Ahad, Disember 15, 2013

Malaysia Layak ke Kejohanan Piala Dunia Futsal, 1996.



Sewaktu sukan futsal belum begitu dikenali di negara kita, Azman Adnan dan rakan seangkatannya telah pun mewakili skuad Malaysia di Kejohanan Piala Dunia Futsal FIFA Ketiga di Sepanyol pada 24 November 1996 hingga 8 Disember 1996. Bagaimanapun, skuad negara gagal menyaingi pasukan-pasukan hebat dan tersingkir awal. Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan C, sekadar mampu menduduki tangga tercorot selepas kecundang 1-10 kepada Itali, 1-4 kepada Uruguay, dan 2-10 kepada Amerika Syarikat. 

Kejohanan Piala Dunia Futsal 5-Sebelah Ketiga di Segovia, Sepanyol ini, berlangsung sewaktu Piala Malaysia edisi 1996 sedang rancak berjalan. Pasukan-pasukan negeri ketika itu sedang bersaing hebat untuk merebut tiket ke perlawanan Separuh Akhir. Ketika ditemubual oleh wartawan berkenaan fokus pemain futsal negara, Azman menyatakan bahawa, “Kami sedar berkenaan tanggungjawab kami dan kenapa kami ada di sini. Tetapi, sejujurnya, kami telah berada di perantauan selama hampir sebulan. Jadi, adalah menjadi sesuatu yang normal untuk kami mahu mengetahui apa yang berlaku di tanah air.” 

Skuad futsal Malaysia dilatih oleh Vic Hermans yang berasal dari Belanda, pada asalnya dilihat akan membuat kejutan apabila Azman menjaringkan gol tunggal negara pada minit keempat sewaktu bertemu Itali. Jurulatih Itali, Carlo Facchin, selepas skuadnya berjaya mengaibkan Malaysia 10-1, menyatakan bahawa Malaysia kekurangan pengalaman, memandangkan skuad Malaysia hanya berlatih 10 hari sahaja di Belanda, manakala skuad Itali yang berpengalaman berlatih selama setahun. 

Namun, beliau memuji Azman yang dikatakan mempunyai kemahiran yang sesuai dengan permainan futsal-lima-sebelah. Selain Azman, pemain yang beraksi cemerlang ialah Lim Seng Kong, Nazri Yunus dan Zainal Abidin Hassan. Azrul Amri Borhan dan Raizuwah Idris telah mengalami kecederaan sewaktu kejohanan tersebut. Antara anggota skuad Piala Dunia Futsal ’96 negara ialah: Khairul Azman Mohamed; Mudzar Muhammad; Mohd Nazri Yunus; Mohd Raizuwah Idris; Lim Seng Kong; Rosdee Sulong; Zainal Abidin Hassan; Zami Mohamed Nor; Md Noor Md Derus; Anuar Jusoh; Dollah Salleh; Azrul Amri Burhan; dan Azman Adnan. 
----------------------------------------------------------
Sumber dan rujukan:
  1. Akhbar Utusan Malaysia;
  2. Akhbar New Straits Times;
  3. Majalah Arena Bola Sepak;
  4. https://www.facebook.com/ahmadjohari.yeopaziz?fref=ts;
  5. https://www.facebook.com/hangpcdua.malaya?ref=ts&fref=ts;
  6. https://www.facebook.com/pages/Kelab-Jersi-Kita/102781643230951?fref=ts.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...