Jumaat, Jun 15, 2012

Jaguh Tambak: Malaysia-Singapura.



 
Jaguh Tambak: Malaysia-Singapura
Alhamdulillah, Selasa lepas, saya berkesempatan menghadiri perlawanan persahabatan antara skuad Harimau Malaya dan Lions. Perlawanan yang berkesudahan Malaysia menang 2-0 ini dilangsungkan di Stadium Shah Alam, Selangor.

Kemenangan ini mengakhiri penantian Malaysia yang menunggu 8 tahun untuk menewaskan Singapura dalam 12 pertemuan. Kali terakhir Harimau Malaya menewaskan Lions ialah pada 2004, di mana kita menang 2-0. Sebelum itu, kita tewas enam perlawanan dan seri lima kali.

Seperti mana yang kita sedia maklum, setiap perlawanan Malaysia-Singapura bukanlah perlawanan persahabatan biasa. Sebaliknya, ia digelar “Causeway Challenge” atau “Kejuaraan Tambak”.

Sejelasnya, skuad Lions pernah mewarnai kancah liga bola sepak Malaysia sejak sekian lama, sebelum menarik diri pada 1994 untuk menubuhkan liga profesionalnya sendiri. Selepas sekian lama, akhirnya Lions kembali mewarnai Liga Super Malaysia, kali ni dalam bentuk skuad dengan deretan bintang naturalisasi.

Ayuh, kita imbau sekilas lalu, sejarah penyertaan dan perkembangan pasukan bola sepak Singapura sejak era penubuhannya.


Skuad Lions dan kenangan kemeriahan kempen Piala Malaysia
Persatuan Bola Sepak Amatur Singapura telah ditubuhkan pada 1882, sebelum dikenali sebagai Persatuan Bola Sepak Singapura [Football Association of Singapore (FAS)] pada 1952.

Sementelahan, Piala HMS Malaya yang kemudiannya dikenali sebagai Piala Malaysia pada 1967, telah mula disertai dan didominasi oleh Singapura dan skuad Selangor sejak edisi sulungnya pada 1921. Hal yang demikian, Piala Malaysia merupakan kejohanan bola sepak tertua di Asia.

Antara tahun 1948 dan 1966, Singapura bermain dalam 11 perlawanan akhir (menang 7 dan tewas 4). Selepas 1967, setelah kejohanan Piala HMS Malaya dinamakan sebagai Piala Malaysia, Singapura bermain dalam 10 perlawanan akhir (menang 3 dan kalah 7).

Jurulatih lagenda Singapura, mendiang Choo Seng Quee, yang mesra digelar ‘Uncle Choo’, telah berjaya membawa Skuad Singa (The Lions) menjuarai Piala Malaysia pada tahun 1964 dan 1977.

Tahun 1966 dianggap era emas bola sepak Singapura. Skuad Lions berjaya menduduki tempat keempat sewaktu Sukan Asia di Bangkok. Skuad ini dibintangi oleh Wilfred Skinner, Lee Kok Seng, Rahim Omar, Majid Ariff dan Quah Kim Swee.

Pada tahun 1977, di bawah kendalian Under Choo, Singapura telah menewaskan Pulau Pinang 3-2 di Stadium Merdeka. Dianggap sebagai jurulatih terbaik bola sepak pasca-perang di Singapura, Uncle Choo meninggal dunia pada 1983.

Meskipun Lions menarik diri daripada kempen Piala Malaysia pada musim-musim 1967-1968 dan 1982-1983, kehadiran skuad tersebut senantiasa memeriahkan bola sepak kedua-dua Negara berjiran Malaysia-Singapura.

Pada tahun 1980, di bawah bimbingan Jita Singh, Singapura memenangi Piala Malaysia, setelah menewaskan Selangor 2-1, di mana Fandi Ahmad menjaringkan gol kemenangan dan memberikan isyarat bahawa era kegemilangannya sebagai pemain baru bermula.

Selanjutnya, demam Piala Malaysia terus ‘merasuk’ penyokong tegar bola sepak Singapura, tatkala skuad Piala Malaysia mereka dibintangi oleh deretan pemain handalan 90an seperti Fandi Ahmad (penyerang), Sundramoorthy (sayap kanan), Lee Man Hon (sayap kiri), “Supersub” Steven Tan (sayap kanan), David Lee (penjaga gol), Lim Tong Hai (pertahanan tengah), Terry Patmanathan (‘sweeper’), Borhan Abu Samah (pertahanan kiri), Malek Awab (sayap/pertahanan kanan), V. Selvaraj (pemain tengah), Nazri Nasir (pemain tengah), dan para pemain asing seperti Alistair Edwards (penyerang), Abbas Saad (penyerang), dan Jang Jung (‘sweeper’).

