Rabu, Mei 11, 2011

Anak-anak Sidek: Dari Kanchong Darat ke persada pentas dunia.



Di sinilah segalanya bermula...

Sidek Bersaudara...

______________________________________________________________________

DATO' MOHD SIDEK ABDULLAH KAMAR (ALLAHYARHAM)
Allahyarham Dato' Sidek lahir pada 9 Januari 1936 di Banting, Selangor. Beliau bersekolah di Sekolah Agama Al-Mansor, Pulau Pinang. Antara kejayaan beliau ialah Juara Beregu Lelaki dan Beregu Campuran Daerah Kuala Langat (1958); Juara Perseorangan Lelaki Daerah Kuala Langat (1959-1962); dan Juara Perseorangan Lelaki Piala Novis Melayu Selangor (1964). Pada 1970, beliau bersara dan seterusnya bermula detik beliau melatih anak-anaknya menceburi sukan badminton. Allahyarham juga merupakan pengasas Kelab Nusa Mahsuri -- kelab badminton pertama di Malaysia, ditubuhkan pada 10 April 1997. Beliau merupakan bapa kepada 5 orang jaguh badminton adik beradik iaitu Misbun Sidek, Jalani Sidek, Razif Sidek, Rahman Sidek dan Rashid Sidek. Allahyarham Dato' Sidek, seorang yang tegas mendidik anak. Jasanya kepada dunia sukan negara memang tak terbalas. Al-Fatihah.

______________________________________________________________________

Datuk Mohmed Misbun bin Haji Sidek
Misbun Sidek (lahir pada 17 Februari 1960 di Kanchong Darat, Banting, Selangor) merupakan seorang bekas pemain badminton kebangsaan Malaysia. Misbun pernah merangkul pingat emas bagi acara perseorangan lelaki badminton pada Sukan SEA 1981 di Manila, Juara Badminton Kebangsaan Malaysia (1981, 1982, 1983, 1984, 1986, 1987); Naib juara Piala Dunia 1982; Naib juara Seluruh England 1986; Naib juara Grand Prix Badminton Dunia 1988 dan Naib juara Piala Thomas 1988 (berpasukan lelaki). Setelah mengalahkan Liem Swie King di Sukan SEA Manila 1991, beliau memenuhi nazarnya dengan mencukur rambut ala 'Mohican' (botak di kiri kanan dengan rambut tebal menjurai di tengah). Ketika bertanding di Hong Kong beberapa waktu kemudian, beliau tetap muncul dengan potongan rambut yang aneh itu. Misbun Sidek akan senantiasa dikenang sebagai jurulatih yang telah melahirkan ramai jaguh seperti Roslin Hashim, Hafiz Hashim dan Dato' Lee Chong Wei.
______________________________________________________________________


Mohamed Razif Mohamad Sidek
Razif Sidek (lahir 29 Mei 1962 di Banting, Selangor) merupakan anak kedua selepas Misbun antara kelima-lima anak-anak Sidek yang bermain badminton. Beliau sering bermain secara beregu dengan adik lelakinya, Jalani. Razif dan Jalani memenangi gelaran Kejohanan Seluruh England pada 1982 selepas menumpaskan pasangan Scotland, Billy Gilliland dan Dan Travers. Beliau juga merupakan anggota skuad Malaysia yang memenangi Piala Thomas buat kali pertama dalam 25 tahun, dengan kemenangan 3-2 ke atas Indonesia di Stadium Negara pada 1992. Beliau melakar sejarah menjadi atlet Malaysia pertama memenangi pingat Sukan Olimpik pada temasya Barcelona 1992. Mereka merangkul pingat gangsa buat Malaysia setelah mencapai separuh akhir kategori beregu lelaki yang mana mereka tewas kepada pasangan Korea, Park Joo-bong dan Kim Moon-Soo. Semasa perjalanan kariernya dengan Jalani, mereka merupakan antara empat beregu terbaik di dunia (Park Joo-bong/Kim Moon-soo, Rudy Gunawan/Eddy Hartono dan Tian Bingyi/Li Yongbo) dari era 1980-an hingga awal 1990-an. Selepas bersara sebagai pemain badminton, beliau dilantik sebagai jurulatih kebangsaan Malaysia dari 1994 hingga 1996.
______________________________________________________________________


Haji Jalani Sidek
Mohamed Jalani Mohamad Sidek (lahir 10 November 1963 di Banting, Selangor) merupakan bekas pemain badminton yang merangkul pingat gangsa bersama abangnya, Razif dalam perlawanan beregu pada Sukan Olimpik 1992. Anak-anak Sidek menjadi pemenang pingat Olimpik yang pertama untuk negara mereka sejak penyertaan pada temasya 1956 di Melbourne. Semasa perjalanan karier dengan abangnya Razif, mereka memenangi beberapa gelaran kejohanan tempatan dan antarabangsa. Detik paling bersejarah semasa beliau menjadi pemain termuda yang memenangi gelaran Kejohanan Seluruh England pada 1982. Selepas bersara sebagai pemain badminton, beliau mengasaskan sebuah kelab badminton bagi mencari bakat pemain baru, yang dipanggil Kelab Nusa Mahsuri, yang mana beliau menjadi penasihat sejak 1996. Beliau bertanggungjawab dalam perkembangan adik beradik Hashim, Roslin dan Hafiz yang menjadi pemain badminton kebangsaan Malaysia.
______________________________________________________________________

