Forum
‘Simbiosis Intelektual dan Aktivis’ anjuran Intellectual Youth Club (IYC IIUM).
Alhamdulillah,
pada 5hb Mei 2014 (Isnin), pada lebih-kurang jam 8.30 malam, Intellectual YouthClub (IYC IIUM) telah menganjurkan Forum ‘Simbiosis Intelektual dan Aktivis’. Majlis
ilmu ini diadakan di Experimental Hall, Rectory Building, Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Forum
IYC kali ini menampilkan Saudara Jufitri
Bin Joha (Naib Presiden ABIM) serta Saudara Mohd Hilmi Ramli [Mantan
Presiden PKPIM dan Pascasiswazah, Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan
Peradaban (CASIS UTM)]. Untuk rekod, kedua-duanya merupakan mantan Presiden
IYC.
Dengan
izin ALLAH SWT, Intellectual Youth Club (IYC) berjaya diasaskan di UIAM pada 13
tahun lalu, untuk menyuburkan budaya ilmu di gedung ilmu tersebut. Dengan
izin-NYA, IYC masih terus subur memperkukuhkan peranannya di taman ilmu dan
budi ini. Pada tahun 2001, Saudara Jufitri dan rakan-rakan diberikan peranan
menubuhkan IYC oleh PKPIM setelah dilihat mempunyai kecenderungan mendalam
terhadap dunia intelektual serta menolak jawatan haraki kampus; selain bosan
dengan politik kampus yang agak sempit ketika itu.
IYC
ditubuhkan di bawah Bahagian Pembangunan Pelajar [Student Development Division (S-DEV
UIAM)]. Objektif utamanya adalah untuk mempromosikan budaya ilmu dalam kalangan
mahasiswa. Mantan Rektor UIAM, Prof. Kamal Hassan ketika peluncuran rasmi IYC
menyatakan bahawa ‘IYC merupakan anak sulung UIAM’; memandangkan IYC merupakan
kelab pertama yang berjuang untuk ilmu, dan visi serta misi pembangunan IYC
bersifat seiring dengan UIAM selaku Taman Ilmu dan Budi.
Visi
IYC adalah untuk membentuk pemikiran intelektual dalam kalangan mahasiswa UIAM
dan untuk menyemai budaya ilmu di UIAM. Misinya pula adalah untuk mengisi
kelompangan dan kekosongan intelektual dalam kalangan mahasiswa Islam, supaya
mereka mampu berfikir menerusi paradigm baharu dan keaslian intelektual.
Sepertimana
yang kita sedia maklum, PKPIM yang ditubuhkan pada 1961 banyak menyumbang
kepada generasi muda dan negara. Antaranya mencadangkan penubuhan UIAM pada
1971, menjadi antara badan gabungan terawal Majlis Belia Malaysia (MBM),
mempunyai hubungan baik dengan World Assembly of Muslim Youths (WAMY),
International Islamic Federation of Students Organization (IIFSO) dan menjadi
penggerak utama Persekutuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT).
Forum
ini dilihat cuba merungkai penyelesaian dan mengharmonikan antara golongan
intelektual dan aktivis. Pernahkah anda terfikir tentang jurang besar yang
berlaku di antara golongan intelektual dan golongan aktivis mahupun haraki?
Ataupun terfikir atau terlihat perihal para aktivis yang terjun menyelusuri
dunia aktivisme tanpa objektif yang jelas mahupun kerangka pegangan yang kukuh?
Tidak
kurang juga ahli intelektual yang hanya menjadi ‘armchair intellectual’ yang
tidak turun ke medan aktivisme, malahan lagi mencemuh/pesimis/skeptik
terhadapnya kerana ilmu yang mereka ada di dada?
Forum
IYC ini sedaya-upaya cuba untuk mengetengahkan isu ini ke hadapan; terutamanya
kepada para mahasiswa yang bakal menerajui masyarakat.Hal ini bersesuaian
dengan Sabda Rasulullah SAW: “Iman dan amal adalah dua perkara yang seiring.”
(Riwayat al-Hakim). Semoga forum aras tinggi ini mampu menyegarkan wacana
ilmiah di UIAM. Bersama menegakkan kebenaran dan memperjuang keadilan. Julang
semangat zaman. Padu.
---------------------------------------------------
Sumber:
- https://www.facebook.com/ABIM.Malaysia?fref=ts;
- https://www.facebook.com/pkpimalaysia?fref=ts;
- https://www.facebook.com/adam.roslan.1?hc_location=timeline;
- https://www.facebook.com/pages/IYC-IIUM/302853956444716;
- http://intellectyouth.blogspot.com/;
- http://iyciium.wordpress.com/about/;
- https://www.facebook.com/CASIS.UTM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan