MENSYUKURI NIKMAT, MENGINSAFI
AMANAT.
Oleh: Dato’ Dr Siddiq Fadzil
(Mantan Presiden PMIUM, Mantan Presiden PKPIM, dan Mantan Presiden ABIM. Kini
sebagai Presiden WADAH dan Kolej Dar Hikmah)
Bagi orang yang memahami makna dan harga kemerdekaan, 3l
Ogos adalah tarikh istimewa. Justeru, pada hari itulah, lima puluh tahun
yang lalu (1957) tercapainya cita- cita yang telah diperjuangkan
turun-temurun sejak entah berapa keturunan. Sejarah merdeka bukan baru bermula
pada pertengahan abad 20. Perjuangan heroik melawan penjajah sudah bermula
seawal abad ke-16M dengan perang Melaka-Portugis. Sejak itulah darah dan air
mata perjuangan tidak pernah berhenti mengalir. Tidak siapa berdaya menaksir
berapa kawah darah yang tumpah dan berapa telaga air mata derita yang mengalir
demi mempertahankan atau mendapatkan kemerdekaan. Harga kemerdekaan memang
mahal tak ternilai, dan kerana itu harus dihargai secara yang benar-benar
bermakna. Bagi umat beragama kemerdekaan adalah nikmat kurnia Tuhan lang wajib
disyukuri dengan cara yang diredhai dan disenangi Penganugerahnya. Mensyukuri
nikmat sebagaimana yang diajar oleh agama ialah menggunakannva dengan cara yang
benar, dan tidak menyalahgunakannya. Dalam konteks nikmat kemerdekaan ia harus
disyukuri dengan membina kehidupan yang menepati erti kemerdekaan semurni dan
setulennya. Mudah-mudahan roh para pejuang yang gugur, bahagia dalam
peristirehatan apabila pengorbanan dan perjuangan mereka menghasilkan umat
merdeka yang benar-benar merdeka. Dengan semangat syukur nikmat sempena
berlalunya setengah abad kemerdekaan, kita bermuhasabah, menilai diri, sudah
sejauh mana kehidupan kita sebagai bangsa telah menepati makna merdeka.
Islam dan Makna Merdeka
Islam pada hakikatnya adalah agama pembebasan. Mesej
liberatif-emansipatif agama Ilahi ini jelas terungkap dalam misi utamanya ikhraju
‘n-nasi mina ‘z-zulumat ila ‘nur. Dengan kata lain, risalah Islamiah dapat
dirumuskan sebagai misi pembebasan dan pencerahan (tahririy-tanwiriy).
Kerana itu kehadiran Islam dan gerakan pendakwahannya di mana-mana selalu
dirasakan sebagai a liberating and enlightening force. Demikianlah
citra agama ini di mata kaum peribumi rantau Melayu ketika berlakunya
transformasi kemanusiaan dan revolusi kebudayaan dalam gerakan pengislaman yang
memesat pada abad ke-13-16M. Ternyata pembebasan dalam konteks misi
keislaman mencakupi bidang yang cukup luas, meliputi pembebasan daripada segala
bentuk pembelengguan termasuk kemerdekaan daripada penjajahan. Memang al-zulumat adalah
kata yang jami’ dan inklusif meliputi segala rupa bencana
kemanusiaan: kesesatan, kebingungan, kejahilan, kebodohan, kebekuan,
kemunduran, kebejatan, kegilaan, kezaliman, kecurangan dan lain-lain
sejenisnya. Umat Islam harus dibebaskan dan dimerdekakan daripada segala
bencana tersebut. Pembebasan (tahrir) dalam konteks misi pengislaman
selamanya tidak terpisah daripada pencerahan (tanwir). Apalah erti bebas
daripada suatu kegelapan, jika kemudiannya dijerumuskan ke dalam kegelapan yang
lain.
