Jumaat, Jun 15, 2012

Ustaz Nakhaie Ahmad: Mantan YDP YADIM.

Ustaz Nakhaie ketika bersama ABIM.
Ustaz Nakhaie bersama Haji Subky Latiff, di pentas PAS.


***************
“Orang politik bersilat mengikut rentak dan gendang politik. Serban dan jubah orang politik tidak melambangkan kelurusan. Perkataan yang diucapkan juga ada maksud yang tersurat dan tersirat." – Ustaz Nakhaie Ahmad.

***************

Ustaz Nakhaie Ahmad: Mantan YDP YADIM

Dato’ Mohd Nakhaie Haji Ahmad (selepas ini dirujuk sebagai ‘Ustaz Nakhaie’) adalah seorang ahli politik UMNO yang pernah menjadi ahli dan Naib Yang DiPertua PAS. Beliau juga pernah menjadi Ketua Dakwah ABIM sebelum menyertai PAS. Beliau berkelulusan dari Universiti Al-Azhar dan Darul Ulum, Kaherah, Mesir. Beliau pernah bertugas sebagai Penasihat Agama ITM (kini UiTM), Shah Alam tetapi kemudiannya meninggalkan jawatan tersebut. Ustaz Nakhaie mempunyai keluarga yang cenderung menyokong PAS. Ibu dan adik beradiknya merupakan antara pendokong dan pimpinan PAS yang dikenali di Kedah.

***********************
Dakwah ABIM

Ketika di bawah kepimpinan DSAI, ABIM menjadi gerakan Islam dan NGO yang lantang dan popular dalam kalangan masyarakat tempatan dan dunia. ABIM dilihat cenderung mempunyai hubungan yang berikat-rapat dengan PAS, terutamanya apabila pemimpinnya seperti DSAI membantu kempen PAS dan bersifat vokal terhadap dasar-dasar pemerintah.

Tiga orang pemimpin utama ABIM kemudiannya telah menyertai PAS iaitu Timbalan Presidennya, Ustaz Fadhil Noor, Ketua Dakwahnya, Ustaz Nakhaie Ahmad dan Exconya, Saudara Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman.

Pada tahun 1988, Ustaz Nakhaie menulis di Harakah bahawa kemasukan kumpulan ustaz ABIM ke dalam PAS, diarahkan oleh DSAI, untuk menyelamatkan PAS yang kalah teruk di bawah pimpinan Dato’ Asri Haji Muda. Dakwa Ustaz Nakhaie, DSAI sendiri menyuruh kumpulan ustaz ABIM menyertai PAS setelah mendapat lampu hijau daripada Pak Natsir dan WAMY. Hal ini dikatakan bagi memulakan kembali usaha-usaha tarbiyyah atau dalam erti kata lain ‘menyelamatkan’ PAS dari terus hanyut dalam lautan perjuangan kebangsaan di bawah pimpinan Tan Sri Asri Muda.

*********************************
Ustaz Nakhaie dan Allahyarham Tan Sri Asri Muda.
Politik PAS
Ustaz Nakhaie mendokong kumpulan ulamak sewaktu era penstrukturan semula dan pengambil alihan pucuk pimpinan oleh kumpulan Young Turks yang diinspirasikan oleh Revolusi Iran. Ustaz Nakhaei pernah menjadi pemimpin utama dalam Parti Islam Se-Malaysia (PAS) selain Ustaz Fadzil Mohd Noor, Ustaz Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ustaz Abdul Hadi Awang.  Ustaz Nakhaei juga pernah dilantik menjadi Ketua Pengarang lidah rasmi PAS iaitu akhbar Harakah di ibu pejabat Harakah di Jalan Pahang, Kuala Lumpur. Ketika bersama PAS, Ustaz Nakhaie pernah memenangi kerusi Parlimen Baling, Kedah.

Menyusuri sejarah politik PAS, PAS pernah beberapa kali bertahaluf atau menjalinkan kerjasama politik, sama ada dengan parti yang memerintah atau gabungan parti pembangkang. Muktamar PAS pada 1982 memutuskan penubuhan CCC iaitu ‘sayap’ PAS yang terdiri daripada orang Cina dan India. Penubuhan CCC ini dikatakan menjadi punca kekalahan PAS ketika Pilihan Raya Umum (PRU) Malaysia ke-7 pada tahun 1986. PRU ke-7 juga menyaksikan PAS memulakan era politik baru dengan bekerjasama dengan NGO, parti-parti pembangkang seperti NasMa, SDP, CCC dan lain-lain.