Razif dan Jalani Sidek: Beregu yang digeruni. 
Kesefahaman antara dua beradik ini digelar sebagai 'telepathic'. Kekuatan mereka ialah pertahanan dalam rali yang panjang, di mana pihak lawan yang kurang sabar pasti akan melakukan kesilapan.
______________________________________________________________________

Rahman Sidek
Rahman Sidek (lahir pada 20 September 1965 di Banting, Selangor) merupakan Jurulatih Kelab Badminton Nusa Mahsuri dan Ketua Jurulatih Program Pembangunan Badminton Junior Usahasama Majlis Perbandaran Petaling Jaya/Kelab Badminton Nusa Mahsuri. Beliau pernah menjadi Juara Beregu Lelaki Terbuka Kanada; Juara Beregu Lelaki Terbuka Jerman; Naib Juara Berpasukan Piala Thomas; Juara Beregu Lelaki Terbuka Perak dan Juara Berpasukan Piala Thomas (1992).
______________________________________________________________________

Rashid Sidek
Abdul Rashid Mohamed Sidek (lahir 8 Julai 1968 di Kanchong Darat, Banting, Selangor) merupakan bekas pemain badminton lelaki dari Malaysia serta pemain perseorangan bertaraf dunia sewaktu era 1990-an. Beliau merupakan anak bongsu adalah yang bongsu dalam kalangan lima Adik-beradik Sidek yang semuanya terlibat dalam arena badminton kebangsaan. Abang beliau, Razif Sidek dan Jalani Sidek merangkul pingat gangsa Sukan Olimpik bagi beregu lelaki pada 1992. Beliau menjadi pemain termuda yang memenangi Kejohanan Badminton Junior kebangsaan pada tahun 1980 ketika berumur 12 tahun. Rashid Sidek memenangi pingat gangsa untuk acara perseorangan lelaki pada Sukan Olimpik 1996 di Atlanta setelah menewaskan Juara Dunia dari Indonesia, Heryanto Arbi. Beliau menjadi pemain nombor satu dunia buat julung kalinya pada tahun 1997. Beliau kini berkhidmat sebagai jurulatih kepada pemain pelapis dalam pasukan badminton kebangsaan Malaysia. Beliau dikatakan yang paling handal di kalangan Sidek bersaudara, kerana ketangkasannya sewaktu permainan jaring dan 'smash' yang padu dan kencang. Beliau diiktiraf sebagai antara perseorangan lelaki terbaik pernah dilahirkan negara kita.
______________________________________________________________________



Servis-S: Servis yang tak terlupakan.
'Servis-S' atau Servis Sidek merupakan servis yang dilakukan dengan memukul bulu dan bukannya kepala bulu tangkis (shuttlecock) seperti kebiasaan. Antara pemain yang mula-mula mempopularkan serangan pada masa menerima servis ialah Heryanto Arbi dan Lim Swie King. Ia sememangnya menjadi masalah kepada pemain lawan untuk mengambil servis ini dan membuat serangan pada gerakan awal. Hal ini demikian kerana, pemain lawan yang menerima servis ini akan menerima bulu, bukan kepala. Alasan diharamkan adalah kerana ia merosakkan bulu tangkis. Servis-S ini dikatakan sangat berkesan dalam permainan beregu. Razif dan Jalani dikatakan dapat memenangi Kejohanan Seluruh England 1982, hasil dari keberkesanan 'Servis-S'.
______________________________________________________________________


Servis Kuda: Bukan sebarang kuda!
Isu 'Servis-S' kembali timbul apabila Thailand memperkenalkan 'Servis Kuda' iaitu teknik servis yang baru dalam sukan sepak takraw. Teknik servis ini diperkenalkan di peringkat antarabangsa oleh pasukan Thailand pada tahun 1995. Servis kuda dilakukan dengan aksi plantar fleksi kaki dan bahagian kekura kaki ketika fasa kontek bola-kaki. Bahagian anatomi kaki tersebut memberi permukaan kontek yang lebih luas berbanding permukaan kontek servis sila tradisi kepada sukan sepak takraw. Secara teknikal, mekanik servis kuda memberi kelebihan respon dalam aspek-aspek kestabilan kontek bola-kaki dan halaju bola pascakontek. Raja Sepak Takraw Thailand, Suebsak Phansueb – dianggap sebagai lagenda sepak takraw dunia. Takraw bermaksud bola rotan di dalam bahasa Thai. Suebsak terkenal dengan Servis Kuda (whiplash serves) yang boleh mencapai kelajuan 160km/j. Masa yang diambil untuk bola takraw sampai kepada pemain lawan ialah hanya 0.4 saat! Hebat, bukan?

Salam. :)

****************************

Sumber:
  1. http://en.wikipedia.org/wiki/Misbun_Sidek;
  2. http://majalah.tempointeraktif.com/id/arsip/1988/06/11/OR/mbm.19880611.OR27411.id.html;
  3. http://members.tripod.com/yami_group/as.html;
  4. http://mforum1.cari.com.my/archiver/?tid-513588.html ;
  5. http://mforum.cari.com.my/viewthread.php?tid=513588&rpid=41340277&ordertype=0&page=1#pid41340277 ;
  6. www.Nusa-Mahsuri.com ;
  7. http://viweb.freehosting.net/badminton.htm ; dan
  8. http://www.iawani.com/tag/misbun-sidek-youtube .


Entri-entri berkaitan:



***************************************************




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...