Sabtu, Januari 29, 2011

Ku Li: Putera raja yang terjun ke gelanggang siasah.

Tengku Razaleigh bin Tengku Mohd Hamzah
Yang Berhormat Mulia Tan Sri Tengku Razaleigh Bin Tengku Mohd Hamzah (lahir: 13 April 1937; juga dipanggil Ku Li) merupakan bekas Presiden Semangat 46 yang telah dibubarkan pada 1996 dan juga bekas Menteri Kewangan Malaysia 1976-1984. Beliau juga merupakan pengasas kepada Petronas(Petroliam Nasional Berhad). Kini, beliau merupakan Ahli Parlimen Gua Musang, Kelantan.

______________________________________________________


Kehidupan awal
Dilahirkan kepada Tengku Hamzah bin Raja Muda Long Zainal Abidin Ibni Sultan Muhammad III yang lebih dikenali sebagai Tengku Serimah ataupun Tengku Seri Maharaja, Tengku Razaleigh mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Padang Garong, dan kemudiannya di Kolej Sultan Ismail (SIC) dan Maktab Melayu Kuala Kangsar, Perak.

Seterusnya, beliau melanjutkan pelajarannya dalam bidang undang-undang di Lincoln Inn, London. Tetapi hasratnya untuk menjadi peguam terbantut apabila bapanya sakit dan beliau terpaksa menguruskan perniagaan bapanya. Pada tahun 1959, Tengku Razaleigh mendapat Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Queen, Ireland. Cik Puan Noor Abdullah merupakan isteri Tengku Razaleigh.

______________________________________________________

Kerjaya politik
Pada tahun 1962, Tengku Razaleigh menjadi ahli UMNO dan dilantik menjadi Ketua UMNO Bahagian Ulu Kelantan. Pada tahun berikutan, beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Perhubungan UMNO Kelantan dan Majlis Tertinggi UMNO. Tengku Razaleigh menjadi Ketua Perhubungan UMNO negeri Kelantan pada tahun 1967.

Atas jemputan Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, beliau bertanding bagi kawasan Dewan Undangan Negeri menentang Dato Asri Muda. Tengku Razaleigh menang dalam pilhan raya tersebut dan menjadi ahli Parlimen pada umur 37 tahun.

Atas permintaaan Tun Abdul Razak pada Pilihan Raya Umum 1974, Tengku Razaleigh bertanding kerusi Parlimen. Sewaktu itu, Majalah Time meramalkan beliau akan menjadi pemimpin utama di Malaysia. Pada zaman Tun Abdul Razak, Tengku Razaleigh dilantik sebagai pengerusi Pernas, Petronas dan Bank Bumiputera.

Sewaktu menjadi pengerusi Pernas, beliau melawat negara China dan merupakan orang Malaysia pertama menemui Perdana Menteri China, Chou En Lai. Seterusnya, Tun Abdul Razak berkunjung ke China. Jadi, Tengku merupakan arkitek Persahabatan Malaysia-China 1974 yang membawa kejatuhan Parti Komunis Malaya.

Semasa Tengku Razaleigh memimpin Bank Bumiputera, beliau telah menjemput Wong Am Pui dan Dato Khoo Kay Peng melatih kakitangan Melayu agar mahir dalam pengurusan bank. Pada Julai 1974, Tengku Razaleigh menjadi Naib Presiden UMNO setelah kematian Tun Dr Ismail Abdul Rahman. Beliau menjadi Naib Presiden UMNO selama tiga penggal berturut-turut sehingga 1978.

______________________________________________________

Pada 5 Mac 1976 hingga Julai 1984, Tengku Razaleigh telah dilantik sebagai Menteri Kewangan dan setiap tahun membentangkan belanjawan negara di Parlimen melalui siaran secara langsung oleh RTM. Ketika itu, perkembangan ekonomi negara berkembang 6-8 peratus setahun. Beliau merupakan Menteri Kewangan yang paling lama sebelum diambil alih oleh Dato Daim Zainuddin dalam rombakan kabinet pada tahun 1984. Dalam rombakan tersebut, Tengku Razaleigh dilantik menjadi Menteri Perdagangan dan Perindustrian.

Pada 24 April 1987, Tengku Razaleigh bersama Dato Musa Hitam mencabar regu Dr Mahathir dan Ghafar Baba dalam pemilihan parti sebagai Presiden dan Naib Presiden Parti UMNO. Malangnya, beliau ditewas 43 undi di tangan Tun Dr Mahathir Mohamad. Kekalahan tersebut merupakan titik pusing kerjaya politiknya.

Untuk kupasan ringkas berkenaan biodata Tun Ghaffar Baba, boleh rujuk pautan ini: Tun Ghafar Baba: Dari Penjual Kayu Api ke Parlimen.

Sementelahan, untuk kupasan ringkas berkenaan biodata Tun Musa Hitam, boleh rujuk pautan ini: Tun Musa Hitam: Tenang Dalam Gelora.

Selepas kekalahan ini, Tengku Razaleigh menubuhkan Parti Semangat 46 bersama dengan Datuk Rais Yatim. Semangat 46 bekerjasama dengan PAS dan DAP dalam Pilihan Raya Umum tahun itu tetapi gagal memenangi untuk membentukkan kerajaan.

Cuma PAS berjaya menguasai kerajaan negeri Kelantan dan PBS berjaya menguasai kerajaan negeri Sabah. Selepas Semangat 46 dibubarkan 1996, Tengku Razaleigh dan Dato Rais Yatim menyertai UMNO semula.

______________________________________________________


Pada tahun 2000, beliau menawarkan diri untuk bertanding melawan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sebagai Presiden dalam pemilihan parti UMNO namun kuota pencalonan sebanyak 30 peratus tidak mencukupi dari bahagian-bahagian UMNO.

Pada masa yang sama, beliau juga cuba mencabar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk jawatan Timbalan Presiden, namun juga gagal atas kuota. Selain itu, beliau juga gagal menepati kuota apabila ingin bertanding untuk jawatan Naib Presiden. Pada tahun 2004, beliau cuba mencabar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sebagai Presiden ketika itu, namun hanya bahagian Gua Musang mencalonkannya. Oleh itu, beliau gagal menepati kuota.

Sekali lagi pada 2009, setahun selepas Pilihanraya Umum, beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan yang sama menentang Datuk Seri Najib Tun Razak kerana Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengundurkan diri, kerana keputusan Barisan Nasional dalam pilihanraya yang merosot.

______________________________________________________


Royalti minyak Kelantan
Tengku Razaleigh Hamzah menyatakan Kelantan berhak mendapat royalti minyak. Pendirian baru itu disampaikan semasa berucap pada majlis solat hajat dan ceramah perdana royalti petroleum di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Baharu, Kelantan pada 28 Januari 2010. Turut hadir ialah Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tengku Razaleigh Hamzah menjadi pengerusi Petronas ketika perjanjian itu ditandatangani, Tengku Razaleigh sebagai orang Kelantan tentu mahu melihat Kelantan mendapat wang royalti minyak itu. Tengku Razaleigh adalah individu yang bertanggungjawab menandatangani perjanjian antara Petronas dan kerajaan negeri Kelantan pada 1975 di bawah Akta 144 (Akta Kemajuan Petroleum 1974).

______________________________________________________

Partai Melayu Semangat 46 atau Semangat 46
Selepas pemilihan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada tahun 1987, UMNO telah berpecah kepada dua kumpulan, iaitu Pasukan A yang diketuai oleh Dr Mahathir di bawah UMNO Baru dan Pasukan B yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah di bawah kem Semangat 46. Antara bekas pemimpin 'heavyweight' UMNO yang menyertai Semangat 46 ialah mantan Menteri Besar Selangor, Allahyarham Datuk Harun Idris.

Antara tokoh Pemuda UMNO yang tersohor ketika itu ialah Datuk Seri Najib dan DSAI. Untuk kupasan ringkas berkenaan biodata DSAI, boleh rujuk pautan ini: DSAI: Mantan TPM Malaysia.

______________________________________________________


Semangat 46 mendakwa mereka sebenarnya UMNO Lama yang terbunuh pada tahun 1987. Dalam usaha mereka merebut nama keramat 'UMNO' itu, Tun Dr. Mahathir yang memang terkenal lebih tangkas dan siaga lebih dahulu beroleh faedah mendaftarkan UMNO Baru.

______________________________________________________


Tengku Razaleigh menubuhkan Parti Semangat 46 bersama dengan Dato' Seri Utama Rais Yatim. Maksud "Semangat 46" ialah, meneruskan semangat penubuhan UMNO yang ada pada tahun 1946. Manakala Datuk Seri Dr Mahathir menubuhkan UMNO Baru ketika itu, untuk menggantikan UMNO yang diharamkan sebelum itu. Semangat 46 kemudian menubuhkan sebuah parti campuran dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bernama Angkatan Perpaduan Ummah untuk bertanding dengan UMNO-BN.

Presiden PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor (Almarhum) memanfaatkan kesempatan ini dengan mewujudkan kerjasama politik dengan S46 yang membolehkan PAS berkuasa semula di Kelantan. Ketua Dewan Ulamak PAS (kemudian Mursyidul Am PAS), Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat diberikan kepercayaan untuk memimpin kerajaan Kelantan semenjak 1990.

Untuk kupasan ringkas berkenaan biodata Ustaz Fadzil Noor, boleh rujuk pautan ini: Ustaz Fadzil Noor: Murabbi Dalam Kenangan.

Parti Semangat 46 juga bekerjasama dengan PAS, BERJASA, HAMIM, dan KIMMA untuk menubuhkan Angkatan Perpaduan Ummah demi bertanding dalam Pilihanraya Umum Malaysia 1990 dan Pilihanraya Umum Malaysia 1995.

Namun, mereka cuma mampu memenangi kuasa pemerintahan negeri Kelantan di bawah pimpinan PAS di sana, pada tahun 1990. Pada masa yang sama, S46 juga bekerjasama dengan DAP, PBS, dan PRM untuk menubuhkan Gagasan Rakyat demi bertanding dalam Pilihanraya Umum 1990.

Walaupun menjadi peneraju kepada kedua-dua pakatan tersebut, namun pencapaian Parti Semangat 46 tidaklah memberangsangkan. Sebaliknya, PAS telah menguasai Kelantan melalui muafakat di dalam APU manakala PBS telah menawan Sabah melalui muafakat di dalam Gagasan Rakyat.

Manakala DAP telah mendapat kerusi Dewan Rakyat paling banyak berbanding rakan-rakan parti pembangkang yang lain sekaligus Lim Kit Siang diangkat menjadi Ketua Pembangkang.

Malang seribu kali malang apabila satu-persatu ahli Semangat 46 melompat kembali kepada UMNO. Akhirnya pada tahun 1996, Semangat 46 dibubarkan apabila Ku Li sendiri mengumumkan penyertaannya ke dalam UMNO.

Semangat 46 sebenarnya berpeluang besar untuk menewaskan Barisan Nasional khususnya UMNO dalam Pilihanraya Umum 1990. Namun isu 'Tengkolok Kristian' gagal di'counter' di saat-saat akhir memandangkan penguasaan media hanya didominasi oleh UMNO-Barisan Nasional (UBN).

Selain itu, yang lebih utama adalah pengundi di kawasan Pantai Barat Semenanjung khususnya Melayu masih gagal melihat Parti Semangat 46 sebagai sebuah parti berasaskan Melayu. Oleh kerana pengundi Melayu adalah pengundi terbesar di Malaysia, undi mereka tetap condong kepada UMNO atau PAS sahaja.

Hasilnya, UMNO kekal dominan di Pantai Barat dan PAS pula berjaya menawan Kelantan di kawasan Pantai Timur. Semangat 46 pula hanya 'menang tersorak namun kampung tergadai'.

Setelah menyedari sentimen kemelayuan yang masih kuat di kalangan pengundi, akhirnya pada tahun 1994, Parti semangat 46 telah dijenamakan semula sebagai Parti Melayu Semangat 46. Namun, segala-galanya telah terlambat. Dua tahun selepas itu, Parti Melayu Semangat 46 akhirnya tersungkur menyembah bumi dan berkubur tanpa nesan.

Pada 1996, PAS mula berkrisis dengan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) yang menyebabkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dibentuk pada 1989 berpecah.

Selepas Semangat 46 dibubarkan pada bulan Mei 1996, Tengku Razaleigh Hamzah, Dato' Seri Utama Rais Yatim, Datuk Paduka Ibrahim Ali dan Dato' Radzi Sheikh Ahmad menyertai UMNO Baru. Oleh sebab itu, Mahathir Mohamed menyeru PAS supaya mengikut jejak S46 dan menyertai UMNO demi menyatukan semula bangsa Melayu di bawah satu parti.

______________________________________________________



* Nota kaki :: Dalam satu temubual dengan media tidak berapa lama dahulu, Ku Li mendakwa bahawa Semangat 46 sebenarnya dicadangkan penubuhannya oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman, Bapa Kemerdekaan. Beliau mendakwa bahawasanya Tunku meminta beliau menubuhkan parti tersebut dan membubarkannya apabila UMNO-BN sudah kembali kepada perjuangan asalnya. Sama ada ianya benar ataupun tidak, hakikatnya, parti tersebut telahpun berkubur dan ramai pemimpin dan ahlinya telah pulang ke pangkuan UMNO-BN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...