Namun kerjasama tersebut tidak mampu memberikan impak besar kepada perubahan iklim politik. Status-quo PAS dengan kerusi tunggal Parlimen dan beberapa kerusi Dun. PAS mengalami sedikit perbalahan kecil di kalangan kepimpinan, sehingga Naib Yang DiPertuanya, Ustaz Nakhaie Ahmad meletak jawatan dan menyertai UMNO.

****************************
Selaku YDP YADIM, sering dijemput memberikan taklimat dan penerangan.
Sewaktu Forum UMNO-PAS di Kelantan.
2001: Memberi taklimat sewaktu Majlis Dialog bersama Pemimpin, anjuran
Kelab Maya UMNO Malaysia.
Politik UMNO
Kemudian, Ustaz Nakhaie menyertai UMNO pada 1989 sebelum PRU 1990. Menjelang PRU ke-8, tersiarlah dalam media arus perdana cetak dan elektronik, gambar Ustaz Nakhaie bersama Tan Sri Yusuf Noor mengumumkan penyertaannya dalam UMNO dan meninggalkan PAS. Tindakan Ustaz Nakhaie ini adalah bertentangan dengan koleksi tulisan dan ceramah beliau yang sering mengkritik dasar Tun Dr M dan UMNO-BN. Malahan, Ustaz Nakhaie turut mengutuskan memorandum kepada DSAI setelah mantan Presiden ABIM itu menyertai UMNO-BN pada 1982.

Bagaimanapun, bintang Ustaz Nakhaie dalam UMNO kurang menyerlah. Meski pernah menjawat kerusi Timbalan Ketua Penerangan UMNO, beliau tewas dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan Ketua UMNO bahagian Baling, Kedah.

Antara sebab kenapa Ustaz Nakhaie sukar untuk mencipta nama dalam UMNO ialah imej bersih dan keagamaan Tun Abdullah Ahmad badawi (Pak Lah), Tan Sri Dr Yusuf Noor dan DSAI sudah mulai kukuh. Dr Yusuf Noor merupakan rakan sealiran lulusan Al-Azhar kepada Ustaz Nakhaie, manakala DSAI adalah mantan Presiden ABIM di mana Ustaz Nakhaie pernah menjadi Ketua Dakwahnya. 

Meskipun begitu, Ustaz Nakhaie tetap dilantik menjadi Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM). Sewaktu memimpin YADIM, Ustaz Nakhaie dilihat membuat ‘come back’ ketika gagasan Islam Hadhari dibawa oleh Pak Lah. Hal ini berikutan YADIM dilihat aktif dalam kempen dan program penerangan gagasan tersebut, sebelum tercetusnya gagasan Satu (1) Malaysia yang dibawa oleh Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak. 


****************
Bersama pimpinan  Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM). 
Saman terhadap Dr MAZA
Pada 22 Februari 2010, Ustaz Nakhaei memfailkan saman fitnah berjumlah RM1.5 juta terhadap bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin serta editor dan wartawan akhbar Sinar Harian. Fitnah itu berkaitan sidang media yang diberikan oleh Dr Asri pada 1 November 2009 dan disiarkan oleh Sinar Harian pada 2 dan 5 November 2009. Ustaz Nakhaie mendakwa bahawa reputasinya terjejas kerana seolah-olah beliau dituduh menjadi dalang menentang perlantikan Dr Asri dilantik menjadi YDP YADIM dan berlaku penyelewengan dalam YADIM. Selepas tidak lagi mengetuai YADIM, Ustaz Nakhaie aktif sebagai Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).

**************
Sumber dan pautan:
  1. Abu Bakar Hamzah. Islam dan Nasionalisme di Malaysia, 1986. Kuala Lumpur: Gelanggang Kreatif;
  2. Abu Bakar Hamzah. Parti Islam dengan Tahalluf Siyasinya, 1992. Kuala Lumpur: Media Cendiakawan Sdn Bhd; 
  3. Abu Bakar Hamzah. Quo Vadis PAS?, 1989. Selangor: Polygraphic Press Sdn Bhd;
  4. Ahmad Awang. Islam di Malaysia: Cabaran Sepanjang 80-an, 15 Januari 1980. Dewan Masyarakat;
  5. Alias Mohamed. Malaysia’s Islamic Opposition: Past, Present and Future, 1991. Kuala Lumpur: Gateway Publishing House;
  6. Badlihisham Mohd Nasir. Da’wah And The Malaysian Islamic Movements, 2003. Semenyih: Synergymate Sdn. Bhd.;
  7. Chandra Muzaffar. Islamic Resurgence in Malaysia, 1987. Petaling Jaya: Penerbit fajar Bakti Sdn Bhd.;
  8. http://ms.wikipedia.org/wiki/Mohd_Nakhaie_Haji_Ahmad; dan
  9. http://usahmadawang.blogspot.com/2009/11/ulama-tersepit-di-gelanggang-politik_03.html.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...