Pada tahun 1994, Singapura membenam Skuad Tok Gajah (Pahang) 4-0 untuk memenangi Piala Malaysia dengan menyaksikan Abbas Saad, Alistair Edwards, Fandi Ahmad dan V. Sundramoorthy menjadi penyumbang besar kejayaan skuad tersebut.

Selepas memenangi perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ‘94, Singapura telah menarik diri daripada kejohanan Piala Malaysia, kerana mahu mewujudkan liga profesional mereka sendiri di Singapura. 

Kendatipun, penarikan diri oleh Skuad Singa ini – selain gejala rasuah bola sepak -- telah dilihat sebagai antara punca merudumnya sokongan dan minat peminat bola sepak Malaysia dan Singapura untuk hadir ke stadium.

Akhirnya, skuad Lions kembali menyertai Liga Super Malaysia dan Piala Malaysia pada 2012, tatkala skuad Harimau Muda A menyertai Liga Super Singapura.

Fandi Ahmad: Anak Emas Singapura
Menjelang akhir tahun 70an, Singapura menyaksikan kemunculan bintang bola sepak era modennya iaitu Fandi Ahmad, yang ketika itu baru sahaja berusia 16 tahun.

Sewaktu perlawanan akhir Piala Malaysia 1980, Fandi yang baru berumur 18 tahun menjaringkan gol kemenangan sewaktu menewaskan Selangor, 2-1. Skuad Piala Malaysia Singapura 1980 dibimbing oleh jurulatih, Jita Singh.

Fandi menjaringkan gol penting tersebut setelah berjaya melepas halangan Santokh Singh dalam perlawanan penuh sengit di Stadium Merdeka. Selangor yang merupakan pasukan pilihan telah ditewaskan oleh Singapura dengan disaksikan oleh 35,000 orang penonton.

Sebelumnya, Leong Kok Fann menjadikan kedudukan 1-0 menerusi kelicikannya mencuri bola melepasi ‘Tauke’ Soh Chin Aun dan Santokh Singh. Selangor menyamakan kedudukan menerusi tendangan padu Supermokh pada minit ke-20.

Selepas mengembara ke Indonesia, Belanda dan Malaysia, Fandi kembali membantu skuad Singapura memenangi Piala Malaysia terakhir mereka pada tahun 1994.

 S-League dan Skim Bakat Asing
Pada tahun 1996, FAS melancarkan Liga Singapura (S-League) yang melahirkan pemain berbakat seperti Indra Sahdan, Ahmad Latiff dan Noh Alam Shah. Namun, jumlah penonton tegar semakin berkurang berikutan kurangnya persaingan sengit yang memeriahkan suasana bola sepak tempatan Malaysia-Singapura.  

Kemudian, di bawah Skim Bakat Asing (‘Foreign Talent Scheme’), FAS cuba mengkader pemain-pemain bola sepak berbakat dari Negara-negara luar seperti Serbia, Nigeria, Brazil dan China untuk menyertai skuad Singapura. Skim ini adalah bertujuan menaikkan mutu dan pencapaian skuad Singapura dengan cita-cita besar untuk layak ke Piala Dunia.

Namun, dasar ini juga membawa kepada hilangnya jatidiri skuad kebangsaan Singapura secara perlahan-lahan dalam kalangan hati peminat bola sepaknya. Meskipun pengambilan pemain asing ini kemudiannya turut ditiru oleh skuad Garuda (Indonesia), Harimau Malaya masih tegar untuk mencungkil bakat muda dan menjana kejayaan melalui pembangunan bola sepak akar umbi, dan bukannya naturalisasi.

***

Sumber:
  1. Majalah Arena Bola Sepak;
  2. http://remembersingapore.wordpress.com/2011/06/14/generations-of-local-football-heroes/;
  3. http://stylemestiada.wordpress.com/2011/11/17/lions-reform-draws-only-red-herrings/;
  4. http://uncledicko.blogspot.com/2009/05/that-unforgettable-malaysia-cup-win-in.html;
  5. http://www.singapedia.com.sg/entries/m/malaysia_cup.html;
  6. http://gforce-guru.blogspot.com/2011/07/kallang-will-roar-again-part-four.html;
  7. http://www.preshigh.edu.sg/teachers/laick/Singapore/Sports/Malaysia%20Cup%20memories.aspx;
  8. http://www.exclusinga.com/2012/06/singapore-coach-disappointed-loss/;
  9. http://www.themalaysiantimes.com.my/a-call-for-calm-malaysia-vs-singapore;
  10. http://malaysiafootball-dimos.blogspot.com/2008/11/malaysia-vs-laos.html;
  11. http://www.malayatigers.com/topics/skuad-kebangsaan/page/5/; dan
  12. http://news.daylife.com/photo/0dFLarR92D0rY?__site=daylife.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan

  Dr. Zulkifli Hasan: Menjambatani Persaudaraan, Menyubur Kesejahteraan   Oleh: Zairudin Hashim (Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia M...