Sabtu, Jun 23, 2012

Siri Wacana ABIM Bersama Umat.


Siri “Wacana ABIM Bersama Umat
Alhamdulillah, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Daerah Kuala Langat telah menganjurkan beberapa siri “Wacana ABIM Bersama Umat”. Terdapat empat siri wacana kesemuanya, tatkala ABIM Kuala Langat telah berjaya menganjurkan tiga daripadanya.

Siri wacana ini dipimpin oleh mantan Yang Dipertua (YDP) ABIM Negeri Selangor, Al-Fadhil Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni. Syukur, ketiga-tiga siri wacana ini mendapat sambutan baik daripada kalangan penduduk Daerah Kuala Langat.

i)                  Siri 1 Wacana ABIM bersama Umat: “Qazaf: Menjawab Fitnah”
2hb Jun 2012: Dalam siri pertama wacana ini, Ustaz Zawawi memberikan pencerahan kepada Jemaah Masjid Kebun Baru, Batu 10, berkenaan isu qazaf. Menurut Ustaz Zawawi, bagi melindungi maruah individu dan memelihara hubungan antara manusia, Islam menolak fitnah dan dakwaan liar yang dibuat di luar prosiding perundangan tanpa saksi mencukupi. Di dalam Islam, kesalahan Qazaf boleh disabitkan dengan salah satu dari bukti-bukti yang berikut iaitu ‘syahadah’ (penyaksian); ‘ikrar’ (pengakuan) dan/atau ‘yamin’ (sumpah).

ii)                Siri 2 Wacana ABIM bersama Umat: “Fahaman Syiah di Malaysia”
14hb Jun 2012: Untuk siri kedua wacana ini, Ustaz Zawawi mengupas isu Syiah berdasarkan beberapa kitab dan buku. Antara buku yang dibedah ialah buku “Siapa Syiah Sebenarnya?” nukilan Ustaz Abdullah Din, Timbalan YDP ABIM Negeri Kedah. Majlis ilmu ini telah dianjurkan pada hari Khamis malam Jumaat, 14 Jun 2012 di Masjid Jamiul Ehsan, Sijangkang oleh ABIM Daerah Kuala Langat.

iii)                  Siri 3 Wacana ABIM bersama Umat: “Watak dan Jati Diri Muslim”
22hb Jun 2012: Sewaktu sesi ketiga wacana, Ustaz Zawawi berhujah berkenaan perlunya individu Muslim memperkasakan watak dan jati diri untuk menjadi pejuang kemakrufan dan penentang kemungkaran. Beliau merujuk kepada karya besar terkini mantan Presiden ABIM, Al-Fadhil Dato’ Dr Siddiq Fadzil bertajuk “Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat.” Wacana ini dianjurkan di Masjid Al-Hidayah, Telok Panglima Garang.

ABIM Kuala Langat turut menjual beberapa buku sepanjang siri Wacana ABIM  Bersama Umat. Antara buku yang dijual ialah “Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat” (karya Ustaz Siddiq Fadzil); buku “Siapa Syiah Sebenarnya?” (nukilan Ustaz Abdullah Din, Timbalan YDP ABIM Negeri Kedah) dan novel “Wajah Hati Redha: Skuadron Rakyat” yang saya karangi.
* Semoga ada manfaatnya program ini untuk kita semua. Bersama menegakkan kebenaran dan memperjuang keadilan. Salam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...