Selangor Juara Liga Super 2010
31hb Julai 2010: Selangor berjaya
mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali kedua berturut-turut apabila
menewaskan Terengganu 2-0 di Stadium Shah Alam, selepas berbuat demikian pada
2009. Tiga mata berharga itu sudah cukup buat Selangor menafikan hajat Kelantan
selepas memungut 63 mata, meninggalkan Red Warriors, lima mata di belakang
dengan baki satu perlawanan.
Biarpun masih berbaki satu perlawanan menentang
Kedah, barisan Selangor tetap menjulang trofi Liga Super sejurus tamat
perlawanan. Kelantan berjaya menundukkan Johor 3-1 di Stadium JCorp namun
kemenangan itu tidak mencukupi untuk menghalang Selangor berpesta di Shah Alam.
Permainan seimbang dipertontonkan
kedua-dua pasukan yang saling bertukar serangan sepanjang aksi separuh masa
pertama tetapi tiada jaringan berjaya dihasilkan. Sebaik bermula babak kedua,
Selangor mula melakukan serangan bertali arus ke kubu pihak lawan. Sepakan
Hardi Jaafar pada minit ke-48 ditepis keluar penjaga gol Terengganu, Sharbinee
Allawee Ramli.
Jentera serangan Red Giants kurang
bermaya pada separuh masa pertama sebelum mempertingkatkan usaha sebaik babak
kedua bersambung. Percubaan Amirulhadi Zainal pada minit ke-59 pula
diselamatkan di atas garisan gol oleh Zubir Azmi.
Sharbinee terus cemerlang apabila sempat
menepis percubaan satu lawan satu dengan Safee Sali yang menerima bola sepakan
percuma pantas Amri Yahyah pada minit ke-63.
Namun, gol daripada Mohd. Amirul Hadi
Zainal pada minit ke-66 dan jaringan penalti Mohd.Safiq Rahim pada minit ke-74
memastikan kira-kira 30,000 penonton setia Merah Kuning pulang gembira melihat
Selangor menjulang trofi di laman sendiri. Trofi telah disampaikan oleh
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad di
hadapan penyokong setia skuad Merah Kuning. Dengan kejayaan mempertahankan trofi
Liga Super 2009 dan 2010, status juara itu telah melayakkan Selangor untuk
sekali lagi beraksi pada saingan Piala AFC 2011.
Selaku juara Liga Super, Selangor mendapat
hadiah wang tunai RM500,000 sementara naib juara mendapat RM300,000. Untuk
musim 2010, Selangor berjaya mempertahankan Piala Sumbangsih 2009 dan Piala Sumbangsih 2010;
serta menjuarai Piala Liga Super 2010. Piala FA 2010 menjadi milik Negeri Sembilan,
manakala Piala Malaysia digondol oleh Kelantan.
Pengaruh serta perwatakan Amri sebagai
pemimpin menjadi faktor Selangor unggul dalam saingan 2010. Nama Amri terus
melekat di hati Datuk K.Rajagobal untuk terus berada dalam kem skuad kebangsaan
bagi menghadapi Piala AFF Suzuki. Walaupun tidak selalu berada di dalam
kesebelasan utama, Amri sering memberi impak kepada pasukan apabila diturunkan
sebagai pemain gantian. Hasilnya, Malaysia menjulang Piala AFF kali pertama
apabila menundukkan Indonesia dengan aggregat 4-2.
-------------------------------------------------------
Sumber:
- Majalah Arena Bola Sepak;
- Akhbar Kosmo;
- Akhbar Utusan Malaysia;
- Akhbar Berita Harian;
- http://dzulhelmimohdrazali.wordpress.com/2014/01/21/amri-yahyah-seorang-lagenda/;
- http://kayimagez.blogspot.com/2010/12/final-liga-super-2010-selangor-vs.html;
- http://wanfelany.blogspot.com/2009/07/manchester-united-malaysia-selangor.html;
- http://www.glennguan.com/blog/?p=1242;
- http://chronohunterz.blogspot.com/2011/09/bagaimana-aku-kenal-pasukan-bolasepak.html;
- http://osmanadnan.com/blog/tag/selangor/;
- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_22.htm.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan