Hudud: Amaran Abim jangan sampai cetus Islamofobia
Oleh: Haji Amidi Dato’ Abdul Manan (Presiden ABIM)
***************************
Ulasan Angkatan Belia
Islam Malaysia (Abim) merujuk kepada polemik hudud serta perundangan Islam yang
semakin memuncak semenjak kebelakangan ini.
Semenjak penubuhannya pada
tahun 1971, Abim telah secara konsisten menyatakan komitmen serta sokongannya
terhadap perlaksanaan undang-undang Islam di negara ini. Komitmen serta
sokongan ini beralaskan kepada fakta bahawa Islam telah diangkat sebagai agama
persekutuan di negara ini, sekaligus menidakkan dakwaan bahawa Malaysia adalah
sebuah negara sekular (yang memisahkan Islam dari tatacara politik dan
perundangan).
Kenyataan ini secara jelas dimaktubkan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan
yang menyatakan dengan jelas bahawa Islam adalah agama persekutuan yang turut
didukung menerusi beberapa peruntukan undang-undang lain.
Justeru Abim mengecam sama sekali usaha pihak tidak bertanggungjawab yang ingin
memomokkan perundangan hudud serta perundangan Islam sebagai sebuah agenda
bersifat ancaman terhadap golongan masyarakat bukan Islam di negara ini.
Sesungguhnya Abim menilai tanggapan tersebut bersifat politik murahan yang
dihalalkan untuk meraih dukungan politik secara meluas di kalangan masyarakat
bukan Islam terutama sekali di saat negara dicengkam situasi politik kotak
hitam ataupun keadaan politik tidak menentu menjelang pilihan raya umum ke-13
akan datang.
Dalam hal ini, Abim ingin merujuk kepada beberapa kenyataan yang dikemukakan
oleh pimpinan MCA dan DAP yang sama sekali tidak mengambil kira sensitiviti
serta intipati tersirat yang terkandung dalam perundangan hudud serta Islam
secara keseluruhannya.
Sekiranya keadaan ini berterusan serta tidak dibendung, fenomena Islamophobia
yang membayangi keharmonian hubungan antara masyarakat Islam dan bukan Islam di
seluruh dunia akan menular ke negara ini.
Abim ingin menegaskan bahawa Islam sama sekali tidak menafikan hak serta
kebebasan masyarakat bukan Islam. Hakikat serta penegasan tersebut telah
digariskan secara jelas dan tegas dalam perundangan Islam (hudud secara
khususnya), menerusi prinsip maqasid syariah.
Lantaran itu, sebarang usaha untuk mempolemikkan perundangan Islam (hudud)
untuk menimbulkan prasangka buruk dalam kalangan bukan Islam seharusnya
dihentikan. Sebaliknya semua pihak harus bersedia memahami perkara ini
sebaiknya bagi menangkis segala bentuk salah faham dalam masyarakat.
Oleh itu, Abim menawarkan ruang penjelasan dalam bentuk perbincangan serta
wacana yang bersifat akademik dan ilmiah. Abim juga bersedia untuk mengadakan
siri-siri penjelasan terkemuka dengan masyarakat awam terutama sekali di
kalangan masyarakat bukan Islam.
*Untuk
sejarah ringkas ABIM, boleh rujuk pautan ini:
***************************
Sumber:
- http://www.sinarharian.com.my/nasional/hudud-amaran-abim-jangan-sampai-cetus-islamofobia-1.78916; dan
- http://www.malaysiakini.com/news/207142.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan