangkan mereka akan menjadi penganjur bersama Piala Dunia 2002 dengan
Korea Selatan. Sewaktu Kelayakan Piala Dunia 1994 pada 28hb Oktober 1993, Jepun
mencatat keputusan seri 2-2 dengan Iraq di Doha, apabila pemain Iraq
menjaringkan gol penyamaan pada minit-minit terakhir permainan. Keputusan seri
tersebut menghancurkan impian Jepun, memandangkan mereka perlu mencatatkan keputusan
menang untuk menjuarai kumpulannya. Kekalahan kepada Iraq ini digelar oleh
peminat Jepun sebagai ‘Tragedi Doha.’
Untuk Kelayakan Piala Dunia 1998, Zon Asia
diberikan 3.5 slot, di mana 3 slot merupakan slot automatik dan 0.5 lagi ialah
slot ‘Play-off’ AFC/Oceania. Skuad
kebangsaan Malaysia gagal ke Piala Dunia 1998, setelah menduduki tempat kedua
Kumpulan A, dengan hanya 11 mata, iaitu 5 mata di belakang juara kumpulan, Arab
Saudi. Tempat ketiga dan keempat diduduki oleh Taiwan dan Bangladesh. Tidak lama
sebelum perlawanan epik tersebut, pasukan Jepun dilanda sedikit gelora, apabila
ketua jurulatih mereka, Shu Kamo, dipecat pada bulan Oktober 1997, setelah
pasukan Jepun hanya mampu menduduki tempat ketiga untuk Kumpulan B selepas
empat perlawanan. Kamo digantikan oleh pembantu beliau, Takeshi Okada, yang
kemudiannya berjaya mengemudi pasukan Jepun untuk menang dalam dua perlawanan
akhir peringkat kumpulan, sebelum layak ke pusingan ‘play-off’.
Selepas gagal dalam percubaannya untuk layak
ke Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat, Jepun akhirnya berjaya melayakkan diri
ke pertandingan paling berprestij untuk acara bola sepak, selepas menewaskan
Iran 3-2. Gol kemenangan Jepun diperolehi menerusi jaringan ‘gol emas’ oleh
Masayuki Okano, selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 sepanjang waktu permainan
sebenar.
Penyokong Jepun telah mendominasi Stadium Larkin
seawal jam 3 petang, merangkumi sejumlah besar 22,000 orang yang hadir pada
malam bersejarah tersebut. Mereka memberikan sokongan yang teguh kepada pasukan
kesayangan mereka sejak babak awal permainan. Kemudian, mereka bersorak keriangan
selepas pasukan Jepun berjaya menundukkan Iran menerusi penentuan ‘gol emas’ sewaktu untuk layak ke Piala
Dunia 1998 yang berlangsung di Perancis. Meskipun tewas, Iran tetap mara ke
Piala Dunia 1998 setelah menewaskan Australia dalam play-off AFC/Oceania. Iran
menyertai Jepun, Korea Selatan dan Arab Saudi ke Perancis, untuk merasai
pengalaman bertanding dengan pasukan-pasukan terbaik di dunia.
Menjelang 1998, Piala Dunia 1998 di Perancis
menyaksikan bola rekaan baru oleh Adidas, dengan dihiasi corak tiga warna
bendera Perancis: merah-putih-biru. Ini sangat berbeda daripada rekaan
tradisional bola Piala Dunia; dengan warna tradisi hitam-putih. Merupakan
bola Piala Dunia yang berwarna-warni, Tricolore menggunakan
teknologi cetakan ‘underglass’ dengan
lapisan sintetik yang lebih nipis. Edisi 1998 juga menyaksikan Scotland
melengkapkan rekod sebagai pasukan paling kerap disingkirkan sewaktu pusingan
pertama. Mereka gagal dalam 8 kali percubaan: 1954, 1958, 1974, 1978, 1982,
1986, 1990 dan 1998. Perancis yang dipimpin oleh Didier Deschamps dan Zinedine ‘Zizou’ Zidane berjaya memenangi Edisi
1998 selepas menewaskan calon pilihan, Brazil, 3-0 dalam perlawanan akhir.
Perancis memenangi Piala Dunia buat kali pertama, dan menjadi negara tuan rumah
keenam memenangi kejohanan tersebut selepas Uruguay, Itali, England, Jerman
Barat dan Argentina.
Antara bintang Jepun yang menyerlah sewaktu
Piala Dunia 1998 ialah Hidetoshi Nakata, yang mula beraksi sejak Olimpik 1996
di Atlanta. Nakata yang ketika itu mewarnakan rambutnya ala pemain bola
keranjang Amerika, Dennis Rodman, beraksi cemerlang untuk Jepun di Perancis. Selain
itu, Masami Ihara yang digelar ‘Wall of
Asia’ juga mempamerkan permainan yang memberangsangkan selaku ketua pasukan
Jepun di Perancis. Untuk rekod, Masami Ihara merupakan Pemain Terbaik Asia
1995. Beliau pernah beraksi untuk kelab Yokohama Marinos FC, yang menang 2-0 ke
atas kelab Johor FC dari Malaysia. Perlawanan Yokohama Marinos FC dengan Johor
FC dijalankan sewaktu Pusingan Kedua Kelab-Kelab Asia 1996, selepas Johor FC
berjaya menewaskan kelab Vietnam, Polis Bandaraya Ho Chi Minh FC pada pusingan
pertama.
Seperti
yang kita sedia maklum, Liga Bola Sepak Jepun, ‘J-League’ hanya mula dilaksanakan secara professional pada 1993. Namun,
sejak 1998, Jepun telah layak ke Piala Dunia sebanyak empat kali. Jepun, Korea
Selatan dan Amerika Syarikat pernah ditewaskan oleh Malaysia yang pernah layak
ke Sukan Olimpik 1972 di Munich dan Olimpik 1980 di Moscow. Tetapi jurang
kualiti dan pembangunan sukan bola sepak di negara kita kini tampak masih jauh jika
dibandingkan dengan tiga negara yang pernah kita tewaskan dulu itu. Semoga satu
hari nanti, kita tidak hanya bermimpi dan bernostalgia tentang sejarah gemilang
Raja Bola Ghani Minhat, Supermokh, Isa Bakar, James Wong, Hassan Sani, Aru The
Spiderman, Santokh Singh dan Towkay Soh Chin Aun (sekadar menyebut beberapa
nama). Semoga sahaja, satu hari nanti – seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan
dan Jepun – kita layak ke Piala Dunia. Amin.
-------------------------------------------------------------------
Sumber dan rujukan:
- http://chedinsphere.blogspot.com/2012/10/evolusi-bola-piala-dunia.html;
- http://chedinsphere.blogspot.com/2012/10/adidas-dan-puma-perseteruan-dassler.html;
- http://ajw.asahi.com/reliving_the_past/leaf/AJ201211160001;
- http://www.asahi-net.or.jp/~fg3h-tri/contents/gallery3_b.html;
- http://matome.naver.jp/odai/2126259257826817201/2126277289731788903;
- http://jugadordefutbol-junpiter.blogspot.com/2008/12/jfa-world-cup-1998-authentic-shorts.html;
- http://www.zakzak.co.jp/spo/200812/s2008121305_all.html;
- http://ameblo.jp/pipe51/day-20120603.html;
- http://www.goal.com/jp/slideshow/675/9;
- http://footfoot55.official.jp/archives/168;
- http://web-japan.org/nipponia/nipponia18/en/feature/feature07.html.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan