Selangor Juara Piala Sumbangsih 2010
Seremban, 9hb Januari 2010: Selangor yang
muncul juara Piala FA 2009 dan Piala Sumbangsih 2009, membuka tirai bola sepak Liga
Super musim ini dengan bergaya apabila menjulang Piala Sultan Ahmad Shah
selepas menewaskan juara Piala Malaysia 2009, Negeri Sembilan, 2-1 di Stadium
Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Kedua-dua pasukan dilihat saling berbalas
serangan sebaik wisel permulaan ditiup pengadil, Subkhidin Salleh. Namun, tiada
percubaan yang betul-betul berbahaya dapat dihasilkan kedua-dua pasukan pada
tempoh 20 minit pertama perlawanan.
Bagaimanapun, Negeri Sembilan terlebih
dahulu membuka jaringan dan menggamatkan kira-kira 25,000 penonton -- setelah
sepakan percuma Rezal Zambery Yahya dari sebelah kanan ditanduk masuk oleh
Idris yang gagal dikawal kemas oleh pertahanan Selangor, Razman Roslan
menewaskan penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad pada minit ke-27. Kedudukan 1-0
itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Perlawanan sumbangsih itu turut
disaksikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum
Tuanku Munawir, Tunku Besar Tampin Syed Razman Syed Idrus Al Qadri, Menteri
Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Besar Selangor, Tan
Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Babak kedua bermula, jurulatih Negeri
Sembilan, Wan Jamak Hassan dan jurulatih Selangor, K. Devan tidak melakukan
sebarang pertukaran pemain. Pada minit ke-49, Selangor hampir menyamakan
kedudukan tetapi tandukan Amri Yahyah sekadar menemui tiang gol Negeri
Sembilan.
Negeri Sembilan pula nyaris menghukum
Selangor apabila memperolehi peluang terbaik menambah jaringan pada minit ke-58
tetapi rembatan bahaya S. Kunanlan dari dalam kotak penalti berjaya ditepis
baik penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad.
Terdesak memburu gol, Devan memasukkan
Surendren dan Amirulhadi pada minit ke-68 bagi menggantikan Hardi Jaafar dan
Farderin Kadir. Hasilnya, Selangor berjaya menyamakan kedudukan pada minit
ke-76 selepas Safee pantas menyudahkan bola lorongan dari sebelah kiri oleh
Surendren yang bijak melepasi dua pemain pertahanan Negeri Sembilan.
Ketika perlawanan diramal akan berakhir
dengan penentuan sepakan penalti, Surendren muncul wira apabila menjaringkan
gol kedua Selangor pada minit ke-82 setelah menerima hantaran Safee dari
sebelah kanan.
Selangor seterusnya bertemu Kuala Lumpur
di Stadium Shah Alam pada untuk pertemuan kedua dalam saingan Liga Super 2010
sebelum mereka bertandang pula ke Stadium MBPJ, Kelana Jaya untuk bertemu KL
Plus.
- NEGERI SEMBILAN: 22-Farizal Harun, 5-Alif Samsudin (5-Rahman Zabul), 7-Aidil Zafuan Radzak, 12-Shukor Adan, 15-Ching Hong Aik, 9-Shahurain Abu Samah (14-K.Thanaraj), 17-Idris Karim, 23-Rezal Zambery Yahya (c), 6-S.Kunanlan, 18-Norizam Salaman (28-Asyraf Al-Japri), 8-Zaquan Adha Radzak.
- SELANGOR: 21-Hamsani Ahmad, 3-Razman Roslan, 5-Khairul Anuar Baharom, 6-Nasriq Baharom, 4-Asraruddin Putra Omar, 18-Liew Kit Kong (19-D.Surendran), 8-Safiq Rahim, 14-Hardi Jaafar (23-R.Surendren), 7-Farderin Kadir (20-Amirulhadi Zainal), 17-Amri Yahyah (kapten), 10-Safee Sali.
- Simpanan tidak digunakan: 22-Iqbal Suhaimi, 9-Rudie Ramli, 11-Zaiza Zainal Abidin, 12-Bunyamin Umar.
-------------------------------------------------------
Sumber:
- Majalah Arena Bola Sepak;
- Akhbar Kosmo;
- Akhbar Utusan Malaysia;
- Akhbar Berita Harian;
- http://dzulhelmimohdrazali.wordpress.com/2014/01/21/amri-yahyah-seorang-lagenda/;
- http://kayimagez.blogspot.com/2010/12/final-liga-super-2010-selangor-vs.html;
- http://wanfelany.blogspot.com/2009/07/manchester-united-malaysia-selangor.html;
- http://www.glennguan.com/blog/?p=1242;
- http://chronohunterz.blogspot.com/2011/09/bagaimana-aku-kenal-pasukan-bolasepak.html;
- http://osmanadnan.com/blog/tag/selangor/;
- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_22.htm.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan