2003: Nidzam cuba mendapatkan bola di padang becak daripada penjaring 50 gol semusim MPPJ FC, Juan Manuel Aristegui. |
MPPJ
FC, Juara Piala Malaysia 2003.
Seperti
yang kita sedia maklum, Kelab MPPJ FC mewakili Majlis Perbandaran Petaling Jaya
(kemudiannya dikenali sebagai Majlis Bandaraya Petaling Jaya). Mereka diberi
gelaran ‘The Black Widows’, dan turut diberi gelaran ‘Gergasi Biru Selangor’. Sejarah
MPPJ FC bermula pada musim 2000 apabila menyertai kancah Piala FAM. Pada musim
2001, MPPJ FC menjuarai Piala FAM apabila menewaskan SAJ FC dengan jaringan 3-1
dan ketua pasukan MPPJ FC ketika itu ialah Dollah Salleh.
Stadium
utama mereka, Stadium MPPJ dibuka pada 1996 dan mampu memuatkan 25,000 orang.
Sebelum ini, stadium ini dikenali dengan nama Stadium MPPJ sebelum
ditukar kepada Stadium MBPJ apabila Petaling Jaya mendapat
taraf bandar raya. Stadium ini terletak di Jalan SS 7/15, 47301 Kelana Jaya,
Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.
Sekitar
2002, MPPJ asalnya bukanlah sebuah pasukan yang diberikan perhatian,
memandangkan sudah menjadi tradisi dalam Liga-M, pasukan negeri lebih mencuri
tumpuan peminat dan pemerhati bola sepak. Kebanyakan pemain yang membarisi
skuad MPPJ ialah pemain buangan dan ‘serpihan’ pasukan negeri dan kelab lain.
Mereka dihimpunkan oleh pihak pengurusan, diserasikan dengan corak kendalian
jurulatih serta ditambah dengan kehadiran dua pemain import yang sangat
berkualiti – Juan Manuel Arostegui dan Sebastian Martelotto.
Skuad
MPPJ FC terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk sampai ke kemuncak bola sepak
Malaysia pada tahun 2003. Berjuang semenjak era 90an, akhirnya mereka berjaya
menempatkan diri ke dalam saingan Liga Premier 2 pada tahun 2002. Meskipun Liga
Premier 2 bukanlah liga utama, tetapi ia memberikan peluang kepada 4 pasukan
teratas liga tersebut untuk beraksi dalam saingan Piala Malaysia.
Skuad
‘The Black Widow’ mengejutkan banyak pihak apabila berjaya menduduki tempat
ketiga Liga Premier 2 (2002), seterusnya layak ke saingan trofi tertua di benua
Asia itu sehingga ke Peringkat Suku Akhir, di mana mereka tewas dengan agregat
1-5 kepada Kedah FA. Saingan 2002 menyaksikan Gergasi Merah, Selangor FA
menjuarai Piala Malaysia selepas menewaskan Sabah FA hasil jaringan bintang
lagendanya, Amri Yahya.
Pada
tahun 2003, pihak pengurusan MPPJ FC membuat keputusan yang signifikan apabila
mendapatkan khidmat dua penyerang import yang menjadi tonggak kejayaan kelab
tersebut. Kombinasi dua bintang Argentina – Martelotto dan Arostegui dianggap
sebagai gandingan pemain tengah-penyerang paling berbisa dalam sejarah bola
sepak moden Malaysia. Arostegui pernah beraksi di samping lagenda Argentina
seperti Riquelme dan Veron ketika era akademi belia Boca Juniors FC dan Piala
Dunia Belia.
Dalam
aksi sulung kedua-dua bintang dari Argentina ini, MPPJ FC membenam PDRM FA,
4-0, di mana Arostegui menjaringkan ‘hat-trick’ dan Martelotto menjaringkan
satu gol. Arostegui menjadi Penjaring Terbanyak Liga Premier 2 dengan 33 gol
daripada 22 perlawanan.
Menduduki
tempat keempat Liga Premier 2, MPPJ FC sekali lagi layak ke saingan Piala
Malaysia. Kali ini, merek a berjaya sampai ke Peringkat Separuh Akhir – bertemu
jaguh Utara, Perlis FA.
MPPJ
FC menang 3-1 di Stadium MPPJ, sebelum seri 1-1 di Kangar. Dengan agregat 4-2,
MPPJ FC mencatat sejarah besar – pasukan kelab pertama beraksi dalam Perlawanan
Akhir Piala Malaysia, menentang Naib Juara 2002, Sabah FA. 12 orang daripada anggota
skuad MPPJ FC sepanjang musim itu merupakan pelajar UiTM.
Sekitar
70,000 orang penyokong membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil – dengan ramai
yang memakai jersi serta mengibarkan bendera Sabah, Selangor serta Albiceleste –
Argentina. Sewaktu Final Piala Malaysia 2003, kurang-lebih 35,000 orang peminat
Sang Badak berkumpul di Stadium Nasional Bukit Jalil ketika itu. Semangat
berkobar-kobar dan sorakan mereka menenggelamkan suara para penyokong MPPJ FC.
Bekas
lagenda Selangor yang mewakili Sabah FA, K. Sanbagamaran dilayangkan kad merah
pada babak awal permainan. Apa pun, Sang Badak beraksi bersungguh-sungguh pada
malam bersejarah itu. Dengan tiga gol jaringan Arostegui itu, beliau berjaya
mencatat rekod – 50 gol yang disumbat sepanjang musim 2003.
Pasukan
ini mendapat markah merit untuk memasuki Liga Super selepas berjaya memenangi Piala
Malaysia 2003. Kejayaan menjulang Piala Malaysia tersebut diteruskan dengan Trofi
Piala Sumbangsih (2004); Juara Liga Perdana Malaysia (2004); dan Juara Piala
Sultan Selangor (2004). Kelab MPPJ FC muncul juara bersama Piala Sultan Selangor
selepas terikat 2-2 dengan Pilihan Singapura.
Selain
dua bintang Argentina, faktor kemenangan mereka ialah disebabkan mempunyai
jurulatih yang berwibawa (Dollah Salleh) yang berjaya membimbing pasukan
ini menjadi juara. Lagenda Malaysia, Dollah Salleh ketika itu telah dilantik
sebagai jurulatih ‘bidang terjun’ untuk menggantikan Ken Shellito yang
meletakkan jawatan secara tiba-tiba.
- Skuad MPPJ FC (2003): Abd Rauf Ahmad, Amirul Zain Ismail, Othman Katmon, Jamsari Sabian, Yuzaiman Zahari, Juan Manuel Arostegui, V. Thinagaran, Kamarulzaman Yob Majid, Aslam Najmudden, Mior Mohd Nasir Yusof, Anuar Abu Bakar, Zaidi Zaing, Walter Antahar, Aiman Tan, Bruno Martelotto, K. Nanthakumar, Azrin Shah Zainal dan Fadzly Aziz. Jurulatih: Dollah Salleh.
2005-2007: Prestasi MPPJ FC
Merudum.
Pada
musim 2005, MPPJ FC memancing pemain-pemain berstatus bintang dan hampir 90%
pemain-pemain skuad MPPJ FC 2005 adalah berstatus bintang. Ketika era 2005,
MPPJ digelar ‘Chelsea Malaysia’ manakala Pahang, ‘Real Madrid Malaysia’, kerana
mengambil ramai pemain berbakat dan mempunyai nama besar di Malaysia. Namun,
tahun 2005 menyaksikan Selangor menguasai saingan liga tempatan dengan
kehadiran bintang import Indonesia, Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy bersama
gandingan Brian Fuentes dan pemain-pemain tempatan berpengalaman.
Kendati,
langit tidak selalu cerah. Prestasi pasukan ini mula merudum apabila tonggak
utama mereka (Juan Manuel Arostegui) memilih untuk meneruskan kerjaya di liga
yang lebih berdaya saing. Juan Manuel
Arostegui bertindak keluar daripada pasukan hanya 24 jam sebelum perlawanan
Suku Akhir Piala Malaysia 2006. MBPJ FC kemudiannya kalah kedua-dua
perlawanan Suku Akhir Piala Malaysia
2006 dengan agregat 5-0.
Sementelah,
jurulatih mereka (Dollah Salleh) telah berhijrah ke Selangor
FA selain perpindahan beberapa orang pemain akibat masalah kewangan menyebabkan
pasukan ini mulai merudum prestasi mereka. Ini menyaksikan pasukan ini terpaksa
menarik diri selepas mereka gagal untuk menghantar penyertaan pasukan mereka
untuk bertanding dalam Liga Malaysia untuk musim 2007.
MPPJ
FC kemudiannya menghadapi beberapa masalah dalam hal pengurusan, khususnya
untuk melunaskan gaji, bonus serta hutang tertunggak. Natijahnya, ramai pemain
utama memilih untuk berhijrah. Setelah gagal mendaftarkan pasukan pada 2007,
MPPJ FC akhirnya telah digantung pendaftarannya oleh FAM.
Deduksinya,
kejayaan skuad MPPJ 2003 dan 2004 adalah manifestasi dasar pengurusan yang
bagus dan telus, yang berjaya membawa hasil yang lumayan. Antara kejayaan yang
dicapai oleh kelab ini ialah Juara Piala Malaysia (2003); Juara Liga Perdana
Malaysia (2004); Juara Piala Sultan Selangor (2004); dan Juara Piala Sumbangsih
(2004). Sejarah yang dicatat pada 2003 pasti tidak akan dapat dilupakan oleh
peminat tegar bola sepak Malaysia.
-------------------------------------------------------------------
Sumber dan rujukan:
- Akhbar Utusan Malaysia;
- Akhbar New Straits Times;
- Majalah Arena Bola Sepak;
- https://www.facebook.com/yuzaimanzahari?fref=ts;
- https://www.facebook.com/ahmadjohari.yeopaziz?fref=ts;
- https://www.facebook.com/hangpcdua.malaya?ref=ts&fref=ts;
- https://www.facebook.com/pages/Kelab-Jersi-Kita/102781643230951?fref=ts.
Baca blog ni mengimbau 1001 kenangan MPPJ FC. Gambar yang ada pun menarik. Terima kasih atas penulisannya.
BalasPadam