Allahyarham Ustaz Asaari bin Mohamad pernah menukilkan:
________________________________________________________“Tujuan manusia hidup adalah untuk menyembah dan beribadah kepada Allah. Hal ini sesuai dengan wahyu, dibenarkan juga oleh akal dan hati manusia. Dengan menyembah dan beribadah kepada Allah, manusia mendapatkan keselamatan dunia dan akhirat Hari ini kita sangat kurang memahami ajaran Islam, oleh kerana itu kita hidup dalam gelap gelita, dalam suasana yang tidak ada panduan. Kemajuan yang dicapai tidak menimbulkan krisis sesama sendiri. Tetapi kalau kita tidak dapat memahami ajaran Islam dan lalai pula mengamalkannya, maka kita tidak akan mendapat kemajuan walaupun kita usahakan, sebaliknya kita bahkan akan berkrisis sesama sendiri.”
Mukadimah
Al-Arqam merupakan gerakan agama di Malaysia yang diasaskan oleh Allahyarham Asaari Muhammad (lahir pada 30 Oktober 1937 dan meninggal dunia pada 13 Mei 2010) (selepas ini dirujuk sebagai “Ustaz Asaari”).
Ia juga dikenali sebagai Jamaah Aurad Muhammadiah dan telah mengembangkan pengaruhnya dalam kalangan berbagai lapisan masyarakat Islam di seluruh Malaysia dan beberapa negara di Asia. Dalam Bahasa Arab, Arqam bermaksud ‘Ular Besar’. Nama Al-Arqam diambil daripada nama sahabat Nabi SAW, Arqam bin Abil Arqam. Ketika agama Islam baru berkembang, Arqam bin Abil Arqam R.A. dengan rela hati menyerahkan rumahnya untuk digunakan sebagai pusat kegiatan dakwah Rasulullah SAW, sedangkan risiko yang terpaksa ditanggungnya amatlah besar. Gerakan ini bermula dengan 10 hingga 12 orang ahli pada tahun 1968 di Rumah Putih, Kampung Keramat, Kuala Lumpur dan kemudian berpindah ke Kampung Sungai Pencala, Selangor. Kemudian, ahli Jemaah Arqam bertambah kepada 40 orang ahli jemaah pada tahun 1976, keahlian jemaah ini, menurut penulis, Ann Wang Seng, kemudian bertambah secara mendadak pada tahun-tahun berikutnya sehingga pada tahun 1987 jemaah itu mencatat sekitar 5,000 hingga 6,000 keahlian. Menurut Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1994 dianggarkan seramai 6,000 pengikut yang fanatik dan 15,000 simpatisan. Namun, Utusan Melayu edisi 4 Julai 1994 pula melaporkan seramai 10,000 pengikut. Aktiviti Darul Al-Arqam bermula pada 1971-72 di Kampung Datuk Keramat dan beroleh perhatian dan penerimaan ramai setelah bertapak di Sungai Pencala pada 1973-75.
__________________________________________________
Sejarah awal Arqam
Sewaktu era 1970an, hanya slogan “Al-Quran dan As-Sunnah” sahaja yang kedengaran. Belum ada slogan “Imam Mahdi - Syeikh Suhaimi”, “Pemuda Bani Tamim” dan sebagainya seperti pada tahun-tahun 1990an. Pada peringkat awal dakwah Arqam, ramai orang yang takut. Ramai orang yang bimbang. Ramai orang yang tidak senang. Macam-macam tuduhan dilemparkan. Berbagai cemuhan, tohmahan dan kata-nista dihalakan kepada dakwah dan orang-orang yang terlibat dengan dakwah. Tuduhan dakwah songsang, buang dunia, balik ke zaman unta, ajaran baru dan bermacam-macam lagi tuduhan dilemparkan. Dakwah diperkecil-kecilkan dan dihina. Ketika itu, slogan Al-Arqam ialah “Bergembiralah dengan Al-Quran dan As-Sunnah”. Polemik-polemik yang mengaitkan Al-Arqam dengan ajaran sesat, pegangan Aurad Muhammadiah, Imam Mahdi, Asy-Syeikh Suhaimi dan seumpamanya belum tersebar.
Dalam suasana penghayatan Islam dalam kalangan rakyat Malaysia masih baru, tidak ramai yang bertudung, bahkan ketika itu siapa yang mula bertudung digelar “gagak hitam”, “hantu kongkong”, “ninja”, “dakwah songsang” dan sebagainya. Kendatipun, dakwah Ustaz Asaari di peringkat awal bersama Darul Arqam (dengan ciri fisikalnya yang menonjol: berjubah dan berserban), berjaya menembus banyak lapisan bangsa dan masyarakat, dengan menghidupkan Sunnah Nabi SAW, akhlak mulia serta kasih sayang. Kemunculan ribuan ahli gerakan Al-Arqam di tengah-tengah masyarakat dengan imej serban, jubah dan purdah memberi nafas baru kepada usaha-usaha kembali kepada Islam.
Imej dan risalah “Islam yang Syumul (menyeluruh)” diperkuatkan lagi dengan penonjolan Islam bersepadu dan aktiviti muamalah yang giat melalui produk media seperti kaset-kaset ceramah 3 jam Ustaz Asaari yang berjudul: “Keindahan Islam”, “Hakikat Iman”, akhbar-akhbar Al-Arqam, risalah Fardhu Ain, kaset dan persembahan nasyid Islam kumpulan Al-Arqam seperti Nada Murni, The Zikr, penghasilan produk makanan halal seperti mee, kicap, sos dan sebagainya yang ketika itu rata-rata umat Islam bergantung kepada kilang masyarakat belum Islam.
___________________________________________________
Nasyid Arqam: Nada Murni
Kumpulan nasyid Arqam, Nada Murni dengan berani telah membuat persembahan di pentas yang lebih besar seperti di Dataran Merdeka. Tidak terkecuali mereka turut membuat persembahan di pusat-pusat hiburan dan disko. Dengan penampilan pakaian mereka yang berjubah dan berserban, berbekalkan hati yang tulus ikhlas, mereka mampu menjalankan semua undangan persembahan dengan baik. Perjuangan Nada Murni turut dilakukan melalui penyiaran dan persembahan di media. Memasuki Angkasapuri untuk berkerjasama dengan RTM. Juga bersama-sama TV3 dan juga mana-mana media seperti radio dan akhbar. Lagu-lagu Nada Murni sering disiarkan di siaran televisyen. Satu kejayaan yang sangat baik. Asri Ibrahim dan rakan-rakannya mula merasai perjuangan mereka menjadi semakin jauh, semakin tinggi, dan semakin menyeronokkan. Setiap ahli kumpulan Nada Murni sangat teruja.
_________________________________________________
Klinik, Buku dan Majalah Arqam
Darul Arqam juga bersaing hebat dengan Kumpulan Utusan dalam hal pasaran bahan bercetak seperti akhbar, majalah dan buku. Arqam pernah menerbitkan Al-Ain, Komik Dakwah, Comel dan Anak Soleh yang bersaing dengan majalah Utusan Pelajar keluaran Utusan. Sementara itu, majalah Al-Mukminah dan An-Nasihah keluaran Arqam cuba menyaingi majalah Wanita keluaran Utusan. Majalah Al-Islam keluaran Utusan pula terpaksa bersaing hebat dengan majalah Al-Munir dan Al-Qiadah yang mendapat sambutan baik daripada para pengikut setia dan simpatisan Darul Arqam. Ramai tentunya masih ingat Klinik Bersalin Al-Arqam di Desa Minang, Gombak, yang merupakan klinik pertama anjuran gerakan Islam di Malaysia beridentitikan doktor dan jururawat berpurdah dan berjubah putih, mengazankan bayi pada telinga kanan dan mengiqamahkannya pada telinga kiri.
___________________________________________________
Ekonomi Al-Arqam didakwa semakin besar sehingga mampu membeli Pajero, bot, bas dan kereta-kereta mewah yang dahulunya hanya hartawan Cina sahaja mampu menggunakannya. Sehingga terdapat suara sinis yang mengatakan, ‘jika ternampak orang Melayu menaiki pajero, tentu dia daripada Al-Arqam.’ Tuntasnya, kumpulan ini menyebarkan kegiatan dakwah Islamiah melalui bidang pendidikan, penerangan, penerbitan, percetakan, perusahaan, perniagaan, perubatan, dan pertanian.
___________________________________________________
Pemimpin kanan
Berikut beberapa pemimpin kanan Al-Arqam yang menjadi tulang belakang kejayaan Jemaah Al-Arqam selama 26 tahun dari 1968 – 1994 (sebelum difatwakan sebagai haram):
1. Allahyarham Ustaz Asaari Mohamad (pengasas pertubuhan Al-Arqam);
2. Khatijah Aam / Ummu Jah (isteri Ustaz Asaari);
3. Haji Abdul Halim Abbas (bekas orang kanan Ustaz Asaari dan pakar strategi Al-Arqam);
4. Akhbar Anang (mantan Ketua Unit Perkhidmatan Ummah Al-Arqam);
5. Ustaz Mohktar Yaakob (sarjana syariah);
6. Khairil Anuar Ujang (peguam dan mantan penasihat undnag-undang (1) Al-Arqam;
7. Zabidi Mohamed (mantan Majistret dan penasihat undang-undang (2) Al-Arqam);
8. Haji Hassan Mokhtar (Setiausaha Majlis Tertinggi Al-Arqam: Majlis Syuyukh);
9. Soid Sulaiman (mantan Mudir Syukbah Dakwah dan Perhubungan Antarabangsa Al-Arqam);
10. Ibrahim Mohamad (mantan Mudir Syukbah Mal (Kewangan) Al-Arqam);
11. Jailani Jasmani (mantan Setiausaha Akhbar Ustaz Asaari);
12. Khadijah Din (adik Ustaz Abu Hasan Din Al Hafiz dan bekas Pengurus Rufaqa’ Corporation Sdn. Bhd. cawangan Kedah);
13. Pak Salleh / Mohd Salleh Abu Bakar (mantan pegawai kerajaan dan wakil Syeikh Al-Arqam).
____________________________________________________
Ajaran
Mantan Majistret dan Penasihat Undang-Undang(2) Al-Arqam, Saudara Zabidi Mohamed berkata, gerakan Al-Arqam dilihat mula menyeleweng daripada ajaran Islam selepas tahun 1986 yang mana ketika itu Ustaz Asaari berubah daripada aktiviti dakwah kepada aktiviti ghaib selain turut mengumumkan beliau bakal menjadi Perdana Menteri. Di antara kepercayaan mereka adalah kepercayaan bahawa Syeikh Muhammad As-Suhaimi yang telah meninggal pada tahun 1925 dinyatakan tidak mati, sebaliknya masih hidup. Menurut Ustaz Asaari, Sheikh al-Suhaimi adalah Imam Mahdi yang ghaib buat seketika sebelum kembali untuk memimpin umat Islam. Asaari juga telah mengqiyaskan (menganalogikan) Syeikh Muhammad As-Suhaimi dengan Ashab al-Kahfi dan Nabi Khidir.
____________________________________________________
Ciri-Ciri
Pegangan Al-Arqam adalah berpunca dari pengajaran Ashaari Muhammad dan pegangan pengikut-pengikutnya terhadap Aurad Muhammadiah yang diantara lain memberi ajaran dan fahaman seperti berikut:
1. Rasulullah SAW, para sahabat dan para aulia didakwa boleh ditemui secara jaga (Majlis Yaqazah) selain melalui mimpi. Mereka datang untuk mengesahkan sesuatu yang diperlukan oleh pengikut-pengikut Al-Arqam umpamanya mengenali siapa yang taat dan siapa yang tidak taat kepada Al-Arqam dan pemimpinnya;
2. Muhammad bin Abdillah As-Suhaimi (meninggal tahun 1925) atau Syeikh Muhammad As-Suhaimi, pengasas Aurad Muhammadiah, berjumpa Rasulullah SAW dalam jaga dan menerima Aurad Muhammadiah daripada Baginda Rasulullah SAW di dalam Kaabah;
3. Ajaran ini mendakwa Syeikh Muhammad As-Suhaimi adalah keturunan Rasulullah S.A.W. dan mendakwa akan bangkit sebagai Imam Mahdi satu hari kelak.
4. Asaari dalam bukunya “Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam” pada halaman 55, 56 dan 57 mendakwa bahawa Syeikh Muhammad as-Suhaimi tidak mati tetapi menghilangkan diri dan akan muncul semula sebagai Imam Mahdi;
5. Syeikh Muhammad As-Suhaimi adalah Khalifah Rasulullah SAW dan meletakkan setaraf dengan Khulafa’ Al-Rasyidin;
6. Syeikh Muhammad As-Suhaimi dipercayai kononnya boleh datang menolong apabila diseru namanya;
7. Asaari Mohamad dipercayai, selain seorang yang soleh, wali yang mempunyai karamah, adalah seorang Mujaddid akhir zaman;
8. Asaari mendakwa dirinya daripada keturunan Bani Tamim, iaitu satu rumpun dengan keturunan Nabi Muhammad SAW yang memegang panji-panji Al-Mahdi;
9. Mendakwa bahawa Imam Mahdi akan muncul tidak lama lagi, iaitu setelah terbentuknya Daulah Islamiah di Malaysia setelah tiga atau empat tahun ke depannya;
10. Mendakwa bahawa Imam Mahdi akan menerima ‘serah terima kekuasaan’ daripada Putera Bani Tamim setelah enam bulan ia menampakkan dirinya di Mekah;
11. Ustaz Asaari didakwa memiliki ilmu laduni (ilmu yang didapatkan langsung daripada ALLAH SWT). Dan, mereka menyakini bahawa Asaari adalah tafsir Al-Qur’an dan As-Sunnah yang bergerak (rujuk buku “Abuya H. Ashaari Muhammad adalah Putera Bani Tamim,” muka surat 28 dan “Taqwa Menurut Ustadz Hj Asaari Mohamad” oleh Mejar (B) Abu Dzar, terbitan Penerbitan Minda Ikhwan: Malaysia, muka surat 82);
12. Mereka menambahkan dua kalimat syahadah. Selain kalimah syahadah kepada ALLAH dan Rasul-NYA, mereka menambahkan dengan kalimah syahadah kepada Saidina Abu Bakr, Saidina ‘Umar, Saidina Uthman, Saidina ‘Ali dan kepada Muhammad bin Abdillah As-Suhaimi dan menyatakan bahwa dia adalah Imam Mahdi. Bunyi syahadah mereka yang terakhir adalah: “Muhammad al-Mahdi, khalifatu Rasulillah.” [Lihat ‘Kesesatan Rufaqa Di Dalam Aurad, Al-Mahdi Dan Bani Tamim’ (http://www.islam.gov.my/ (JAKIM)].
**********************************
Bersambung ke bahagian kedua:
********************************************************
Bibliografi:
Sumber daripada bahan bercetak (buku, jurnal dan majalah):
1. Ab. Aziz Mohd. Zin. Dakwah Islam di Malaysia, 2006. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya;
2. Abdul Rahman Haji Abdullah. Gerakan Islam tradisional di Malaysia (Sejarah dan pemikiran : Jamat Tabligh & Darul Arqam), 1992. Penerbitan Kintan;
3. Ahmad Zaki Engku Alwi. Ajaran Sesat: Mengenali Jalan Yang Terpesong, 2007. Pahang: PTS Islamika;
4. Ahmad Redzuwan Mohd. Yunus, Badlihisham Mohd. Nasir, Berhanundin Abdullah. Dakwah gerakan Islam alaf baru, 2000. Bangi: Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia;
5. Ajaran sesat: Satu ancaman terhadap keselamatan negara, 1995. Kor Agama, Angkatan Tentera;
6. Ann Wan Seng. Al-Arqam Di Sebalik Tabir, 2005. Pahang: PTS Millennia Sdn. Bhd.
7. Ashaari bin Muhammad. Berhati-hati Membuat Tuduhan,1989. Kuala Lumpur: Penerangan Al-Arqam;
8. Ashaari bin Muhammad. Aurad Muhammadiah: Penjelasan Darul Arqam, 1988. Kuala Lumpur: Penerangan Al-Arqam;
9. Dusuki bin Haji Ahmad. Islam di Malaysia: Kebangkitan dan masa depan, 1980. Al-Hilal;
10. Farahwahida Mohd Yusof. Al-Arqam dan Ajaran Aurad Muhammadiah: Satu Penilaian, 2007;
11. Farahwahida Mohd. Yusof. Aliran kepercayaan: Sejarah dan perkembangannya di Malaysia, 2007. Skudai: Universiti Teknologi Malaysia;
12. Hartono Ahmad Jaiz. Aliran dan paham sesat di Indonesia, 2002. Pustaka Al-Kautsar;
13. Haswan. Menangani ancaman Al-Arqam, 1993. Penerbitan Al Munir;
14. Imron Arifin dan Agus Sunyoto. Darul Arqam: Gerakan mesianik Melayu, 1996. Kalimasahada Press;
15. Mohd. Lazim Lawee. Penyelewengan Jemaah Al-Arqam dan Usaha Pemurniannya, 2004. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM);
16. Mohd. Nizamuddin dan Laila Ahmad. Abuya H. Ashaari Muhammad adalah Putera Bani Tamim. Malaysia: Giliran Timur Books;
17. Mohd. Roshdi Yusoff. Arqam Sesat, 1994. Bukit Mertajam: Insani Enterprise;
18. Mohd. Rushdi Yusof. Bahaya Arqam kepada ummah dan negara. Pustaka Reka;
19. Mohd. Sayuti Omar. Hitam putih Darul Arqam: Realiti disebalik pengharaman, 2004. NZ Dynamic;
20. Mohd. Sayuti Omar. Mujaddid alam Melayu: Harapan dan impian Darul Arqam, 1993. Tinta Merah;
21. Penjelasan terhadap buku Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam, 1986. Kuala Lumpur: Bahagia Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri;
22. Penyelewengan Arqam dari Ajaran Islam, 1994. Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri;
23. Syed Hussien Alattas. Memo kepada Perdana Menteri, 1992. Al-Suhaimi;
24. Yusuf Harun. Anak Bulan Di Kota London, 1990. Kuala Lumpur: Yayasan Gerakbakti Kebangsaan; dan
25. Zabidi Mohamed. Tersungkur di Pintu Syurga, 1998. Kuala Lumpur: Zabidi Publication.
Sumber internet:
1. http://aboutmiracle.wordpress.com/2008/07/08/sekilas-gelombang-dakwah-abuya-ashaari-muhammad/;
2. http://en-gb.facebook.com/topic.php?uid=123143384380741&topic=452;
3. http://mengenal-abuya.blogspot.com/;
4. http://mufakkir-islami.blogspot.com/2010/05/ghaibkah-ashaari-muhammad.html
5. http://msianhistoryx.blogspot.com;
6. http://muslim.or.id/manhaj/darul-arqam-dan-wajah-barunya.html;
7.http://pak-mail.blogspot.com/2011/04/pak-mail-dan-al-arqam.html; http://riwayatmelayu.blogspot.com/2010/08/alter-terahsia-bangsa-melayu-viii.html;
8. http://s13.invisionfree.com/mysahabat/ar/t112.htm;
9. http://tomatosusu.blogspot.com/2010/05/al-arqam-kesesatannya.html; dan
10. http://www.mail-archive.com/mencintai-islam@yahoogroups.com/msg00987.html.
menarik! terima kasih berkongsi.
BalasPadamSama-sama. Moga ada manfaatnya, bro. In sya ALLAH. :)
BalasPadamsenarai sumber rujukan yang bagus
BalasPadamdOdOl :: Terima kasih. Moga ada manfaatnya, in sya ALLAH. :)
BalasPadam