Demikianlah hakikat bermulanya transformasi pengislaman
dengan deklarasi kemerdekaan diri menerusi lafaz kesaksian syahadat ketauhidan la
ilaha illallah yang membawa implikasi ketidakrelaan tunduk mengabdi
kepada siapa pun dan apa pun selain Tuhan Yang Maha Esa. Sebagaimana yang
diungkapkan oleh al-Shaykh Muhammad al-Ghazaliy bahawa kalimat tauhid itu
membawa implikasi penafian terhadap segala bentuk keberhalaan. penolakan
terhadap segala jenis pengabdian di bumi dan penegasan terhadap hak kebebasan
(Muhammad Al-Ghazali, 2000:36). Justeru, manusia mukmin adalah manusia berjiwa
merdeka yang sedar dengan ketinggian martabat keinsanannya, setia memelihara pesan, Innahu
laysa li al-mu’min an yudhilla nafsah (Sungguh, tidak seharusnya
seorang mukmin menghina dirinya sendiri). Semangat kemerdekaan tahririy-taghyiri-tanwiriy itulah
yang tampaknya ditangkap dengan tepat oleh Za'aba ketika merumuskan makna
merdeka sebagai perubahan, “... daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal
dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada
ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menyuburkan dia; daripada
I’tiqad-I’tiqad yang serong dan terpesong kepada I’tiqad yang subur dan
merdeka: daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada
kesalehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan
kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang
baik-baik dan mulia.”
Merdeka Berdasarkan Prinsip Karamah Insaniyyah
Merdeka pada hakikatnya adalah bahagian daripada kemanusiaan
itu sendiri, sesuai dengan kurnia takrim dari Yang Maha
Pencipta untuk makhluk jenis manusia seluruhnya. Kemuliaan yang diperoleh
langsung dari Tuhan itu bukan deklarasi kosong, tetapi sarat dengan erti dan
implikasi: kemerdekaan, kebebasaan, persamaan dan sejumlah hak serta keperluan
asasi lainnya: yang tanpanya manusia kehilangan kemanusiaannya. Kerana itu
manusia yang sedar dengan ketinggian martabat, maruah dan harga diri insan
sebagai makhluk mulia memiliki kepekaan yang cukup tinggi terhadap apa jua
gejala penghinaan terhadap manusia, baik dirinya sendiri atau manusia lain.
Manusia yang berasa mempunyai maruah keinsanan tidak akan rela kemerdekaannya dirampas, kebebasannya dibelenggu dan apa
sahaja perlakuan yang meremehkan kemanusiaannya. Ternyata kemerdekaan terkait
erat dengan maruah. Bagi manusia merdeka, maruah adalah milik termahal yang
sentiasa dijaga dan dipelihara dengan penuh rasa cemburu. Kerana itu pula
manusia merdeka tidak dapat menerima kehidupan yang tidak bermaruah, kehidupan
yang tidak bermoral, kehidupan yang cemar dengan amalan keji dan jijik seperti
rasuah, penyalahgunaan kuasa, penipuan, pemerasan, kepura-puraan, ampu bodek
dan lain-lain sejenisnya. Lain halnya dengan hamba abdi yang diperlakukan
bagaimana sekalipun – dihina, dibelenggu dan dimalukan, mereka tidak berasa
malu dan tidak berasa kehilangan maruah kerana memang mereka tidak memiliki maruah.
Demikianlah, manusia berjiwa merdeka adalah manusia yang
sedar dan peka dengan ‘izzat al-nafs atau maruah, harga diri
dan kemuliaan martabat keinsanannya. Kesedaran dan kepekaan itulah yang
memberinya rasa malu dan tahu malu. Rasa malu terkait dengan dignity seperti
itulah yang dijelaskan oleh Syed Hussein Alatas.
What is meant here by the sense of shame is not shame
associated with private and individual relations but a shame associated with
the collectivity, with the conditions of one's fellow men. It is directed at
elements threatening human welfare and dignity. ‘lt is undignified to have a
dirty surrounding. It is undignified to live in a disorderly and
haphazard manner. It is undignified to be subjected to petty corruption and
rude treatment. It is undignified to be cheated of your rights. It is
undignified to be governed by men with criminal minds, men who spend most of
their time plotting to cheat and plunder the state.’
(Alatas, S.H., 1999: 113-114).
Majalah antarabangsa NEWSWEEK, 23 Julai 2007 memuatkan
tulisan Melinda Liu berjudul Politics of shame pada halaman
utama Periscope. Makalah pendek tersebut mengulas hukuman mati yang
dijatuhkan ke atas Zheng Xiaoyu, bekas ketua sebuah agensi kerajaan China, SFDA
(State Food and Drug Administration), atas kesalahan meluluskan
ubat-ubatan yang tidak diuji (untested) sehingga mengakibatkan kematian tidak
kurang 10 orang. Kelulusan tersebut diberikan dengan bayaran (rasuah) $850,000.
Kesalahan sedemikian membawa hukuman mati kerana kesan buruknya yang memalukan
agensi berkenaan. Seperti yang dinyatakan oleh jurucakap pihak berkuasa
Beijing,“Zheng has brought “shame” to his agency.” Mengenai
kepentingan malu dalam masyarakat dan budaya Cina, makalah tersebut menyatakan, “Shame
has always been a powerful force in China. Rooted in Confucian ethics, it often
drives Chinese leaders to dispense tougher justice than is meted out for
less-embarrassing crimes” Begitu tingginya tahap “tahu malu”" di
kalangan mereka sehingga apabila seseorang disoal-siasat atas dugaan rasuah,
cukup untuk menyebabkannya membunuh diri seperti yang dilakukan oleh seorang
bekas ketua polis pada bulan Jun lalu. (NEWSWEEK, 23 Julai 2O07: 4).
Sifat malu sebenarnya menempati posisi teras dalam ajaran
moraliti Islam, dan lebih daripada itu ia adalah manifestasi iman. Hadith dari
Imam Malik menyebut, “setiap agama memiliki akhlaq, dan akhlaq Islam adalah
malu" (likulli din khuluq, wa khuluq al-Islam al-haya”). Dalam
Hadith lain disebut pula “malu adalah sebahagian daripada iman” (al-haya’min
al-iman). Sifat malu yang tumbuh dari iman itu adalah sebahagian daripada
disiplin dalaman yang dapat mengawal perilaku seseorang.
Apabila Tuhan sendiri mendeklarasikan martabat kemuliaan
insan, ...dan sesungguhnya Kami memuliakan ana-anak Adam, bererti
semua manusia sama mulianya, sama martabat keinsanannya, sama hak-hak
kemanusiaannya, sama merdekanya dan sama bebasnya. Dari takrim ketuhanan
itulah lahirnya dua prinsip utama yang sangat erat hubungannya: prinsip
kebebasan (kemerdekaan) dan prinsip persamaan kemanusiaan. Seseorang itu tidak
dapat dikatakan merdeka jika ia tidak mendapat pelayanan sebaik yang diterima
oleh orang lain. Bagaimana mungkin kita dapat mengatakan seseorang itu merdeka
andainya masih terbelenggu dalam sistem dan budaya hidup berkasta-kasta, masih
mengamalkan feudalisme - baik feudalisme lama atau feudalisme baru, masih ada
kelas atasan yang diistimewakan dan kelas bawahan yang didiskriminasikan.
Merdekakah “orang kecil” seperti yang diperikan oleh seorang kiyai budayawan
Indornesia, K.H.A. Mustofa Bisri dalam puisinya “ORANG KECIL ORANG BESAR”.
Orang kecil jika ikhlas diperas
Jika diam ditikam
Jika protes dikentes
Jika usil dibedil.
Orang kecil jika hidup dipersoalkan
Jika mati tak dipersoalkan
Lebih baik jadilah orang besar
Bagiannya selalu besar.
Orang besar jujur-tak jujur makmur
Benar-tak benar dibenarkan
Zalim-tak zalim dibiarkan.
Orang besar boleh bicara semaunya
Orang kecil paling jauh dibicarakan saja.
Orang kecil jujur dibilang tolol
Orang besar tolol dibilang jujur
Orang kecil berani dikata kurangajar
Orang besar kurangajar dikata berani
Orang kecil mempertahankan hak
disebut pembikin onar
Orang besar merampas hak
disebut pendekar.
Prinsip persamaan kemanusiaan inilah yang ditegakkan oleh
Rasulullah s.’a.w. sebagaimana yang terakam dalam sunnahnya - sabda dan amal
nyata. Pada zamannya para penguasa rata-rata membina citra diri mereka sebagai
maharaja keturunan dewa berasal dari dunia indera. Motif penciptaan imej yang
menggerunkan seperti itu ialah untuk menjadikan rakyat jelata berasa kerdil dan
hina diri. Pada suatu ketika seorang a'rabiy dibawa mengadap Nabi (s.’a,w.).
Akibat terbiasa membayangkan imej para penguasa seperti di atas, a'rabiy tersebut
kelihatan terketar-ketar ketakutan. Junjungan s.’a.w. yang cukup mengerti
kenapa keadaannya menjadi seperti itu segera menenangkannya dengan berkata. “Bertenanglah,
saya bukan maharaja, saya adalah anak seorang wanita Quraysh yang biasa makan
daging kering”. Cara pengenalan diri seperti itu mengesankan sikap
tawadhu'nya kepada Allah dan sekaligus rasa kedekatannya dengan umat. Junjungan
s.’a.w menisbahkan dirinya kepada ibunya yang bercitra wanita rakyat biasa,
tidak kepada datuk-datuknya yang bangsawan dan pembesar Quraysh. Demikianlah
cara pengenalan diri yang mengesankan persamaan kemanusiaan.
Banyak peristiwa lain lagi yang membawa mesej yang sama,
termasuk kejadian tertangkapnya seorang wanita yang melakukan kesalahan
mencuri. Kabilah wanita tersebut cuba melobi al-Rasul s.’a.w. agar
membebaskannya daripada hukuman dengan alasan wanita tersebut termasuk golongan
bangsawan dalam kabilahnya. Peristiwa itulah yang melatari sabda Junjungan
s.’a.w. yang mencerminkan ketegasan dalam penegakan prinsip persamaan
kemanusiaan,”Sesungguhnya telah hancur umat sebelum kamu (akibat amalan
diskriminatif) apabila orang besar mencuri mereka biarkan, tetapi apabila orang
kecil mencuri mereka hukum. Demi Allah, andainya (anakku) Fatimah binti
Muhammad itu mencuri, nescaya aku potong tangannya”. Komitmen terhadap
prinsip persamaan kemanusiaan diteruskan oleh para khalifah penggantinya
seperti yang dilakukan oleh Khalifah Kedua, Amir al-Mu’minin ‘Umar
ibn al-Khattab r.’a. terhadap anak Governor Mesir (‘Amr ibn al-‘as) yang
memukul seorang Qibtiy semata-mata kerana ia (Qibtiy) telah memotongnya dalam
satu perlumbaan. Khalifah telah menjatuhkan hukumanqisas ke atas
anak Governor tersebut. Ketika pihak yang bersalah menprotes atas alasan
ketidaksamaraan taraf , ‘Umar al-Khattab menjawabnya dengan nada yang cukul
tegas, “Sejak bila kalian memperhambakan manusia, walhal semua mereka
telah dilahirkan oleh ibu-ibyu mereka sebagai anak-anak merdeka!”. Peristiwa
lain yang juga banyak dirujuk dalam isu persamaan kemanusian ialah hukuman qisas yang
dijatuhkan oleh ‘Umar ibn al-Khattab keatas Jabalah ibn al-Ayham.
Raja Ghassan itu didapati bersalah kerana memukul seseorang (orang awam)
yang secara tidak sengaja terpijak pakaiannya. Jabalah juga membantah hukuman
qisas, undang-undang yang menyamakan raja dengan jelata. Sebagai raja yang
berasa darahnya lebih istimewa, beliau tidak mahu disamakan dengan rakyat
biasa. Bantahan itulah yang dijawab oleh ‘Umar (r.’a.) dengan satu lagi
ungkapan yang cukup mengesankan, “Tetapi Islam telah menyamakan kamu
berdua.” Demikianlah, kemerdekaan yang benar-benar bererti bagi orang
kecil ialah apabila hak-haknya sebagai manusia mulia dihormati, sama seperti
orang lain. Tetapi andainva masih berlaku amalan penghakiman diskriminatif,
pendakwaan berpilih-pilih atau seumpamanya, bererti rakyat belum memperoleh
kemerdekaannya.
Memang kemerdekaan adalah bahagian daripada keinsanan.
Tetapi ia bukanlah kemerdekaan yang bererti kebebasan anarkis. Kebebasan dalam
Islam selamanya terkendali dalam bimbingan prinsip-prinsip hukum dan
nilai-nilai akhlak. Kerana itu sebagaimana yang disebut oleh al-Sakhawiy, “Islam memberikan kebebasan kepada manusia,
dan sekaligus mengawalnya: dengan nilai akhlak agar tidak terlajak, dengan
keadilan agar tidak menjadi pelaku kezaliman. dengan kebenaran agar terhindar
dari tarikan nafsu kebatilan, dengan kebaikan dan pengorbanan agar tidak
bersikap egois annaniyah kesombongan, ...” (al-Zuhaykiy, 2000:41).
* Dicuplik daripada:
**********************************
Entri-entri berkaitan:
Merdeka Jiwa
BalasPadam